© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Gerakan Islam Jadi Mangsa Tudingan Radikalisme

Gerakan Islam Jadi Mangsa Tudingan Radikalisme

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 13 December 2015


Tidak dinafikan bahawa fahaman radikal banyak menjangkiti pelbagai fahaman agama dan aliran-aliran budaya, jaringan komunikasi, ekonomi dan politik dunia. Sebagai contoh, pada 6 Disember 1992 sebuah Masjid  Babri di Ayodhya, India pernah dimusnahkan oleh kumpulan fanatik Hindu yang mendakwa kononnya melihat Dewa Ram di perkarangan masjid tersebut. Sehingga hari ini, tanggal tersebut dijadikan salah satu perayaan bagi sebahagian narsisme Hindu di Uttar Pradesh tentang peristiwa keruntuhan masjid tertua di wilayah tersebut.

Hairannya dalam masa Orde Baru Dunia Barat, Islam masih tetap menjadi “scapegoat” dengan apa yang diistilahkan sebagai “radikalisme” untuk mengaitkan amalan jihad khususnya Gerakan-gerakan Islam dengan aktiviti keganasan. Perancangan ini telah melariskan “name calling” ekstremis, terroris, fanatik, fundamental, takfirisme termasuklah radikal yang mutakhir ini menjadi tudingan kepada individu-individu atau organisasi yang berusaha menegakkan syariat Islam. Strategi ini disahkan oleh penulis Yahudi, Haim Baram (1994);

Since the collapse of the Soviet Union and the fall of communism, Israeli leaders have attempted to enlist the United States and Europe in the battle against Islam...

Islam adalah agama  “kedamaian” kerana kata al-salam, al-istislam, al-muslim, al-taslim bermaksud demikian, bukan kekerasan. Salah seorang sejarawan Barat, Edward Gibbon (1737–1794) pernah mengakuinya ketika Andalus diperintah Kerajaan Islam, masyarakat Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan aman dan damai. Malangnya toleransi beragama yang dicontohkan umat Islam tidak dihargai dengan baik, pada abad ke-13 sahaja 3 juta orang Islam dipaksa melakukan “Converso” - yakni murtad secara paksa atau dibunuh.

Sewaktu Sultan Saifuddin Qutuz berada di Acre menuju ke Ayn Jalut, Palestin untuk berhadapan kemaraan tentera Tatar. Orang-orang bukan Islam di Acre bergembira dengan kemunculan Saifuddin Qutuz, malah mendoakan tentera Islam memenangi peperangan tersebut. Sekalipun sokongan mereka tercetus kerana kepentingan peribadi, takut populasi mereka dikejami Tatar. Namun penduduk non-Muslim di Acre menyedari Islam adalah agama yang menyebarkan keadilan dan perdamaian di wilayah mereka.

Pun begitu Gerakan Islam dan usaha penegakan syariat sering dipaparkan sebagai gerakan berimej radikal dan ganas. Sikap diskriminasi dan stereotaip terhadap Gerakan Islam digambarkan melalui seluruh saluran media agar perjuangan menegakkan syariat Allah ini dilihat sebagai suatu peradaban yang hodoh dan berbahaya kepada survival manusia. Sejak dahulu karya-karya memburukkan Islam ditulis oleh orientalis-orientalis Barat. Seperti Voltaire (1694–1778), iaitu Fanaticsm or Muhammad the Prophet memaparkan Nabi Muhammad sebagai pemimpin agama yang menindas.

Manakala Ernest Renan (1823–1892) menganggap Islam sebagai tidak serasi dengan sains dan umat Islam tidak berupaya membuka minda untuk menerima idea baharu.

Permusuhan ini menjadi sebati dan berterusan sehingga mempengaruhi masyarakat di wilayah-wilayah Islam. Justeru idea mengembalikan perjuangan Rasul ke pentas politik sering dianggap negatif atau gerakan radikal.

Jika kita mengimbau tahun 1981, Prof. Necmettin Erbakan pernah menubuhkan Parti Islam yang dikenali sebagai Hizbu Refah di Turki. Setelah 20 bulan memerintah, Erbakan digulingkan dan Gerakan Islam pimpinan beliau diharamkan.

Pada tahun 1988, Gerakan Islam FIS (Front Islamic Salvation) pimpinan Abbas Madani di Algeria pernah menang pilihan raya dan sah menubuhkan kerajaan, tetapi kejayaan mereka itu dinafikan dan Abbas dipenjarakan.

Tahun 2006, Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (HAMAS) mendapat kepercayaan rakyat Palestin dalam pilihanraya. Namun kejayaan mereka dikecam Amerika dan sekutu-sekutunya. Ekonomi mereka diembargo supaya kerja-kerja pentadbiran HAMAS tidak dapat dijalankan dengan lancar.

Tragedi yang sama turut menimpa Mohammed Morsi, Presiden Mesir yang sah daripada Freedom and Justice Party (FJP) akhir-akhir ini. Ramai tokoh-tokoh Ikhwan al-Muslimin yang ditangkap bahkan ada yang dibunuh setelah pemerintahannya digantikan oleh rejim Abdul Fatah al-Sisi. Kesalahan mereka di kaca mata musuh ialah kerana perjuangan mendaulatkan Islam yang menjadi matlamat mereka. Cita-cita Gerakan Islam untuk merealisasikan perundangan Islam dimomokkan sehingga menjadi trauma sejarah di dalam peradaban Barat yang tidak seharusnya diulangi.

Gerakan Islam di Malaysia, PAS tidak terkecuali menghadapi tempias kebobrokan sekularisme apabila sebuah pertubuhan kajian aktiviti terrorism, TRAC (Terrorism Research & Analysis Consortium) meletakkan PAS sebagai salah satu gerakan terroris kerana pendekatan jihad siyasinya. Sedangkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan PAS bukan Gerakan Islam yang “semberono”. PAS istiqamah dengan pendekatan muwajahah silmiyah. PAS istiqamah menggunakan ruang demokrasi negara selama peluang untuk berkonfrontasi masih terbuka dan selamat demi kemaslahatan rakyat dan negara.

Secara klasiknya, mainstream kebencian tersebut mengingatkan watak permusuhan lama terhadap Islam yang disebut melalui firman-Nya;
وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut mereka (yang telah terpesong itu).” (surah al-Baqarah: 120)

Lebih malang lagi, idea-idea memburukkan agenda Nabawi ini diteruskan oleh puak-puak obskurantisme agama dengan taktik membentuk ‘public opinion’ membusukkan Gerakan Islam. Mereka tidak segan silu memanipulasi ayat-ayat al-Quran dan Hadis semata-mata mahu memburukkan Gerakan Islam. Sebaliknya mereka bisu membiarkan pihak lain mensabotaj keadilan undang-undang dan menjahanamkan struktur demokrasi negara. Seruan-seruan mereka kelihatan konkrit dengan hujjah dan dalil, tetapi gagasannya menyebabkan thaghut bermaharajalela. Mereka inilah boneka Barat (sedar atau tidak) yang melumpuhkan gerak kerja pendaulatan Islam di seluruh dunia kerana sikap “istislam li al-zulmi”. 

Benar, radikalisme sesungguhnya bukanlah daripada ajaran Islam. Akan tetapi ia adalah salah satu bentuk momokan “Islamophobia” yang terus menerus dilancarkan secara senyap dan terancang terhadap Gerakan Islam.
وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
“Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (wahyu tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada-mu.” (surah al-Baqarah: 120)

Situasi ini lebih mudah kita fahami jika kita berfikir secara kronologis sejarah perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu. Tokoh-tokoh seperti Tokku Paloh, Mat Kilau, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, malah semuanya adalah aktivis-aktivis yang membangkitkan semangat berdaulat menentang penjajahan, mereka dianggap ekstrem, radikal dan terroris oleh pihak imperialis pada waktu itu. Namun, perjuangan mereka diktiraf sebagai pejuang kemerdekaan, merekalah hero yang mengusir penjajah dari tanah air. Tetapi sejak pasca kemerdekaan, isu radikalisme diangkat di mana-mana, lebih-lebih lagi terhadap Gerakan Islam. Jika Barat mengatakan fundamentalis, mereka jadi ‘pak turut’ mengatakan fundamentalis. Jika Barat kata ektremis, mereka juga ikut mendendangkan irama yang sama. Ibaratnya, mana-mana yang tidak berfikir cara politik Barat, maka golongan ini akan dicop sebagai ‘radikal’. Akhirnya, perjuangan Islam dianggap salah, manakala pembelaan thaghut dianggap rasional mengikut skema ketaasuban yang kononnya dianggap ‘maqasid’.

Gejala ‘pak turut’ seperti ini sangat bersesuaian dengan petikan bible yang berbunyi; The person who isn't with me is against me, and the person who isn't gathering with me is scattering; iaitu “seorang yang tidak bersamaku maka ia menentangku (musuhku) dan sesiapa tidak bersamaku maka ia sedang melakukan kekacauan.” (Matthew 12:30, International Standard Bible version)

Sejarah dan hakikat perjuangan Islam yang dirintis Para Nabi dan pewarisnya untuk mengadaptasi keadilan rakyat ke atas pimpinan; dan keadilan pimpinan ke atas rakyat digelapkan oleh puak-puak obskurantisme agama ini dengan tudingan-tudingan khawarij, takfiri, bughah dan sebagainya. Fitnah tersebut direkayasa seakan-akan ilmiah, tetapi hakikat sebenarnya mereka telah memalingkan kewajiban umat Islam supaya membebaskan daulah daripada sebarang bentuk kezaliman kerana mahu mempertahankan status quo pemerintah.

Mereka menggolongkan aktivis-aktivis Gerakan Islam sama taraf dengan kumpulan-kumpulan fanatik. Sedangkan itulah perangkap propaganda Barat yang telah berjaya disambut baik oleh mereka. 

Mereka membela setiap jenayah pemerintah dengan bersikap prejudis terhadap Gerakan Islam.

Mereka menghalalkan hukuman mati dan bunuh terhadap aktivis-aktivis Gerakan Islam.

Mereka ini melakukan peranan Dajjal seperti yang dinyatakan Rasulullah sallallahualaihi wasallam kepada Abu Zar al-Ghiffari radhiallahu anhu;
سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ، غَيْرُ الدَّجَّالِ أَخْوَفُ عَلَى أُمَّتِي مِنَ الدَّجَّالِ، فَلَمَّا خَشِيتُ أَنْ يَدْخُلَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ شَيْءٍ أَخْوَفُ عَلَى أُمَّتِكَ مِنَ الدَّجَّالِ؟ قَالَ: الْأَئِمَّةَ الْمُضِلِّينَ
Aku telah mendengar Rasulullah sallallahualaihi wasallam bersabda, selain Dajjal ada yang lebih aku khuatiri (tipu dayanya) terhadap umat lebih daripada Dajjal. Ketika rasa gelisah menyelubungiku lalu aku bertanya; Apakah yang lebih engkau khuatiri sesuatu menimpa umat selain Dajjal wahai Rasul Allah? Jawab baginda; Para imam (pemimpin hal ehwal agama) yang menyesatkan. (Riwayat Ahmad)

Kata Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din;
فساد الرعايا بفساد الملوك وفساد الملوك بفساد العلماء وفساد العلماء بإستيلاء حب المال والجاه
Rosaknya masyarakat adalah kerana rosaknya penguasa. Rosaknya penguasa adalah kerana rosaknya ulama. Rosaknya ulama adalah kerana cinta harta dan kedudukan.

Kepada Allah kita kembali dan kepada Allah jua kita pohon keampunan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-