© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tafsir Surah al-Fiil (Gajah) : Sunnah Perjuangan dan Wasiat Kemenangan

Tafsir Surah al-Fiil (Gajah) : Sunnah Perjuangan dan Wasiat Kemenangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 30 July 2015


Surah al-Fiil yang bermakna “gajah”, bersempena dengan pasukan bergajah dalam perancangan jahat untuk menyerang Kaabah. Perancangan tersebut telah dibuat oleh salah seorang pemimpin Habsyah (kini Ethiopia),  bernama Abrahah bin al-Sabah Abu Ya’soum al-Ashram al-Himyari (571 M). Peristiwa ini diwahyukan oleh Allah Taala kepada Nabi kita, Muhammad saw ketika baginda masih berada di Makkah sebagai janji dan pertolongan yang benar dari Allah kepada hamba-hamba-Nya. Ia diingati oleh seluruh bangsa Arab dan sekitarnya sebagai “Tahun Gajah”. Firman Allah;
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ. أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ. وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ. تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ. فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ

Maksudnya : “Tidakkah engkau tahu (wahai Muhammad), bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap orang-orang yang mempunyai gajah?”

“Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia.”

“Dan Dia (Allah) mengirim kepada mereka burung yang berbondong-bondong.”

 “Yang melempar mereka dengan batu dan tanah yang keras.”

 “Lalu Allah menjadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat.” (surah al-Fiil, ayat 1-5)

Berdasarkan ayat di atas, Rasulullah saw menerima wahyu daripada Allah Taala tentang peristiwa ini yang menandakan kebesaran dan kekuasaan Allah. Peristiwanya dapat dilihat oleh sebahagian daripada penduduk Quraish yang hadir bersama-sama Rasulullah saw dan diketuai oleh penduduk Makkah. Kebiasaannya ayat yang diturunkan di Makkah menyatakan perkara yang berhubung dengan akidah. Kisah ini memberi penekanan agar umat Islam menguatkan akidah dan keyakinan kepada Allah, kerana orang yang yakin menegakkan agama Allah, jangan bimbang dan jangan takut. Dan janganlah juga menjadi seperti orang-orang musyrikin Makkah seperti firman Allah;
وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِن لَّدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ
“Dan mereka (yang kafir) berkata; Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang). Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (surah al-Qasas, ayat 57)

Mereka (orang yang tidak yakin kepada Allah) seolah-olah menuturkan, Kalau kita ikut Islam, kita akan diserang oleh kuasa-kuasa besar dunia. Kita akan kalah kerana tidak mendapat sokongan besar rakyat. Macam mana kita hendak lawan kerana kita tiada apa-apa. Oleh kerana itu, jangan kita ikut Islam. Kita juga perlu ikut dunia lain, kehendak orang ramai, jika tidak dunia akan mengepung kita.

Percakapan ini lazimnya dituturkan oleh kaum musyrikin di zaman Rasulullah saw. Sesungguhnya tidak layak orang Islam bercakap-cakap seperti ini kerana orang Islam itu mesti yakin dan percaya kepada Allah, kepada kekuasaan-Nya juga kebesaran-Nya serta janji-Nya untuk memberikan kemenangan kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya.
Peristiwa serangan bergajah ini telah dikisahkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Sirah. Di antaranya ialah Imam al-Qurtubi rhm yang menyebut perihal Abrahah dan kuncu-kuncunya di dalam kitab tafsirnya. Rentetan peristiwa ini bermula dengan seorang gabenor Habsyah di Yaman bernama Abrahah al-Ashram. Yaman menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Habsyah pada zaman dahulu dan orang yang menjadi wakil Raja Habsyah (Najasyi) di situ adalah Abrahah al Ashram. Lalu Abrahah membina sebuah “Kaabah Baru” yang dinamakan al-Qulais (القليس) yang didirikan di Sana’a. “Kaabah Baru” buatan Abrahah itu lebih cantik dari Kaabah yang asal (lama), kubahnya diperbuat daripada emas sehingga tidak ada tandingannya pada zaman itu.

Abrahah menulis kepada Najasyi (sebelum memeluk Islam), Raja Habsyah dengan memberitahu bahawa dia telah membina sebuah Kaabah yang cantik, dan belum pernah dibina oleh tamadun bangsa lain. Tujuannya adalah untuk memalingkan bangsa Arab daripada pergi menunaikan haji di Makkah kepada melawat “Kaabah Baru” di Yaman yang dinamakannya al-Qulais. Abrahah asalnya merupakan pengikut Najasyi di samping gabenor yang bernama Aryat. Ketika Aryat dan Abrahah menjadi gabenor, berlaku perselisihan sehingga mereka memutuskan siapa yang menang dalam pertempuran tersebut maka berhaklah pemenang memerintah Yaman. Pertarungan berlaku sehingga Aryat berjaya dibunuh, dan Abrahah menerima kecederaan serius di mukanya. Wajah Abrahah berparut akibat terkena libasan pedang Aryat sehingga dia digelar Abrahah al-Ashram, “al-Ashram” bermaksud kesan parut. Najasyi begitu murka terhadap Abrahah kerana pembunuhan Aryat dilakukan dengan cara khianat, iaitu menikamnya dari belakang oleh salah seorang tentera Abrahah. Jemputan Abrahah ke “Kaabah Baru”, adalah untuk memulihkan kembali hubungannya dengan Najashi.
إني قد بنيت لك كنيسة لم يبن مثلها لملك كان قبلك
“Aku telah membina untukmu (wahai Raja Najasyi) gereja (Kaabah Baru) yang tidak pernah dibina oleh pembesar-pembesar sebelum kamu.”

Najasyi gembira dengan pencapaian Abrahah sambil mengarahkan rakyatnya berkunjung ke “Kaabah Baru” di Yaman. Kaabah di Baitullah al-Haram sejak sekian lama telah menjadi tempat kunjungan orang-orang Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw. Setelah Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim as, Kaabah menjadi tempat ibadat kepada Allah. Kemudian dalam beberapa tempoh yang panjang, orang Arab yang pada asalnya beragama al-Hanif (bersih dari unsur syirik) mula menyembah berhala. Walaupun mereka menyembah berhala, tetapi mereka tetap memuji dan memuja Kaabah. Mereka menunaikan haji pada tiap-tiap tahun, di mana ibadat haji merupukan ibadat yang telah dilakukan sebelum kedatangan Islam, kemudian dinyatakan oleh Islam dan diperbetulkan mengikut syariat Allah.

Orang-orang Arab masih tetap dan kekal mengunjungi Kaabah. Abrahah membuat pengisytiharan bahawa dia tidak mahu orang-orang Arab mengunjungi “Kaabah Lama” Baitullah al-Haram tetapi mengunjungi “Kaabah Baru” al-Qulais. Apabila mendengar berita demikian, orang-orang Arab yang terlalu memuja Kaabah menjadi marah. Tiba-tiba salah satu kabilah Arab al-Nas’ah dari Bani Faqim bin A’diyy yang sangat memuliakan Baitullah pergi ke Yaman, masuk ke dalam “Kaabah Baru” al-Qulais, dan membuat provokasi dengan membuang najis di dalamnya. Selepas itu, dia melarikan diri. Kabilah al-Nasa’ah terkenal di kalangan bangsa Arab Jahiliyyah sebagai kabilah Arab yang pertama menghalalkan apa yang haram, dan menghalalkan apa yang haram oleh Allah. Kabilah al-Nasa’ah telah menghalalkan bulan-bulan yang diharamkan Allah berperang (Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan mengharamkan bulan-bulan yang dihalalkan oleh Allah untuk berperang. Firman Allah;
إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُحِلُّونَهُ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُ عَامًا لِّيُوَاطِؤُواْ عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّواْ مَا حَرَّمَ اللَّهُ
“Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah.” (surah al-Taubah, ayat 37)

Ada juga riwayat yang mengatakan “Kaabah Baru” buatan Abrahah sengaja (dirancang) dibakar, untuk dijadikan alasan kukuh kedatangan Abrahah menghancurkan Kaabah di Baitullah al-Haram. Oleh kerana itu, firman Allah;
  أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ
“Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia.”
 
Abrahah menujukan tuduhan dan segala kesalahan kepada orang-orang Arab, tujuan besarnya untuk membinasakan Kaabah. Abrahah telah mengambil satu keputusan dan tindakan berani mengikut hawa nafsu dan “pukul rata” dengan menyediakan satu kontinjen ketenteraan menuju ke Makkah bertujuan untuk meruntuhkan Kaabah yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim as. Dia bersumpah bahawa dia wajib pergi Baitullah al-Haram dan meruntuhkannya. Dalam angkatan tenteranya itu, ada seekor gajah yang digunakan sebagai kenderaannya. Mengikut sebahagian ulama kenderaannya hanyalah seekor gajah, sebahagian ulama lain pula berpendapat bukan seekor, tetapi lapan ekor gajah yang menyertai pasukan Abrahah. Namun begitu mengikut kebanyakan ulama, jumlah gajah tersebut hanyalah seekor sahaja. Inilah keterangan yang lebih tepat dan sahih pada pandangan mereka bahawa Abrahah bersama seekor gajah dan turut diiringi anggota tenteranya menuju ke Makkah.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan orang-orang Arab bahawa Abrahah al-Ashram datang hendak meruntuhkan Kaabah, maka beberapa kabilah bertindak membentuk beberapa pasukan untuk menyerang Abrahah bertujuan untuk menghalangnya daripada sampai ke Makkah. Di utara sebuah kabilah Zu Nahar, merupakan satu kabilah Arab di Yaman. Mereka mengerahkan kaumnya membentuk satu pasukan, untuk menyerang Abrahah. Namun, hanya dengan kekuatan 1% sahaja tentera-tentera Abrahah dapat mengalahkan mereka.

Beberapa kabilah Arab lain turut menyerang pasukan Abrahah, tetapi masih tidak mampu mengalahkan mereka, bahkan ketua-ketua kabilah ini telah ditawan oleh tentera Abrahah. Terdapat juga di kalangan orang Arab yang sanggup menjadi pemandu jalan kepada Abrahah. Apabila Abrahah menang, sudah tentu dia juga ikut menang. Biarpun apa yang dimenangi itu salah. Penunjuk jalan ini dikenali sebagai Abu Righal(أبو رغال) dari Bani Thaqif. Abu Righal di kalangan bangsa Arab merupakan lambang pengkhianat yang menjadi penunjuk jalan kepada Abrahah menuju ke Makkah. Setelah Abu Righal mati, kuburnya direjam oleh orang Arab. Orang Arab di zaman jahiliyah yang menunaikan haji bukan sahaja melontar jamrah, bahkan juga melontar kubur Abu Righal.

Abrahah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir Makkah dan merampas beberapa ekor unta. Mengikut riwayat 200 ekor unta tersebut adalah milik Abdul Mutalib, datuk Rasulullah saw. Pada masa itu, Abdul Mutalib menjadi pemimpin Makkah dari kabilah Bani Hashim. Abrahah telah menghantar utusannya menemui pemimpin-pemimpin Makkah memberitahu tujuan kedatangan mereka bukan untuk membunuh orang, tetapi untuk meruntuhkan Kaabah, kerana dendam al-Qulais yang telah dikotorkan oleh orang Arab. Lalu Abdul Mutalib datang bersama-sama rombongan yang dianggotai pemimpin-pemimpin Arab menemui Abrahah. Setelah berjumpa, Abrahah bertanya apa yang dikehendaki oleh mereka. Abdul Mutalib menjawab;
حاجتي مائتا بعير لي أصابتها مقدمتك
Aku meminta agar dipulangkan kembali 200 ekor unta yang telah dirampas oleh pasukan tentera kamu.

Abrahah tercengang lalu berkata;
والله لقد رأيتك فأعجبتني ثم تكلمت فزهدت فيك. لأني جئت إلى بيت عزكم ومنعتكم من العرب وفضلكم في الناس وشرفكم عليهم ودينكم الذي تعبدون فجئت لأكسره وأصيبت لك مائتا بعير، فسألتك عن حاجتك فكلمتني في إبلك ولم تطلب إلي في بيتكم
Demi Tuhan, aku mula terpegun dengan keberanianmu tetapi bila kamu datang menyatakan hajatmu (permintaan) kepadaku sungguh ia telah menjatuhkan kewibawaanmu. Aku datang ke negerimu untuk membinasakan tempat (Kaabah) yang menjadi kebanggaan kamu, warisan yang dipelihara kamu di kalangan bangsa Arab dan sejarah kamu di antara tamadun manusia, dan kemuliaan kamu, agama kamu, lalu yang menjadi musibah bagi kamu ialah 200 ekor unta? Telah aku tanyakan hajatmu lalu yang menjadi kesayanganmu ialah unta-unta kamu, bukan Kaabah yang kamu puja itu.

Abdul Mutalib menjawab;
أيها الملك أنا أكلمك في مالي و لهذا البيت رب هو يمنعه لست أنا منه في شيء؛ أنا رب الإبل وإن للبيت رباً سيمنعه
“Wahai raja (Abrahah), aku menuntut hartaku (kepunyaanku yang dirampas kamu), sedangkan Kaabah itu ada pemiliknya (Tuhan) Dia-lah yang akan menjaganya. Aku sedikitpun tidak berhak ke atas-Nya. Aku hanyalah pemilik unta, adapun Kaabah itu ada Pemilik yang akan menjaganya.”

Abrahah dengan angkuh mengatakan bahawa tiada siapa yang dapat menghalangnya termasuklah Allah Taala. 200 Unta Abdul Mutalib dipulangkan oleh tentera Abrahah. Setelah dipulangkan, Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya penduduk Makkah pulang, mereka menyembunyikan diri sambil memerhatikan tindakan tentera Abrahah ke atas Kaabah. Mengikut setengah riwayat, apabila Abrahah sampai di Kaabah, seorang penduduk Makkah membisikkan ke telinga gajah dengan perkataan melarang ia dari meruntuhkan Kaabah kerana ia adalah rumah Allah dan yang menjaganya juga adalah Allah.

Allah Taala yang memeliharanya dan Allah Taala juga yang menjaganya. Salah satu perkara yang menakjubkan adalah bala tentera Allah itu ada yang taat dan ada yang tidak taat. Kadang-kadang bala tentera binatang menjadi bala tentera Allah Taala yang lebih taat kepada Allah berbanding manusia yang mempunyai akal fikiran. Apabila gajah itu dihalakan ke Kaabah, ia berpusing ke belakang, duduk dan tidak mahu berjalan, biarpun dipukul teruk. Apabila berpusing ke belakang (arah lain), ia berjalan dan berlari. Apabila dihala ke Syam ia berjalan, dihala ke Yaman ia berjalan, tetapi apabila di hala ke Kaabah semula ia tidak mahu berjalan.

Saat yang cemas ini mengikut riwayatnya, Abdul Mutalib telah bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Di antara doa yang dibacakan oleh Abdul Mutalib;
يا رب إن المرء يمنع حله فامنع حلالك، لا يغلبن صليبهم ومحالهم أبداً محالك، إن كنت تاركهم وكعبتنا فامر ما بدالك
Wahai Tuhan! Sesungguhnya seorang di kalangan hambamu (Abrahah) telah mencegah (hamba-Mu yang lain dari menunaikan ibadat di Baitullah). Maka tegahkanlah mereka dari tanah sucimu. Jangan jadikan mereka itu menang dan jadikanlah perancangan mereka suatu yang mustahil. Jika mereka masuk ke tanah haram, maka urusannya terserah pada-Mu.”

Mengikut setengah riwayat lain, dalam tafsir al-Sam’ani juzuk (6), Abdul Mutalib memegang halqah pintu Kaabah dan terus berkata;
يا رب لا أرجو لهم سواكا، يا رب فامنع منهم حماكا، إن عدو البيت من عاداك
Wahai Tuhanku, aku tidak berharap kepada mereka melainkan kepada-Mu. Wahai Tuhanku, halanglah mereka dengan peliharaan-Mu. (Wahai Tuhanku) sesungguhnya musuh rumah-Mu (Baitullah) datang menceroboh adalah musuh-Mu.”

Masyarakat Arab pada waktu itu merasakan kehebatan adalah milik tentera-tentera bergajah Abrahah kerana mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kekuatan ketenteraan seperti itu, sedangkan orang Arab pada masa itu tidak ada gajah. Namun, tipu daya yang dilakukan Abrahah dan pengikutnya membina al-Qulais dan merancang untuk meruntuhkan Kaabah, menjadi satu kesesatan yang kemudiannya dihapuskan oleh Allah Taala. Allah mengutuskan kepada mereka rombongan burung, yang datang berkawan, rombongan demi rombongan.

Mengikut Said ibn Jubair ra, penghulu para tabi’en, burung ini adalah sejenis burung yang tidak dikenali jenisnya. Tidak pernah dilihat di bumi. Sesetengah ulama berkata ia seperti kelawar dan pelbagai gambaran. Perbincangan mengenai jenis burung ini menjadi khilaf di kalangan ulama. Pendapat yang paling baik adalah burung ini adalah burung khas yang dihantar oleh Allah. Allah mengutus kepada mereka burung yang berombongan. Burung-burung ini melontarkan kepada mereka dengan batu yang dibakar hangus. Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, satu di paruh dan dua di kaki.

Sebahagian ulama berkata, batu ini telah dimasak di dalam api neraka jahannam dan pada setiap batu telah ditentukan nama siapakah sasarannya. Allah sudah menentukan nama-nama pada batu-batu yang dibawa oleh burung untuk mempertahankan Kaabah. Mereka dilontar dengan batu-batu yang dibakar hangus. Hal ini sebagaimana yang dinaqalkan di dalam kitab“al-Sihah, batu-batu tersebut dibakar di dalam neraka jahanam, yang ditentukan namanya oleh Allah dan yang ditentukan sasarannya oleh Allah. Allah Taala turut menentukan nama pada setiap batu sebagaimana azab yang juga dikenakan kepada kaum Luth as;
فَجَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ
Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. (surah al-Hijr, ayat 74)

Maka jadilah mereka seperti pohon-pohon kayu yang dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah Taala kepada ashab al-fiil, dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang rumah Allah. Peristiwa ini berlaku menurut kadar tempoh 50 tahun (ada riwayat 40 tahun) sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw, dan tahun 570 M iaitu selepas zaman Nabi Isa as diangkat ke langit. Selepas itu, dibangkitkan pula Nabi Muhammad saw, maka disebut bahawa Nabi Muhammad dilahirkan pada bulan Rabi’ al-Awal Tahun Gajah. Maksud Tahun Gajah ialah kurun peristiwa bersejarah apabila tentera bergajah menyerang Kaabah dan dimusnahkan Allah.

Tanah haram mempunyai keistimewaan yang diberi oleh Allah Taala. Kita tidak boleh memburu binatang dan mencabut pokok-pokok kecuali yang digunakan sebagai sayuran. Tanah-tanah dan batu-batu juga tidak boleh diambil sesuka hati dan dibawa balik kerana ia merupakan kawasan larangan iaitu kawasan yang ditentukan Allah Taala. Jika ada yang terbawa balik, perlu dihantar kembali ke sana. Bawalah balik air Zam-zam, boleh diminum dan ia juga merupakan anugerah Allah kepada umat manusia. Jika kita minum supaya disembuhkan dari penyakit, maka Allah Taala akan menyembuh penyakit. Jika diminum kerana untuk keberkatan, kekuatan dan kecergasan, maka akan dikurniakan Allah Taala nikmat-nikmat tersebut, kerana Rasulullah saw bersabda;
إِنَّهَا مُبَارَكَةُ طَعَامٍ طُعِمَ
Sesungguhnya air Zam-zam itu adalah air yang diberkahi, makanannya semua makanan. (riwayat Muslim) tambahan riwayat al-Tayalisi (وشفاء سقم) yang bermaksud, “dan sebagai penyembuh sakit”.

Telaga Zam-zam itu adalah kurniaan Allah, kedudukan dengan Kaabah sejauh 38 hasta jauhnya. Kita wajib hormati tanah yang diharamkan oleh Allah untuk kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dan dinyatakan oleh Rasulullah saw, yang mesti dipelihara seperti kehormatan darah, maruah di dalam kawasan tanah haram, mengikut batas-batas yang ditentukan Allah. Tanah haram ini dipelihara oleh Allah. Selagi orang Islam mampu menjaga, selagi itulah orang Islam diberi amanah untuk menjaganya. Apabila manusia tidak memeliharanya, tidak berupaya menjaganya, maka Allah menugaskan bala tenteranya dari kalangan Malaikat, binatang untuk memelihara tanah haram. Allah Taala membuktikan kekuasaan-Nya ketika kedatangan Abrahah dengan menghantar burung-burung menyerang Abrahah sehingga Abrahah dan tentera-tenteranya dibinasakan Allah; dan Allah membuktikan ketika peristiwa kejatuhan Makkah.

Pertarungan di antara Ibn Su’ud dan Ibn Rasyid Syarif Husain. Pada saat yang cemas ini, orang yang bertanggungjawab menjaga Makkah telah membawa orang bukan Islam (kafir) masuk ke Makkah. Walaupun kedua-duanya bekerjasama dengan Inggeris, tetapi salah satu kumpulan Islam ini telah berani membawa konsulat Inggeris ke Tanah Haram dengan tujuan untuk mendapatkan senjata daripada Inggeris dengan niat hendak mempertahankan diri dan bukannya mempertahankan wilayah Arab. Kemasukan orang bukan Islam ke Tanah Haram sekitar tahun 1920-an menyebabkan orang Islam pada masa itu tidak berupaya mempertahankan Tanah Haram kerana pemimpinnya tidak betul. Maka, ketika kereta yang membawa orang bukan Islam sampai di Jarwal, iaitu sempadan Tanah Haram, tiba-tiba berduyun-duyun keluar anjing dari bukit Makkah meluru memburu kereta yang membawa orang bukan Islam. Mereka masih berdegil biarpun masih dikawal oleh askar. Biarpun mereka balik dengan selamat, tetapi peristiwa ini suatu yang menakjubkan berlaku di Tanah Suci Makkah. Tidak berapa lama kemudian pemimpin itu dijatuhkan Allah Taala dan ditukar dengan pemimpin yang lain.

Disebut juga di dalam hadis sahih, ketika berlakunya fitnah Dajjal, di akhir zaman apabila dunia dalam kesempitan, orang-orang beriman dalam keadaan lemah, Dajjal membawa seruannya mengajak manusia supaya mengakui Dajjal adalah Tuhan dan dia boleh memberikan apa sahaja yang diminta kepada sesiapa yang mengakui ketuhanan-nya dengan menggunakan sihir, perkara luar biasa yang diizinkan Allah kepada Dajjal untuk menguji orang yang beriman, dan Dajjal menyesatkan ramai manusia. Dajjal boleh masuk ke semua negeri kecuali Makkah dan Madinah kerana dua tempat ini dipelihara oleh Allah. Walaupun tidak ada manusia yang sanggup memelihara dan mengawalnya, Allah Taala mempunyai bala tentera yang ramai untuk mengawalnya sama ada Tanah Suci Makkah mahupun Madinah.

Orang kafir khususnya Yahudi dan Nasrani (Kristian) mempunyai perancangan mahu menakluk Tanah Haram, kerana mereka juga mengakui Tanah Haram adalah tempat yang mulia para Nabi-nabi dan Rasul kepercayaan mereka. Mereka hendak merampas, tetapi Allah tidak mengizinkan. Jika tiada manusia yang menjaganya, akan ada tentera Allah yang memeliharanya. Pernah terjadi satu peristiwa apabila Tanah Haram di Madinah hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah saw di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salahuddin al-Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah saw. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud al-Zinki tiga kali mimpi berjumpa Rasulullah saw, dan Rasulullah saw berkata kepadanya;
يا محمود، أنقذني من هذين الشخصين
Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku daripada dua orang ini (kerana mahu melakukan kejahatan kepadaku).

Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah saw serta mengetahui ada hadis yang berbunyi;
 من رأني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي
Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku (di dalam mimpi). Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku.

Thabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah saw maka itulah Rasulullah saw kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah saw. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham akan maksud mimpinya, kemudian dia memanggil menterinya yang soleh (ada riwayat mengatakan dia adalah Jamal al-Din al-Asfahani, atau al-Muwaffaq al-Qaisarani) dan memberitahu berkenaan mimpi yang diterimanya itu telah berlaku sebanyak tiga kali. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin. Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw; 
ما بين بيتي ومنبري روضة من رياض الجنة
Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga.(muttafaqun alaihi)

Di situlah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menterinya memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah (sedekah) kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing. Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu olehnya dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw di dalam mimpinya. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang;
 هل بقي أحد لم يأخذ شيئا من الصدقة؟
“Adakah masih ada sesiapa lagi (penduduk Madinah) yang berbaki tidak mengambil langsung sedekah ini?”

Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang yang bukan penduduk Madinah datang dari al-Andalus. Mereka adalah saudagar kaya yang datang menziarah untuk melakukan ibadat. Lalu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, Sultan Nuruddin Mahmud segera mengarahkan kedua-dua orang itu membawa ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa berlantaikan tanah, berhampiran dengan Masjid al-Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya perkakasan sedemikian diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah disisihkan, terdapat hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, dan didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang sedang digali menghala ke kubur Rasulullah saw. Apabila kedua-duanya disoal-siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah saw dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat, tetapi pada masa yang sama mereka menggali lubang untuk melakukan khianat terhadap umat Islam. Tanah yang digali diletakkan di dalam kirbah. Kirbah adalah bahagian anggota kambing yang biasanya dibuat tempat mengisi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di dalam telaga di luar tempat penginapan mereka sehingga orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di Bab al-Salam mengikut perintah Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki, dan mayat mereka dibakar di luar sempadan Madinah. Kemudian Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki mengarahkan kubur Rasulullah saw dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali di kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud al-Zinki pada abad 13-M, dan diceritakan oleh Zain al-Maraghi di dalam Tahqiq al-Nusrah, Ibn Qadhi Syahbah di dalam al-Dur al-Thamin fi Sirah Nur al-Din, al-Samhudi di dalam Wafa al-Wafa’, Ibn al-Imad di dalam Syazarat al-Zahb, dan al-Barzanji di dalam Nuzhah al-Nazirin. Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad saw pada masa hidup dan pada masa wafat baginda. Ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Rasulullah saw adalah Nabi yang diutus Allah demi mengajar Islam kepada seluruh umat manusia.

Dalam surah al-Fiil ini juga menunjukkan kebenaran kenabian. Kebenaran kerasulan Muhammad saw dan agama Islam yang dijaga oleh Allah Taala sehingga hari kiamat. Islam dijamin oleh Allah sampai hari kiamat. Tiada musuh yang boleh mengalahkan umat Isiam kerana Islam daripada Allah. Walaupun umat Islam hari ini lemah, dhaif dan tiada kuasa, ini adalah ujian daripada Allah. Ujian ini adalah supaya orang-orang munafik merasa tiada harapan dan dia tidak akan bersama dengan saff-saff umat Islam yang dikiranya sebagai konservatif dan keterbelakang. Lalu dia bersama-sama saff-saff kufur, meninggalkan saff Islam kerana tidak ikhlas, tidak jujur, munafik dan mempunyai kepentingan diri sendiri. Kita tidak mengenali mereka ini kerana kita tidak tahu apa niat yang tersembunyi di hati mereka, maka Allah membuat penapisan dengan perkara-perkara seperti ini. Orang Islam lemah. Orang yang mencari kesempatan akan menyisih dari orang yang lemah. Sedangkan orang yang lemah di mata munafik ini layak memikul amanah di sisi Allah, maka Allah Taala memberi kemenangan kepada Islam, memberi kemenangan kepada orang yang menegakkan agama-Nya sebagaimana Allah memelihara Kaabah dari serangan Abrahah.

Ayat ini menjadi ayat yang sangat penting, menjadi satu surah yang sangat mustahak, menguatkan akidah dan keyakinan kita kepada Allah Taala dan menjadi petanda hikmah yang besar. Allah menurunkan surah al-Fiil di Makkah ketika Nabi Muhammad saw ditekan, ditindas dan dianiaya dan juga untuk menguatkan keyakinan para sahabat bahawa lambat-laun mereka akan menang dengan pertolongan Allah. Apabila tiba pertolongan Allah, maka tiada siapa yang dapat menyekat mereka. Allah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama al-Ustaz Said Hawwa, Profesor Muhamad al-Wakeel serta Dr. Abdul Satar al-Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-