© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Meniti Perjuangan Islam

Meniti Perjuangan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 8 May 2016


Bentuk kehidupan seseorang yang menghayati dan memperjuangkan Islam tentulah berbeza dengan manusia lain. Antaranya yang akan disebutkan di sini ialah mereka terikat patuh dan menurut ajaran Islam kerana natijah keimanan itu bukan sekadar cita-cita atau angan-angan kosong. Iman adalah suatu yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan melalui amal perbuatan. Allah sering mengaitkan iman dengan amalan di dalam al-Quran;
الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
“...Orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (surah al-’Ashr ayat 3)

Dalam hubungan ini Allah mengingatkan janganlah kita mengajak manusia lain berbuat baik sedangkan kita melupai diri kita sendiri.

Firman Allah;
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-Kitab, tidakkah kamu berfikir?” (surah al-Baqarah ayat 44)

Ciri-ciri lain mereka yang memperjuangkan Islam ialah mengutamakan kepentingan Islam melebihi perkara-perkara lain. 

Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam;
أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ
“Ketahuilah sesungguhnya roda Islam itu berputar. Maka berputarlah bersama al-Kitab (Islam) sekira-kira bagaimana ia berputar. Ketahuilah sesungguhnya al-Kitab dan Pemerintah dua perkara yang berbeza. Maka jangan memisahkan diri dari al-Kitab (Islam). Ketahuilah sesungguhnya kamu akan mendepani pemerintah yang memerintah untuk kepentingan mereka bukan untuk menjaga kepentingan kamu. Jika kamu mengingkari mereka, mereka akan bunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Lalu sahabat berkata; Ya Rasul Allah, (apabila kami bertemu dengan situasi begini) apa yang harus kami lakukan? Nabi sallallahu’alaihi wasallam menjawab; Jadilah sebagaimana sahabat-sahabat Nabi Isa ibnu Maryam, jasad mereka digergaji, digantung pada kayu salib (namun mereka tetap bersama Islam). Mati dalam keadaan taat kepada Allah lebih baik dari hidup derhaka kepada Allah.” (Riwayat al-Tabarani)

Dalam sebuah hadis disebutkan;
مَنْ اَصْبَحَ و لم یَهْتَمُّ بِاُمورِ الْمُسْلِمینَ فَلَیْسَ مِنْهُمْ وَ مَنْ سَمِعَ رَجُلاً یُنادى یا لِلْمُسْلِمینَ فَلَمْ یُجِبْهُ فَلَیْسَ بِمُسْلِم
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Orang yang memperjuangkan Islam juga akan merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah Taala. Berasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah adalah antara sifat-sifat orang-orang beriman. Allah mengingatkan dalam al-Quran di dalam firman-Nya;
وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ 
“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (surah Aali-Imran: ayat 139)

Ketika para sahabat Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam berada dalam perlindungan kerajaan Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendeta yang ada di Istana Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Ja’afar bin Abi Thalib radhiallahu anhu yang menjadi ketua rombongan  itu menjawab;
 إِنَّا لَا نَسْجُدُ إِلَّا لِلَّهِ 
“Kami tidak sujud melainkan untuk Allah.”

Ciri-ciri yang lain ialah mereka bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam. Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran. Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan. 

Firman Allah;
سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ 
“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)

Dalam sebuah hadis disebutkan;
 الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
“Seorang beriman dengan saudaranya yang beriman adalah seperti bangunan, masing-masing meneguhkan sebahagian yang lain.” 

يَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ
“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.” 

فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ
“Maka hendaklah kamu bersama jamaah sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (keluar daripada kumpulannya).”
 
Orang yang meperjuangkan Islam juga mestilah yakin bahawa masa depan milik Islam. Keimanan kepada Islam harus sampai ke peringkat yakin bahawa masa depan adalah milik Islam. Islam diturunkan Allah. Oleh itu, Allah sahajalah yang paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia. Dia-lah paling layak untuk memimpin manusia. Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia.

Firman Allah;
أَلا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ
“Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Mulk: ayat 14)
 
Mengapakah Islam akan menguasai masa depan dunia? Jawapannya ialah;
  1. Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.
  2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung  sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri-ciri ini adalah cetusan daripada sibghah rabbani.
  3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sibghah atau ciri ini membuatkan Islam berkebolehan untuk berijtihad atau menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tiada nas sama ada melalui Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.
  4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat Yang Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia. Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup manusia. Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun urusan luar negara.
  5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme, sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia dan lemah.
  6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
  7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.
  8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
  9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah. Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan.
Perjuangan Islam hendaklah didasari dengan aqidah yang teguh. Tanpa aqidah maka perjuangan menjadi batil, sebagaimana orang-orang munafiq yang ikut bersama Rasulullah dalam peperangan, tetapi mereka tiada Aqidah Islamiyyah. Perjuangan sebegini tidak diterima oleh Allah. Aqidah yang lemah akan menyebabkan kita lemah dalam perjuangan. Kita akan mudah goyah dan juga akan mudah terpesong dengan kehendak-kehendak dunia yang sementara apabila aqidah kita tidak kukuh.

Di dalam kitab “حتى يعلم الشباب” yang dikarang Dr. Abdullah Nasih Ulwan membincangkan dengan terperinci berkenaan dengan syiar-syiar Islam yang mesti diperjuangkan;
  1. Allah matlamat kami.
  2. Al-Quran perundangan kami.
  3. Rasul ikutan kami.
  4. Jihad jalan kami.
  5. Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.
Inilah rahsia kekuatan para mujahid dalam perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah Allah yang tinggi.

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat sesi 2015-2017. Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-