Romantik, menurut yang diistilahkan dalam kamus ialah, “memperlihatkan suasana penuh kasih sayang, keindahan dan kemesraan”. Ia berasal dari kata 'romance' yang bererti "hubungan cinta" atau "percintaan". Romantik dalam Islam terhad kepada pasangan yang sudah berkahwin sahaja iaitu mereka yang telah mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak. Inilah yang membezakan konsep romantik Islam dan konsep romantik Barat. Di Barat, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa apa-apa batasan. Sebaliknya dalam Islam, mereka perlu mempunyai tiket terlebih dahulu sebelum konsep romantik itu dapat dihayati sepenuhnya.
Oleh itu, tidak wujud konsep cinta monyet, cinta suka-suka dan sebagainya. Ini kerana perhubungan sebegini hanya cenderung untuk memuaskan nafsu semata-mata dan tidak berkekalan. Maka romantik yang ingin dikaitkan di sini ialah mengenai hubungan cinta, iaitu hubungan yang amat penting dalam menjalin suasana erat suami isteri sepanjang usia perkahwinan.
Suasana romantik wujud kerana wujudnya rasa cinta ini. Bila rasa cinta dan sayang antara suami isteri diperlihatkan dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari, tercetuslah suasana romantik. Bermakna persoalan romantik akan tetap relevan dan menjadi satu keperluan kepada pasangan sepanjang menjalin perkongsian hidup bersama. Allah berfirman :
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta dan sayang. Sesungguhnya itu adalah tanda bagi kaum yang berfikir." (Ar Rum:21)
Dari ayat ini fahamlah kita bahawa rasa cinta dan sayang adalah pemberian Allah yang amat besar nilainya kepada pasangan suami isteri. Bagaimana rasa cinta dan sayang ini diperlihatkan terhadap satu sama lain, di situlah lahirnya suasana yang dikatakan romantik. Suami isteri yang dapat mewujudkan suasana seperti ini boleh dianggap bersifat romantik. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W menyebut yang maksudnya, "Sekiranya seseorang itu menyintai saudaranya maka hendaklah diberitahukan kepadanya" - Sunan Abi Daud, Tirmizi dan Al Hakim di dalam Mustadrak-nya.
Maksud hadis ini, jika kita menyenangi seseorang jangan kita hanya menyimpan di dalam hati, tetapi luahkanlah rasa senang itu kepadanya menurut kehendak Islam yang sebenar. Hal ini boleh dikiaskan pada hubungan suami isteri. Oleh kerana hubungan yang unik antara kedua-dua insan ini sudah sedia diikat oleh cinta dan sayang, maka wajarlah rasa cinta-menyintai itu diucapkan. Kalaupun tidak dengan kata-kata, hendaklah dengan sikap dan tingkah laku.
Namun begitu, romantik yang sering digambarkan di layar perak tidak semuanya berpijak di bumi nyata. Romantik yang dipaparkan oleh kebanyakan filem Barat terutamanya, malah filem Melayu juga banyak yang tidak sesuai dengan nilai agama. Lambang-lambang dan aksi romantik yang ditonjolkan seperti berkucupan di tempat umum, makan berdua-duaan, bergurau senda di taman bunga dan seumpamanya, terlalu sumbang dan canggung bagi masyarakat yang cintakan Al Quran dan Sunnah. Sedangkan sifat romantik itu adalah anugerah Allah kepada manusia yang boleh agar menjadi penawar kepada hubungan kepada suami dan isteri, apa lagi bila sekali-sekala dilanda badai dugaan dan cubaan.
Sedangkan lidah lagi tergigit, maka tatkala dilanda badai, di situ juga cinta dan sayang teruji serta menagih bukti. Salah satu pihak mesti mula mengorak langkah (make the first move) untuk membaiki semula 'frekuensi' hubungan dua hala yang tergendala. Jika satu pihak sedang marah, satu pihak lagi mesti tenang (cool down) dan diam. Api kemarahan yang sedang menyala tidak boleh dilawan dengan api kemarahan juga, tetapi perlu disiram dengan air kesabaran. Oleh itu, kadang-kadang romantik boleh diperlihatkan dengan cara diam dan membisu, bila dengan bersuara dirasakan akan memburukkan hubungan.
Rasulullah S.A.W ada memberi panduan dengan kata-katanya tentang unsur romantik ini yang bermaksud, "Beri-memberilah sesama kamu, nescaya akan saling cinta-menyintai antara kamu" - Riwayat Al Baihaqi
Pemberian suami kepada isteri, atau isteri kepada suami mungkin berupa pakaian, makanan, barang cenderamata dan sebagainya mungkin satu panduan Baginda kepada mereka yang berkahwin. Tetapi bukan mahal atau murah, kecil atau besar pemberian itu, sebaliknya tanda ingatan dan tanda sayang yang terpancar pada pemberian itu sendiri. Pendek kata, untuk mewujudkan suasana romantik dalam rumah tangga, kita dan pasangan kita bebas memperlihatkan atau melahirkan rasa cinta melalui apa cara pun, asalkan ia bakal membahagiakan pasangan kita dan memperlihatkan rasa kasih kita kepadanya.
Caranya? Terpulang pada kesesuaian peribadi masing-masing. Ada yang suka dengan cara bermanja-manja, tetapi ada yang suka cara berterus-terang pada maksud (straight forward). Lain orang, lain cara dan gayanya. Asalkan batas syariat dan akhlak dijaga. Maruah dan kehormatan dipelihara.
Romantik Gaya Saidatuna Khadijah binti Khuwailid
Mungkin kisah romantik paling agung ialah antara Rasulullah dan isterinya Khadijah R.ha. Ketika Rasulullah pulang ke rumah dengan mengalami keadaan yang luar biasa selepas menerima wahyu pertama, Khadijah menyelimutinya. Khadijah duduk di sebelah Baginda S.A.W dan meluahkan bait-bait kata yang lunak dan mententeramkan. Rasulullah tidak pula merahsiakan pengalamannya di Gua Hira', tetapi bersikap terbuka menceritakan detik-detik mencemaskan yang dialaminya. Sikap terbuka dan tawaduk Rasulullah, serta sifat keibuan Khadijah telah melahirkan suasana yang boleh dianggap begitu romantik ketika itu. Tidak hairanlah Rasulullah masih tetap mengenang Khadijah setelah Khadijah wafat terlebih dahulu sebelumnya.
Romantik Gaya Saiduna Umar ibn Al Khattab
Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A, terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel. Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun memarahi isterinya kerana 'kuat' membebel. Sehingga lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya memang seorang 'kaki bebel'. Memandangkan keadaan rumahtangganya semakin parah, si suami sudah tidak tahan dengan perangai isterinya, dia-pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.
Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas. Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Menurutnya, "Kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku".
Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Umar memanggilnya dan bertanya, "Apa hajat kamu datang ke mari?"
Si suami tadi menjawab, "Aku sebenarnya datang hendak mengadu hal isteri aku yang kuat membebel, tetapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu."
Saidina Umar tersenyum lalu berkata, "Apa salahnya aku membiarkan isteriku berleter. Bukankah dia yang menjaga aku, anak-anakku dan rumah tangga. Apalah halnya jika dia sekadar membebel kepadaku."
Itulah cara Sayiduna Umar al Khattab menghargai layanan dan khidmat bakti isterinya yang begitu setia setelah sekian lama bersusah payah menguruskan rumah tangga. Diam Umar adalah diam tanda sayang, paling-paling Umar hanya tersenyum mendengar bebelan isterinya itu. Itulah romantik cara Saidina Umar. Dibiarkannya isterinya membebel untuk meluahkan perasaannya. Bebelan isterinya juga adalah bebelan sayang, bebelan tanggungjawab dan keprihatinan, bukannya marah-marah yang menjatuhkan maruah dan tidak sampai ke tahap menderhaka kepada suami.
Mohd Azmir bin Maideen merupakan Pegawai Pembangunan Dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)