© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » KESATUAN ASAS KEKUATAN UMMAH

KESATUAN ASAS KEKUATAN UMMAH

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 28 January 2020




Ukhuwah merupakan rukun Baiah ke-9 daripada 10 Rukun Baiah. Berkata Imam Hassan Al-Banna

واريد بالأخوة ان ترتبط القلوب والأرواح برباط العقيدة والعقيدة أوثق الروابط وأغلاها  والأخوة أخت الإيمان والتفرق أخ الكفر وأول القوة قوة الوحدة ولاوحدة بغير حب وأقل الحب سلامة الصدر وأعلاه مرتبة الإيثار
Bermaksud:

“Dan aku kehendaki berkaitan Ukhuwah ialah kamu mengikat hati-hati dan roh-roh dengan ikatan Aqidah. Ikatan Aqidah itu amat kukuh dan mahal. Ukhuwah saudara kepada iman manakala perpecahan saudara kepada kufur. Kekuatan yang utama ialah kekuatan kesatuan, tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Serendah kasih sayang ialah berlapang dada manakala martabat paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain).”

Kekuatan umat Islam sepertimana yang disebutkan oleh Imam Hassan Al-Banna Rahimahullah ini terletak pada kekuatan kesatuan dan perpaduan.

Asas kekuatan inilah yang cuba dihancurkan oleh musuh-musuh Islam dengan pelbagai perancangan yang dibuat dan sebahagiannya telah membuahkan hasil. Memecahkan umat Islam berasaskan kepada puak, kaum, keturunan, mazhab dan aliran adalah jarum-jarum mereka khususnya sepanjang mereka menjajah negara-negara umat Islam.

Satu peristiwa tatkala suatu masa, Imam Hassan Al-Banna memasuki sebuah masjid di Mesir dalam bulan Ramadhan, para Jemaah bertengkar untuk melaksanakan solat terawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Lalu Imam Hassan Al-Banna bertanya, apakah hukum solat yang menjadi pertikaian. Jawab mereka, “Sunat”. Beliau bertanya lagi “Apakah hukum menjaga kesatuan ummah?” Jawab mereka, “Wajib”. Kata Imam Hassan Al-Banna, “Jika begitu, kenapa kalian mendahulukan yang sunat atas yang wajib.”

Selepas umat Islam kehilangan khilafah yang ditumbangkan, maka munculnya gerakan-gerakan Islam mengambil alih peranan mengumpul kekuatan umat Islam yang bermatlamat mengembalikan khilafah Islam seumpama Ikhwan Muslimin tahun 1928. Namun, kekuatan umat Islam yang cuba bangkit selepas kejatuhan khilafah seringkali dipecahkan dengan isu-isu khilafiyah dan remeh-temeh sehingga mereka melupakan matlamat utama.

Oleh itu, jika kita kembali merenung kepada peristiwa agung iaitu Hijratul Rasul Sallallahu ‘alaihi wasallam  maka tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyatukan Ansar dan Muhajirin antara tindakan awal yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam setibanya Baginda di Madinah. Perbalahan antara dua kabilah terbesar yang mendiami bumi Yathrib sebelumnya suatu yang kritikal berlarutan selama 120 tahun secara langsung memberikan kekuatan kepada bangsa minoriti, Yahudi yang sentiasa mencari peluang untuk mengapi-apikan agar dua kabilah ini tidak bersatu. Sepanjang 120 tahun berperang, beberapa siri peperangan menyaksikan ada ketika Aus menang dan Khazraj menang. Tetapi, perang terakhir antara Aus dan Khazraj, Perang Bu’ath yang berlaku kira-kira 5 tahun sebelum Hijrah Rasulullah mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua pihak tidak dimenangi sama ada Aus atau Khazraj. Pihak yang paling bergembira ialah golongan Yahudi.

Ini kerana penyatuan dan perpaduan Aus dan Khazraj mengancam ekonomi dan penguasaan Yahudi di Yathrib selama ini. Sumber air dari Telaga Rumah, gandum dan tanaman tamar dimonopoli dan dikuasai oleh golongan Yahudi. Justeru, permusuhan antara Aus dan Khazraj perlu berlarutan agar Yahudi dapat mengecapi penguasaan yang berterusan di Yathrib.

Majlis taakhi antara Ansar dan Muhajirin ini diadakan di rumah Anas Bin Malik Radhiyallahu ‘anhu dihadiri oleh 90 orang kalangan sahabat, 45 orang dari golongan Muhajirin dan bakinya dari Ansar.

Persaudaraan ini dibuktikan oleh Abdul Rahman Bin ‘Auf dan Sa’ad Bin Rabi’ Radhiyallahu ‘anhuma tatkala dipersaudarakan oleh Rasulullah, berkata Saad, “Aku adalah orang yang kaya di kalangan Ansar, maka aku ingin bahagikan harta aku kepada dua bahagian, aku mempunyai dua orang isteri maka kamu pilihlah siapa yang kamu berkenan aku akan ceraikan, selepas tamat ‘iddah maka kahwinilah dia.”

Abdul Rahman Bin ‘Auf menjawab, “Semoga Allah berkati harta dan keluarga kamu. Tunjukkan kepadaku di mana pasar?. Jawab Saad, “Pasar Qainuqa’ ”.

Firman Allah SWT Bermaksud:

“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang berhijrah ke negeri mereka (Muhajirin) dan tidak ada pula di dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu, mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih dari diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kekurangan. Dan ingatlah sesiapa yang memelihara dirinya dari dipengaruhi sifat bakhil maka mereka orang yang berjaya.”
(Surah Al-Hasyr Ayat 9)

Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung tanggal 14 September 2019 lalu akan tercatat dalam lipatan sejarah negara betapa dua parti orang Melayu terbesar dalam negara, PAS dan UMNO berada di satu pentas dalam satu majlis dengan termetrinya piagam yang membentuk Muafakat Nasional. Siapa terbayang, selepas 60 tahun berkhilaf dalam arena politik tanah air, PAS-UMNO melupakan persengketaan demi Islam. Mereka yang hadir di dalam Dewan Merdeka PWTC atau di luarnya, mereka yang berada di atas pentas atau di bawah, hampir kesemua mengalirkan air mata melihat detik bersejarah ini. Di awal majlis lagi, tatkala Qari jemputan membacakan ayat suci Al-Quran dari Surah Ali-Imran yang memerintah supaya berpegang teguh dengan tali Allah, maka dapat disaksikan beberapa saf kepimpinan sudah mengalirkan air mata. Mungkin inilah apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam golongan yang mendapat “halawatul iman” (kemanisan iman).

Daripada Anas Bin Malik Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda “Tiga perkara jika diperolehi maka akan merasai kemanisan iman: Dia mengasihi Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya, dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah dan dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia tidak mahu dicampak ke dalam api neraka.”                                                                
(Hadis riwayat Imam Muslim)

Sudah tentu penyatuan ini digeruni dan dicemburui oleh musuh. Inilah yang berlaku apabila seorang Yahudi bernama Syas Bin Qais yang cuba mencetuskan api permusuhan. Syas Bin Qais seorang Yahudi dari kabilah Bani Qainuqa’ yang terkenal dengan pembuatan senjata. Ternyata, permusuhan antara Aus dan Khazraj selama ini telah memberi manfaat yang besar kepada Yahudi khasnya dari sumber kewangan. Lalu setelah Aus dan Khazraj dipersaudarakan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang membentuk golongan Ansar maka manfaat ini sudah tidak mereka perolehi. Ini kerana Syas Bin Qais seorang pengusaha senjata mengalami kerugian tatkala Aus dan Khazraj menamatkan persengketaan. Inilah yang Yahudi mahukan kerana mereka mempunyai kepentingan apabila Aus dan Khazraj bersengketa.

Lalu, Syas Bin Qais menemui qabilah Aus dan berkata, “Wahai Aus, apakah kalian lupa apa yang dilakukan oleh Khazraj kepada kalian?.” Begitu juga dia menemui qabilah Khazraj mengapi-apikan dengan mengungkit cerita lama. Ternyata api yang dinyalakan itu benar-benar membakar kembali permusuhan sehingga masing-masing mula mengangkat dan menghunuskan pedang sambil melaungkan kembali nama qabilah. Aus melaung “Wahai Khazraj!” dan berkata Khazraj “Wahai Aus!”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam keluar menemui mereka sambil bersabda “Apakah dengan seruan jahiliyyah kalian laungkan sedang aku masih bersama kalian setelah Allah memberikan kepada kalian petunjuk dan menyelamatkan kamu dari kegelapan.” Lantas para sahabat mula menyedari mereka kembali ke kancah peperangan sebelum disedarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka mencampakkan pedang masing-masing lantas berpelukan sambil menangis. Usaha Yahudi untuk memecahbelahkan kesatuan Ansar-Muhajirin gagal.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketikamana kamu bermusuhan maka Allah menyatukan hati-hati kamu maka jadilah kamu semua bersaudara dengan nikmat-Nya. Kamu pada ketika itu berada di jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikian Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan Allah agar kamu mendapat petunjuk.”

Oleh itu, suara-suara yang mahu melihat penyatuan ummah ini menemui kegagalan hakikatnya talibarut kepada musuh-musuh Islam yang bersifat membenci dan memusuhi kesatuan umat Islam. Melabelkan penyatuan ummah “pengisytiharan perang kepada orang bukan Islam” dan “ala-Taliban” adalah tuduhan jahat lagi melampau.

Justeru, ucapan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS sewaktu menyampaikan Ucaptama di Himpunan Penyatuan Ummah lalu yang mengumpamakan suara-suara anti penyatuan ummah sebagai “anjing yang menyalak bukit” amat tepat.

Yakinlah, kesatuan dan penyatuan ini bukanlah mahu mengejar pangkat, kuasa dan kedudukan namun semuanya ‘Demi Islam’. 



Disediakan oleh:

Muhammad Abdul Malik Abdul Karim
Pengarah AKTAR Pemuda PAS Kelantan

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-