Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Kenyataan Media
Published on 12 January 2012 Hits: 349
Print

SIK: Usaha menghadapi pelbagai gugatan musuh mampu ditangani para pendokong PAS sekiranya mereka memahami pendekatan di dalam al-Quran dan hadis, demikian ditegaskan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan ke tas kerja bertajuk “Isu-Isu Besar Negara : Peranan Da'ie dan Aktivis Parti” pada Multaqa Daie dan Aktivis Islam di Kompleks PAS Kawasan Sik, 6 Januari baru-baru ini.

Ujarnya, setiap ahli PAS berperanan memelihara diri dan Islam daripada musuh yang sentiasa berusaha merosakkan keyakinan umat Islam hingga menuju kepada kesesatan. Oleh itu, ahli PAS katanya, perlu mengenali dan memahami gerak kerja musuh yang mencetuskan pelbagai putar belit untuk menggugat keteguhan orang beriman.

“Kemahiran menjawab, menolak, menangkis, mempertahan dan kembali menyerang musuh mesti dijadikan senjata kita yang perlu sentiasa diasah dan ditajamkan. Tak boleh kita kata kita tak minat isu. Lihat dalam Al Quran, Allah begitu segera menjawab isu-isu yang berlaku di zaman Rasulullah. Allah tidak biarkan Nabi terkapai-kapai cari jawapan, Allah segera membantu menurunkan wahyu melalui Jibril,” terangnya.

Menurutnya, terdapat tiga kategori isu iaitu menguntungkan musuh atau menguntungkan kita, mahupun bergantung kepada kebijaksanaan kedua-dua pihak mengeksploitasinya. Namun yang penting tegasnya, adalah menunaikan kewajipan menjawab dan menguruskan isu-isu tersebut. Akui Ustaz Nik Abduh, adakalanya melanda pelbagai isu pelik yang sebenarnya adalah ujian Allah kepada manusia.

"Allah hendak lihat apa jawapan orang Mukmin terhadap isu itu. Sedangkan jawapan itu sudah ada dalam Al Quran dan Hadis. Mudah sahaja bagi orang yang baca Quran dan hadis dari terfitnah dengan isu-isu yang berlaku,” jelasnya yakin.

Katanya, kegagalan mengurus isu akan menjadi fitnah yang menggugat keyakinan umat Islam kepada imannya bahkan jauh sekali menarik kepercayaan bukan Islam.  Terang beliau, di dalam Al Quran telah ditunjukkan Allah mengenai keperluan menjawab segera isu termasuk melalui mesyuarat, debat, dialog, majlis penerangan serta mengadakan pertemuan selain memanfaatkan medium sebaran.

"Kita sebenarnya sudah ada jawapan kerana banyak isu berulang-ulang sejak zaman Nabi. Jadi bila faham isu dan ada ilmu akan lebih mudah kita menangani isu", ujar beliau.

Dalam pembentangannya itu, beliau turut mendedahkan peserta beberapa contoh isu yang sering dijadikan modal oleh Umno menyerang lawannya serta cara-cara menangani mengikut pendekatan Al Quran dan Hadis. Antaranya isu akhlak dan etika pemimpin, isu berkaitan perundangan Islam dan isu hak manusia secara umum.

Ustaz Nik Abduh turut melontarkan saranan agar ahli PAS meningkatkan keupayaan menghadapi pelbagai usaha musuh antaranya dengan penguasaan dan pemahaman isu menerusi jawapan-jawapan yang terkandung di dalam akhbar rasmi PAS iaitu Harakah. Antara medan lain pula ujarnya adalah menerusi media baru, majlis ceramah, usrah dan taklimat parti serta sembang kedai kopi.

KOMEN TETAMU

MOD_PHOCA_FACEBOOK_COMMENTS_SHARE_ON_MYSPACE
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.