© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Gejala Pemerintah “Kuku Besi” Dari Kaca Mata Hadis Nabi

Gejala Pemerintah “Kuku Besi” Dari Kaca Mata Hadis Nabi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 4 March 2013



Zaman kini merupakan zaman yang amat mencabar. Kejahatan diberikan kedudukan istimewa, kebaikan dilihat sebagai perkara yang janggal. Gejala ini nyata terlihat dalam sinema Melayu yang lebih mengagungkan tajuk-tajuk filem Juvana, KL Gangster, Karlos dan sebagainya seolah-olah watak-watak itulah yang seharusnya menjadi inspirasi anak-anak muda. Budaya-budaya ini akibatnya bekal menjadi simbol panutan generasi muda yang bakal menggantikan kepimpinan di masa akan datang. Ketika itu kejahatan subur melata kerana sang penguasa terdiri di kalangan penganut politik “kuku besi”, hasil dari paparan pembudayaan golongan autokrat terhadap generasi muda.

Syeikh Abd al-Rahman al-Kawakibi mendifinisikan kuku besi bermaksud, “sifat ghairah mencengkam manusia supaya menuruti segala kemahuannya. Amat benci mendengar nasihat dan pandangan. Sifat ini lebih sinonim dikaitkan dengan pemerintah kerana mereka yang paling berkuasa menaja segala kejahatan”.

Pemerintah kuku besi bakal memangsakan semua lapisan manusia yang berada di bawah mereka. Sama ada rakyat biasa, penentang, bahkan pengikut dan pembodek. Samada sedar atau tidak, semua menerima nasib yang sama. Sentiasa ditindas dan dinafikan hak.

Mari kita menyelak lembaran wahyu, bagaimana Islam membayangkan sifat-sifat penguasa kuku besi. Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam telah menyenaraikan enam perbuatan jahat yang bakal menghancurkan manusia;
أَخَافُ عَلَيْكُمْ سِتًّا : إِمَارَةُ السُّفَهَاءِ، وَسَفْكُ الدِّمَاءِ، وَبَيْعُ الْحُكْمِ، وَقَطِيعَةُ الرَّحِمِ، وَنَشْوٌ يَتَّخِذُونَ الْقُرْآنَ مَزَامِيرَ، وَكَثْرَةُ الشُّرَطِ
“Aku khuatirkan ke atas kalian enam perkara: Kepemimpinan orang-orang bodoh, penumpahan darah (menganggap mudah tragedi pembunuhan), jual-beli hukum (korupsi), memutuskan ikatan persaudaraan, mensenandungkan al-Quran seperti seruling (meliuk-liuk di luar batas kewajaran) dan banyaknya syurath (seperti aktiviti risikan untuk kepentingan musuh Islam).” (Riwayat Ahmad dan Tabarani)
Pemimpin yang bodoh dengan istilah sufaha’ bermakna mereka yang buta membezakan antara hak dan batil. Kebodohan ini menyebabkan mereka akan bertindak dengan penuh zalim. Malah kebodohan itu dibiaskan kepada rakyat akhirnya semua lapisan masyarakat buta antara hak dan batil. Maka kekallah sang zalim dipilih terus berkuasa dengan rela oleh rakyat yang telah dibodohkan.
Mereka berjual beli soal hukum dengan mengkhianati undang-undang sendiri yang telah diaktakan. Mereka bersifat dengan sifat yang “ultra jahat” apabila setelah mereka menetapkan undang-undang, mereka juga yang melanggar undang-undang. Ini disokong lagi dengan hadith lain yang menyatakan faktor sebuah masyarakat hancur musnah kerana wujudnya amalan diskriminasi; berdasarkan sebuah hadis;

 إنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ
“Sesungguhnya telah hancurnya generasi sebelum kamu kerana apabila golongan bangsawan (orang kenamaan) yang mencuri mereka biarkan. Bila golongan lemah yang mencuri, mereka kenakan hukuman...” (Riwayat Muslim)
Seterusnya, mudah menumpahkan darah kerana mereka dirasuk sifat tamak kuasa. Golongan kuku besi bersedia bila-bila masa menyeksa sehingga membunuh demi mengekalkan kuasa. Asalkan dapat kekalkan kuasa, sanggup melakukan apa sahaja. Perangai jahat ini saling tidak tumpah dengan jenayah golongan jin yang asalnya dilantik oleh Allah sebagai khalifah di atas muka bumi. Oleh kerana mereka ketagih memporak-perandakan dunia dan menumpahkan darah, maka Allah melucutkan jawatan mereka sebagai khalifah. Jawatan khalifah tersebut kini disandang oleh manusia. Bermakna penguasa kuku besi sedang mengulang kegagalan jin untuk memakmurkan dunia.
Mereka juga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan. Jika sanggup menumpahkan darah, apalah sangat memutuskan hubungan sosial dengan saudara dan taulan. Itu merupakan soal yang sangat kecil bagi mereka.
Mereka menganggap al-Quran sebagai kitab puisi yang dilagukan, novel yang dibaca bersempena hari-hari tertentu. Mereka menilai al-Quran hanya sebagai seni. Mereka buat-buat tidak faham bahawa al-Quran merupakan perlembagaan yang perlu didaulatkan. Jika ada golongan yang menyeru agar dilaksanakan al-Quran, maka tindakan yang keras akan dikenakan. Mereka Islam tetapi memerangi kitab orang Islam.
Banyaknya pula aktiviti perisikan bukan bermakna bertambah makmur dan aman negara. Bukan untuk menjaga keselamatan rakyat. Sebaliknya diperbanyakkannya semata-mata untuk berkhidmat menjaga tampuk kuasa penguasa zalim. Digambarkan kejahatan jenayah yang paling besar adalah apabila rakyat tidak bersetuju dengan kerajaan. Dalam pada masa yang sama mereka melaung-laungkan konsep demokrasi yang dibangga-banggakan. Rakyat hidup dalam keadaan penuh ketakutan, bimbang didakwa tanpa bukti. Akhirnya terbentuklah “negara polis” tanpa disedari.

Mengapa manusia yang fitrahnya inginkan kebaikan dan keharmonian tiba-tiba berubah menjadi makhluk perosak yang tamak haloba merampas hak rakyat? Hal ini dijawab oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam di dalam sebuah hadis;

 أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ
“Ketahuilah sesungguhnya roda Islam itu berputar. Maka berputarlah bersama al-Kitab (Islam) sekira-kira bagaimana ia berputar. Ketahuilah sesungguhnya al-Kitab dan Pemerintah dua perkara yang berbeza. Maka jangan memisahkan diri dari al-Kitab (Islam). Ketahuilah sesungguhnya kamu akan mendepani pemerintah yang memerintah untuk kepentingan mereka bukan untuk menjaga kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Lalu sahabat berkata; Ya Rasul Allah, (apabila kami bertemu dengan situasi begini) apa yang harus kami lakukan? Nabi sallallahu’alaihi wasallam menjawab; Jadilah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi Isa ibnu Maryam, jasad mereka digergaji, digantung pada kayu salib (namun mereka tetap bersama Islam). Mati dalam keadaan taat kepada Allah lebih baik dari hidup derhaka kepada Allah.” (Riwayat al-Tabarani)

Baginda Nabi sallallahu’alaihi wasallam menjawab bahawasanya berlakunya kebejatan kuku besi apabila manusia men“tong-sampah”kan Islam. Dengan memisahkan Islam dengan sistem pemerintahan, akhirnya melahirkan golongan penguasa yang mementingkan diri. Sehingga Nabi sallallahu’alaihi wasallam menyebutkan ciri utama mereka hanya bekerja demi keuntungan diri sendiri, bukan untuk kepentingan rakyat. Ciri ini amat sesuai dengan perangai penguasa kuku besi seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Kawakibi, “...golongan kuku besi memerintah rakyat ikut kehendaknya, bukan ikut kehendak rakyat. Mereka memerintah dengan nafsu bukan dengan syariat. Merekalah penentang kebenaran. Musuh kepada kebebasan”.

Dalam erti kata yang lain sekiranya kita merelakan golongan yang men“tong-sampah”kan Islam dalam hidup mereka sebagai pemimpin, maka sebenarnya kita sedang melahirkan penguasa kuku besi. Segala urusan bergantung kepada keepentingan mereka bukan kepentingan rakyat. Timbul satu persoalan lain, mengapa kuasa kuku besi boleh kekal mencengkam hingga kini? Jawabnya, ini semua merupakan salah orang-orang yang mengangkat dan terus memilih mereka untuk terus kekal menjadi penguasa tanpa serik. Selagi ada golongan yang menyokong kejahatan, selagi itu kekallah penguasa kuku besi berkuasa menindas rakyat.

Nabi sallallahu’alaihi wasallam telah menyenaraikan 15 dosa yang mengundang bala. Ini telah direkodkan oleh Imam Tirmizi melalui Sunan-nya. Penulis meneliti, dosa-dosa yang disenaraikan adalah berkaitan salah laku politik yang menyebabkan munculnya penguasa “kuku besi”. Antaranya adalah :
  1. (إِذَا كَانَ الْمَغْنَمُ دُوَلًا), “..apabila aset negara berlegar di kalangan orang-orang tertentu”. Allah mengurniakan perbendaharaan negara untuk dinikmati oleh semua. Malangnya ia dibolot oleh gerombolan penguasa kuku besi untuk terus menaja kejahatan mereka. Harta negara milik rakyat dijadikan sebagai modal untuk terus menipu dan menindas. 
  2. (وَالْأَمَانَةُ مَغْنَمًا), “..apabila amanah dijadikan sebagai keuntungan”. Di dalam bahasa wahyu, Allah dan Rasul S.A.W menggunakan istilah amanah dengan maksud jawatan dan kuasa. Islam mengajar bahawa jawatan merupakan tanggungjawab yang maha berat akan disoal di akhirat. Namun golongan penguasa kuku besi ghairah mencengkam kuasa. Ini kerana bagi mereka amanah kuasa sebagai peluang untuk memenuhkan tembolok sendiri seterusnya dikongsi oleh seisi kroni. 
  3. (وَكَانَ زَعِيمُ الْقَوْمِ أَرْذَلَهُمْ), “..pemimpin mereka adalah di kalangan yang paling jahat di kalangan mereka”. Ini merupakan faktor utama mengapa penguasa kuku besi boleh kekal berkuasa. Mereka dipilih sendiri oleh rakyat yang buta kebenaran. Manusia telah disesatkan dari fitrah mereka yang mahukan orang yang paling baik diangkat sebagai pemimpin.
Gerakan menyesatkan minda manusia telah dibentangkan oleh Theodore Herzl di dalam Protokol Zionis yang menggariskan, “...politik sama sekali tiada persamaan dengan moral. Pemimpin yang bermoral adalah pemimpin yang lemah dan kurang mahir. Orang yang mahu menjadi pemimpin perlu memiliki sifat licik dan pandai menyakinkan orang lain (walaupun dalam perkara batil).”

Amat jelas racun pemikiran yang telah disuntik oleh zionis. Hingga kini kita mudah mendengar pandangan ramai bahawa orang yang berakhlak dan bermoral adalah lemah dan tidak pandai mentadbir. Sedangkan Islam melihat akhlak dan kejujuran merupakan kekuatan utama seorang pemimpin. Kemahiran mengurus boleh diasah. Manakala amanah dan kejujuran tidak boleh dibuat-buat. Sangat pelik manusia boleh beriman dengan cara berfikir “...tidak mengapa pilih orang yang jahat sedikit asalkan dia pandai mengurus.

Maka disebabkan kecacatan dalam berfikir dan memilih, menyebabkan manusia terus melantik orang yang paling jahat di kalangan mereka sebagai penguasa. Allah telah merakamkan kesalahan rakyat yang tidak serik memilih manusia yang jahat sebagai pemimpin mereka menyebabkan mereka turut dihumban ke dalam neraka :
Seterusnya (وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ), “..dimuliakan seseorang kerana takut akan kejahatannya”. Apabila penguasa kuku besi terus diberi peluang berkuasa, mereka terus membuat onar yang menyebabkan rakyat terdidik dengan kejahatan lalu takut untuk melawan akhirnya lali dengan kejahatan. Semakin merasuah, semakin zalim, semakin menipu, semakin diberi “kurnia” oleh rakyat agar kekal berkuasa. 
Baginda Nabi sallallahu’alaihi wasallam tegas tidak mengaku sebagai umat baginda terhadap golongan yang takut menyatakan pendirian di hadapan penguasa yang zalim;

إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تَهَابُ الظَّالِمَ أَنْ تَقُولَ لَهُ : إِنَّكَ ظَالِمٌ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ
“Apabila engkau melihat umatku takut untuk menyatakan penegasan terhadap orang yang zalim “Sesungguhnya engkau zalim”. Maka terimalah ucapan selamat tinggal buat mereka.” (Riwayat Ahmad dan Tabarani)

Berdasarkan apa yang telah dipesan oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam, penguasa yang zalim akan terus berdiri kukuh selagi rakyat memilih mereka. Selagi kejahatan mereka diberi kerjasama oleh rakyat, selagi itulah mereka megah berkuasa. Oleh kerana itu, Allah turut menyeksa golongan pengundi yang memilih penguasa kuku besi atas kesalahan bersubahat dengan kezaliman.

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلا
“Mereka berkata wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami hanya mentaati pemimpin dan penguasa kami. Maka dengan sebab itulah mereka menyesatkan kami.”

رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
“Wahai Tuhan kami, timpakanlah mereka azab yang berganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar.” (surah al-Ahzab: ayat 67-68)

Maka tidak hairanlah Nabi sallallahu’alaihi wasallam menyenaraikan antara dosa yang mengundang bala Allah adalah dengan memilih golongan-golongan jahat sebagai pemimpin. Hakikat yang perlu disedari, penguasa kuku besi itu sendiri merupakan bala bencana dari Allah. Bahana untuk semua.

Islam mengajar kita supaya berani dan bertekad. Untuk menumbangkan penguasa kuku besi, tiada jalan lain melainkan dengan nekad. Ganjaran syahid antara cara Allah memotivasikan penolong agamanya supaya nekad menentang penguasa kuku besi yang memiliki segala kekuatan iblis. Ya, memang mereka mampu lakukan apa sahaja. Tetapi jika kita tidak takut dengan mereka, apa yang mereka mampu buat? Inilah bagaimana kuasa-kuasa kuku besi dunia runtuh menyembah bumi apabila “kuasa nekad” telah menguasai rakyat.

Oleh kerana itu Nabi sallallahu’alaihi wasallam telah menyatakan nekad merupakan satu-satunya jalan menumbangkan kuasa kuku besi dengan sabdanya;
قَالَ كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ
“Bertekadlah sebagaimana pengikut setia Nabi Isa. Walaupun mereka tubuh mereka digergaji, walaupun tubuh mereka dipaku dengan kayu. Mati dalam ketaatan Allah lebih mulia dari hidup melawan Allah.” (Riwayat Tabarani)

Biodata Penulis


Abdul Mu’izz bin Muhammad mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini berasal dari Kajang dan memangku jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Selangor.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-