© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Mengurus Keluhan Menjadi Syukur dan Ikhlas

Mengurus Keluhan Menjadi Syukur dan Ikhlas

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 22 February 2013


Makhluk yang namanya manusia pasti pernah mengeluh. Sedar atau tidak, mengeluh itu sendiri adalah sifat asli manusia. Hanya sahaja, frekuensi dan kualiti keluhannya yang membezakan antara satu personaliti dengan personaliti yang lain. Biasanya perbezaan ini berkait dengan taraf kefahaman dan penilaian seseorang terhadap sesuatu masalah yang dihadapinya. Sabar, ikhlas dan seberapa besar keinginan untuk mengubah sebuah keadaan menjadi lebih baik, biasanya akan meminimum-kan isyarat-isyarat keluhan. Sebaliknya, sikap pesimis dan buruk sangka terhadap kejadian yang sedang menimpa secara automatik akan menimbulkan keluhan-keluhan yang kemudiannya beralih menjadi penyesalan, putus asa dan saling salah-menyalahkan.

Secara luhurnya mengeluh adalah rasa tidak puas, tidak ikhlas menerima sebuah ketentuan yang terjadi, baik dari segi fizikal mahupun spritual. Ketika kita sakit kita berkeluh-kesah, atau menyalahkan seseorang. Atau ketika ditimpa musibah kita mempersoalkan rahmat Allah, manakala kepada majikan jika gaji kecil kita mempersoalkan reputasi syarikatnya, kepimpinannya, pengurusannya. Itulah sebahagian contoh kecil yang merupakan sebuah manifestasi dari perasaan tidak puas yang akhirnya membuahkan keluhan. Fenomena di negara yang kita cintai ini juga melalui denai ketidak-puasan hati di mana-mana akibat penyalahgunaan kekuasaan, korupsi-kolusi dan nepotisme dan banyak lagi kriminal politik yang semuanya menunjukkan pada satu hal; Ketidakpuasan! Sebuah potret masyarakat yang diwarnai dengan berbagai keluhan.

Allah Taala menyukai hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dengan segala ketentuan dan bersabar ketika ditimpa sesuatu yang tidak sesuai dengan keinginan. Masalahnya apabila seseorang itu hanyut dalam keluhan, panca-inderanya pun tidak mampu memainkan fungsinya untuk melihat, mendengar, mencium dan merasakan nikmat yang bertebaran diberikan oleh Allah Taala. Hatinya serta merta buta dari mengingat dan bersyukur atas nikmat Allah yang tiada batas.

Pada zaman Umar al-Khattab radhiallahu anhu, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi BaituLlah;
اللهم اجعلني من عبادك القليل
“Ya Allah! Jadikanlah aku dalam golongan hamba-Mu yang sedikit.”

Doa beliau didengar oleh Khalifah Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar kehairanan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas melakukan tawaf, Umar memanggil pemuda tersebut dan bertanya permintaannya sedemikian rupa. Lantas pemuda itu menjawab;
إن الله يقول في كتابه العزيز؛ وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ قَلِيلاً مَّا تَشْكُرُونَ
Sesungguhnya Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang agung (surah al-A’raf ayat 10), Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan, tetapi amatlah sedikit kamu yang bersyukur.(riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Semoga kita menjadi hamba-hamba yang dikategorikan sedikit oleh Allah dalam ayat tersebut. Dengan selalu menjaga ikhlas dan sabar terhadap segala kejadian atau ketentuan yang diberikan oleh Allah. Dan berprasangka positif bahawa apa yang telah terjadi adalah yang terbaik menurut Allah, sehingga hanya rasa syukur sahaja yang terlintas dibenak, terucap dibibir dan terlihat dari tindakan kerana sesungguhnya jika kita bersyukur maka Allah akan menambah nikmat-Nya dan jika kita ingkar, sesunggunya azab Allah sangat pedih.
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (surah Ibrahim ayat 7)

Antara sikap yang perlu kita miliki dalam kehidupan hari ini adalah sabar dan cekal. Kesabaran dalam Islam mempunyai hubung kait dengan Tuhan. Umat Islam dididik untuk memahami kesabaran adalah sebahagian daripada iman. Justeru, kesabaran mempunyai keuntungan dan kebaikannya di sisi Tuhan. Apabila umat Islam bersabar semasa menerima musibah, mereka menyedari bahawa kesabaran itu adalah jambatan bagi mendapat pertolongan Ilahi. Di samping itu, ganjaran yang besar sedang menanti mereka. Dalam surah al-Baqarah ayat 155, Allah menjanjikan;
 وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar.” 

Ini bermaksud kesabaran ada khabar gembira dan ada keuntungannya. Jaminan seperti ini sudah pasti melahirkan optimisme di hati orang yang diuji. Optimisme ini melahirkan usaha dan amal. Semua ini dilakukan dengan ketabahan dan kecekalan.

Umat Islam menyedari sejak awal lagi, dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga adalah tempat kesenangan yang abadi. Justeru, umat Islam bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia. Pada masa yang sama, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat. Sekali lagi Allah memberitahu dalam surah al-Baqarah ayat 155;
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمْوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Sesungguhnya Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Ketika sebuah kejadian tidak diingini menimpa seseorang, menyakitkan hati, membuat kepala berdenyut-denyut dan menjadikan seseorang itu merasa diberi ujian yang sangat berat dan tidak sanggup mengatasinya sendiri, lalu benarkah tindakannya jika ia mengeluhkan masalahnya kepada orang lain?

Rasulullah pernah mengalami sebuah situasi yang jauh dari yang beliau inginkan. Para kaum musyrikin mengabaikan seruannya malah menempelaknya dengan pelbagai tuduhan dan penghinaan. Dalam kondisi tertekan tersebut, Rasulullah mengadu hanya kepada Allah Taala seperti yang terkandung dalam surah al-Furqan ayat 30;
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Dan berkatalah Rasul (Muhammad); Ya Tuhanku! Kaumku ini sesungguhnya telah meninggalkan jauh al-Quran sebagai perlembagaan.

Begitu pula dengan Nabi Yaaqub alaihissalam berkata;
قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
(Nabi Yaakub) menjawab; Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.(surah Yusuf ayat 86)

Manakala Nabi Ayyub alaihissalam yang disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya, ketika Nabi Ayyub berkat;
وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata; Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (surah al-Anbiya’ ayat 83)

Sebaiknya, mengadulah hanya kepada Allah, pohonlah kepada-Nya kerana sesungguhnya semua kejadian sudah menjadi sebuah ketentuan-Nya dan hanya Dialah sebaik-baik pemberi solusi. Tetapi dalam keadaan di mana seseorang itu mengeluh tentang masalahnya kepada orang yang diyakini amanah untuk mendapatkan penyelesaian, maka dalam hal ini sebahagian ulama memperbolehkan sebagaimana kata Ibnu Qayyim dalam (عدة الصابرين وذخيرة الشاكرين), bahawa menceritakan kepada orang lain tentang perihal keadaan, dengan maksud meminta bantuan petunjuknya atau pertolongan agar kesulitannya hilang, maka hal itu tidak merosak sikap sabar; seperti orang sakit yang memberitahu kepada doktor tentang keluhannya, orang teraniaya yang bercerita kepada orang yang diharapkan dapat membelanya, dan orang yang ditimpa musibah yang menceritakan musibahnya kepada orang yang diharapkannya dapat membantunya.

Ujian, musibah dan bala yang menimpa sifatnya tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanyalah satu proses pendidikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah al-Syarh ayat 5 hingga 6;
 فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.”

Biodata Penulis

Siti Sarah binti Abdul Rahim merupakan Eksekutif Penyelidikan dan Dakwah Lembaga Zakat Selangor. Mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar di Fakulti Syariah Islamiyah, Kaherah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-