Pada 12 Februari, 1949, pengasas “al-Ikhwan al-Muslimun” iaitu Imam Hassan al-Banna telah dibunuh. Berhubung dengan ulang tahun pemergiaannya itu, Dr. Essam Mohamed Hussein al-Erian, Naib Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan ( Freedom And Justice party - FJP), sayap politik al-Ikhwan al-Muslimun pernah menulis suatu “tribute” tentang tokoh Gerakan Islam itu dengan menyatakan bahawa walaupun Mursyidul ‘Am Pertama al-Ikhwan al-Muslimun, Hassan al-Banna telah tiada daripada aspek fizikalnya, tetapi idea pemikiran tokoh gerakan Islam tersebut masih segar menjadi medan diskusi ilmiah sama ada di Mesir mahupun di seluruh pelusuk dunia, (الإمام الراحل حسن البنا رحل ومات وفنى جسده، ولم تمت الفكرة ولم تخمد جذوتها، بل توهجت وعاشت وانتشرت من مصر إلى سائر بقاع الأرض).
Pembunuhan Hassan al-Banna terjadi kerana campurtangan konspiratif Kerajaan Mesir, beliau telah ditembak beberapa kali dan sengaja dibiarkan cedera parah tanpa rawatan yang sewajarnya sehingga menemui ajal. Tidak lama selepas itu, rahsia kematian Hassan al-Banna mulai terungkap di dalam Dunia Arab dan Islam, Mesir khususnya. Hassan al-Banna dibunuh adalah bertujuan supaya hari-hari yang bakal menjelang kepada Gerakan Islam kehilangan peta dan menjadi gelap gelita. Mereka yang merancang pembunuhan Hassan al-Banna mengharapkan al-Ikhwan al-Muslimun terkubur dan gerakan-gerakan yang mahu mengembalikan kekhalifahan Islam di seluruh dunia hancur.
Namun, generasi baru terus memikul perjuangan yang dibawa oleh pengasas al-Ikhwan al-Muslimun ini. Potensi mereka dibangkitkan oleh para naqib di setiap pergerakan melalu institusi tarbiyah yang digarap melalui usrah, mukhayyam, rehlah, mu‘askar, persidangan (halaqat), seminar (nadwah) dan perbincangan (munaqashah). Mereka berfungsi dalam kumpulan, adakalanya sebagai ahli biasa, rakan gabungan (ta‘akhi) dan sebagainya. Walau di manapun posisi mereka, sebagai ahli, sebagai pimpinan, di dalam sektor awam mahupun swasta, mereka bergerak dalam jalan yang sama, teguh dalam iman dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam.
Firman Allah dalam surah al-Ra‘du ayat 17;
كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاء وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ
“Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun yang berbuih akan hilang lenyap hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia akan tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
Menerusi sumbangannya sebagai seorang pemikir dan aktivis Islam, Hassan al-Banna telah banyak merumuskan tentang teori politik Islam, antaranya ialah mengenai pengorganisasian tarbiyah (kaderasasi) dan pembentukan negara Islam. Daripada teori-teorinya muncul satu diktum politik yang fenomenal iaitu “Islam Adalah Penyelesaian” (الإسلام هو الحل). Diktum ini kemudian menjadi inspirasi terutamanya bagi anggota al-Ikhwan al-Muslimun dalam perjuangan mereka mewujudkan negara dan pemerintahan yang Islamik.
Hassan al-Banna amat mementingkan autoriti politik sebagai satu kekuatan untuk melaksanakan hukum syariah. Dengan panduan hukum syariat Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah, umat Islam dapat mewujudkan keadilan dan kesamarataan dalam kehidupan masyarakat. Islam sangat menekankan ketertiban, serta menolak
elemen-elemen anarki yang berlaku akibat pemerintahan tidak
adil. Menurut al-Banna di dalam Majmu’ al-Rasail, institusi pemerintah merupakan salah satu tiang sosial Islam. Disebabkan itu, Islam tidak membenarkan dan tidak akan membiarkan negara tanpa pemimpin (imam). Oleh itu, timbulnya pemikiran bahawa Islam tidak mempunyai kaitan dengan politik ialah satu konsepsi yang salah, muncul daripada orang-orang yang tidak memahami sumber syariah Islam.
Pengaruh pemikiran siyasah syar’iyyah Hassan al-Banna tentang bentuk dan sistem pemerintahan dalam Negara Islam banyak diambil oleh para intelektual Islam dan aktivis Islam di seluruh dunia. Kesungguhan dan usaha beliau merealisasikan pemerintahan yang disifatkan sebagai agenda “Negara Islam” membawa syahid kepada dirinya, maka sehingga ke hari ini beliau dijadikan tunggak dan ikon kepada perjuangan menegakkan Islam. Dalam pemikiran politiknya, Hassan al-Banna meletakkan Islam sebagai perkara paling asas, hal ini dapat dilihat daripada kenyataan beliau di dalam Usul 20;
الإسلام نظام شامل، يتناول مظاهر الحياة جميعا. فهو: دولة ووطن أو حكومة وأمة، وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة، وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء، وهو مادة وثروة أو كسب وغنى، وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة، كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة، سواء بسواء.
“Islam adalah sistem menyeluruh yang menyentuh seluruh dimensi kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, kasih-sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu dan sistem mahkamah, material dan sumber daya alam, pendapat dan kekayaan, jihad dan dakwah, pasukan dan pemikiran, sebagaimana ia adalah akidah yang lurus dan ibadah yang benar, tidak kurang tidak lebih.”
Pandangan ini menunjukkan bahawa Hassan al-Banna menolak sama sekali pemikiran yang mengatakan Islam terpisah daripada konteks politik. Jelas sekali orang yang mengasingkan politik dan agama dengan hujjah tidak mahu mempergunakan agama atau mempolitikkan agama adalah suatu cara menyelewengkan kefahaman Islam yang sebenar. Dalam pengamatan Hassan al-Banna, mempolitikkan agama itu bukanlah bermaksud mempermainkan agama tetapi mengangkat agama sebagai asas yang memandu politik umat Islam. Ramai umat Islam telah salah menilai apabila memisahkan Islam daripada politik.
Beliau menyatakan lagi;
إذا كان الإسلام شيئا غير السياسة وغير الاجتماع ،وغير الاقتصاد، وغير الثقافة، فما هو إذن؟ أهو هذه الركعات الخالية من القلب الحاضر. أم هذا الألفاظ التي هي كما تقون رابعة العدوية؛ استغفار يحتاج إلى استغفار. ألهذا أيها الاخوة نزل القران نظاما كامل محكما مفصلا :(تِبْيَاناً لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدىً وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ) (النحل:89)
“Jika Islam tidak dijadikan suatu keperluan dalam hal ehwal politik, isu kemasyarakatan, ekonomi dan budaya, lantas apa? Apakah Islam hanya rakaat-rakaat yang kosong dari hati yang khusyuk, ataukah kata-kata yang tidak lebih dari kenyataan Rabiah al-Adawiyah, istighfarlah pada perkara yang mesti diistighfari. Untuk hal inikah al-Quran diturunkan padahal hakikatnya ia turun sebagai sistem yang komprehensif, terperinci dan jelas (Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam) surah al-Nahl ayat 89.”
Selain meletakkan kejituan dalam pemikiran politik Islam, Hassan al-Banna aktif dalam memperjuangkan negara yang menerapkan syariat Islam. Beliau berkeyakinan bahawa tujuan utama Allah mengutuskan Rasul-Nya adalah untuk menyampaikan risalah Islam dan mengajak umat manusia ke arah amar makruf dan nahi mungkar dengan menghayati syariahnya, sama ada yang berkaitan dengan pembinaan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Adakah Islam hanya patut diterapkan dalam diri, keluarga dan masyarakat tetapi apabila melibatkan penerapan dalam politik negara tiba-tiba ada yang memberikan alasan mesti kondusif dan sebagainya. Sesungguhnya syariat Islam tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar, ia wajib dilaksanakan sepenuhnya selaras kaedah-kaedah Islam.
Hassan al-Banna percaya bahawa kuasa politik membolehkan pelaksanaan siyasah syar’iyyah diterapkan sepenuhnya. Baik ia berupa sistem parlimen, kepresidenan mahupun kesultanan namun apa yang penting adalah sistem pemerintahan itu tidak melanggar syariat Islam. Inilah inspirasi yang ditinggalkan oleh Hassan al-Banna kepada kita semua agar memberikan dedikasi tertinggi dalam dakwah tidak sekadar dalam bicara tetapi juga dalam melaksana dengan segala kemampuan dan instrumen yang dimiliki. Semua ini merupakan syarat utama dan karakter fundamental bagi seorang pendakwah dan pemimpin ummah. Di tangan mereka inilah Allah mengalirkan kebaikan yang sangat banyak.