© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Perkaderan 12 Ribu Amilin Berdasarkan Hadis Rasulullah S.A.W

Perkaderan 12 Ribu Amilin Berdasarkan Hadis Rasulullah S.A.W

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 18 December 2019




Mukaddimah

     Perjalanan tarbiah dalam PAS menitik beratkan berkaitan dengan pengisian dan kefahaman yang tulen selaras dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Di peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia pada sesi ini meletakkan objektif secara khusus untuk mengkaderkan setiap ahli dewan pemuda diseluruh Malaysia dengan tema ‘Mengkaderkan 12 Ribu Amilin’. Asas angka 12 ribu ini diambil secara zahir berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan dalam kitab hadis dan sudah pasti mempunyai rahsia yang tersendiri kerana ia disebutkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang dianugerahkan dengan mukjizat sebagai bukti kenabian diutuskan kepada umat akhir zaman.

Lafaz Hadis adalah seperti berikut :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ الصَّحَابَةِ أَرْبَعَةٌ ، وَخَيْرُ السَّرَايَا أَرْبَعُ مِائَةٍ ، وَخَيْرُ الجُيُوشِ أَرْبَعَةُ آلَافٍ ، وَلَا يُغْلَبُ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا مِنْ قِلَّةٍ.

أخرجه الترمذي في جامعه ( 21/1069 برقم 1546 ) وابن خزيمة في صحيحه ( 9/439 برقم 2336 ) وابن حبان في صحيحه ( 49/428 برقم 4803 ) والحاكم في المستدرك ( 17/75 برقم 1573 و 20/135 برقم 2444 ) والدارمي في سننه ( 19/826 برقم 2413 ) وعبد بن حميد في مسنده ( 1/114 برقم 654 ) وأبو يعلى الموصلي في مسنده ( 1/109 برقم 2533 و 1/109 برقم 2653 ) والطحاوي في مشكل الآثار ( 0/71 برقم 477 و 0/71 برقم 478 و 0/71 برقم 479 ) والبيهقي في السنن الكبير ( 58/944 برقم 16951).

Maksud Hadis :
Daripada Ibnu Abbas R.A berkata : telah bersabda Rasulullah S.A.W “Sebaik-baik berteman (ketika bermusafir) adalah seramai empat orang, dan sebaik-baik tentera khas seramai empat ratus orang, dan sebaik-baik tentera adalah sebanyak empat ribu orang, dan tidak akan dikalahkan apabila jumlah tentera sampai 12 ribu tentera kerana sedikit. Hadis riwayat Imam At-Tirmizi (1546) dalam sunannya dan juga dalam kitab-kitab hadis yang lain.

Huraian Ringkas Hadis Dan Kaitannya Dengan Perang Hunain

     Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W ini mengikut perbincangan para alim ulamak adalah berkaitan peperangan menentang golongan kuffar pada zaman Rasulullah S.A.W secara khusus. Dalam hadis ini juga menjamin dengan adanya 12 ribu tentera umat Islam ketika berhadapan dengan pihak musuh tidak akan dikalahkan kerana jumlah tersebut sudah dikira ramai dan memadai untuk mencapai kemenangan. 

    Hadis ini juga dikaitkan dengan angka tentera Islam yang terlibat secara lansung dalam peristiwa perang hunain yang berlaku selepas peristiwa pembukaan kota Mekah pada 6 Syawal tahun 8 Hijrah bersama-sama tentera muslimin terdiri daripada 10,000 umat islam yang yang menyertai ketika pembukaan kota Mekah dan 2,000 lagi adalah mereka yang baru sahaja memeluk islam setelah pembukaan kota Mekah.

      Dengan jumlah tentera islam yang terdiri daripada bilangan yang ramai ini, ada di antara mereka mengatakan: “Di hari ini kami tidak akan dikalahkan”. Namun, pada peringkat awal ini mereka para sahabat tidak menyedari bahawa jumlah yang ramai itu bukanlah satu-satunya faktor utama penentu kepada kemenangan tetapi adalah kualiti sebagaimana peperangan yang sebelumnya tentera umat Islam lebih sedikit berbanding musuh.

    Pada peristiwa inilah Allah telah menurunkan ayat Al-Quran sebagai peringatan kepada umat islam pada waktu tersebut di dalam surah At Taubah dengan menyebutkan hal ini menegur sikap mereka pada waktu itu. Allah S.W.T berfirman :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ (25) ثُمَّ أَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ (26)

Maksudnya : 
‘Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir’. Surah At-Taubah ayat 25 & 26.

    Walaupun diuji oleh Allah pada awal peperangan ini tetapi setelah diuji akhirnya dalam peperangan ini dimenangi juga oleh umat Islam. Semoga selawat tercurahkan kepadamu wahai Rasulullah, juga kepada para sahabatmu yang mulia dari kaum Ansar dan Muhajirin. Semoga Allah berkenan menghimpun kami di bawah panjimu yang mulia dan menjadikan kami beserta orang-orang yang akan menemuimu di telaga pada hari kiamat.

Hikmah Perang Hunain 

     Dalam peperangan Hunain inilah kita dapat lihat akan kesilapan yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam perang kerana merasa yakin dengan bilangan mereka dan dengan jumlah yang ramai ini menyebabkan mereka berbangga dengan kekuatan mereka. Ini ditambah lagi dengan baharu sahaja mengecapi kejayaan umat islam dalam menakluk dan membuka kota mekah daripada tangan musyrikin.

    Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiah yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini. Allah menjadikan bumi yang kelihatan luas ini sempit pada pandangan umat islam kerana sifat jahiliyah yang tersorok dalam hati mereka.

    Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa Allah memberikan kekalahan supaya mereka (tentera islam) merasa akan kepahitan kekalahan kemudian barulah diberikan kemenangan supaya kepala yang ditegakkan kerana kemenangan menakluk Mekah dapat ditundukkan supaya malu di hadapanNya. Agar mereka tidak dapat mengatakan: “kemenangan ini kerana bilangan kami”.

    Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiah imaniyyah. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaiman firmannya:

Maksudnya :
“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128).

Allah S.W.T juga berfirman yang maksudnya :
“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

    Kita berusaha dalam menyediakan keperluan lain seperti fizikal, senjata dan tenaga manusia. Namun sumber kekuatan yang paling utama adalah iman dan taqwa kerana itulah yang kekal di sisiNya. Segala ketentuan dan keputusan akan terpulang padaNya untuk memberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Persiapan harta dan fizikal tidak kekal, motivasi yang datang dari sumber yang tidak kekal juga tidak kekal. Harta dunia akan hilang, senjata akan patah namun iman yang bersinar akan terus bersinar dan datang darinya kekuatan yang memberi kemenangan dalam perjuangan Rasulullah beserta para sahabat.

    Peristiwa Perang Hunain tersebut seharusnya menjadi teladan (Ibrah) bagi kita bahawa perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan ini tidak cukup hanya dengan jumlah pengikutnya saja. Tetapi juga harus diikuti dengan kualiti yang baik kepada setiap dikalangan pengikutnya. Kualiti yang baik hanya dapat diperolehi dengan mempersiapkan atau membentuk kekuatan dalam diri kaum Muslimin.

     Kekuatan yang dimaksudkan adalah antaranya kekuatan akidah (quwwatul 'aqidah), ibadah (quwwatul 'ibadah), dan kekuatan jiwa (quwwatul nafs). Kekuatan akidah akan menghindarkan seseorang dari perbuatan syirik, takabur, dan merendahkan orang lain. Kekuatan ibadah menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT dalam setiap langkah perjuangan. Ini bererti pertolongan Allah akan selalu datang, mengiringi setiap langkah kaum Muslimin. Disamping itu, kekuatan jiwa akan mendorong seseorang untuk bersungguh-sungguh membela kebenaran. Dengan kekuatan-kekuatan inilah yang Allah menganugerahkan kemenangan kepada siapa pun yang diinginkan olehnya.

    Alangkah besarnya faedah yang kita dapat ambil dari kisah yang hebat ini, juga dari Nabi kita dan para sahabat. Hendaklah setiap dikalangan kaitan menjadikan iktibar kepada kita selaku  yang menjalankan kerja dakwah mewarisi perjuangan baginda Nabi S.A.W Allah di muka bumi.

   Perang Hunain ini merupakan pelajaran yang sangat penting tentang aqidah Islamiyyah dan perihal asbab dan musabbab (segala perkara adalah ditentukan oleh Allah) yang menyempurnakan pelajaran dari perang Badar. 

   Jika diperhatikan pada perang Badar Allah telah menetapkan  kepada kaum Muslimin bahawa jumlah mereka jauh lebih sedikit dari tentera kuffar Mekah, namun para sahabat tidak sedikit pun merasa gentar dan takut, sebaliknya mereka terus thabat, bersabar dan bertaqwa dalam menempuh segala ujian yang berat pada waktu tersebut. Manakala dalam peperangan Hunain ini pula, Allah menegaskan kepada kaum Muslimin bahawa bahaya jumlah yang ramai, akan tetapi tidak dapat memberi manfaat apabila mereka tidak bersabar dan bertaqwa.

   Oleh yang demikian kesimpulan yang boleh diambil daripada hadis yang dibincangkan diawal mukaddimah yang menyebutkan angka 12 ribu tentera dengan perang badar dan perang hunain ini hakikatnya bukanlah angka sesuatu kumpulan itu yang dinilai kekuatan, tetapi kekuatan yang sebenar adalah dari kekuatan keimanan, kefahaman dan amalan terhadap Agama itulah yang dinilai kekuatan hakiki yang perlu dimiliki oleh setiap dikalangan kita para pemuda khususnya.
   Sejarah menyaksikan kebangkitan Islam dan kekuatan ummah apabila meletakkan barisan pemuda di hadapan. Golongan ini mempunyai kekuatan fizikal dan mental, ketinggian semangat, dan mempunyai cita-cita dan idealisme. Runtuhnya zaman jahiliah pada zaman Nabi Muhammad SAW hasil sokongan padu golongan pemuda yang menyahut seruan dakwah Baginda SAW. Kejayaan ini dapat dilihat di awal kebangkitan Islam di Makkah. Utuhnya benteng negara Pemuda adalah kelompok yang terbesar dalam menerima dakwah Nabi Muhammad SAW dan disayangi Baginda SAW. Nabi SAW dilantik menjadi rasul dan nabi ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda. 

     Semasa di Makkah, Baginda SAW dikelilingi orang muda yang tidak berbelah bagi dalam memberi sokongan kepada Baginda SAW. Rakan terdekat dengan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar berusia 38 tahun, Saidina Umar ketika memeluk Islam berumur 27 tahun, Talhah bin Ubaidillah berusia 16 tahun, Mus’ab bin Umair berusia seawal 20an. Manakala al-Arqam bin Abi Arqam berumur 16 tahun. Begitulah juga sebahagian besar nama besar sahabat yang lain adalah pejuang muda yang hidup dengan penuh suka dan duka bersama Nabi Muhammad SAW, seperti Ali Bin Abi Talib Ammar bin Yassir dan Khabab al-Arrat. Golongan muda ini berhadapan dengan Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian bin Harb, Umayyah bin Khalaf, Syaibah bin Rabiah dan lain-lain adalah golongan tua yang angkuh dan sombong yang menjadi pemimpin Makkah. Usamah bin Zaid juga antara panglima muda dalam usia 20-an diberi kepercayaan memimpin angkatan tentera Islam bersama sahabat yang lebih dewasa. Keadaan yang sama juga berlaku di Madinah. Golongan pemuda jugalah yang membela Nabi Muhammad SAW dan Islam. Merekalah yang membawa panji Islam dalam medan peperangan. Kekuatan, kejayaan dan keagungan umat terdahulu adalah disebabkan tenaga pemuda yang membarisi barisan hadapan, menjadi tonggak kekuatan negara dan menjadi generasi harapan. Semua ini bertitik tolak daripada pemantapan akidah yang jitu dan amalan syariat yang konsisten. 

     Zaman pemuda adalah zaman penilaian diri, penentuan identiti dan tempoh pembentukan diri. Ini bermakna jika tersilap langkah, masa depan mereka terlalu sukar untuk dibentuk. Justeru, pemuda hari ini perlu dipupuk potensi dan kekuatan dan kecemerlangan diri agar terarah mengikut apa yang disyariatkan Islam. Roh al-Islam adalah kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang mukmin, yang hati nurani, akal, budi dan seluruh peribadinya sudah diwarnai dan diresapi oleh ajaran Ilahi. Sehinggalah segala tindak tanduknya dikendalikan oleh iman dan takwa yang melahirkan sifat keikhlasan, ketulusan, dan sanggup berkorban demi agama. 

     Dengan kekuatan ruhaniyyah inilah Bilal bin Rabah menjalani derita seksaan Quraisy, kekuatan inilah yang mencetuskan kecekalan hati pemuda Ali bin Abi Talib yang sanggup menerima pelawaan Nabi SAW sekalipun nyawa menjadi taruhan. Kekuatan inilah juga yang menjadi faktor kemenangan tentera Islam di medan Badar, bilangan 300 berhadapan dengan 1000 tentera kuffar. Keagungan roh al-Islam juga dapat dilihat dalam peristiwa pemecatan Khalid bin al-Walid oleh Khalifah Umar al-Khattab. Khalid al-Walid adalah panglima berjasa yang tidak pernah tewas dalam mana-mana peperangan, panglima yang belum ada tandingan dalam sejarah yang menjadi harapan kepada seluruh umat Islam. Di saat beliau berhempas pulas bertarung nyawa demi mempertahankan Islam beliau diarahkan oleh khalifah agar meletakkan jawatan. Hati mana yang tidak terguris, perasaan mana yang tidak tercalar. Namun, peristiwa ini sedikit pun tidak menjejas perasaan Khalid al-Walid, beliau tidak pernah meratapi ke atas pangkatnya yang digugurkan, malah kepatuhannya penghormatan kepada Khalifah Umar al-Khattab semakin tinggi. Semua pihak menerima tindakan ini dengan tenang di atas dasar semangat ketakwaan dan keimanan kepada-Nya semata-mata untuk mendapat ibtigha mardhatillah. 

    Kesimpulannya angka 12 Ribu itu hanyalah sebagai angka tetapi yang perlu diambil perhatian adalah pengisian dalaman kepada pemuda itu yang perlu ditekankan dan dilakukan secara berterusan sehinggalah kita mampu melahirkan pemuda harapan agama Islam yang sebagaimana yang diharapkan.

Disediakan oleh
Ustaz Mohamad Hanif Bin Haron
Ketua Pengarah Akademi Tarbiah (AKTAR)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sesi 2019-2021.

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-