© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » 1 Syawal dan Fathul Makkah: Kemenangan Yang Ditangisi

1 Syawal dan Fathul Makkah: Kemenangan Yang Ditangisi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 15 July 2015


Ramadhan hampir pergi. Cuba tanya pada diri, apakah perasaan dalam diri kini? Adakah sedih dengan pemergiannya? Ataupun gembira menghitung dekatnya lebaran tiba? Sekiranya kita lebih gembira dengan tibanya Syawal, maka ada sesuatu yang tidak kena pada Ramadhan kita. Seandainya pergi Ramadhan itu lebih menyedihkan, maka itu tanda kita sudah serasi dengan-Nya.

Bergembira pada Syawal adalah syariat yang Maha Esa. Ia juga anugerah setelah sebulan berpuasa. Namun takkan gembira hati mereka yang terikat dengan ibadat melebihi sedih yang ditanggung kerana perginya Ramadhan. Mungkin perkara sama pernah melanda para sahabat r.a.h saat-saat perginya Rasulullah saw. Ketika turun Firman Allah surah al-Nasr:
إذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّـهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّـهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, - (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat (3).”

Surah ini turun bagi mengkhabarkan tanda bahawa kemenangan Islam sudah tiba. Berita ini sepatutnya menggembirakan para sahabat. Masakan tidak, mereka telah sekian lama berjuang, sudah lama menahan segala kesakitan dan kekalahan. Namun lain pula reaksi Abbas, Abu Bakar dan Umar. Mereka bersedih dan menangis. Ini kerana apa yang mereka faham, kemenangan itu menandakan pemergian Rasulullah saw semakin dekat.

Kemenangan dalam perjuangan adalah kemanisan yang diimpikan setiap yang berjuang. Siapa berjuang tak mahukan menang? Kemenangan juga adalah tuntutan perjuangan Islam. Namun, kemenangan itu tiada harganya dibandingkan dengan saat-saat berjuang bersama Rasulullah saw.

Biarpun menanggung perit, kesakitan dan kesusahan, tetapi itulah manis yang tidak tergambar. Kemenangan dunia berupa kuasa, takhta, harta dan pengaruh hanyalah hadiah yang tidak seberapa. Para sahabat tahu, betapa besar ganjaran yang Tuhan berikan selama tempoh mereka bersabar.

Menang atau kalah bukan ukurannya. Selagi mereka berada dalam keredhaan Allah, itu sudah cukup membahagiakan. Bahkan ramai bercita-cita untuk syahid di medan perjuangan, tanpa mempedulikan habuan pasca kemenangan.

Walaupun menang itu adalah wasilah mudah untuk memelihara Islam, ia takkan sama saat dipelihara iman setiap kali berdampingan dengan Rasulullah saw. Berada bersama Rasulullah saw adalah amat menenangkan. Setiap kali menatap wajah insan pilihan itu, terasa cinta kepada Tuhan semakin kuat.

Para sahabat amat bersedih. Apakah ada lagi peluang memperoleh kepimpinan bak Rasulullah saw?
Siapakah lagi yang akan membimbing mereka untuk terus lurus menuju syurga?

Saat-saat menyedihkan itu sedang melanda sekali lagi...

Betapa kerdil umatnya hari ini. Mengejar menang hingga menggadai saat manis berjuang. Saat indah berukhuwwah, berdamping dengan ulamak, bersama menanggung susah derita membangunkan Islam, semuanya hilang setelah penat berjalan tanpa trofi penghargaan.

Tidak disangka, kemenangan itu lebih mahal dari harga sebuah perjuangan. Sanggup mereka pisahkan diri dari insan-insan yang pernah memperkenalkan mereka kepada Islam. Sanggup mereka kecewakan harapan sekian lama para sahabat, untuk menang bersama dan syahid bersama. Sanggup mereka terima pelawaan rakan lain lebih dari insan-insan yang dahulunya dianggap keluarga sendiri. Sanggup mereka lakukan semua ini, hanya kerana menganggap wadah selama ini sudah sukar beroleh kemenangan.

Oh Tuhan. Sungguh jauh iman kami berbanding para sahabat...

Ya Allah...
Jadikanlah hati ini lebih mencintai Ramadhan-Mu berbanding Syawal-Mu.
Jadikanlah hati ini lebih mencintai perjuangan-Mu berbanding kemenangan-Mu.
Kerana akhirat-Mu lebih mulia berbanding dunia-Mu.

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliaumerupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-