Al-Quran adalah petunjuk yang benar sepanjang zaman daripada Allah, dan Rasulullah adalah contoh kebijaksanaan manusia pilihan Allah. Namun Allah memandu dengan hidayah-Nya apabila membawa mesej dakwah membawa rahmat dan adil kepada seluruh manusia, sama ada dalam berjamaah atau bernegara. Firman Allah swt di dalam al-Quran;
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ. وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan jika mereka (lawan atau musuh kamu) cenderung kepada perdamaian, maka kamu hendaklah cenderung kepadanya, dan bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka hendak menipumu, maka cukuplah Allah (bagi memelihara mu). Dialah yang menguatkan mu dengan pertolongannya dan orang-orang yang beriman (bersama mu). Dan Dia (Allah) berkuasa menyatukan diantara hati-hati mereka. Kalau Engkau belanjakan apa yang ada dibumi semuanya nescaya Engkau tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah telah menyatukan hati-hati mereka. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana).” (surah al-Anfal, ayat 61 - 63)
Di antara bukti keadilan dan rahmat ajaran Islam, ia menjadikan konsep perdamaian diutamakan dan didahulukan walaupun terhadap musuh paling keras dan zalim, di atas asas yang sangat kukuh berkonsepkan;
[a]. Thawabit : (Nas yang tidak boleh diubah dan tidak boleh berganjak daripadanya) - iaitu perkara aqidah, dasar dan matlamat perjuangan Islam.
[b]. Mutaghayyirat : (Menerima perubahan dan anjal atau fleksibel) - mengikut perkembangan situasi dan realiti, bersama kebijaksanaan yang tidak putus hubungannya dengan Thawabit.
Apabila Rasulullah saw bersama para sahabatnya ra dihalang daripada masuk ke Makkah bagi menunaikan umrah yang diizinkan kepada semua, mengikut adat dan undang-undang masyarakat Arab sejak zaman berzaman, tiba-tiba dicabul secara zalim, sehingga berlaku ketegangan yang diizinkan berperang, sampai berlakunya Bai’ah kesediaan berperang dengan tekad menang atau mati syahid. Tiba-tiba ditawarkan perdamaian Hudaibiyyah oleh musuh yang sangat zalim dan penipu besar, dengan syarat-syarat yang sangat berpihak kepada mereka, menyebabkan majoriti para sahabat ra mahu menolak keras perdamaian yang ditawarkan itu. Tetapi Rasulullah saw, dengan petunjuk Allah tetap mengutamakan perdamaian, tanpa peduli kepada syarat-syarat yang tidak adil dan kemungkinan penipuan daripada musuh. Para Sahabat pula tetap akur kerana keteguhan iman mengatasi semangat yang berkobar untuk bertindak dengan kesediaan setelah berbai’ah.
Natijahnya ialah kekukuhan saff perjuangan dalaman di kalangan umat Islam sendiri yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar yang terkumpul daripada A’us dan Khazraj dengan hidayah Allah disatukan hati mereka, menambahkan lagi orang-orang yang menerima Islam dengan hidayah Allah juga. Peristiwa ini juga menyingkirkan kalangan munafik yang bersembunyi di sebalik badan untanya, tidak layak mendapat hidayah kerana tidak ada Istiqamah, hanya menjadi duri dalam daging, beriman tanpa keyakinan kepada Allah yang menjanjikan kemenangan dengan mimpi benar kepada Rasulullah saw.
Allah swt berfirman menerusi al-Quran;
لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ
“Sesungguhnya Allah membenarkan Rasul-Nya secara mimpi yang benar, bahawa kamu dapat masuk ke-Masjid al-Haram (Makkah) in’sya-allah dalam keadaan aman.” (surah al-Fath, ayat 27)
Tiba-tiba mereka dihalang dengan kekerasan yang hampir mencetuskan peperangan. Kalangan munafiq terdedah, apabila melihat dengan nyata mimpi tidak menjadi kenyataan, tanpa menyedari perkara yang tersirat dalam ilmu Allah dan kebijaksanaan-Nya. Adapun kalangan yang beriman tetap menerima kenyataan Allah dan keputusan Rasulullah saw walaupun tidak nampak hikmah dan tujuannya di masa itu secara spontan.
Allah menegaskan bahawa mereka masuk ke Makkah dalam keadaan aman, bukannya disekat dan diganggu sehingga kenyataan mimpi Rasulullah saw ditangguh. Rasulullah saw menerima perintah Allah supaya mendahulukan perdamaian dengan keyakinan kefahaman kepada kekuasaan Allah yang berlaku di sebaliknya. Ada pun para sahabat pula dibayangi penipuan dengan keangkuhan yang nyata dalam perjanjian Hudaibiyyah yang dimeteraikan;
- Tidak dibenarkan permulaannya dengan ditulis “بسم الله الرحمن الرحيم” dipaksa supaya menerima pakai ayat di masa jahiliyyah “باسمك اللهم”.
- Mana-mana kalangan orang Madinah yang melarikan diri ke-Makkah tidak boleh diminta pulang. Ada pun orang Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah wajib dihantar semula ke Makkah.
- Muhammad dan pengikutnya tidak dibenarkan masuk ke Makkah mengerjakan umrah pada tahun ini. Umrah mereka ditangguhkan di tahun hadapan.
Akhirnya, nyatalah hikmah berlakunya janji Allah kedatangan mereka yang masuk Islam berlipat-ganda dan berduyun-duyun, serta perpaduan kalangan mereka yang ikhlas sahaja. Negara Islam Madinah makin teguh dan kuat, berakhir dengan peristiwa Fathul Makkah (pembebasan Kota Makkah). Allah telah menjinakkan hati-hati manusia dengan kewujudan perpaduan dalaman umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar, A’us dan Khazraj dengan Hidayah yang tidak mungkin dicapai dengan perbelanjaan harta sepenuh bumi. Menolak sangkaan golongan munafiq dan lemah iman yang menyusup ke dalam jemaah Islam.
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا. الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“Berilah berita galakkan kepada orang-orang munafiq, bahawa untuk mereka azab yang sangat pedih. Mereka ialah kalangan orang yang memberi wali (kawan setia dan kepercayaan) kepada orang yang kafir bukannya kepada orang-orang yang beriman. Adakah mereka mahu mendapat kekuatan yang dapat memberi kemenangan daripada orang-orang yang kafir itu? Maka sesungguhnya kemuliaan dan keperkasaan yang memberi kemenangan itu semuanya daripada Allah.” (surah al-Nisa’, ayat 138 - 139)
Maka Rasulullah saw menolak tawaran bantuan daripada bukan Islam ketika Badar dan Uhud, di mana Islam dalam keadaan sangat lemah, sebaliknya terus bertahaluf dan boleh menerima bantuan bukan Islam selepas Fathul Makkah, di masa Islam berada dalam keadaan yang sangat kuat. Menunjukkan mesej Islam bagi menyampaikan rahmat dan adil ketika kuat terhadap pihak yang lain, tegak di atas kekuatan sendiri. Bukan meminta dan menagih atau menumpang kekuatan pihak lain bagi kemenangan Islam, atau menipu kawan di masa lemah menendang kawan di masa kuat.
PAS wajib mengikut perjalanan ini, wajib beristiqamah dan eratkan hubungan dengan Allah, tarbiyahkan diri dengan ilmu dan iktibar pengalaman, dan ikhlaskan niat kerana keredhaan Allah demi menyelamatkan rakyat dalam negara Hidayah (petunjuk) bukan Negara Jibayah (berpijak hanya di atas duit yang dicukaikan), nescaya selamat daripada agenda tipu dalam semua pengalamannya. Ada orang yang menuduh PAS ditipu di masa menyertai Kerajaan Campuran (1970) dan bersama Barisan Nasional dahulu (1974-1978), sehingga ada yang keluar parti atau menubuh parti lain. Hasilnya pengaruh Islam masuk ke dalam semua kementerian dan jabatan kerajaan, serta institusi pendidikan yang melahirkan pelapis perjuangan lebih panjang. Parti yang ditubuhkan kerana protes mati atau bernyawa ikan di atas tanah yang kering menunggu mati, ada yang kembali semula kepada PAS, ada yang tersungkur keluar daripada medan perjungan.
Ada orang menuduh PAS ditipu apabila bersama Parti Semangat 46. Hasilnya, menawan Kelantan sehingga kini, sehingga berjaya melaksanakan sebahagian daripada program-program Islam, termasuk undang-undang syariat Allah iaitulah Qisas, Hudud dan Takzir. Parti Semangat 46 sudah mati semangatnya. Ada orang menuduh PAS ditipu lagi kerana bersama Barisan Alternatif, kemudiannya Pakatan Rakyat. Hasilnya menawan semula Terengganu, menguasai Kedah, memimpin Perak, walaupun seketika, hasilnya kebanjiran ahli baru daripada semua kalangan masyarakat, khususnya penganut Islam yang menjadi tonggak politik negara dan yakin PAS tidak mampu diperkudakan oleh DAP dan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) daripada kalangan bukan Islam. Mereka yang baru masuk PAS lebih ramai daripada yang mengata PAS ditipu dan terus memeluk DAP dengan kasih sayang tanpa batas atau menubuh parti baru yang manjadi mata rantai DAP.
Ada lagi yang menuduh PAS ditipu Umno dalam isu Hudud, mereka memahami hudud itu berjaya apabila dilihat sudah ada tangan yang dipotong sekarang ini, tanpa menyedari betapa desakan melaksanakannya sudah masuk ke dalam jentera kerajaan dan ke dalam kalangan UMNO sendiri. Tidak lagi suara menghina dan mengejek saperti dahulu, kecuali kalangan yang sudah habis tempuh suaranya, laksana ubat yang sudah tamat tempuhnya.
Inilah hikmah apabila istiqamah dengan Allah swt secara ilmu yang memandu kebijaksanaan, dan mengatur strategi yang boleh berubah di atas dasar dan matlamat Islam yang haram diubah. Kebiasaannya senario dahulu tidak berulang, hanya menjadi pengajaran untuk mengatur langkah meneruskan perjuangan.
PAS pernah ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1978 apabila dirasakan mereka kuat dan PAS sangat lemah dengan kejatuhan Kelantan. Namun, kebangkitan PAS selepasnya lebih kuat dan teguh. Kelantan di ambil semula dengan lebih kuat dan panjang umurnya. Kini PAS ditendang keluar oleh DAP yang merasa cukup kuat kerana memerintah hanya Pulau Pinang, namun sokongan kepada PAS lebih meningkat, walaupun beberapa ranting PAS kononnya berjaya dicantas, tetapi tunas yang tumbuh daripadanya lebih banyak dan lebih subur.
Jatikan diri jamaah ini ketika belum menang, kita adalah mulia bersama Islam di masa lemah dan kuat. Maka, perjuangan ini tidak layak bagi mereka yang tidak berani membuka mulut bercakap Islam, lebih tidak layak kepada yang menagih kasihan pihak lain sehingga melupai pertolongan Allah kepada hamba-hamban-Nya yang beriman dengan ikhlas. Perjuangan ini tidak layak bagi orang yang gopoh untuk menang sehingga tidak Istiqamah di atas aqidah perjuangan, tidak berpijak lagi di atas dasarnya dan sanggup membuang tanda hala tuju perjalanan menegakkan Islam kerana merasa malu dan hina bersama Islam. Semuanya disingkir atau tersingkir hanyut, masuk ke dalam perangkap sampah perjuangan, yang menyekat aliran perjalanan dan kemaraan perjuangan Islam yang sebenar.
Firman Allah swt;
أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَدًا رَابِيًا وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاءَ حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً وَأَمَّا مَا يَنْفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ
“Allah menurunkan daripada langit itu air hujan yang mencurah, lalu mengalir ke lembah-lembah dan mengisi air mengikut kadar keluasan masing-masing. Aliran air itu juga membawa buih yang tidak berfaedah, namun di dalam air itu ada bahan berharga (logam) yang boleh dibakar menjadi perhiasan dan barangan yang mahal harganya, di samping buih itu juga. Allah menjadikan perbandingan di antara hak dan batil. Adapun buih (yang batil) itu hanyut menghilang, dan adapun yang memberi manfaat kepada manusia tetap melekat teguh di bumi. (Begitulah Allah menyatakan perbandingannya).” (surah al-Ra’du, ayat 17)
Sabda Rasulullah saw;
وَاللهِ لَيُتِمَّنَّ الله هَذَا الأَمْر حَتَّى يَسيرَ الرَّاكبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَموتَ لاَ يَخَافُ إلاَّ اللهَ والذِّئْب عَلَى غَنَمِهِ ، ولكنكم تَسْتَعجِلُونَ
“Demi Allah ! Sesunguhnya Allah mesti menyempurnakan urusan Islam (sehingga menang), sehingga orang musafir yang jauh, daripada Sana’a ke Hadramaut (di Yaman) tidak takut lagi (kerana keamanan daripada pelaksanaan undang-undang Islam menentang jenayah khususnya Hudud), (melainkan takut kepada Allah dan takutkan serigala menangkap ternakannya), tetapi kamu terlalu gopoh mahukan kemenangan (tanpa Istiqamah).”
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”