© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Lidah Tergamam Apabila Tangan Bertutur

Lidah Tergamam Apabila Tangan Bertutur

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 10 July 2015


Kehidupan di dunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah menyediakan tenaga pengajar yg cukup mahir terdiri daripada para anbiya dan juga rasul a.s dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama sehingga kiamat.

Justeru Tuhan telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun didataran Mashyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para rasul telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap rasul itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang dikurniakan oleh Allah.

Para rasul sudah menyediakan garis panduan yang selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat yang mesti dilalui oleh manusia. Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yang lurus, para rasul juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yang berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia waspada kerana jalan yang bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan. Firman Allah di dalam surah al-An’aam ayat 153:
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan)kamu dari jalan–Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.”

Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yang lurus andainya masih ada juga yang menyimpang ke jalan yang membawa mereka ke arah kesesatan, tiada siapa yang patut dipersalahkan, kecuali mereka patut menyalahkan diri sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah yang telah disediakan di sepanjang jalan itu.

Ketika manusia terdampar di dataran Mashyar jutaan tahun (menurut ukuran masa dunia), di kala mengharungi kesengsaraan yang amat dashyat, ramai di kalangan penghuni Mashyar yang terkenangkan kampung halaman. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul dahulu dan bersikap dingin seruan dakwah oleh para ulama terhadap para penyeru ke jalan Allah.

Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mashyar teringatlah dia kebenaran hari Qiamat yang diberitahu oleh para Rasul dahulu. Dalam ratapan ahli Mashyar, merintih merayu kepada tuhan agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang digambarkan di dalam al-Quran surah al-Sajadah ayat 12:
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
“Dan (alangkah ngerinya ) jika sekiranya kamu melihat orang-oranng yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata:Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”

Kesedaran yang terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berfaedah, kerana planet bumi untuk tempat kembali seperti yang dirayu oleh ahli Mashyar itu sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka abai terhadap kesempatan yang tuhan berikan untuk hidup didunia dahulu?

Rasulullah saw bersabda:
لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَع : عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ، ، وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه ،وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه  وَعَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ
Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan;
Pertama: Tentang umurnya, di manakah dihabiskan?
Kedua : Tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan?
Ketiga: Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan?
Keempat : Tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya? (riwayat Imam al-Tirmizi)

Di hari akhirat Tuhan akan bertanya kepada setiap manusia; Hai manusia, bukankah Aku telah kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang? Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan?

Empat soalan penting yang dikemukakan oleh Allah di akhirat ialah yang pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya taklif syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul suruhan dan larangan yang terkandung didalam syariat.

Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru mengenai panduan, kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan kehidupan yang lurus. Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah di hari Mashyar kelak.

Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua, bererti Tuhan telah mengurniakan umur yang panjang. Mengharungi kehidupan yang panjang bererti lebih banyak peranan yang harus dipikul. Sebagai individu insan, berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yang berasaskan wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.

Sebagai ketua keluarga dia adalah ‘murabbi’, yang memikul peranan dan tanggungjawab memimpin rumahtangga, mengasuh keluarga dengan didikan berasas ketakwaan. Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam, atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?

Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hamba-Nya yang diciptakan dimuka bumi ini. Manusia yang mempunyai peranan sebagai khalifah, adalah makhluk istimewa yang dikurniakan berbagai kekayaan dunia, samada kekayaan yang terpendam di perut bumi, kekayaan di lautan, kekayaan di daratan dan juga kekayaan di udara. Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yang mesti dipergunakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Bagaimana cara mendapatkan kekayaan harta tersebut, sama ada dengan cara betul dan halal atau cara yang terlarang. Untuk apa pula dipergunakan harta yang melimpah ruah, adakah untuk menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun, samada Qarun klasik atau Qarun moden.

Segala yang bersangkutan dengan harta kekayaan Allah kurniakan itu, adalah di antara soalan yang mesti dijawab di dataran Mashyar kelak. Harta halal yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang masuk syurga sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api pembakar untuk dirinya sendiri di dalam neraka (wal iyazu billah).

Persoalan ke empat di dalam hadith Nabi s.a.w itu ialah mengenai ilmu. Tuhan bertanya; Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu? Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan?

Sesungguhnya Allah menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa mengatasi makhluk yang lain hatta Malaikat sekalipun, tidak lain kerana manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Justeru itu manusia adalah makhluk sejak dari manusia pertama iaitu Adam as. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 31;
وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسْمَاء كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاء هَؤُلاء إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
“Dan Dia mengajarkan kepada Adam (ilmu) nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada Malaikat lalu berfirman; Sebutkanlah kepada–Ku nama benda-benda itu jika kamu memang dari golongan yang benar.”

Ternyata cabaran Allah terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam as itu tidak dapat disahut oleh Malaikat, sebagaimana pengakuan Malaikat yang dinyatakan oleh al-Quran surah al-Baqarah ayat 32;
قَالُواْ سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Mereka menjawab; Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana.”

Allah mengiktiraf orang-orang yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah telah mengangkatnya ke satu martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Mujaadilah ayat 11;
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
“Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Rasulullah saw membuat perbandingan orang yang belajar dan mengamalkan apa yang dipelajarinya itu lebih baik daripada orang yang melakukan ibadah solat sunat 1000 raka’at:
مَنْ تَعَلَّمَ بَابًا مِنَ العِلْمِ، يَعْمَلُ بهِ أوْ لَمْ يَعْمَلْ بهِ كَانَ أَفْضَلَ مِنْ أَنْ يُصَلِّي أَلْفَ رَكْعَةٍ تَطَوُّعًا
“Barangsiapa yang mempelajari satu bab dari ilmu yang diamalkan, adalah lebih utama daripada melakukan solat sunat seribu raka’at.” (kitab Lubabul Hadits)

Meskipun demikian Tuhan akan persoalkan juga tentang ilmu yang dikurniakan oleh Allah terhadap hamba-Nya, kerana ilmu juga boleh digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat manusia. Sebaliknya ilmu juga boleh disalah gunakan, hingga mendatangkan malapetaka dan kebinasaan terhadap manusia sendiri. Terlalu banyak contoh manusia binasa oleh ilmu. Demikianlah di antara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah di hari Mashyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya tidak akan terkecuali walau sedikitpun. Firman Allah di dalam surah al-Hijr ayat 92-93:
فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ. عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Maka demi Tuhanmu Kami pasti akan menyoal mereka semuanya tentang apa yang telah mereka kerjakan dulu.”

Soalan di hari Mashyar bukanlah soalan bertaraf ijazah yang bagaimana sulit pun pasti akan dijawab oleh mereka yang menguasai ilmu. Sesungguhnya soalan di dataran Mashyar tidak akan terjawab oleh lidah, lantaran itu lidah yang petah tidak mendatangkan manfaat lagi. Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap indera, iaitu tangan-tangan mereka, sementara kaki pula akan menjadi saksi bagi mengesahkan pengakuan yang telah mereka lakukan. Firman Allah di dalam surah Yasin ayat 65:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.”

Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota lain saling membuat pengakuan terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di dunia dahulu.

Biodata Penulis

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Namun imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun. Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-