Anak patung lembu itu di dalam sebutan Arabnya - Al ‘ijil - kerana - Li isti’jalihim - membawa maksud tergesa-gesa, yakni tergesa-gesa dalam ibadah. Adapun apa yang dilakukan Samiri adalah lahir dari sikap tergesa-gesanya menunggu kepulangan Nabi Musa turun dari Thur Sina, dan sikap intima' Samiri dalam pimpinan jemaah lebih berasaskan kepada intima' syakhsiyy (intima' fardhi), bukannya intima' jama'ie. Samiri menghormati Nabi Musa tetapi tidak kepada Nabi Harun.
Lokasi imbasan yang memperlihatkan objek anak lembu tersebut tidak jauh daripada gereja St. Catherine yang terletak di kaki bukit Thur Sina. Patung yang direka khas oleh Samiri itu sebenarnya terakam sebuah kisah yang menjadi simbolik kepada sebuah kesetiaan, amanah dan keingkaran terhadap jemaah yang terus berserah diri dan patuh kepada arahan Allah. Keributan yang dilakukan oleh Samiri menyebabkan berbilangnya jemaah Bani Israel ketika itu.
Kisah Nabi Musa adalah antara kisah-kisah yang paling banyak diceritakan di dalam Al Quran. Oleh itu sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Sebelum onar Samiri bercampera dan menunjukkan 'taring'nya, Nabi Musa A.S diarah untuk bermunajat kepada Allah di puncak Thur Sina selama 40 hari bersama 70 orang pengikutnya dari setiap 12 kabilah Bani Israel. Oleh kerana itu, urusan menjaga kaum Bani Israel yang berbaki di kaki Thur Sina diserahkan kepada saudara seperjuangannya, Nabi Harun A.S.
"Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi (menjadi 40), lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menuju Thur Sina); Gantikan aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan" (Al A’raf:142)
Apabila Nabi Musa A.S berpergian selama 40 hari, ketika itulah telah berlaku sesuatu yang tidak diduga. Bani Israel terpengaruh dakyah yang diciptakan seorang lelaki bernama Samiri, sedangkan ketika itu Nabi Harun masih mengepalai kaum Bani Israel setelah diamanahkan oleh Nabi Musa A.S. Nabi Harun menegur perbuatan Samiri, namun teguran tersebut tidak diendahkannya disebabkan Samiri turut memiliki pengaruh yang didokong oleh pengikut-pengikutnya yang tidak kurang ramainya. Malah Samiri mendakwa di hadapan Nabi Harun, andainya Nabi Musa kembali Thur Sina pasti dia akan merelakan perbuatannya.
"Sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu; Wahai kaumku, Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu adapun Tuhan kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; Oleh itu, ikutlah aku dan taatlah akan perintahku." (Taha:90)
"Mereka menjawab; Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahNya sehingga Nabi Musa kembali kepada kami." (Taha:91)
Maka, berlakulah perpecahan di kalangan kaum Bani Israel menjadi dua kelompok. Kelompok pertama masih setia menuruti ajaran Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S. Manakala kelompok kedua pula mengikut kata Samiri yang telah sesat. Penentangan Samiri bersama pengikutnya yang menyangka bahawa Nabi Musa akan menyebelahi mereka, menyebabkan Nabi Harun men'diam'kan diri dari menjadi punca persengketaan yang berlaku, dan menunggu sehingga Nabi Musa A.S kembali semula ke pangkuan mereka. Justeru, Nabi Harun A.S sebenarnya telah memilih suatu langkah yang bijaksana, sekalipun pada pengamatan cetek akal manusia akan mengira sikap "diam" Nabi Harun itu tidak menyelesaikan masalah.
Nabi Harun A.S telah menasihati Samiri dan kaum Bani Israel yang kembali kepada kesesatan, tetapi hal ini tidak diendahkan oleh mereka. Dengan sebab itu, Baginda Harun "diam" dan berharap agar Nabi Musa A.S sendiri menasihati kaumnya, memandangkan kesan nasihat Nabi Musa A.S lebih berbekas terhadap mereka. Nabi Harun A.S juga bimbang fragmen yang berlaku itu boleh menambahkan dan me'luas'kan perpecahan di kalangan Bani Israel.
Manusia Beriman Belum Tentu Tahan Menerima Ujian Allah
Sebelum Nabi Musa kembali menemui saudaranya Nabi Harun dan kaumnya Bani Israel yang menunggu di lereng bukit Thur Sina, Allah Taala telah memperingatkan kepada Musa tentang perkara buruk yang bakal berlaku.
"(Setelah selesainya urusan itu - yakni di Thur Sina) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa; Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaum-mu satu fitnah ujian sepeninggalanmu dan mereka telah disesatkan oleh Samiri." (Taha:85)
Lalu kepulangan Nabi Musa A.S dikejutkan oleh penyelewengan akidah yang sangat besar. Nabi Musa A.S tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya sehingga Baginda melemparkan lembaran-lembaran Tauratnya, dan menarik rambut saudaranya Harun.
"Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia; Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan ia (Musa) meletakkan lembaran-lembaran (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadaNya. Nabi Harun berkata; Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israel) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim." (Al A’raf:150)
Antara jawapan Nabi Harun lagi ketika ditanya Musa mengapa beliau membiarkan kesesatan yang berlaku.
"Nabi Harun menjawab, Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku bahawa` aku-lah yang telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau mendakwaku tidak berhati-hati mengambil berat pesanan (mu)." (Taha:94)
Sebagai utusan Allah Taala yang dimuliakan, Baginda tidak memusuhi mahupun berdendam terhadap saudaranya Harun. Kemudian Baginda Musa bertenang dan terus memohon keampunan Allah Taala. Sikap lapang dada ini menyebabkan keterikatan ukhuwwah kembali tumbuh dan utuh tanpa sedikit pun tercemar dengan sikap permusuhan. Lantas Musa mendoakan saudaranya Harun, "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku (Nabi Harun), dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala Yang lain Mengasihani". [ Rujuk surah Al A'raf ayat seterusnya 151 ]
Sesungguhnya Allah Taala Maha Menerima Taubat hamba-hambaNya yang berdosa. Tiada yang lebih berharga seisi alam ini melainkan keampunan dan keredhaan dari Yang Maha Mencipta. Apabila kita merasa diri terjerumus ke lembah kehinaan dan belenggu dosa, kesilapan sikap dan kesalahan pendirian, maka pohonlah keampunan kepada Allah Taala. Tidak kira kita berada di taraf apapun, sama ada orang bawahan ataupun pemimpin atasan, P.hd kah dia, CEO kah dia mahupun professor serba tahu sekalipun pohonlah ampun kepada Allah dan kembalilah kepada kebenaran.
Pengajaran Dari Kisah Nabi Musa, Nabi Harun & Samiri
Kisah Nabi Musa A.S telah menghidangkan kepada kita sesuatu peristiwa yang patut dijadikan teladan, lebih-lebih jika kita berstatus pemimpin dan ketua bagi sebuah jemaah. Kisah patung anak lembu Samiri bukan kisah dongeng, tetapi ia adalah kenyataan yang direkodkan di dalam Al Quran buat tatapan kita semua, terutamanya umat Nabi Muhammad S.A.W sehingga hari kiamat. Di mana, ada di kalangan umat manusia yang pada awalnya beriman kepada Allah akhirnya tenggelam setelah diuji oleh Allah Taala. Oleh kerana itu, thabat-lah dan tetap-lah pendirian kita di dalam cahaya iman sama ada di waktu senang mahupun susah.
Ada orang merasa dirinya beriman ketika rasa senang, tetapi sebaliknya bila ditimpa ujian dan kesusahan daripada Allah, tidak mendapat perhatian manusia di sekelilingnya dan sebagainya, hatinya mula resah gelisah dan menafikan keyakinannya terhadap perjuangan yang sebelum ini dilaung-laungkannya. Samiri adalah dari kaum Bani Israel yang sebelum ini beriman kepada Allah, di mengakui kerasulan Nabi Musa, tetapi intima' Samiri ialah intima' syakhsiyy. Lalu, apabila Nabi Musa mengarahkan Nabi Harun menggantikan kedudukannya memimpin Bani Israel, Samiri mula mencipta pengaruh untuk menjatuhkan kredibiliti Nabi Harun A.S.
Kerana itu apabila Nabi Musa mengetahui onar perpecahan ini berpunca dari perbuatan Samiri, Nabi Musa menyumpah Samiri dengan penuh kemarahan, "Sedarkah (perbuatanmu) wahai Samiri?!!
"Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah (bagaimana) aku dihasut oleh hawa nafsuku", jawab Samiri.
Kemudian Nabi Musa berkata lagi kepada Samiri, "Jika demikian, pergilah (berambuslah engkau) kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini; {Jangan sentuhku - yakni mencipta alasan untuk melepaskan diri} dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya". [ Rujuk surah Taha ayat 95 hingga 97 ]
Cara Nabi Harun Menangani Perpecahan
Menjaga kesatuan ummah adalah satu perkara yang amat kritikal dalam agama, apatah lagi menjaga kesatuan dalam jemaah yang menjadikan Islam sebagai syiar perjuangan mereka. Dr. Yusuf Al Qaradhawi menyebut bahawa betapa pentingnya kesatuan ummah ini dijaga sehingga harus dibiarkan berlakunya kerosakan besar lain yang bersifat sementara, asalkan kesatuan dapat dijaga. Hal yang disebut oleh Dr. Yusuf Al Qaradhawi ini merujuk kepada kisah Nabi Harun A.S.
Inilah iktibar yang dapat kita ambil daripada Al Quran berhubung kisah Nabi Harun yang bersikap tawaqquf selepas arahannya dibantah oleh Samiri dan Bani Israel yang menyembah patung anak lembu. Sekiranya Nabi Harun tetap melawan Samiri, boleh jadi hal yang merumitkan lagi bakal berlaku. Di sana akan timbul pula perpecahan dan pertikain yang lebih besar berdasarkan pengikut-pengikut yang mempercayai setiap ketokohan pimpinan mereka, maka akan timbullah 5 kelompok :
- Nabi Harun dan pengikutnya.
- Samiri dan pengikutnya.
- Nabi Musa dan 70 orang pengikutnya.
- Golongan "atas pagar" (yakni golongan tidak bersama Nabi Musa dan Nabi Harun) tetapi mencipta jemaah sendiri.
- Golongan "atas pagar" (yakni golongan tidak bersama Nabi Musa dan Nabi Harun) tetapi TIDAK mencipta jemaah sendiri (buat hal sendiri).
Menerusi tindakan Nabi Harun ini dapat kita lihat bahawa tindakannya mendiamkan penyembahan anak lembu oleh Bani Israel adalah bertujuan untuk menjaga kesatuan jamaah selama ketiadaan Nabi Musa A.S. Nabi Harun A.S melihat bahawa kesesatan akidah yang berlaku itu hanya bersifat sementara sahaja, iaitu selama pemergian Nabi Musa A.S. Nabi Harun meyakini bahawa setelah Nabi Musa A.S kembali, mereka berdua akan dapat mengatasi krisis akidah tersebut melalui kerjasama antara keduanya.
Diam Nabi Harun bukan bererti lemah, diam Nabi Harun bukan bererti kalah. Lebih baik diam dari mencipta perpecahan yang lebih parah! Kisah ini mungkin tidak sama dengan apa yang berlaku kepada realiti gerakan Islam hari ini, tetapi panduan yang Allah berikan di dalam Al Quran adalah sikap dan disiplin yang sama mestilah kita contohi dari kisah ini.
Mohd Azmir bin Maideen merupakan Pegawai Pembangunan Dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).