© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » , » Bicara Ini Demi Ilahi : Bicara Cinta Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bicara Ini Demi Ilahi : Bicara Cinta Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 11 June 2013


“Bicara Ini Demi Ilahi”, karya hebat ini menyentuh tentang akhlak manusia mengikut lunas-lunas Islam yang unggul nilainya di sisi Allah Taala. Buku yang ditulis oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan garapan yang dihasilkan berdasarkan koleksi ucapan dan tazkirah yang disampaikan oleh beliau. Ia ibarat kata-kata cinta seorang ayah kepada pewarisnya, umpama hikmah Luqmanul Hakim kepada anaknya. Ayuh kita telusuri beberapa petikan kata-kata beliau buat panduan sang pencinta Ilahi.

“Cinta adalah suatu anugerah yang tidak terhitung nilainya, cuma kerana kita tidak terdidik dengan cinta pada Allah, kalau bukan cinta kepada perempuan, cinta kepada harta. Apabila kita terbawa-bawa, (maka) yang terjadi menyalahgunakan nikmat cinta.”

“Apa pun jua, kecintaan seorang umat manusia itu mestilah kepada Allah Yang Maha Esa. Jika cinta kepada Allah, perlu ikut perintah dan ikut Nabi Muhammad s.a.w.”

“Usia adalah nikmat yang akan ditanya oleh Allah Taala. Semakin bertambah usia kita, ertinya semakin banyak persoalan yang perlu dijawab di hadapan-Nya. Marilah kita menjadikan kehidupan yang dipinjam ini sebagai saksi bahawa kita telah melakukan amalan soleh selama hayat di kandung badan.”

“Setiap tahun, kita melihat kumpulan jemaah haji yang pergi dan pulang dari Tanah Suci. Kita berkata 'Alhamdulillah', sebaik jemaah haji yang berangkat ini meninggalkan tanah air itu selamat pulang semula di kampung halaman. Namun, sedarkah kita bahawa akan tiba suatu saat nanti di mana kita pula dihantar pergi dan tidak akan kembali?”

“Begitu juga setiap kali tiba cuti sekolah dan cuti perayaan, kita melihat anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampung. Alhamdulillah. Tapi sedarkah kita, bila tiba di akhirat kelak, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke desa tercinta? Kita akan kekal di sana. Tiada lagi rayuan dan permintaan untuk kembali semula walau sedetik cuma. Itulah saat kematian.”

“Kita sering berhadapan dengan saat kematian ahli keluarga, kenalan atau sahabat handai. Sedarkah kita, hari ini kita yang solatkan jenazah orang, tetapi suatu hari nanti, akan tiba masanya, orang lain pula yang akan solatkan jenazah kita. Sering kali kita mendengar apabila berlaku kematian, ia disebut sebagai 'tamatlah riwayatnya'. Sebenarnya riwayat si mati tidak tamat. Tapi baru sahaja bermula episod baru iaitu pembalasan terhadap amalannya di dunia. Suatu masa nanti, kita juga akan dibalas perbuatan kita di dunia walau sebesar mana pun pangkat yang dimiliki.”

“Ingatlah setelah mati kelak, tiada apa yang akan kita bawa selain amalan. Ketika itu, kita sudah tidak mampu melakukan apa-apa kerana masanya sudah tamat. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan kecuali menanti perbicaraan dan hukuman apakah nasib kita di sana kelak.”

“Marilah berpegang pada tali Allah sedaya upaya kita. Jika pergi ke tempat yang tidak pernah pergi, kita akan cuba usahakan untuk mengekori kereta yang dipandu oleh pemandu yang biasa ke tempat tersebut. Andai terpisah jauh sehingga bayangnya tidak kelihatan lagi, sudah tentu kita berasa runsing kerana bimbang tersesat jalan.”

“Demikian juga dengan perjalanan kita ke akhirat. Hendaklah kita mengekori rapat panduan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran. Jika kita jauh daripada al-Quran, sepatutnya kita berasa risau dan gundah gulana. Apakah akan sampai kita ke akhirat nanti dengan selamat?”

“Apabila tiba saat kematian dan kita pula dalam perjalanan menuju ke kampung akhirat, ketika itu sudah tiada guna umurmu. Ingatlah setelah mati kelak, tiada apa yang akan kita bawa selain amalan. Ketika itu, kita sudah tidak mampu melakukan apa-apa kerana masanya sudah tamat. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan kecuali menanti perbicaraan dan hukuman apakah nasib kita di sana kelak.”

“Sebarang milik kita di dunia ini. Usah ditanya lagi, apa milik kita? Semuanya tidak akan dapat membantu kecuali amalan. Tidak kira apa taraf kita; jawatan, pangkat dan kebesaran telah tiada gunanya. Justeru, kita perlu segera jadikan amalan kerja di dunia ini menjadi pahala di sisi Allah kelak.”

“Hidup ini regunya adalah mati. Seperti pagi regu-nya adalah petang. Dunia regunya akhirat. Regu syurga adalah neraka. Kesemua ciptaan Allah mempunyai regu. Yang tiada regu hanya Allah sahaja.”

“Sedarilah kita semua adalah tetamu. Apabila disebut sebagai tetamu, ertinya kita menumpang sesuatu yang bukan milik kita. Maka kita tidak boleh memandai-mandai melakukan apa yang kita mahu. Saya sendiri, sebagai Menteri Besar (dahulu), jika datang ke rumah tuan puan sekalian, maka tidaklah boleh saya melakukan sesuka hati apa yang saya mahu kerana saya adalah tetamu. Begitu juga kita sebagai tetamu Allah di muka bumi ini. Sampai masa kita akan kembali juga kepada-Nya, kepada Dia Maha Pencipta.”

“Sedarilah hidup ini saling tumpang menumpang. Di situlah lahirnya rasa syukur kita. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situlah ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Bayangkan betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita. Alangkah kerdilnya kita ini di bumi Allah.”

“Dalam masa sama, kita hanya memakan nasi tetapi beras tidak diciptakan manusia. Begitu juga lauk pauk, buah-buahan tidak dicipta oleh manusia. Bahkan yang mencipta manusia itu sendiri bukannya manusia. Manusia hanya melahirkan. Semuanya adalah ciptaan Allah. Kita hanyalah sebagai penumpang.”

“Bumi ini juga bukan hak kita dan bukan ciptaan kita. Kita keluar dari perut ibu, tengok-tengok bumi sudah ada. Begitu juga ayah kita, ibu kita dan datuk nenek kita. Semuanya celik mata tengok bumi sudah ada.”

“Ini menunjukkan segala yang ada ini bukan dibuat oleh manusia. Buah-buahan, tanam-tanaman hatta sebutir beras pun tidak dibuat oleh manusia. Semuanya adalah ciptaan Allah. Ertinya, kita hidup di bumi ini, makan tanaman yang dicipta-NYA, hirup udara-NYA, maka adakah munasabah kita mahu melawan-Nya?”

“Dalam pada itu, saya ingin berpesan, sekalipun anda merupakan seorang guru yang mengajar, jangan lupa untuk sentiasa membaca buku-buku yang bermanfaat. Ingatlah, sebaik-baik peneman kita adalah buku. Dalam masa sama, usah dilupa untuk mengerjakan solat sunat dhuha. Begitu juga jangan dilupakan pada solat tahajud. Sebenarnya, kalau kita terjaga pada tengah-tengah malam, ia adalah satu anugerah daripada Allah.”

“Dialah (Allah) yang telah mengirimkan malaikat-Nya untuk mengejutkan kita bangun beribadat, sujud pada-Nya. Jadi, sebagai tanda berterima kasih, paling malas pun, pintalah apa-apa doa walaupun sedikit kepada Allah. Kemudian tidurlah. Jika kita mempunyai sebarang hajat, pohonlah kepada Allah. Caranya adalah dengan mendirikan solat. Solat untuk memanjatkan sebarang hajat kepada Allah hendaklah sentiasa ditunaikan. Pohonlah kepada ALLAH walaupun tanpa solat hajat secara berjemaah.”

“Bagi mereka yang memegang apa jua amanah, saya ingin berkongsi agar sentiasa mengamalkan berwuduk sepanjang menjalankan tugas. Kalau boleh, setiap masa, jagalah wuduk dan tolonglah jangan menghisap rokok. Saya amat tidak berkenan pada pimpinan yang merokok.”

“Hiduplah seperti yang Allah mahukan. Dan, bekerja-lah seperti yang telah diajar oleh Rasulullah. Ingatlah segala hukum-hakam yang telah ditetapkan-Nya. Halal dan haram merupakan antara punca keberkatan hidup. Moga kita sentiasa dalam rahmat kasih sayang-Nya.”

“Moga usia yang masih ada ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan agama Allah dan sentiasa dalam ketaatan kepada-Nya.”

“Inilah pesanan saya buat semua. Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-Nya. Usia kita ini tidak lama. Sekejap sahaja. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju untuk bertemu Ilahi.”


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-