Headlines Articles :
Home » » Cabaran Kebangkitan di Asia Barat

Cabaran Kebangkitan di Asia Barat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 22 May 2013


Apabila kita menyebut tentang cabaran yang datang dari kuasa besar kepada umat Islam, yang dimaksudkan di sini ialah cabaran luar yang datang dari Amerika dan Israel, yang tentunya tidak akan memberikan kemenangan revolusi Islam secara percuma. Apatah lagi, negara-negara teluk merupakan sumber tenaga kepada dunia yang membekalkan petrol dan gas. Terusan Suez merupakan laluan utama kapal-kapal menyalurkan bekalan tenaga tersebut kepada negara-negara di Eropah dan Amerika.

Oleh itu, sebarang perubahan yang memberikan ancaman kepada Barat, mereka tidak akan sama sekali memberikan kebebasan secara percuma. Pada tahun 1956, apabila rejim Gamal Abdel Naser memilik-negara Terusan Suez, lalu ketika itu negara-negara Pro-Barat mula melancarkan serangan kepada Mesir melalui pakatan tiga serangkai yang didalangi British, Perancis dan Israel. Serangan tersebut dilakukan kerana Mesir dianggap cuba menyekat laluan sumber-sumber keperluan mereka melalui Terusan Suez.
  • Krisis Di Libya
Situasi kebangkitan rakyat antara Mesir dan Libya berbeza. Di Mesir, rakyat berjaya memenangi hati tentera untuk menyokong revolusi mereka. Tetapi keadaan ini sangat sukar berlaku di Libya kerana revolusi di negara itu bertukar kepada peperangan yang melibatkan kerajaan dengan rakyat. Manakala kejatuhan Kolonel Gaddafi turut berbeza dengan nasib yang dialami oleh Zine El Ebidin (Tunisia) dan Hosni Mubarak (Mesir). Kedua-dua diktator ini ditumbangkan oleh kebangkitan revolusi rakyat, manakala Libya pula berakhir dengan perang sivil, di mana rakyat Libya yang memberontak dibantu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara - Negara Eropah (NATO).

Hakikatnya, kerjasama yang dihulurkan NATO kepada rakyat Libya lebih memberikan ancaman berbanding sebuah janji dan harapan. Hal ini berlaku kerana, Libya merupakan negara yang memberikan sumber 1/3 bekalan minyak ke Eropah. Libya juga merupakan negara ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang menyalurkan sumbernya kepada 2 syarikat minyak antarabangsa iaitu BP (British) dan Shell (Belanda).

Hasil minyak Libya menjadikan negara tersebut pengeluar minyak terbesar di Afrika dan berada di tempat kedua belas dunia. Libya juga memiliki saluran paip minyak menuju ke Eropah melalui Itali. Kerana itu, Eropah sangat bimbang jika saluran minyak di Libya jatuh ke tangan orang yang akan menyekat sumber tersebut ke negara mereka.

Oleh sebab itu, Perancis dan British menjadi negara yang awal menyokong penentangan rakyat terhadap rejim Kolonel Muammar Gaddafi. Dalam masa yang sama, Amerika pula mengadakan hubungan demokratik dengan rejim Gaddafi ini. Tindakan Amerika ini seolah-olah sengaja mahu mewujudkan dua blok pemerintahan di Libya, iaitu satu blok penyokong Gaddafi dan satu blok lagi untuk penentangnya, sebagaimana yang dilakukan Amerika kepada Vietnam, adanya blok Vietnam Utara dan Vietnam Selatan, ataupun Korea Utara dan Korea Selatan. Hal ini menunjukkan betapa tidak jujurnya Barat menyelesaikan konflik antarabangsa.

Campur tangan NATO ke atas mana-mana negara bergolak di Asia Barat tidak akan menghasilkan penyelesaian yang baik, malah akan menambahkan lagi kekacauan negara yang ditanganinya. Contohnya dalam konflik di Libya, kemungkinan kejatuhan Gaddafi akan digantikan dengan kepimpinan baharu yang sama zalimnya. Pertubuhan NATO merupakan satu-satunya gerakan imperealis Barat yang masih wujud sehingga ke hari ini. Mereka mencampuri urusan negara-negara lain kononnya untuk memberikan manfaat kepada penduduk tempatan. Sedangkan matlamat mereka adalah matlamat yang sama terpakai dalam penjajahan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq.

Apabila NATO membekukan aset-aset Gaddafi, alasan yang mereka berikan kononnya untuk menghentikan hasil korupsi ke atas rakyat Libya. Kerana itu, tanpa kita sedar tiada yang memprotes tindakan NATO, seolah-olah mereka memang berhak membekukan wang orang yang dituduh korupsi. Jumlah aset Gaddafi yang dibekukan adalah berjumlah $150 juta dollar, jika-pun Gaddafi itu pemimpin yang tidak baik, persoalannya di sini, ke mana wang itu sekarang? Siapakah yang memanfaatkannya?
  • Krisis Di Yaman
Di Yaman berlaku krisis kabilah yang turut membawa kepada campur tangan kuasa Barat. Ketika krisis ini berlaku, gerakan-gerakan Islam di dunia Arab meminta jasa baik PAS untuk menyelesaikan pertembungan di sana. Peperangan saudara yang berlaku di antara kerajaan Yaman yang dipimpin Ali Abdullah Salleh, masyarakat Syiah Zaidiyyah (mazhab Syiah yang berbeza dengan Syiah yang diamalkan di Iran), pemberontak Houthi di Utara Yaman dan kumpulan Al Qaedah.

Pergolakan di Yaman juga turut dibayangi senario pertembungan blok Utara dan Selatan Yaman sehingga menyebabkan rakyatnya bangkit mahukan reformasi menyeluruh melibatkan politik dan ekonomi, bagi memastikan negara itu dapat bergerak seperti negara normal yang bukan dikuasai seorang pemimpin dan kumpulan-kumpulan elit-nya sahaja.

Saya meminta pandangan Dr.Yusuf Al Qaradawi mengenai krisis yang berlaku di Yaman, kemudian beliau terus mewakilkan saya pergi ke Yaman untuk meninjau sendiri masalah yang berlaku. Saya bersama rakan-rakan Lujnah Politik Antarabangsa PAS seramai 2 orang telah pergi ke Yaman, dan turut bersama kami ialah wakil-wakil diplomatik kerajaan Malaysia. Kita sedar bahawa PAS bukan institusi kerajaan, oleh kerana itu PAS melalui saluran diplomatik kerajaan ke Yaman. Inilah keterbukaan kita, sebagai gerakan Islam kita tidak akan selama-lamanya berkelahi 24 jam dengan kumpulan kerajaan yang memusuhi PAS. Ada waktu kita perlu bekerjasama, dan ada waktu juga kita perlu bertikam lidah. Mereka yang berada di dalam gerakan Islam mesti faham kaedah ini.

Sebagai contoh dalam isu Palestin, PAS menentang Israel, UMNO juga mendakwa mereka membenci Israel, tetapi dalam masalah pemilikan negara bagi rakyat Palestin, pendirian PAS dan UMNO berbeza. UMNO mengambil pendekatan PBB yang mengkehendaki kewujudan dua buah negara iaitu negara Palestin dan negara Israel, sebaliknya prinsip PAS tidak mengiktiraf negara Israel. Ini perbezaan antara UMNO dan PAS.

Dalam isu di Yaman, Lujnah Politik Antarabangsa PAS bersama kerajaan Malaysia cuba menyelesaikan konflik yang berlaku. Alhamdulillah, respon ulama-ulama di Yaman cukup baik, malah mereka sendiri merasa malu dengan kesungguhan wakil kerajaan Malaysia yang datang dari jauh menyelesaikan masalah mereka. Di sana kami mendapat maklumat-maklumat baharu mengenai kekacauan sebenar yang berlaku di Yaman.

Huru-hara di Yaman turut didalangi oleh Muammar Gaddafi, pemimpin Libya yang sangat pelik tabiatnya. Gaddafi yang telah dibunuh oleh rakyatnya, telah membiayai pergerakan Al Houthi (juga kumpulan yang didakwa bermazhab Syiah tetapi berbeza dengan Syiah Zaidiyyah) untuk melakukan huru-hara di Yaman, termasuklah kekacauan di Arab Saudi, manakala sentimen puak dan ideologi antara Houthi dan Al Qaedah, menjadi punca Ali Abdullah berada di puncak konflik negaranya.

Ali Abdullah, selain menghadapi tuntutan-tuntutan rakyatnya yang tidak dipenuhi, kerajaan Yaman turut berdepan ancaman Al Qaedah yang berkubu kuat di kawasan-kawasan yang tidak dikuasai kerajaan pusat, dan ia menyebabkan Yaman lebih terdedah kepada ancaman yang lebih besar iaitu campurtangan Amerika yang masih berkempen "perang menentang keganasan".

Ada yang mengatakan bahawa Al Qaedah ini didalangi Amerika untuk menimbulkan keributan di dalam negara Islam, mungkin ada benarnya. Gerakan Al Qaedah perlu disedari oleh kita, di sana terdapat kumpulan Islam yang mempunyai semangat yang berkobar-kobar memperjuangkan Islam, tetapi tidak feqah (tidak faham kaedah Islam). Feqah ini bukan sahaja ada pada permasalahan ibadat seperti haji, puasa, zakat dan sebagainya, jihad juga mempunyai feqahnya yang tersendiri. Umpamanya orang yang melontar batu di jamrah, jika dia tidak feqah tentang rukunnya, maka batu yang akan dilontar bukannya sebesar kerikil tetapi sebesar kepala.

Berdasarkan krisis yang berlaku di Yaman, konflik sebenarnya bukanlah masalah pertikaian mazhab antara Sunnah dan Syiah, tetapi adalah disebabkan sistem 'berat sebelah' yang diamalkan oleh kerajaan Ali Abdullah. Kerajaan Yaman telah membiarkan penempatan masyarakat Syiah Zaidiyyah tanpa bantuan dan dana kerajaan, tiada peluang pekerjaan diberikan, tiada kemudahan-kemudahan asas dan tiada projek yang boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka, malah hak mereka untuk mendirikan sekolah turut dihalang.

Ketidak-seimbangan pembangunan ini boleh menyebabkan penyakit, ia bukannya mengukuhkan kerajaan tetapi menggoncangkan kerajaan. Bila berlakunya diskriminasi, rakyat akan bangkit menjatuhkan kerajaan. Islam mengajar kita bersikap adil, tidak kira sama ada rakyat itu berbeza sokongan politik, berbeza agama, mahupun mazhabnya, Islam tetap mengajar umatnya supaya berlaku adil.
  • Krisis Di Syria
Rata-rata gerakan Islam di seluruh dunia sebelum ini pernah memuji banyak tindakan-tindakan politik kerajaan Syria, iaitu ketika mereka membantu gerakan jihad seperti HAMAS, HizbuLlah dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Iran. Kedua-dua negara tersebut (Iran dan Syria) pernah menandatangani perjanjian membatalkan visa sebagai tanda persahabatan.

Seluruh gerakan Islam bersetuju dengan sikap kerajaan Syria yang sering menjadi 'incaran' kuasa-kuasa Barat terutama sekutu mereka iaitu Israel, tetapi di sebalik sokongan itu, gerakan Islam di seluruh dunia tetap tidak setuju dan menentang perbuatan presiden mereka iaitu Basyar Al Assad yang menindas rakyatnya sendiri.

Pada tahun 1982, ayah Basyar Al Assad iaitu Hafez Al Assad pernah mengebom masjid-masjid dan membunuh beribu-ribu aktivis Ikhwanul Muslimin yang didakwa sebagai golongan pemberontak (bughah). Ketika rakyat Syria bangkit menuntut perubahan dari situasi yang buruk pemerintah Basyar Al Assad, Basyar muncul bersama tenteranya melawan rakyat dengan aksi yang ganas seperti yang pernah dilakukan ayahnya dahulu.

Ketika wacana kebangkitan Islam di Tehran, saya telah memberikan cadangan kepada kerajaan Iran supaya mengubah polisi hubungan baik negara mereka dengan Syria, dan meminta Iran supaya menyokong 'suara rakyat' di Syria dengan cara menekan kerajaan Basyar Al Assad. Hal ini jugalah yang menjadi kekecewaan kepada Sheikh Mahdi Akef apabila Iran masih tidak meminda polisi hubungan baik antara negara tersebut dengan Syria.

Memanglah pakatan Syria-Iran menjadi ancaman bagi Amerika, tetapi pendirian yang sepatutnya dipegang oleh kerajaan Iran sekarang ini ialah memutuskan hubungan baiknya dengan kerajaan Basyar Al Assad apabila rakyatnya diperlakukan dengan kejam. Malanglah apabila pemimpin-pemimpin di dalam negara Islam tidak bermaruah, sukar ditegur, dan mereka tidak kembali kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw seperti yang diperjuangkan oleh Para Sahabat Baginda saw.

Saidina Abu Bakar ra sendiri pernah menyebut di hadapan rakyatnya, "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu, jika aku melakukan hal yang baik maka bantulah aku, dan jika aku tersilap maka perbetulkan aku". Hal yang sama turut diungkapkan oleh Umar Al Khattab ra, "Sesiapa yang melihat berlakunya kepadaku penyelewengan, maka perbetulkanlah aku".

Selagi pemimpin-pemimpin kita tidak mahu mengubah sikap ke arah mendaulatkan Islam, selama itulah umat Islam akan terhantuk berkali-kali ditempat yang sama.
  • Krisis di Palestin

"Israel Raya" bukanlah misi yang baharu, ia adalah misi yang diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas Perang Dunia ke-2, bagi mengotakan perjanjian Balfour yang melibatkan kerajaan British dengan Israel. Ini kerana kerajaan British telah dibantu pelobi-pelobi Israel sejak Perang Dunia Pertama lagi.

Penubuhan negara Israel adalah haram mengikut hukum agama termasuklah hukum undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana, ia ditubuhkan dengan cara merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka.

Negara kuasa besar dunia memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan daripada menangani jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa. Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang diharamkan undang-undang antarabangsa.

Bagi umat Islam pula, sudah menjadi kewajiban yang terpundak ke atas kita semua untuk membebaskan Palestin, sama ada jauh atau dekat, bangsa Arab mahupun bukan Arab.

Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara (two-states solution), satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kita, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak. Walaupun ada di kalangan negara Arab yang menerima penyelesaian dengan cara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja, Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya.

Penutup

Apabila kita kembali ke pangkuan Islam, insya Allah kita akan diberikan kemenangan, sama ada kemenangan itu lahir dari bentuk yang dapat dilihat ataupun tidak kelihatan dari pandangan mata. Sebaliknya apabila kita meninggalkan Islam, kita akan menerima penghinaan daripada musuh-musuh Islam tanpa belas kasihan.

Jangan kita beranggapan, revolusi yang berlaku di seluruh dunia ini menjadi laluan mudah kebangkitan Islam, apatah lagi jika kebangkitan itu dijenterai oleh emosi semata-mata. Dunia Islam perlu bangkit, bangkit dengan roh dan cita-cita menegakkan Islam, serta bersatu menghalakan perjuangan untuk menumbangkan hegemoni global yang dicaturkan oleh musuh-musuh Islam. Cabaran kita dengan gerakan-gerakan Islam yang lain adalah sama, kerana perjuangan kita dengan mereka memiliki matlamat yang serupa iaitu menegakkan kalimah Allah dan membantu agama-Nya.

(Olahan dari Wacana Asia Barat yang disampaikan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Shah Alam 2012)
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia