© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Membangun Islam di Combodia Dalam Dua Dekad Terakhir

Membangun Islam di Combodia Dalam Dua Dekad Terakhir

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 9 October 2015


Sungai Mekong mengalir lesu dengan sejuta rahsia yang digengam erat, dasarnya adalah kelodak jiwa manusia yang bersengketa. Sungai ini memuarai Bandar Pnomp Penh yang sentiasa sibuk dengan manusia, bertali arus dengan motosikal buruk yang menampung manusia berjejeran di jalanan, sesak dengan debu-debu jalan yang menyakitkan mata, juga memeritkan halkum. Kota ini menjadi saksimata kekejaman regim Pol Pot menyembelih umat Islam sehingga mencecah jutaan manusia, kegilaan regim komunis ini telah membekaskan perit yang tajam serta api dendam yang sentiasa dibumbui sepanjang hayat kepada mangsa.

Saya dengan mata yang meliar dan dengan hati yang jengkel merasai curiga yang bersarang pada hati, manusia di sini cukup prejudis kepada Muslim. Malik, teman saya, berpesan agar berpenampilan “biasa-biasa”, maksudnya bukan dengan pakaian “muslim beragama” yang boleh menjebak kami dengan imej “pengganas” juga bukan dengan gaya bergengsi seperti usahawan kelas kakap yang akan mengundang keberahian penjenayah yang berkemahiran tinggi di negara antara termiskin dunia ini. “Jaga-jaga beg duit dan barang Ustaz”, pesan Malik setiap kali, anak muda ini mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi, beliau pernah belajar di Selatan Thai.

Negara ini kadar jenayahnya cukup tinggi seakan Amerika Latin, senjata api masih didagang dengan bebas maka rompakan bersenjata agak lumayan menjadi bahan berita. “Wah, ngeri juga, ala-ala bandar koboi ni...” saya cuba berlucu sendirian, teringat cerita koboi yang merompak bank dalam filem Hollywood.

Malik sentiasa bercerita tentang ketenangan Kemboja atau Kampuchea yang sentiasa dikocak dengan berita jenayah, samun senjata api, rogol, pembunuhan dan korupsi gotong-royong. Tidak pelik kerana papan iklan gergasi di kota kumuh itu sering bersaing dengan iklan jenama arak, diselang dengan iklan rokok yang pelbagai. Menjadi pemimpin di sini memerlukan wang yang banyak untuk membiayai pengikut dan pengawal bersenjata. Kota kumuh ini dilatari dengan perempuan jalanan yang menjual “sekangkang peha” untuk menyuap mulut. Cuma mungkin tidak sehebat kota Bangkok yang menjadikan pelacuran sebagai sumber pendapatan negara. Namun kecenderungannya sama, warga Barat sentiasa memenuhi kota ini dengan beg sandang, berkumpulan dan kelihatan agak comot berdebu.

Kali pertama saya sampai ke negara ini ialah pada tahun 2002, setelah menyimpan keinginan yang lama untuk melihat sendiri kesan pembantaian regim Pol Pat dalam dekad 70-an. Semasa zaman kecil saya di Terengganu, muslim Kemboja berjualan kain kampong ke kampong, termasuk menjual buaian daripada plastik. Mereka sangat rajin membanting tulang empat kerat sehinggalah akhirnya menjadi kaya di “suvarnabhumi” atau bumi emas ini.

Dalam dekad 80-an pula, saat Terengganu digemparkan dengan penemuan emas di Lubuk Mandi, Marang, sebahagian daripada mereka sama-sama melahap rezeki emas di Lubuk Mandi Terengganu, memerah keringat bersimbah airmata. Hasilnya, muncullah komuniti masyarakat Kemboja Muslim yang berjaya di Terengganu, Kelantan dan lain-lain tempat. Saat orang tempatan leka berlabun di kedai kopi, mereka menyusur lorong ke lorong, rumah ke rumah di taman perumahan kelas menengah dan kos rendah menawarkan pakaian dan pelbagai barangan untuk dibeli. Anak-anak Muslim Kemboja ini tidak sedikit pula yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan meraih sekeping kertas harga diri, contohnya Ustazah Aminah (Ketua Muslimat Hulu Selangor). “No pain no gain”, “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”, kata guru saya, bersurah tentang kerajinan.

Ketika tayar pesawat tambang murah mendarat di lapangan terbang antarabangsa Pnomh Penh, hati saya terasa terusik kerana Allah telah memakbulkan doa untuk memijak kembali bumi bersejarah ini yang hampir sembilan tahun saya tak sambangi. Negara ini pernah berperang dengan Siam dalam tempoh yang lama. Malik memeluk saya di pintu keluar lapangan terbang, wajahnya secerah mentari pagi, tanpa ketayap dan jubah lusuh yang lazim dipakai jika berada di Malaysia.

“Ni musim panas ustaz, cuaca berdebu..sebelum ni banjir”, cerita Malik tanpa disuruh apabila saya menutup hidung cuba menahan debu-debu jalan yang menerpa wajah di luar bandara baru Pnonh Penh.

Kenderaan sewaan kami berdesut di jalan, hon yang dibingitkan sesuka hati semakin merimaskan namun ianya hiburan sang pemandu.

Pelbagai manfaat dapat ditebarkan kepada masyarakat muslim Kemboja dengan program korban perdana ini, di antaranya ialah :-
  1. Menyemarakkan gerakan dakwah di sana kerana Kemboja memerlukan kepada pemurnian semula kefahaman agama. Mereka dalam tempoh yang panjang hidup dalam dasar pemencilan agama yang dibuat oleh regim komunis. Daging korban selain daripada diagihkan terus pada golongan fakir miskin, juga digunakan untuk majlis merasmikan masjid atau untuk program dakwah.
  2. Memberikan masyarakat Muslim Kemboja, sumber protein yang berkesan. Mereka terpuruk dalam lingkaran ganas kemiskinan yang berakar hampir seabad yang lalu. Pemencilan terhadap masyarakat Muslim minoriti kemboja
Daging korban dan lembu yang disembelih telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat. Golongan susah sangat teruja, kadang-kadang mereka datang beratus kilometer dengan van “pick up” untuk mengambil daging korban, bahkan mereka datang sehari lebih awal sebelum majlis korban diadakan. Ustaz Fauzi Husain, yang ditugaskan menyembelih daging korban sebelum ini sentiasa bercerita tentang kesungguhan golongan susah ini mendapatkan daging korban.

Mereka melahap senikmatnya daging gulai yang dimasak kepada mereka, saya mempunyai kenangan kolektif yang cukup syahdu apabila melihat orang miskin Kemboja makan. Pinggan mereka tidak tersisa, mereka menghirup mangkuk kuah gulai dengan penuh nikmat, makan dengan penuh ceria. Teringat juga dalam satu majlis pembahagian beras kepada fakir miskin, beberapa orang kanak-kanak mengutip beras yang tumpah, mereka tidak membiarkan beras tumpah kerana menghargai pemberian dan bersyukur dengan rezeki dari Allah. Berbeza dengan sikap kita di Malaysia yang sentiasa membazir makanan dan berlebihan makan.

Saya yakin sesungguh hati, Islam akan semakin terpancar di Kemboja melalui misi-misi bantuan ini, pelbagai pihak telah tampil menyampaikan bantuan samada jangka panjang atau jangka pendek. Contohnya membina masjid, sekolah-sekolah agama, membantu para asatizah, melaksanakan korban dan akikah perdana, menebarkan al-Quran dan kitab-kitab agama, membina telaga dan pelbagai cara yang ditunjukkan untuk menterjemahkan rasa kebersamaan merentasi sempadan geografi. “Sempadan kita orang beriman ialah sempadan akidah”, kata Sayyid Qutb.

Muslim Care selain mengadakan korban di Kemboja, telah menyempurnakan korban perdana di tujuh negara lain. Peta luka ummat ini seperti di Palestin, Syria, Sri Langka, Vietnam, Indonesia, Poland untuk pelarian Chechen, juga di merata tempat tanahair kita.


Biodata Penulis

Dr Riduan Mohamad Nor merupakan Pengarah Penerangan Muslim Care Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-