© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Surah Yusuf : Harga Sebuah Kesabaran

Surah Yusuf : Harga Sebuah Kesabaran

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 18 July 2013


Pengarang kitab tafsir kontemporari berjudul “Fi Zilalil Quran”, Sayyid Qutb menyatakan bahawa antara surah yang Allah turunkan kepada Rasulullah s.a.w pada masa-masa sukar dalam sejarah dakwah dan kehidupannya, adalah surah Yusuf. Surah ini diturunkan antara ‘amul huzni (tahun duka cita kerana kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid) dan antara baiah ‘Aqabah pertama yang dilanjutkan sehingga ke baiah ‘Aqabah kedua.

Pada saat itu, baginda Rasulullah selain mengalami kesedihan kerana ditinggalkan dua orang yang menjadi sandarannya, baginda turut mengalami kepedihan akibat pemulauan masyarakat jahiliyyah yang terdiri daripada kaumnya sendiri, bangsa Quraish. Maka Allah menceritakan kepada Nabi-Nya yang mulia, kisah Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, yang juga mengalami berbagai-bagai ujian dan cubaan yang getir.

Saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri sanggup menghumbankannya ke dalam sumur agar menjadi umpan haiwan-haiwan liar dan buas, dengan harapan hilanglah Yusuf dari perlindungan dan perhatian orang tuanya iaitu Ya’qub a.s. Nabi Yusuf hidup dalam gelandangan, dan terus diuji dengan tipu daya isteri penguasa Mesir. Baginda selanjutnya dihumban ke dalam penjara setelah sebelumnya hidup dalam kemewahan istana sang penguasa.

Kepahitan tersebut ditempuhi dengan tabah dan sabar, di mana selepas itu Nabi Yusuf diuji pula dengan kemakmuran dan kekuasaan yang mutlak di tangannya. Nabi Yusuf ditugaskan mengatur urusan sosial dan perekonomian masyarakat. Akhirnya Nabi Yusuf kembali menghadapi saudara-saudaranya yang dahulu telah cuba memerangkap untuk membunuhnya, dalam pada masa yang sama mereka jugalah yang menjadi sebab ujian-ujian dan penderitaan dalam kehidupan Nabi Yusuf sehingga mencapai puncak kekuasaan.

Sekalipun saudara-saudaranya membenci dan mencemburuinya, apa yang mustahak di sini adalah bagaimana semua ujian itu dihadapi Yusuf dengan penuh sabar sambil terus melanjutkan peranannya menyampaikan dakwah tauhid dan menyelamatkan masyarakat dari kesengsaraan. Surah ini (surah Yusuf), kata Sayyid Qutb, bertujuan menghiburkan serta memantapkan hati orang yang diuji dengan pengusiran dan pemulauan. Bagaimana Nabi Yusuf menyelesaikan semua masalah yang menimpanya dengan satu kalimah, iaitu ‘sabar’.

Di dalam surah Yusuf mengandungi isyarat tentang berlakunya sunnatuLlah ketika para Rasul  merasa putus asa menghadapi kaumnya, bahawa akan ada jalan keluar yang membawa kepada kegembiraan yang didambakan setelah sekian lama mengalami ujian dan cubaan. Penceritaan kisah Nabi Yusuf bukan hanya sekadar bertumpu kepada ketampanannya sahaja, malah seharusnya kita merasai momentum perjuangan Nabi Yusuf a.s menghadapi tekanan dan cabaran.

Surah Yusuf adalah kisah yang paling lengkap dari segi liputannya. Lantaran itu, di dalam surah Yusuf disebut oleh Allah antara ‘ahsanul qasasi’ (kisah yang terbaik), kerana di dalamnya banyak mengandungi ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang beriman dan memanfaatkan akal dengan membawa pesan induknya iaitu; maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika berkuasa.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Yusuf:3)

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf:111)

Secara khusus surah ini menjadi bekalan yang sangat berharga kepada pelanjut perjuangan harakah Islamiyah, untuk menyiapkan kesabaran di atas kesabaran dalam mengharungi medan perjuangan di jalan dakwah. Barangkali, masalah-masalah yang menimpa kepada harakah Islamiyah adalah petanda masih ada resepi-resepi kejayaan yang belum selesai kita capai, atau masih belum sampai tahap kepiawaiannya.

Kerana kesabaran Yusuf a.s, Allah menyiapkannya ujian untuk mencapai hikmah dan ilmu. Sayyid Qutb berkata, “Inilah Yusuf! Saudara-saudaranya menghendaki sesuatu terhadapnya, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain untuknya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala urusan-Nya. Sedangkan saudara-saudara Yusuf tidak berkuasa atas urusan mereka sehingga Yusuf dapat lepas daripada tangan mereka dan bebas dari apa yang mereka kehendaki terhadapnya.”

Jadi, makar (muslihat busuk) kaum pendengki kadangkala menjadi transisi menuju kemenangan dan kemuliaan daripada Allah. Makar yang mereka rencanakan dijadikan jalan oleh Allah untuk membina kehebatan insan yang dikasihi-Nya.

“Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari.” (An-Naml:50)

Ketika saudara-saudara Yusuf datang memohon pertolongan. Disinilah Nabi Yusuf diuji, apakah ia tetap sabar atau melempiaskan kemarahannya ke atas perilaku zalim saudara-saudaranya itu? Ternyata Yusuf memilih kesabaran dan memaafkan saudara-saudaranya itu.

“Dia (Yusuf) berkata; Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia-lah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Yusuf:92)

Begitulah luasnya samudera kemurnian hati Rasulullah s.a.w ketika baginda berkata di saat Fathu al Makkah kepada musuh-musuhnya, “Hari ini aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf a.s. bahawa tiada cercaan terhadap kamu, pergilah kalian kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.” - rujuk sirah Ibnu Hisham

“Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” 

“(Sifat-sifat yang baik itu) tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai kelebihan yang besar.” (Fussilat:34-35)

Di jalan dakwah ini, seorang aktivis mesti memiliki persiapan spritual dan mental untuk menghadapi makar para pendengki atau musuh dakwah. Kerana makar itu adakalanya merosakkan reputasi kehormatan dan menjadikan kita terhina. Namun yakinlah, selama kita ikhlas dalam melangkah, Allah sentiasa membimbing dan menolong kita. Yakinlah ujian dan cubaan, hanyalah untuk sementara waktu sahaja sifatnya.

Keyakinan ini mendokong peribadi Nabi Yusuf a.s untuk meninggalkan legasi moral kemanusiaan yang cukup memberikan inspirasi kepada umat Muhammad s.a.w bahawa pada saat paling genting, masih ada rahmat Allah, ketika pada saat susah, masih ada sifat pemurah, ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian. Semoga kita mendapat iktibar daripada ‘ahsanul qasasi’ surah Yusuf ini untuk terus bergerak menyongsong kegemilangan masa hadapan.

Kesimpulan daripada artikel ini maka dapatlah kita mengambil beberapa pelajaran;
  • Sabar menghadapi makar perancangan musuh dengan memohon pertolongan Allah Taala. Sesungguhnya kesabaran itu akan mengiringi kita kepada kebangkitan. “Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya ke bahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah.” 
  • Makar para pendengki kadang-kadang menjadi kesempatan bagi para pendakwah untuk menjana kekuatan. Ia menjadi wahana tarbiyah rabbaniyyah dalam rangka mematangkan persiapan mengharungi medan yang lebih luas.
  • Islam tidak mengajarkan umatnya berputus asa, sebaliknya mestilah terus berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kesempitan.
  • Apapun bidang keahlian dan kerjaya kita, tidak pernah walau sesaatpun Yusuf a.s melupakan misi asasinya iaitu dakwah dan tarbiyah membina ummah.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-