© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » PENDEKATAN AL-QURAN DI DALAM BERDAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

PENDEKATAN AL-QURAN DI DALAM BERDAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 16 January 2020




1.        PENDAHULUAN

Al-Quran merupakan kitab yang menjadi teras pegangan wajib umat Islam. Bahkan berpegang dengan al-Quran merupakan salah satu wasiat penting yang disebut oleh Rasulullah SAW. Ini dapat dilihat melalui sabda baginda :
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya : “Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah nabiNya.”
(Riwayat Malik, diriwayatkan dengan lafaz berlainan oleh Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Perintah berpegang kepada petunjuk al-Quran banyak disebut oleh nas-nas syarak samada melalui ayat-ayat al-Quran sendiri atau hadith-hadith nabi. Di antara ayat-ayat yang memerintahkan supaya umat Islam berpegang dengan al-Quran ialah :

1. Firman Allah SWT :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا
Maksudnya : “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai”
(Surah Ali-Imran, 3 : 103)

Ibnu Kathir (2004) semasa menafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan sebagai tali Allah itu ialah al-Quran (jilid 3 : 134). Beliau mendatangkan satu hadith Nabi SAW :
حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ
Maksudnya : “Itulah tali Allah yang kukuh, ialah zikir yang bijaksana dan ia adalah jalan yang lurus.” (al-Tirmidhi 1417H : 650).

           
Al-Tirmidhi bagaimanapun menyatakan bahawa hadith di atas ialah gharib jiddan (sangat ganjil) (ibid : 650). Bagaimanapun, terdapat hadith lain yang lebih jelas menegaskan bahawa apa yang dimaksudkan sebagai tali Allah itu ialah al-Quran. Hadith tersebut ialah :
أَلا وَإِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَحَدُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ مَنْ اتَّبَعَهُ كَانَ عَلَى الْهُدَى وَمَنْ تَرَكَهُ كَانَ عَلَى ضَلالَةٍ
Maksudnya : “Sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu dua perkara, salah satunya Kitab Allah iaitu tali Allah, sesiapa yang mengikutinya berada di atas petunjuk, sesiapa yang meninggalkannya berada di atas kesesatan.” (Muslim : nombor 4425).

2. Firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya : “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).”
(Surah al-Baqarah, 2 : 185)

Di dalam ayat ini, Allah SWT telah menyifatkan al-Quran sebagai huda (petunjuk) kepada manusia. Al-Alusi di dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit (1977) semasa menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa kedua-dua sifat tersebut iaitu petunjuk dan penjelasan merupakan sifat yang asas bagi al-Quran itu sendiri. Manakala al-Qurtubi (2006) menjelaskan bahawa maksud daripada petunjuk itu ialah seluruh isi kandungan al-Quran samada muhkam, mutasyabih, nasikh, mansukh, halal dan haram dianggap sebagai petunjuk yang terbaik kepada manusia.

3. Firman Allah SWT :
إِنَّ هَذَا الْقُرْآَنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا (9)
Maksudnya : “Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mu'min yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,”
(Surah al-Isra’, 17 : 9)

Apa yang dimaksudkan dengan ‘jalan yang lebih lurus’ di dalam ayat di atas ialah cara hidup beragama yang paling benar jika dibandingkan dengan agama-agama yang lain. Kebenaran ini meliputi semua bentuk amalan dalam kehidupan. Ini bermakna dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan, seseorang itu dijamin berada di dalam kebenaran (Al-Razi 1981 : j.20 hal.162)

Ayat-ayat yang disenaraikan di atas hanyalah merupakan sebahagian daripada penegasan bahawa Allah SWT memerintahkan kepada setiap muslim agar menjadikan al-Quran dijadikan sebagai panduan di dalam kehidupan.

Termasuk di dalam kepatuhan kepada ayat-ayat al-Quran ini ialah menjadikannya sebagai panduan di dalam melakukan gerak kerja dakwah. Ini kerana suasana  penurunan al-Quran pada zaman Rasulullah SAW ialah suasana dakwah samada ketika berdepan dengan golongan musyrikin, munafiqin bahkan muslimin sekalipun.

Di dalam bab ini, pengkaji menyenaraikan pendekatan dakwah yang digunakan oleh al-Quran di dalam menarik golongan bukan Islam untuk menerima dan memasuki Islam.
                                                                                                  
2.         DEFINISI

Definisi Al-Quran
Para ulama berselisih pandangan berkenaan dengan definisi al-Quran dari sudut bahasa. Menurut Manna’ Qattan (1998), perkataan al-Quran merupakan kata terbitan dari perkataan qara’a yang antara lainnya bermaksud himpun dan kumpul. Perkataan al-Quran dan al-Qira`ah pula bermaksud menggabungkan huruf-huruf dan perkataan-perkataan sebahagiannya kepada sebahagian yang lain di dalam membuat penyusunan ayat. Ini berdasarkan kepada sebutan kalimah qura`anah yang bermaksud bacaannya di dalam firman Allah SWT :

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآَنَهُ. فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآَنَهُ
Yang bermaksud : Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.
(Surah al-Qiyamah, 75 : 17)

            Menurut Manna’ Qattan lagi, perkataan al-Quran dari sudut bahasa hanyalah dikhususkan kepada kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Itulah juga pendapat yang dipilih oleh Doktor Salah al-Sawiy dan Doktor Muhammad  Salim di dalam kitab mereka Muhadarat fi ‘Ulum al-Qu`ran (t.t).
            Sebahagian ulama juga menyebut bahawa penamaan kitab ini sebagai al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang  lain ialah kerana ia mengandungi semua jenis ilmu dan pengetahuan (Manna’ Qattan  1998 : 19). Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Yang bermaksud : Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
(Surah al-Nahl 16 : 89)

Dari sudut istilah pula, al-Quran ditakrifkan sebagai :
كلام الله تعالي المنزل علي محمد صلى الله عليه وسلم المتعبد بتلاوبه
Yang bermaksud :  “Kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW dan menjadi ibadah jika membacanya.”
           
Definisi ini agak terkenal di kalangan para penulis dan pengkaji ulum al-Quran. Antaranya, Doktor Fahd bin ‘Abd al-Rahman bin Sulayman al-Rumi di dalam kitabnya Dirasat fi `Ulum al-Qur’an al-Karim (2003). Menurut beliau, definisi tersebut merupakan definisi yang paling tepat untuk al-Quran, ini kerana ia meliputi semua syarat-syarat dan sifat-sifat khusus bagi al-Quran.
Manakala Doktor Salah al-Sawiy dan Doktor Muhammad  Salim (t.t) mempunyai definisi yang sama dengan sedikit penambahan. Menurut mereka, al-Quran dari sudut istilah ialah :
كلام الله المنزل علي محمد صلي الله عليه وسلم المنفول إلينا بالتواتر، المتعبد بتلاوته، المتحدى بأقصر سورة مننه
Yang bermaksud : “Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, yang disampaikan kepada kita secara berkesinambungan, menjadi ibadah jika membacanya dan menjadi pelemah kepada musuh sekalipun dgn surahnya yang paling pendek.”

                                    Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2005) pula hanya mendefinisikan al-Quran sebagai ’kitab suci umat Islam’.

Definisi Dakwah
Dari sudut bahasa,  perkataan dakwah merupakan perkataan arab yang berasal dari perkataan da’a. Menurut Ibnu Manzur di dalam kitabnya Lisan al-`Arab (1975 : 1385), ia berasal dari perkataan :  
دَعا - يَدْعُو- دَعْوَةً - ودُعاءً
yang bermaksud menyeru. Ia merupakan kata terbitan dari perkataan da`a atau al-du`at  yang merujuk kepada seseorang yang memohon bantuan atau memanggil untuk meminta pertolongan. Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada istighathah iaitu memohon pertolongan. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna.”
(Surah al-Anfal 8 : 24)

Dari sudut istilah, ada beberapa definisi yang diberikan oleh para pengkaji. Antaranya, dakwah ditakfrifkan sebagai seruan kepada Allah SWT iaitu seruan kepada beriman denganNya dan apa jua yang datang dari rasulNya dengan cara membenarkan apa yang dibawa oleh para rasul, mentaati apa jua perintah mereka. Ini meliputi seruan kepada mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji. Ia juga bererti menyeru ke arah beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitabNya,  rasul-rasulNya, kebangkitan selepas mati, beriman kepada qadhak dan qadar serta mengajak ke arah mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah melihatNya (al-Qahtani 1999 : 6).

Selain itu, dakwah juga turut didefinisikan sebagai seruan ke arah membentuk masyarakat Islam, meningkatkan penghayatan terhadap Islam serta memastikan masyarakat Islam terus kekal bersama-sama dengan peraturan Islam (Jum`ah `Amin `Abd al-`Aziz 1999 :  21)

3.         PENDEKATAN DAKWAH AL-QURAN KEPADA BUKAN ISLAM

Jika ditinjau di dalam al-Quran, akan didapati pelbagai kaedah-kaedah dakwah yang ditunjukkan khusus di dalam mengajak golongan bukan Islam mendekati dan seterusnya menerima Islam. Ia bermula sejak zaman Nabi Nuh AS sehinggalah ke zaman Rasulullah SAW. Pendekatan-pendekatan dakwah ini boleh disenaraikan seperti berikut :
                                      
3.1                    Menggesa menggunakan akal fikiran memerhatikan kelemahan makluk yang dicipta Allah bagi membuktikan kehebatan Pencipta

Al-Quran menggesa manusia supaya sentiasa menggunakan akal fikiran dan membuat pemerhatian terhadap kejadian alam semesta. Pemerhatian seperti inilah yang akan memudahkan hati menerima Islam dan meyakini ketuhanan Allah SWT. Di antara pendekatan dakwah menggunakan akal memerhatikan penciptaan alam semesta dan membuat perbandingan dengan   kehebatan Allah SWT. Ia digunakan oleh Nabi Ibrahim AS seperti yang diceritakan di dalam al-Quran :
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (75) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآَفِلِينَ (76) فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ (77) فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (78) إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (79)

Yang bermaksud : ”Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.  Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
(Surah al-An`am 6 : 75-76)

            Ahli-ahli tafsir berselisih pandangan berkenaan dengan situasi Nabi Ibrahim AS ketika mengungkapkan kata-kata sebagaimana yang tersebut di dalam ayatdi atas. Bagaimanapun, sebahagian besar berpandangan bahawa walaupun zahir ayat ini seolah-olah menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim AS sedang tertanya-tanya tentang siapakah tuhannya, namun pada hakikatnya baginda pada masa itu telah menjadi seorang nabi yang diutuskan oleh Allah SWT. Manakala soalan-soalan yang diajukan oleh baginda itu ditujukan kepada kaumnya dalam usaha menggerakkan akal pemikiran mereka agar menerima ketuhanan Allah SWT (al-Zuhayli 1998 : 264).
           
            Bagaimanapun, al-Suyuti di dalam kitabnya al-Durr al-Manthur (1993 : 304) berpandangan bahawa situasi Nabi Ibrahim pada masa itu ialah dalam pencarian tuhan yang sebenar.  Ini bererti Nabi Ibrahim telah melakukan pemerhatian terhadap ciptaan Allah iaitu bintang, bulan dan matahari sebelum menerima aqidah yang sebenar. Demikian juga Ibnu Kathir (2004) semasa menafsirkan ayat-ayat di atas telah membawa pandangan Ibnu Jarir yang menukilkan pandangan Ibnu `Abbas yang diriwayatkan oleh `Ali bin Abi Talhah bahawa sebenarnya Nabi Ibrahim AS sendiri sedang tercari-cari tuhan yang sebenar ketika mengungkapkan kata-kata seperti yang termaktub di dalam ayat-ayat di atas. Bagaimanapun Ibnu Kathir sendiri memilih pandangan yang menyatakan bahawa Nabi Ibrahim AS sebenarnya sedang menunaikan tanggungjawab dakwah terhadap penduduk. Beliau mendatangkan firman Allah SWT sebagai hujah  :
وَحَاجَّهُ قَوْمُهُ قَالَ أَتُحَاجُّونِّي فِي اللَّهِ وَقَدْ هَدَانِ وَلا أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِ إِلا أَنْ يَشَاءَ رَبِّي شَيْئًا وَسِعَ رَبِّي كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا أَفَلا تَتَذَكَّرُونَ (80) وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ وَلا تَخَافُونَ أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُمْ بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنزلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا فَأَيُّ الْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِالأمْنِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (81)
Yang bermaksud : Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran? "Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"
(Surah al-An`am 6 : 80-81)

            Demikian juga Sa`id Hawwa (1999 : 1704) turut menegaskan bahawa kata-kata Nabi Ibrahim tersebut merupakan salah satu dari kaedah dakwah baginda kepada kaumnya dan bukanlah bermakna baginda sedang berada dalam pencarian mencari tuhan yang sebenar.
           
            Ditinjau dari kaedah dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim AS, jelaslah bagaimana baginda menggunakan pendekatan menggesa kaumnya agar memerhatikan penciptaan alam semesta dan melihat bagaimana kekuarangan yang ada untuk membuktikan kehebatan Allah SWT. Semua perkara yang dilihat oleh manusia tidak akan kekal sekalipun nampak begitu hebat dan kuat. Lalu dengan kaedah demikian, sebarang penyembahan terhadap makhluk-makhluk yang lemah ini dengan sendirinya akan tertolak.
           
            Al-Quran menceritakan kisah dakwah Nabi Ibrahim AS ini untuk menjadi iktibar kepada umat Islam agar mencontohi kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh baginda di dalam menyampaikan dakwah dan memperkenalkan akidah Islam kepada sasaran dakwah yang masih belum menerima Islam.                     

3.2                    Membuat perbandingan di antara muslim dan kafir pada hari kiamat kelak

Di dalam menggerakkan naluri manusia agar menerima Islam, al-Quran seringkali mengingatkan balasan yang akan ditempuhi jika menolak kebenaran Islam. Kita boleh dapati bagaimana al-Quran banyak membuat perbandingan di antara nasib orang-orang kafir dan orang-orang Islam apabila berada di akhirat kelak. Antaranya ialah firman Allah SWT :

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالاً (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآَيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آَيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106) إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلاً (107) خَالِدِينَ فِيهَا لا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلاً (108)

Yang bermaksud : “Katakanlah: "Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?" Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan denganNya, maka hapuslah amalan- amalan mereka, dan kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat. Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka adalah syurga Firdaus menjadi tempat tinggal. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya.”
(Surah al-Kahfi 18 : 103-108)

            Di dalam ayat-ayat di atas, al-Quran membuat perbandingan yang jelas di antara dua golongan manusia iaitu manusia yang beriman dan manusia yang kufur. Nasib kedua-dua golongan ini diletakkan pada ayat yang berhampiran untuk memudahkan perbandingan dibuat oleh pembaca dan pendengar bacaan al-Quran.
           
            Menurut al-Alusi (1977), ayat-ayat di atas ditujukan kepada golongan ahli Kitab yang memilih untuk menolak kenabian Rasulullah SAW. Walaupun mereka merupakan golongan yang diberikan kitab, mereka tetap akan menghuni neraka di akhirat kelak jika terus menerus menolak dakwah Rasulullah SAW. Al-Alusi menukilkan kata-kata  Saidina `Ali RA ketika ditanya tentang ayat-ayat tersebut :
أولئك أهل الكتاب كفروا بربهم وابتدعوا في دينهم فحبطت أعمالهم
Yang bermaksud : “Mereka itu ialah Ahli Kitab yang kufur kepada tuhan mereka dan mereka mengada-adakan dalam agama mereka lalu sia-sialah amalan mereka.” (1977 : j.11. hal.422)

Pandangan tersebut turut dikongsi oleh Ibnu Kathir (2004) yang turut membawa satu athar sebagai sokongan :
عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ سَأَلْتُ أَبِي { قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالا } هُمْ الْحَرُورِيَّةُ قَالَ لا هُمْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى أَمَّا الْيَهُودُ فَكَذَّبُوا مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَّا النَّصَارَى فَكَفَرُوا بِالْجَنَّةِ وَقَالُوا لا طَعَامَ فِيهَا وَلا شَرَابَ

Yang bermaksud : “Daripada Mus’ab bin Sa`d telah berkata : Aku telah bertanya kepada bapaku (tentang ayat) “Katakanlah: "Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?" Adakah mereka  ialah golongan al-haruriyah? Beliau menjawab, tidak. Mereka ialah golongan Yahudi dan Nasrani. Adapun  golongan Yahudi, mereka telah mendustakan Muhammad SAW manakala golongan Nasrani mereka mengkufuri syurga dan mereka bekata, tidak ada makanan di dalamnya dan tidak ada minuman.”
(Riwayat Bukhari 14 : 353)

Sekalipun ayat tersebut mensasarkan golongan ahli kitab, pengajaran yang dibawa boleh dihayati oleh umat Islam pada zaman kemudian. Apa yang penting ialah bagaimana Allah SWT telah membuat perbandingan di antara nasib orang-orang yang kufur kepadaNya dan juga balasan baik yang akan diterima oleh orang-orang yang beriman. Perbandingan ini dibuat bagi memberikan gambaran yang jelas terhadap manusia mengenai perbezaan ketara di antara kedua-dua golongan ini.Menurut al-Razi di dalam kitabnya Mafatih al-Ghayb (1988), perbandingan ini dibuat untuk menggerakkan hati manusia untuk beriman serta melakukan amalan yang soleh.

Kaedah perbandingan dalam memaut hati manusia untuk menerima Islam bukan sahaja digunakan di dalam ayat ini, bahkan juga terdapat di dalam beberapa ayat-ayat yang lain walaupun tidak khusus kepada golongan bukan Islam. Antaranya ialah firman Allah SWT :
مَثَلُ الْفَرِيقَيْنِ كَالأََعْمَى وَالأَصَمِّ وَالْبَصِيرِ وَالسَّمِيعِ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلاً أَفَلا تَذَكَّرُونَ
Yang bermaksud : Perbandingan kedua golongan itu (orang-orang kafir dan orang-orang mukmin), seperti orang buta dan tuli dengan orang yang dapat melihat dan dapat mendengar. Adakah kedua golongan itu sama keadaan dan sifatnya?. Maka tidakkah kamu mengambil pelajaran (daripada perbandingan itu)?
(Surah Hud 11 : 24)

Allah SWT melakukan perbandingan di dalam ayat di atas berkenaan dengan orang-orang kafir dan orang-orang mukmin. Sebagaimana perbezaan yang begitu besar di antara orang-orang buta dan tuli dengan orang-orang yang melihat serta mendengar, begitulah juga perbezaan yang ketara di antara orang-orang kafir dan orang-orang yang beriman. Selain itu, Allah SWT juga membuat perbandingan yang jelas di antara penghuni neraka dan penghuni syurga di dalam firmanNya :
لا يَسْتَوِي أَصْحَابُ النَّارِ وَأَصْحَابُ الْجَنَّةِ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمُ الْفَائِزُونَ
Yang bermaksud : Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni jannah; penghuni-penghuni jannah Itulah orang-orang yang beruntung.
(Surah al-Hasyr 59 : 20)

Dan juga firmanNya :
أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لا يَسْتَوُونَ (18) أَمَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَى نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (19) وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ (20)
Yang bermaksud : ”Apakah orang-orang beriman itu sama dengan orang-orang yang fasik? mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, maka bagi mereka jannah tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir) Maka tempat mereka adalah jahannam. setiap kali mereka hendak keluar daripadanya, mereka dikembalikan ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya."
(Surah al-Sajdah 32 : 18-20)

Kesemua ayat-ayat yang disenaraikan di atas merupakan bukti bahawa kaedah perbandingan merupakan kaedah yang sering digunakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran di dalam menarik minat manusia untuk mendekati Islam.

3.3          Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh musyrikin        
Pendekatan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh kaum musyrikin juga termasuk di antara pendekatan dakwah yang digunakan oleh al-Quran terutamanya di dalam persoalan akidah. Di antaranya ialah firman Allah SWT :
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4)
Yang bermaksud : Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."
(Surah al-Ikhlas 112 : 1-4)

Ayat di atas merupakan ayat-yang menegaskan prinsip asas akidah di dalam Islam. Menurut Ibnu Kathir (2004) sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Ubay bin Ka`b, surah ini turun apabila datang golongan musyrikin kepada Nabi Muhammad SAW meminta baginda menerangkan nasab keturunan Allah SWT. Lantas, turunlah surah ini yang menegaskan bahawa Allah SWT tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

Di dalam riwayat Imam Ahmad, hadith mengenai sebab turun surah tersebut turut dinyatakan :
عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ أَنَّ الْمُشْرِكِينَ قَالُوا لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مُحَمَّدُ انْسُبْ لَنَا رَبَّكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى) قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (
Yang bermaksud : Daripada Ubay bin Ka`b (berkata) sesungguhnya musyrikin telah berkata kepada Nabi SAW :”Wahai Muhammad, nasabkan kepada kami tuhan kamu”. Maka Allah SWT menurunkan (Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.).

Al-Syeikh Nasiruddin al-Albani di dalam kitabnya Sahih wa Dha`if  Sunan al-Tirmizi (2002) menyatakan hadith ini sebagai hadith yang hasan.
           
            Sebahagian ahli tafsir yang lain pula mendatangkan riwayat-riwayat lain bagi menyokong bahawa surah tersebut diturunkan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan kepada Rasulullah SAW. Antaranya ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Taymiyyah di dalam kitabnya al-Tafsir al-Kabir (t.t:j.7 hal.314) bahawa suruh tersebut diturunkan apabila beberapa orang Yahudi yang terdiri daripada Ka`b bin al-Asyraf dan Huyay bin Akhtab berkata kepada Rasulullah SAW : ”Wahai Muhammad, sifatkan Tuhan kamu yang mengutuskan kamu kepada kami”. Lalu Allah SWT menurunkan ayat ini.
           
            Walau apapun pandangan dan riwayat yang didatangkan oleh ahli-ahli tafsir, surah ini  jelas sekali merupakan jawapan terhadap persoalan yang diajukan kepada Rasulullah SAW. Sekalipun soalan tersebut pendek dan ringkas, namun ia tetap mengandungi cabaran terhadap akidah yang dibawa oleh baginda. Al-Quran bukan sahaja menjawab persoalan yang dikemukakan, bahkan mendatangkan beberapa asas-asas akidah berkenaan zat Allah SWT. Ia  dapat dilihat di dalam ayat yang pertama yang menegaskan keesaan Allah dan menafikan ketuhanan makhlukNya, ayat kedua menegaskan kesempurnaan Allah dan menafikan sebarang kekurangan, ayat ketiga membuat penegasan berkenaan zat Allah yang kekal selamanya dan menafikan nasab serta zuriat dan seterusnya ayat keempat sekali lagi menafikan sebarang sekutu untuk Allah (al-Sabuni 1979 : j.3, hal 622).
           
            Nyata sekali bahawa pendekatan menjawab soalan yang dikemukakan ini merupakan salah satu gaya dakwah yang diperkenalkan di  dalam al-Quran. Selain dari menjawab soalan yang diajukan oleh kaum musyrikin, al-Quran juga seringkali menjawab soalan yang diajukan sendiri oleh orang-orang Islam. Antaranya dapat dilihat di dalam ayat berikut :
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Yang bermaksud : Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(Surah al-Baqaarah 2 : 186)

Dan juga firmanNya :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآَيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: " yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.
            (Surah al-Baqarah 2 : 219)

Dan juga firmanNya :
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah suatu kotoran". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.
(Surah al-Baqarah 2 : 222)

Semua nas-nas yang didatangkan di atas menunjukkan bahawa al-Quran tidak membiarkan persoalan-persoalan yang diajukan kepada Rasulullah SAW tergantung begitu sahaja. Samada persoalan tersebut melibatkan akidah, syariat atau akhlak, pasti akan datang penjelasan daripada Allah SWT.

Dalam konteks dakwah kepada orang bukan Islam, penjelasan-penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakan ini sangat penting di dalam memastikan keraguan yang berkisar tentang Islam terutamanya persoalan akidah dapat dijawab dengan jawapan yang memuaskan.

3.4          Mendatangkan keterangan-keterangan yang jelas bagi menunjukkan kekuasaan Allah

Masalah yang ketara yang membelenggu golongan bukan Islam ialah untuk meyakini bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang Esa dan berkuasa ke atas segala-galanya. Lantaran itu, sebahagian mereka meyakini bahawa Allah SWT ialah tuhan namun dalam masa yang sama turut berkongsi kekuasaan dengan tuhan-tuhan yang lain. Ada juga yang langsung mengingkari ketuhanan Allah SWT dengan menyembah makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT dan tidak kurang juga yang langsung tidak mempercayai kewujudan tuhan.

            Al-Quran datang dengan gaya dakwah mengajak manusia untuk melihat kepada kebesaran ciptaan Allah SWT bagi membuktikan bahawa Allah SWT berkuasa ke atas segala sesuatu. Di antara ayat yang mengandungi kaedah dakwah seperti itu ialah firman Allah SWT :
أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ (17) وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ (18) وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ (19) وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ (20)
Yang bermaksud : Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, dan langit, bagaimana ia ditinggikan? dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? dan bumi bagaimana ia dihamparkan?
(Surah al-Ghasyiah 88 : 17-20)

Menurut al-Razi (2000), ayat ini ditujukan kepada bangsa arab yang merupakan bangsa yang paling tahu mengenai unta. Lalu al-Quran menggesa supaya menggunakan pemikiran untuk menilai betapa hebatnya penciptaan Allah SWT yang menjadikan binatang unta dengan segala faedah dan kelebihannya.

Menurut beliau lagi, ayat-ayat di atas bermula dengan gesaan supaya melihat bagaaimana hebatnya unta yang diciptakan oleh Allah SWT kerana kaum musyrikin boleh melihat bukti-bukti tersebut di hadapan mata mereka. Unta sebagai binatang yang banyak manfaat di mana dagingnya dimakan, susunya diminum, menjadi kenderaan untuk membawa manusia dan barang-barangan serta tidak kurang juga menjadi perhiasan (al-Razi 2000 : j.32,hal 143).

Menurut al-Sayuti (1993), al-Quran mendatangkan gesaan-gesaan supaya manusia melihat dan memerhatikan kehebatan-kehebatan makhluk yang ada di sekeliling mereka kerana langkah mereka yang tidak mempercayai syurga dan neraka yang disebut di dalam al-Quran. Jika mempercayai syurga dan neraka dianggap sebagai satu perkara yang sukar untuk dilakukan semata-mata tidak wujud di hadapan mata mereka, maka diharapkan pemerhatian kepada kebesaran Allah SWT yang ada di hadapan mata mereka berjaya membuka hati mereka untuk menerima hidayah.
           
            Di dalam ayat ini pula disebut berkenaan empat pekara yang boleh disaksikan oleh bangsa Arab. Kempat-empat itu ialah unta, langit, gunung-ganang dan bumi. Mengaitkan kebesaran Allah SWT dengan keempat-empat perkara ini diharapkan dapat membuka hati bangsa Arab khususnya untuk mengakui kebesaran Allah SWT (Ibnu `Asyur 1997 : j.12 hal 304-305)

            Dari sudut kaedah dakwah, membuat gesaan agar sasaran dakwah memerhatikan penciptaan alam semesta merupakan satu kaedah yang baik. Pemerhatian pula hendaklah kepada perkara-perkara biasa yang berlegar di sekitar kehidupan sasaran dakwah. Contohnya, bangsa Arab dengan unta, langit, gunung dan bumi yang boleh mengajak mereka berfikir dengan berkesan.

            Peranan renungan dan pemerhatian ini amat sesuai di dalam menghayati kebesaran Allah SWT yang Maha Pencipta. Prof Dr. Hamka semasa menafsirkan ayat ini menyatakan :
”Disuruh memandang, atau merenungkan. Bukan semata-mata melihat dengan mata, melainkan membawa apa yang terlihat oleh matta ke dalam ’alam fikiran dan difikirkan ; itulah yang disebut sebagai memandang.” (1984 : 121)

Apa yang dimaksudkan oleh Hamka ialah bagaimana al-Quran menggesa supaya manusia sentiasa menggunakan mata untuk memerhatikan segala kekuasaan Allah SWT yang terbukti melalui ciptaan-ciptaanNya. Daripada pemerhatian ini, diharapkan akan lahir rasa kagum kepada kehebatan Allah SWT seterusnya melahirkan akidah yang mantap dan kuat.
                          
3.5          Mendatangkan amthal

Amthal berasal dari perkataan Arab iaitu jamak daripada perkataan mathal, mithil, mathil yang mempunyai maksud yang sama dengan syabah, syibh dan syabih yang bermakna sama, serupa, seperti, sebagaimana dan seumpama (Ibrahim Madhkur 1985 : 888). Dari sudut istilah, amthal ialah perumpamaan. Ia bertujuan untuk memudahkan pembaca al-Quran terhadap sesuatu perkara. Menurut Samih ‘Atif, ahli balaghah telah mendefinisikan al-Mathal dari segi istilah sebagai lafaz yang tersusun yang digunakan bukan pada tempatnya kerana terdapat persamaan di antara dua perkara (perkara yang menyamai dan perkara yang disamakan dengannnya), serta terdapat halangan yang menegah penggunaan maknanya yang asal (1987 : 11). Menurut Ibnu Qayyim al-Jauzi, amthal didefinisaikan sebagai :
شبيه شئ بشئ في حكمه وتقريب المعقول من المحسوس أو أحد المحسوسين من الأخر واعتبار أحدهما بالآخر
Yang bermaksud : ”Menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam hal hukumnya, dan mendekatkan sesuatu yang abstrak (ma’qul) dengan yang indrawi (konkrit, mahsus), atau mendekatkan salah satu dari dua mahsus dengan yang lain dan menganggap salah satunya itu sebagai yang lain..... ” (1986 : 9)

            Di dalam al-Quran, amthal telah digunakan untuk menarik hati manusia untuk mendekati dan menerima kebenaran Islam. Di antara ayat-ayat yang mengandungi amthal sebagai salah satu pendekatan dakwah ialah :
ضَرَبَ لَكُمْ مَثَلًا مِنْ أَنْفُسِكُمْ هَلْ لَكُمْ مِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ شُرَكَاءَ فِي مَا رَزَقْنَاكُمْ فَأَنْتُمْ فِيهِ سَوَاءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنْفُسَكُمْ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ
Yang bermaksud : ”Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.”
(Surah al-Rum 30 : 28)
           
            Al-Sayuti di dalam kitabnya al-Durr al-Manthur (2000 :j.5 hal 298) menyatakan bahawa ayat ini turun kepada kaum musyrikin yang mengerjakan tawaf sekitar kaabah dengan menyebut kalimah-kalimah kufur dan mensyirikkan Allah SWT.
           
            Menurut al-Barousawi (2003 : j.7 hal.30) pula, ayat ini merupakan perumpamaan dari Allah SWT kepada orang-orang yang syirik kepadaNya. Allah SWT mengumpamakan dirinya sebagai pemilik harta yang tentunya tidak akan mahu berkongsi hartanya dengan hamba abdi. Demikianlah juga Allah SWT tentunya tidak berkongsi pemilikan ke atas hak ketuhanan dengan mana-mana hambaNya.
           
            Ternyata pendekatan dakwah dengan menggunakan amthal merupakan pendekatan yang tidak asing di dalam al-Quran. Ia merupakan pendekatan yang menggambarkan sesuatu perkara dengan menggunakan perkara yang lain dalam bentuk yang lebih nyata, didatangkan dalam bentuk bersifat realiti dan memuaskan hati. Di dalam ayat ini, amthal yang digunakan khusus untuk golongan musyrikin yang menyembah selain dari Allah SWT. Apa yang ingin disampaikan oleh ayat ini pula  ialah  mengithbatkan keesaan Allah SWT (al-Zuhayli 2003 : j.11 hal.83-84).

            Pendekatan amthal sendiri pun agak berbeza. Terdapat juga amthal yang mengandungi perbandingan yang agak keras untuk mengetuk hari kaum musyrikin. Antaranya ialah firman Allah SWT :
وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Yang bermaksud : Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
(Surah al-Baqarah 2 : 171)

Di dalam ayat ini, Allah SWT membuat perumpamaan yang agak keras kepada kaum musyrikin. Perumpamaan yang keras sebegini biasanya ditujukan di dalam keadaan kaum musyrikin begitu kuat melakukan penentangan terhadap dakwah Rasulullah SAW.
           
            Menurut al-Sya’rawi, ayat ini menyamakan di antara kaum musyrikin dengan binatang dari sudut tidak mahu mendengar seruan. Sebagaimana binatang yang sukar untuk mendengar seruan kerana tidak memahami bahasa manusia, maka demikianlah manusia yang tidak mahu menerima kebenaran Islam diumpamakan seperti golongan yang tidak memahami bahasa manusia (1991 : j.1 hal.711)


3.6          Menolak ketuhanan sembahan kaum musyrikin
Pendekatan seterusnya yang digunakan oleh al-Quran di dalam berdakwah kepada kaum musyrikin ialah dengan menolak ketuhanan sembahan kaum musyrikin serta melahirkan kehairanan terhadap mereka yang bertuhankan makhluk. Pendekatan seperti ini boleh mencabar minda mereka agar sentiasa berfikir terhadap kebenaran tuhan-tuhan yang mereka sembah.

            Di antara ayat-ayat  al-Quran yang mengandungi pendekatan seperti ini ialah :
قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ . وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Yang bermaksud : Ibrahim berkata: "Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?  Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu".
(Surah al-Saffat 37 : 95-96)

Walaupun ayat ini menceritakan mengenai dakwah Nabi Ibrahim AS kepada kaumnya, namun kerana ia dinukilkan di dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada kita, maka ia juga boleh dianggap sebagai gaya bahasa al-Quran itu sendiri. Menurut Ibnu `Asyur, dialog yang dirakamkan di dalam ayat di atas ialah kata-kata Nabi Ibrahim as di saat hampir dilemparkan ke dalam api yang marak menjulang ekoran tindakannya menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Pada ssat itulah, Nabi Ibrahim mengemukakan hujah ini sebagai mengajak kaumnya untuk berfikir bahawa berhala yang mereka sembah bukannya tuhan kerana berhala itu dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri, sedangkan tuhan tentunya tidak diciptakan bahkan  Maha Pencipta (1997 : j.9 hal 144-145).  Al-Samarqandi pula menjelaskan maksud ayat ini ialah ajakan Nabi Ibrahim kepada kaumnya agar meninggalkan sembahan berhala kerana Allah SWT yang mencipta mereka dan perbuatan mereka, maka sama sekali tidak patut mereka menyembah selain dariNya (1993 : j.3 hal 118-119)

Menurut Ibnu `Adil, perkataan وما تعملون  yang bermaksud “apa yang kamu perbuat” di dalam ayat di atas mengandungi beberapa makna. Antaranya :
  1. Walaupun kelihatan zahirnya kamu yang megukir berhala itu, tetapi sebenarnya yang menciptakanNya ialah Allah SWT melalui tangan-tangan kamu. Maka apakah patut kamu menysirikkan Allah SWT dengan sesuatu yang Dia sendiri ciptakan?
  2. Allah SWT menciptakan kamu dan juga perbuatan kamu itu.
  3. Ayat ini bermaksud ’istifham taubikh’ iaitu mengandungi pertanyaan dengan tujuan untuk menzahirkan kehinaan perbuatan menyembah berhala tersebut.
  4. Allah SWT mencipta kamu, perbuatan kamu dan juga berhala-berhala kamu. Semuanya merupakan milik Allah SWT dan tidak ada sesuatupun yang merupakan hak milik mutlak makluk. (1997 : j.16 hal 326 – 327)

Kaedah dakwah Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan di dalam ayat ini menunjukkan bahawa kadangkala dakwah perlu dilakukan dengan bertindak menafikan ketuhanan yang disembah selain Allah SWT. Pelbagai hujah dan bukti perlu digali dan dicari bagi mengetuk minda dan akal fikiran manusia khususnya golongan yang tidak beragama Islam agar mereka berfikir tentang kebatilan sembahan-sembahan mereka.

            Di sinilah peranan akal dapat dimaksmimumkan penggunaannya ke arah mengithbatkan ketuhanan Allah SWT. Melalui pemikiran dan hujah yang baik, diharapkan golongan sasaran dakwah dapat menerima seruan dakwah dan seterusnya menerima ketuhanan Allah SWT.

3.7                    Menceritakan balasan kepada umat-umat yang terdahulu yang ingkar

Al-Quran  bukan sahaja merupakan kitab yang mengandungi hukum-hakam dan juga pemberitahuan tentang kehidupan di akhirat, bahkan ia turut sama mengandungi cerita-cerita umat terdahulu yang tidak dirakamkan di dalam sejarah tamadun manusia. Al-Quran menceritakan kisah umat-umat terdahulu ini dengan tujuan yang paling utama ialah untuk memberikan peringatan kepada manusia. Firman Allah SWT :
كَذَلِكَ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ مَا قَدْ سَبَقَ وَقَدْ آَتَيْنَاكَ مِنْ لَدُنَّا ذِكْرًا
Yang bermaksud : Demikianlah kami kisahkan kepadamu (Muhammad) sebagian kisah umat yang telah lalu, dan sesungguhnya telah kami berikan kepadamu dari sisi kami suatu peringatan (Al Quran).
(Surah Taha 20 : 99)

Kisah-kisah yang diceritakan di dalam al-Quran juga merupakan sebaik-baik kisah kerana ia merupakan kisah yang benar tanpa sebarang pengaruh dari cerita-cerita dongeng. Kisah-kisah tersebut bukan hanya sekadar untuk dibaca dan difahami, tetapi lebih jauh ia bertujuan untuk didikan, tarbiah dan dakwah (al-Khalidi 1998 : j.1 hal 7).

Di antara kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran untuk menjadi peringatan kepada orang-orang yang menolak kebenaran Islam ialah kisah kehancuran umat-umat yang terdahulu akibat kekufuran mereka. Firman Allah SWT :
أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَالَّذِينَ مِنْ بَعْدِهِمْ لَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا اللَّهُ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَرَدُّوا أَيْدِيَهُمْ فِي أَفْوَاهِهِمْ وَقَالُوا إِنَّا كَفَرْنَا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ وَإِنَّا لَفِي شَكٍّ مِمَّا تَدْعُونَنَا إِلَيْهِ مُرِيبٍ
Yang bermaksud : Belumkah sampai kepadamu berita orang-orang sebelum kamu (yaitu) kaum Nuh, 'Ad, Tsamud dan orang-orang sesudah mereka. tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. Telah datang rasul-rasul kepada mereka (membawa) bukti-bukti yang nyata lalu mereka menutupkan tangannya ke mulutnya (karena kebencian), dan berkata: "Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu disuruh menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa yang kamu ajak kami kepadanya".
(Surah Ibrahim 14 : 9)
Al-Tabari (1995 : j.8 hal 244) menyatakan bahawa ayat di atas merupakan ucapan Nabi Musa AS kepada kaumnya yang keras kepala dan degil. Sebagai menangani sikap mereka yang enggan tunduk kepada Allah SWT, Nabi Musa AS menggunakan pendekatan menceritakan bencana yang telah menimpa kepada umat-umat yang terdahulu akibat kekufuran mereka. Manakala menurut al-Qurtubi (1999 : j.5 hal 242), ada pandangan yang menyatakan bahawa kata-kata tersebut bukanlah kata-kata Nabi Musa AS, tetapi firman Allah SWT sendiri yang ditujukan kepada umat Muhammad SAW.  Pandangan yang kedua ini turut dipersetujui oleh Ibnu Kathir ( 2006 :j.4 hal 480) dengan hujah bahawa kisah-kisah umat-umat yang terdahulu seperti yang disebutkan di dalam ayat di atas tidak termaktub di kitab taurat dan injil. Turut bersetuju dengan pandangan ini ialah Sa’id Hawwa (1999 : j.5 hal 2786).

Walau apapun pandangan mengenai hakikat ayat di atas, dapat dipelajari bahawa ayat tersebut mengandungi satu kaedah yang dakwah yang cukup berkesan iaitu dengan menceritakan kepada audien atau sasaran dakwah mengenai kehancuran umat-umat yang terdahulu akibat kemaksiatan yang berleluasa. Sebagaimana umat-umat terdahulu dihancurkan kerana menolak rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka, begitu jugalah umat yang terkemudian juga tidak terkecuali dari dihancurkan oleh Allah SWT walaupun dalam bentuk yang berbeza jika menolak risalah yang dibawa oleh para rasul (al-Zuhayli 1991 : j.13 hal 220).

Pemberitahuan tentang kisah-kisah umat yang terdahulu tidak hanya dinukilkan di dalam ayat ini sahaja bahkan juga di tempat-tempat yang lain. Ada yang disebut secaca terperinci dan ada juga yang disebut secara ringkas. Namun setiap ayat-ayat ini menguatkan di antara satu sama lain. Antaranya ialah firman Allah SWT :

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13)
Yang bermaksud : Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad?v(yaitu) penduduk Iram yang mempunyai Bangunan-bangunan yang tinggi.  Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain, dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah kamu dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentara yang banyak), yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri, lalu mereka berbuat banyak kerusakan dalam negeri itu, kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab
(Surah al-Fajr 89 : 6-13)

3.8                    Mengemukakan  persoalan-persoalan
Pendekatan yang seterusnya yang digunakan oleh al-Quran di dalam mengemukakan dakwah kepada golongan bukan Islam ialah dengan mendatangkan persoalan-persoalan untuk dijawab oleh mereka. Kebiasaannya persoalan-persoalan ini ialah berkaitan dengan isu-isu aqidah dan ketuhanan yang sekiranya dijawab dengan jujur akan membuktikan kebenaran aqidah yang dibawa oleh Islam.

Di dalam al-Quran, terdapat  beberapa tempat di mana persoalan-persoalan dikemukakan untuk dijawab oleh kaum musyrikin. Di antaranya ialah firman Allah SWT :
أَمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ لَكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَنْبَتْنَا بِهِ حَدَائِقَ ذَاتَ بَهْجَةٍ مَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُنْبِتُوا شَجَرَهَا أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ هُمْ قَوْمٌ يَعْدِلُونَ . أَمْ مَنْ جَعَلَ الْأَرْضَ قَرَارًا وَجَعَلَ خِلاَلَهَا أَنْهَارًا وَجَعَلَ لَهَا رَوَاسِيَ وَجَعَلَ بَيْنَ الْبَحْرَيْنِ حَاجِزًا أَئِلَـهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ . أَمْ مَنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَئِلَـهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلاً مَا تَذَكَّرُونَ . أَمْ مَنْ يَهْدِيكُمْ فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَنْ يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ أَئِلَـهٌ مَعَ اللَّهِ تَعَالَى اللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ . أَمْ مَنْ يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَمَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَئِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ .

Yang bermaksud : Atau siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah, yang kamu sekali-kali tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya? apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? bahkan (sebenarnya) mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran). Atau siapakah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat berdiam, dan yang menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya, dan yang menjadikan gunung-gunung untuk (mengkokohkan)nya dan menjadikan suatu pemisah antara dua laut? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak Mengetahui. Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? amat sedikitlah kamu mengingati(Nya). Atau siapakah yang memimpin kamu dalam kegelapan di dataran dan lautan dan siapa (pula)kah yang mendatangkan angin sebagai kabar gembira sebelum (kedatangan) rahmat-Nya? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? Maha Tinggi Allah terhadap apa yang mereka persekutukan (dengan-Nya).  Atau siapakah yang menciptakan (manusia dari permulaannya), Kemudian mengulanginya (lagi), dan siapa (pula) yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi? apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)?. Katakanlah: "Tunjukkanlah bukti kebenaranmu, jika kamu memang orang-orang yang benar".
(Surah al-Naml 27 : 60-64)


Al-Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa diulang berkali-kali perkataan أَئِلَـهٌ مَعَ اللَّهِ yang bermaksud ‘apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)’ adalah sebagai satu perbandingan di antara Allah SWT yang berkuasa ke atas segala-galanya dengan tuhan yang disembah oleh kaum musyrikin. Perbuatan itu sangatlah tidak patut kerana tuhan-tuhan yang mereka sembah langsung tidak berkuasa ke atas segala sesuatupun 2006 : j.3 hal 476). Menurut al-Sayuti, kalimah yang berbentuk pertanyaan tersebut  membawa makna ’tidak ada bersama Allah SWT mana-mana tuhan yang layak disekutukan’ (2000 : j.5 hal 212).
Menurut Doktor Wahbah al-Zuhayli, ayat-ayat ini ditujukan kepada kaum musyrikin berdasarkan kepada penghujung ayat ke 64 di mana Allah SWT mencabar mereka supaya mendatangkan hujah di atas kebenaran tuhan-tuhan yang mereka sembah selain Allah SWT (2005 : j.10 hal 363). Ini menunjukkan bahawa al-Quran telah menggunakan pendekatan mengemukakan soalan demi soalan yang diharapkan dapat menyentuh sanubari mereka agar menerima ketuhanan Allah SWT.
Manakala menurut al-Sya’rawi, persoalan-persoalan yang dikemukakan ini bukan hanya sekadar persoalan tetapi juga satu cabaran dari Allah SWT supaya kaum musyrikin membuktikan ketuhanan tuhan-tuhan yang mereka sembah. Dalam erti kata
lain ia seolah-olah membawa erti bahawa ”jika kamu mendakwa ada tuhan selain Allah, maka di manakah mereka?” (1991 : j.17 hal 10812). Persoalan ini diulang-ulang sebanyak lima kali di dalam ayat-ayat tersebut sebagai satu usaha untuk membangkitkan nilai fitrah mereka agar dapat menerima akidah yang sebenar.
Kaedah mengemukakan persoalan di dalam berdakwah ini juga disebut di dalam ayat-ayat yang lain di dalam al-Quran. Kita dapat melihat dengan jelas kaedah ini di dalam ayat-ayat berikut :
أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ (58) أَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ (59) نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ (60) عَلَى أَنْ نُبَدِّلَ أَمْثَالَكُمْ وَنُنْشِئَكُمْ فِي مَا لَا تَعْلَمُونَ (61) وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ النَّشْأَةَ الْأُولَى فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ (62) أَفَرَأَيْتُمْ مَا تَحْرُثُونَ (63) أَأَنْتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ (64) لَوْ نَشَاءُ لَجَعَلْنَاهُ حُطَامًا فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ (65) إِنَّا لَمُغْرَمُونَ (66) بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ (67) أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ (68) أَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُونَ (69) لَوْ نَشَاءُ جَعَلْنَاهُ أُجَاجًا فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ (70) أَفَرَأَيْتُمُ النَّارَ الَّتِي تُورُونَ (71) أَأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ (72) نَحْنُ جَعَلْنَاهَا تَذْكِرَةً وَمَتَاعًا لِلْمُقْوِينَ (73)
Yang bermaksud : Maka terangkanlah kepadaku tentang nutfah yang kamu pancarkan. Kamukah yang menciptakannya, atau kamikah yang menciptakannya? Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan kami sekali-sekali tidak akan dapat dikalahkan, Untuk menggantikan kamu dengan orang-orang yang seperti kamu (dalam dunia) dan menciptakan kamu kelak (di akhirat) dalam keadaan yang tidak kamu ketahui. Dan Sesungguhnya kamu Telah mengetahui penciptaan yang pertama, Maka mengapakah kamu tidak mengambil pelajaran (untuk penciptaan yang kedua)? Maka Terangkanlah kepadaku tentang yang kamu tanam. Kamukah yang menumbuhkannya atau kamikah yang menumbuhkannya? Kalau kami kehendaki, benar-benar kami jadikan dia hancur dan kering, kaka jadilah kamu heran dan tercengang.  (sambil berkata): "Sesungguhnya kami benar-benar menderita kerugian", Bahkan kami menjadi orang-orang yang tidak mendapat hasil apa-apa. Maka Terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya atau kamikah yang menurunkannya? Kalau kami kehendaki, niscaya kami jadikan dia masin, Maka mengapakah kamu tidak bersyukur? Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dengan menggosok-gosokkan kayu). Kamukah yang menjadikan kayu itu atau kamikah yang menjadikannya? Kami jadikan api itu untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir.
(Surah al-Waqi’ah 56 : 58-73)

4.        KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, Al-Quran telah menyenaraikan pelbagai method dakwah yang telah digunakan oleh para anbiya sebelum ini di dalam mengajak kaum mereka kepada tauhid. Ia bergantung kepada situasi yang berlaku pada zaman tersebut. Justeru kerana dakwah itu sendiri bersifat anjal, sudah tentu ia wajib disesuaikan dengan situasi dan keadaan yang berlaku pada hari ini. Semoga tulisan yang tidak seberapa ini dapat menjelaskan serba sedikit metodologi dakwah yang digunakan oleh para anbiya’ terdahulu sebagai panduan para abnaul harakah pada hari ini.

                                           
SENARAI RUJUKAN

Manna’ al-Qattan, 1418H / 1997M, Mabahith fi ’Ulum al-Qur`an, Beirut, Lubnan : Muassasah al-Risalah.
Doktor Salah al-Sawiy dan Doktor Muhammad  Salim, t.t, Muhadarat fi ‘Ulum al-Qu`ran, al-Jami’ah al-Amrikiyyah al-Maftuhah : Falls Church USA.
al-Rumi, Doktor Fahd bin ‘Abd al-Rahman bin Sulayman, 2003, Dirasat fi `Ulum al-Qur’an al-Karim, Riyadh : Maktabah al-Malik Fahd al-Wataniah Athna` al-Nasyr
al-Qahtani, Doktor Sa`id bin `Ali bin Wahf, 1999, Fiqh al-Da`wah fi Sahih al-Imam al-Bukhari, Riyadh : Maktabah al-Malik Fahd al-Wataniah Athna` al-Nasyr
Jum`ah `Amin `Abd al-`Aziz, 1999, al-Da`wah : Qawa`id wa Usul, Iskandariah, Mesir : Dar al-Da`wah
Al-Zuhayli, Doktor Wahbah, 1998, al-Tafsir al-Munir di al-`Aqdiah wa al-Syari`ah wa al-Manhaj, Beirut : Dar al-Fikr al-Mu`ashir
Sa`id Hawwa, 1999, al-Asas fi al-Tafsir,  Kaherah : Dar al-Salam
Al-Suyuti, al-Imam `Abd al-Rahman Jalal al-Din, 1993, al-Durr al-Manthur, Beirut : Dar al-Fikr
Al-Razi, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin `Umar bin al-Hasan bin al-Husayn al-Taymi, 2000, Mafatih al-Ghayb, Beirut : Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah
Isma`il bin Kathir, 2004, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Riyadh : Dar ‘Alim al-Kutub
Isma`il bin Kathir, 2006, Tafsir al-Qur’an al-`Azim, Kaherah, Mesir : Dar al-Bayan al-`Arabiy
al-Albani, Nasiruddin, 2002, Sahih wa Dha`if  Sunan al-Tirmizi, Iskandariah, Mesir : Markaz Nur al-Islam Li Abhath al-Qur’an wa al-Sunnah
al-Sabuni, Muhammad ‘Ali, 1979, Safwah al-Tafasir, Kaherah, Mesir : Dar al-Sabuni
Ibnu Taymiyyah, t.t, al-Tafsir al-Kabir, Beirut, Lubnan : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah
Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah (HAMKA), Prof. Dr.,1984, Tafsir al-Azhar, Surabaya, Indonesia : Yayasan Latimojong
Muhammad al-Tahir, Ibnu ‘Asyur, 1997, Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Tunis, Tunisia : Dar Suhnun Li al-Nasyr wa al-Tauzi`
Ibnu Qayyim al-Jauzi, Shamsuddin Muhammad bin Abi Bakr, 1986, al-Amthal fi al-Quran, Tanta, Mesir : Maktabah al-Sahabah
SamihAtif al-Zayn, 1987, al-Amthal wa al-Mithl wa al-Tamathul wa al-Mathulat fi al-Qur’an al-Karim, Beirut : Dar al-Kitab li al-Bayan.
al-Barousawi, Ismail Haqqi bin Mustafa, 2003, Ruh al-Bayan fi Tafsir al-Quran, Beirut, Lubnan : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah
al-Sya’rawi, Muhammad bin Mutawalli, 1991, Tafsir al-Sya’rawi, Kaherah, Mesir : Akhbar al-Yaum
Ibnu ‘Adil, `Umar bin `Aliyy, 1998, al-Lubab fi `Ilm al-Kitab, Beirut, Lubnan : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah
Al-Samarqandi, 1993, Bahr al-`Ulum, Beirut, Lubnan : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah
Salah al-Khalidi, Doktor, 1998, al-Qasas al-Qur`ani, Beirut, Lubnan : al-Dar al-Syamiah
Al-Tabari, Ibnu Jarir, 1995, Jami` al-Bayan `an Ta’wil Ayi al-Qur’an, Beirut, Lubnan : Dar al-Fikr Li al-Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi`

KAMUS
Ibnu Manzur, Jamal al-Din 1975, Lisan al-`Arab, Kaherah : Dar al-Ma`arif.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala Lumpur.
Ibrahim Madhkur, 1985, al-Mu‘jam al-Wasit, jilid 1, Kaherah : (T.P.)


Disediakan Oleh
Ahmad Fadhli Bin Shaari, 
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia


Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-