© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Islam Memimpin: Cabaran dan Kepentingan Pentarbiahan.

Islam Memimpin: Cabaran dan Kepentingan Pentarbiahan.

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 18 January 2019




“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” (Ali-Imran: 104)

Pendahuluan.

Dunia hari ini menyaksikan kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap permasalahan negara dan rakyat, menggunakan pelbagai teori dan jenama.

Lebih malang situasi yang sama turut dialami oleh negara umat Islam, yang menumpang dasar selain Islam kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya. Ini ditambah pula dengan wujudnya aliran pemikiran baru yang memberi tafsiran dan penjenamaan terhadap Islam dan syariatnya.

Kegagalan kerajaan di negara umat Islam yang meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul. Di sinilah pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat dan watak kepimpinan Islam, baik dari segi aqidah, ilmu dan integriti, serta keupayaan menjaga keharmonian kaum dan agama.

Dalam konteks Malaysia, kita menyaksikan perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan Persekutuan dan beberapa Negeri dalam PRU14 yang lepas, disumbangkan oleh perubahan pola sokongan di kalangan warga kota, rakan bukan-Islam dan generasi muda.

Perubahan kepimpinan dan suasana politik Malaysia yang baharu ini menuntut kepada pentarbiahan dan kebijaksanaan di kalangan ahli dan pimpinan PAS untuk memerhati, menilai, dan mencerap perubahan lanskap politik negara yang dinamik, bagi memastikan pendekatan dan halatuju PAS sentiasa terpelihara berpaksikan kepada dasar dan matlamat perjuangannya.

Cabaran Semasa.

Penegasan yang dikemukakan oleh Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Muktamar PAS 2018 bertemakan “ISLAM MEMIMPIN”, wajar diangkat sebagai ‘blueprint’ yang menggariskan cabaran dan halatuju PAS dalam mendepani agenda memimpin politik matang dan sejahtera, memimpin perubahan negara dan memimpin sokongan rakyat. 

Secara umumnya, PAS berhadapan dengan cabaran yang datang dari segenap penjuru, khususnya daripada penganut Islam yang tenggelam dalam kejahilan beragama dan kalangan bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan ‘Islamofobia’. 

Masyarakat pula kini menjadikan aspek material dan duniawi sebagai keutamaan hidup, kesan daripada kejahilan agama, cengkaman kos sara hidup, serta penularan gejala sosial yang merebak di setiap lorong dan keluarga.

Di samping itu, kita berhadapan dengan gerakan yang semakin berani mempersoalkan institusi Agama, Istana, hak Bumiputera, dan kedudukan Bahasa, serta gerakan yang memperjuangkan fahaman liberal, LGBT, dan seumpamanya.

Lebih mencabar adalah perubahan kanvas politik di kalangan generasi muda negara, yang mudah terpengaruh dengan media sosial dan terpesona dengan pendekatan baharu pemimpin muda negara, serta mudah termakan janji manifesto yang sukar untuk dilaksanakan.

Tambahan pula sekiranya Perlembagaan berjaya dipinda untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun, cabaran yang dipikul oleh Pemuda PAS adalah lebih besar bagi mempersiapkan usaha untuk membentuk minda, fikrah dan kesedaran politik di kalangan remaja bermula di bangku persekolahan.

Memimpin Politik Matang dan Sejahtera.

Di dalam pembentangan kertas kerja berjudul “Konsep Ta’awun Siyasi” pada Liqa Fikri PAS Pusat bertarikh 24 Februari 2018, Presiden PAS menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak generasi pertama untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam.

Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong) dalam perkara baik dan taqwa (mentaati Allah), serta terus beristiqamah di atas dasar Islam dengan matlamatnya untuk menegakkan Islam. Objektifnya adalah untuk memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal (fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan, walaupun menunggu masa yang lama.

Di samping itu, Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman, tanpa meninggalkan prinsip aqidah dan syariat Islam. Tahaluf dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan maksiat atau mencetuskan permusuhan atau mengundang apa sahaja keburukan.  

Berpandukan ijtihad semasa dalam hal ini, Presiden PAS menegaskan bahawa PAS konsisten untuk memilih pendekatan BPMS dengan semua pihak, iaitu dengan bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara, dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, Presiden PAS menyarankan agar setiap pimpinan dan ahli PAS untuk menguasai feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran.

Di sini letaknya kepentingan untuk setiap ahli dan pimpinan Pemuda PAS membina keperibadian dengan Ta’lim dan Tarbiyah, membekalkan ilmu kepada akalnya secara bertafaqquh, serta wajib melengkapkan diri dengan ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah mengikut kemampuan.

Tarbiah Pemangkin Kejayaan.

Pemuda PAS berperanan besar untuk merealisasikan tujuan penubuhan PAS yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS (Fasal 5), iaitu:

“Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah; dan mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”.

PAS telah menawarkan model bernegara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara, berpandukan acuan Allah daripada petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Misi utama kita adalah untuk “Memperkenalkan Penyelesaian Islam”, khususnya dalam aspek urustadbir negara, keadilan undang-undang, keberkatan ekonomi, pembangunan insan dan diplomasi antarabangsa.

Di samping itu, Ketua Pemuda PAS telah menggariskan misi untuk “Melahirkan Generasi Tajdid”, meliputi perubahan dan pembaharuan dalam aspek politik (tajdid siyasi), sumber manusia (tajdid bina’ie), pengurusan (tajdid idari), kewangan (tajdid mali), komunikasi (tajdid ittisali), masyarakat (tajdid ijtima’ie), dan pendidikan (tajdid tarbawi).

Manakala suatu lagi aspek penting dalam agenda pentarbiahan adalah misi untuk “Melahirkan Harun kepada Musa”, mengambil ibrah daripada kisah Nabi Musa a.s. yang ditugaskan untuk menyampaikan risalah Islam kepada Firaun.

Menyingkap peranan Nabi Harun a.s. sebagai ‘wazir’ yang membantu Nabi Musa a.s. menunjukkan keperluan agenda pentarbiahan dalam melahirkan generasi pendamping dan pelapis kepimpinan yang memiliki aqidah, fikrah, kompetensi dan adab yang tinggi untuk menjayakan sesebuah misi dakwah dan siyasah yang diambil oleh kepimpinan tertinggi Parti.

Justeru, ianya bukan lagi suatu pilihan tetapi menjadi kewajipan yang mendesak untuk setiap Pemuda PAS mempersiapkan ilmu, kepakaran dan kemahiran, sehingga kita berjaya menunjukkan kepada rakyat betapa ‘malaikat yang tidak dikenali’ (the unknown angel) ini mampu untuk diberikan kepercayaan memimpin negara.

Penutup.

Seluruh Pemuda PAS wajar menghayati agenda "ISLAM MEMIMPIN” yang digagaskan oleh Presiden PAS, seterusnya merangka perancangan dan tindakan melalui pendekatan BPMS dan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam perkara kebaikan, bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Secara khusus, Presiden PAS menyarankan kepada Pemuda PAS agar “Sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam, dan bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan. Pendekatan dakwah yang kreatif, penguasaan media sosial dan penglibatan di lapangan anak muda mesti dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam. Pemuda juga perlu mendepani isu nasional dan antarabangsa, serta mampu mengemukakan solusi terhadap permasalahan rakyat dan anak muda”.

Pemuda PAS juga perlu sentiasa diingatkan tentang kepentingan bergantung kepada Allah dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang daripada Allah apabila dikehendakiNya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tiadalah pertolongan kecuali dari Allah”. (Al-Anfal: 126).

Justeru para Pemuda PAS perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan, lahir daripada kekuatan aqidah dan fikrah yang terbina di atas kelestarian tarbiah.

Oleh: Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-