© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » , » Presiden Dr. Mohamed Morsi Dalam Dakapan Umat Sejagat

Presiden Dr. Mohamed Morsi Dalam Dakapan Umat Sejagat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 12 July 2013


Penggulingan Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi daripada kepemimpinannya oleh pihak tentera sememangnya adalah berita sedih bagi demokrasi Arab Spring. Ia menjadi bertambah pilu kepada kumpulan-kumpulan prihatin Palestin di negara ini kerana akan berhadapan dengan laluan sukar untuk masuk ke Gaza.

Penderitaan dialami rakyat Palestin di Gaza ekoran kepungan Rejim Zionis dengan bantuan sekutunya Rejim Mubarak seperti akan kembali berulang. Sudah tentu perjalanan akan datang melalui liku-liku sukar dengan sekatan, dan persoalannya bagaimanakah bantuan hendak disalurkan sekarang?

Kekuasaan di Mesir setelah penggulingan Morsi berada di tangan pihak junta tentera yang begitu komited mempertahankan kepentingan ekonomi golongan atasan dan mencapai matlamat geo-politik

imperialisme Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Selepas penggulingan Morsi, tentera Mesir mengarahkan beberapa jentolak memulakan kerja-kerja pemusnahan merobohkan terowong yang menghubungkan laluan Mesir dan Genting Gaza. Seorang saksi berbangsa Arab berkata, jentolak itu kelihatan sejak beberapa hari lalu namun hanya memulakan kerja pemusnahan sejurus rampasan kuasa berlaku.

Terowong antara Mesir dan Gaza itu merupakan laluan utama kepada penduduk 1.8 juta penduduk Gaza sejak pengepungan Israel pada 2006. Morsi sejak awal kempen pencalonan presiden lagi menunjukkan sikapnya yang jelas terhadap isu Palestin, kesetiaannya yang tidak berbelah bagi bersama perjuangan rakyat Palestin di dalam menuntut hak permastautinan dan pembebasan Masjidil Aqsa.

Walaupun Morsi menggalas beban tanggungjawab berat memperbaiki sistem lama yang ditinggalkan puak rejim dan kerja memantapkan kedudukan sosio-ekonomi rakyatnya, namun bantuan dan sokongan kepada Gaza mula ditunjukkan melalui pembukaan sempadan Rafah dan bantuan lain.

Selepas Perjanjian Damai Mesir-lsrael 1979, Rafah dipisahkan oleh Koridor Philadelphia. Selepas Israel berundur, Koridor Philadelphia di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin (PA) hingga 2007. Selepas Hamas berkuasa pada 2007, Mesir dan Israel menutup pintu sempadan dengan Gaza. Pada 2009, Mesir di zaman rejim Mubarak memulakan pembinaan halangan bawah tanah untuk menyekat terowong sedia ada dan menghasilkan laluan rahsia.

Selepas penyingkiran Morsi, berita tersebut disahut penuh kegembiraan oleh penunjuk perasaan anti-Morsi tanpa memikirkan nasib saudara seagama mereka di Palestin. Sejauh manakah mereka menyedari bahawa kuasa sekarang berada di tangan junta tentera dan bukannya di tampuk pemerintahan yang menang daripada proses pilihan raya.

Morsi yang menggerakkan usaha ke arah membebaskan Mesir daripada cengkaman AS nampaknya tidak disukai pihak tentera dan elit kewangan serta perbankan antarabangsa. Sejak menduduki kerusi pemerintahan, Morsi mengambil pendirian “bebas” daripada cengkaman Barat dengan mengutamakan kepentingan nasional Mesir.

Bersandarkan kepentingan nasional ini, ia telah membawa Morsi ke Tehran menyertai Sidang Kemuncak Negara Berkecuali (NAM) di mana beliau telah mengumumkan sokongan kepada rakyat Syria menentang rejim Bashar Al Assad. Beliau juga mencadangkan pembentukan “Syria Quartet” yang terdiri daripada Mesir, Iran, Turki dan Arab Saudi.

Bagaimanapun pihak Arab Saudi tidak pernah berminat dengan cadangan ini dan memboikot mesyuarat tersebut di Kaherah pada tahun lepas. Bahkan pihak Qatar juga tidak menyukai cadangan Morsi mengadakan mesyuarat melibatkan Tehran.

Jika ditinjau daripada struktur junta tentera sekarang pula majoritinya adalah gabungan menggerunkan kuasa-kuasa reaksioner, termasuk konco-konco bekas Presiden Hosni Mubarak, beberapa ahli politik Islam dan ahli politik liberal yang mempunyai hubungan rapat dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Tiada seorang pun daripada individu ini berlatar belakang kumpulan akar umbi atau punyai program sosial yang jelas.

Selepas mengambil alih kuasa dari Ikhwan Muslimin, stesen-stesen televisyen dan menahan Morsi, ketua junta tentera, Jeneral Abdul Fatah Khalil Al-Sisi menggariskan peta politik masa depan, termasuk menggantung perlembagaan dan pembentukan kerajaan “teknokratik nasional”. Istilah “teknokratik” dianggap kononnya sebagai membawa imej politik berkecuali iaitu tidak terlibat dalam sebarang kumpulan atau pihak berkepentingan politik.

Namun pada realitinya apa yang dinamakan teknokratik itu terbenam di dalam ruang-ruang reaksioner atau kumpulan anti-pembaharuan yang berhubung rapat dengan pihak-pihak kapitalis perbankan, kewangan dan perniagaan antarabangsa.

Jika kita meneliti selumat-lumatnya skenario kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, sebenarnya sedari awal Angkatan Tentera Mesir diperhatikan sepenuhnya memegang inisiatif politik. Buktinya ketika Mubarak dipaksa berundur pada Februari 2011, Mubarak tidak menyerahkan tampuk kekuasaan kepada wakil presiden, Omar Suleiman, sebaliknya diserahkan kepada Dewan Jeneral Angkatan Bersenjata (The High Command of Armed Forces) yang ketika itu dipimpin oleh Jeneral Mohammed Hussein Tantawi sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet Mubarak.

Karakter kerajaan baru sudah dapat dibayangkan terdiri daripada mereka yang bersekongkol dan bersubahat dengan Mubarak. Ini termasuklah ahli politik pembangkang seperti pemimpin Barisan Penyelamat Nasional (National Salvation Front), Hazim al-Bablawi dan bekas Ketua Pegawai Tenaga Atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed El Baradei, pemimpin parti Salafi Al Nour, Mahamoud Badr dan gabungan pembangkang Arab atau Tamarod.

Setiap daripada tokoh ini dipilih bagi menggambarkan tanggapan, mereka mendapat sokongan meluas pelbagai lapisan masyarakat di Mesir. Penyokongnya termasuklah El Baradei sendiri, bekas anggota Ikhwan Abdel Moneim Aboul Fotouh, pergerakan belia 6 April dan kumpulan kiri, Revolusi Sosialis.

Realitinya penggulingan Morsi adalah berita sedih bagi demokrasi Arab Spring dan masa depan yang gelap kepada Mesir yang kembali ke zaman Firaun.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia