Dalam merencanakan amal Islami dalam konteks politik, kita perlu meneliti petunjuk daripada sunnah Rasulullah yang telah meninggalkan kerangka siasah (politik) yang terunggul. Antara beberapa khazanah berharga tersebut adalah konsep "Tahaaluf Siasi" ataupun kerjasama politik yang dilakukan Baginda sepanjang kerja kepimpinan dan dakwah. Tahaaluf ialah perjanjian mengenai persefahaman berteraskan etika ta'awun (bantu-membantu) untuk membina pemerintahan berasaskan Islam demi tujuan dakwah dalam jangka masa yang panjang.
Contoh-contoh Tahaaluf Di Zaman Rasulullah :-
- Persefahaman yang berlaku di kalangan sesama umat Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji Islam dan tertegaknya negara Islam.
- Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.
- Rasulullah mengiktiraf hilf al-fudhul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.
- Sistem Himayah (jaminan keselamatan) adalah suatu konsep tolong-menolong atas dasar perkauman dan kekeluargaan yang diamalkan di zaman jahiliyah yang turut digunakan oleh Rasulullah sebelum penghijrahannya ke Madinah. Ia juga suatu konsep perlindungan oleh golongan kuat dan berada kepada golongan yang lemah. Adalah menjadi kebangaan bagi mereka sekiranya dapat melindungi yang lemah walaupun berlainan agama. Himayah adalah salah satu konsep Tahaaluf untuk kemaslahatan umat Islam jika memerlukan.
Tahaaluf Dan Konsep Tadrij Marhaliy ( berperingkat )
Sekiranya ada Harakah Islamiyah (gerakan Islam) berkerja sama dengan badan atau parti politik lain dalam hal perjuangan siasah adalah merupakan suatu matlamat dakwah jangka masa panjang. Menganggap gerakan Islam ingin mengambil kesempatan dan meninggalkan ‘rakan’ seperjuangan selepas mendapat kerusi, adalah tanggapan yang salah.
Gerakan Islam mestilah memiliki pendekatan berdakwah kepada sesiapa sahaja, samada kawan mahupun lawan. Inilah konsep dalam menyebarkan dakwah secara berperingkat (graduality) yang ditinggalkan oleh Imam as Syahid Hassan al Banna :
- Takrif (pengenalan) tentang matlamat dan wasilah jamaah serta idea perubahan Islam yang diseru oleh Ikhwanul Muslimin.
- Takwin (pembentukan) dengan memilih unsur-unsur yang dapat membentuk kepuasan dengan berkerja serta mendidik unsur-unsur tersebut dengan didikan rohani, akal dan fizikal bagi mengembalikan kehidupan Islam dan negara Islam.
- Tanfiz (perlaksanaan) iaitu langkah berkerja atau praktikal bagi dakwah Ikhwan Muslimin.
“Barangsiapa yang bersabar bersamaku sehingga bercambahnya benih, tumbuhnya pokok, masaknya buah dan sampai ketikanya untuk dipetik maka pahalanya adalah urusan Allah. Kami dan ia tidak akan terlepas ganjaran orang-orang yang baik sama ada kemenangan dan ketuanan atau syahid dan kebahagiaan. Wahai Ikhwan Muslimin: Pakaikan gelojakan emosi kamu dengan ladam pertimbangan akal, sinarilah akal kamu dengan nyalaan emosi, janganlah kamu cenderung berlebihan nescaya kamu akan menjadikannya tergantung tanpa bertali. Janganlah kamu menyalahi aturan alam kerana ia pasti akan menang (mengalahkan kamu) sebaliknya atasilah emosi kamu dan gunakannya serta ubah gelombangnya.
“Gunalah kedua-duanya (emosi dan akal), nantilah saat-saat kemenangan sesungguhnya ia tidak jauh dari kamu. Pengalaman dahulu dan sekarang membuktikan bahawa tiada kebaikan melainkan jalan kamu, tiada hasil melainkan bersama perancangan kamu dan tiada kebenaran melainkan dalam apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu leka dengan kesungguhan kamu dan janganlah kamu memperjudikan riak-riak kemenangan kamu.”
Hukum Tahaaluf
Tahaaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara Tahaaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dan tahaaluf yang ditolaknya. Syarat-syaratnya sebagaimana berikut :
- Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip.
- Hubungan Rasulullah dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya". Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Baginda sallaLlahu alaihi wasallam.
- Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral.
Baginda juga mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam. Dalam hal ini, gerakan Islam boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak atau mana-mana gerakan yang berusaha menetang kemungkaran era baru seperti IFC, Islam Liberal serta pelbagai kebejatan aqidah dan sosial. Pendokong gerakan Islam perlu memasukkan dakwah secara lembut dan berterusan kepada golongan ini agar mereka menerima dakwah Islam.
- Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan.
Dalil-dalilnya :
- Rasulullah telah menangguhkan tahaaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan kerajaan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.
- Rasulullah membatalkan cadangan untuk berTahaaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.
- Tidak berwala’ kepada rakan Tahaaluf dan tidak redha dengan pegangan mereka.
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat - ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali” (Ali ‘Imran: 28)
Memilih calon bukan Islam atau calon yang tidak berada di landasan gerakan Islam, tetapi berjuang menentang kezaliman dan kemungkaran lebih besar adalah suatu yang WAJIB demi menyekat kezaliman walaupun calon tersebut bukan Islam atau Muslim yang tidak berpegang dengan Islam secara menyeluruh.
Berwala’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kerjasama adalah untuk kemaslahatan dan kebaikan Islam umumnya, bukan meredhai mereka sebagai pemimpin. Hal ini kerana kepimpinan Islam hanya sah sekiranya menuruti seluruh sistem Islam dalam pentadbiran mahupun kepimpinan.
Garis Panduan Tahaaluf
- Tahaaluf mestilah dijalankan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam.
- Tahaaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.
- Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan Tahaaluf.
- Tahaaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.
- Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaaluf secara mutlak.
- Mandat membuat penilaian Tahaaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura ‘Ulamak.
Di sana terdapat satu persefahaman yang diadakan secara sementara waktu (bertempoh) dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama meletakkannya dalam perkara hadanah. Disebut di dalam “Syarah Muhazzab” (karangan al Imam al Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong untuk memerangi golongan lain. Akan tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja, dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.
Hari ini parti yang berkonsepkan gerakan Islam boleh bekerjasama dengan pihak lain selama mana mereka bersedia secara jujur ingin bersama seperti dalam isu Palestin, isu rasuah dan sebagainya. Akan tetapi muwada’ah ini hanya sah dalam isu kerjasama itu sahaja dan bukannya selama-lamanya selagimana mereka masih memegang ideologi sekular atau menetang Islam.
Kategori Tahaaluf
Tahaaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut :
- Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat :
- Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam.
- Mengiktiraf negara Islam.
- Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya
- Tahaaluf tanpa membentuk negara :
- Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar.
- Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.
- Berlindung sementara ketika lemah.
- Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah.
- Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.
- Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah dan tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.
- Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yang kuat dan dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain serta perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden. Kalau tidak, Tahaaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.
- Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.
- Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.
- Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah Taala dan kebijaksanaan kurniaan-Nya.
Ustaz Nasrudin bin Hassan At Tantawi merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia