© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Globalisasi dan Orde Baru Dunia

Globalisasi dan Orde Baru Dunia

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday, 9 July 2018


Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, globalisasi membawa maksud, “fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat”

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. 

Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Manakala cendekiawan Barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. 

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yg lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.

Globalisasi dalam erti literal adalah sebuah perubahan sosial, berupa bertambahnya keterkaitan di antara masyarakat dan elemen-elemennya yang terjadi akibat transkulturasi dan perkembangan teknologi dalam bidang transportasi dan komunikasi yang memfasilitasi pertukaran budaya dan ekonomi internasional. 

Istilah globalisasi dapat diterapkan dalam pelbagai konteks sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya. Misalnya, globalisasi dapat diertikan sebagai: pembentukan desa global (global village) - yang bererti konteks yang lebih erat antara pelbagai pelosok dunia, meningkatnya interaksi personal, saling kerja sama dan persahabatan antara penduduk dunia. globalisasi ekonomi - meningkatnya perdagangan bebas dan meningkatnya hubungan antara pelaku ekonomi di pelbagai negara. 

Dalam banyak hal, globalisasi mempunyai banyak karakteristik yang sama dengan internasionalisasi, dan istilah ini sering dipertukarkan. Sebahagian pihak sering menggunakan istilah globalisasi yang dikaitkan dengan berkurangnya peranan negara atau batas-batas negara.

Di dalam artikel yang ditulis Dr. Yusuf al-Qaradawi berjudul “Mafhum al-‘Aulamah wa Maza Ta’ani?”, beliau mengatakan bahawa orang-orang Perancis menggunakan perkataan “Mondialisation” dalam menerangkan globalisasi. Manakala orang-orang Amerika dan Inggeris pula menggunakan perkataan Inggeris “Globalization” yang mula-mula muncul di Amerika Syarikat. Ia membawa maksud mengumumkan sesuatu dan meluaskan kawasannya agar merangkumi semua.

Berdasarkan maksud tersebut, bolehlah diandaikan bahawa seruan kepada globalisasi ini jika dilaungkan oleh negara atau kumpulan tertentu, ia bererti menjadikan cara hidup negara atau kumpulan tersebut menyeluruh dan diguna pakai oleh dunia.

Dengan kata lain, percubaan untuk menjadikan seluruh manusia di dunia meniru cara hidup mereka dengan apa cara sekalipun. Justeru, tidak hairanlah jika ada sesetengah pengkaji melihat globalisasi sebagai satu proses peng“amerika”an dunia. Begitu jugalah ada pengkaji yang mentakrifkannya sebagai sistem kapitalis Amerika yang cuba untuk menguasai dunia. Hal ini kerana seruan kepada globalisasi ini bermula di Amerika Syarikat.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat, “Adapun globalisasi, kami melihat - berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini - ia adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, Dunia Islam”.

Bolehlah disimpulkan di sini bahawa globalisasi merupakan salah satu daripada penjajahan baru yang lebih merbahaya dan licik daripada Amerika Syarikat untuk menguasasi dunia dalam segala aspek, sama ada ekonomi, sosial, budaya dan politik. Justeru, tidak hairanlah ada gerakan dari Barat sendiri, secara khususnya di negara-negara Eropah yang menentang globalisasi. Beberapa sesi tunjuk perasaan telah mereka buat di bandar-bandar besar dunia untuk mengkritik globalisasi dan mengajak penduduk dunia menentangnya.

Sejarah Globalisasi

Telah menjadi tabiat manusia, mereka berkeinginan untuk menguasai pihak yang lain. Maka, berlakulah pelbagai pergaduhan dan peperangan dalam sejarah manusia, bermula dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini, untuk melaksanakan keinginan tersebut. Keinginan untuk berkuasa ini bukan sahaja berbentuk peribadi, bahkan ia juga berbentuk kelompok. Dengan kata lain, keinginan tersebut dimiliki oleh sesuatu bangsa atau umat untuk menguasai bangsa dan umat yang lain.

Memandangkan manusia telah dianugerahkan oleh Allah kemampuan untuk berfikir, maka pertelingkahan dan peperangan yang berlaku untuk memuaskan keinginan tersebut berlaku dalam pelbagai bentuk. Kalau dahulu mereka berperang dengan hanya menggunakan senjata kuno seperti pisau, pedang dan lembing, namun kini mereka menggunakan peralatan yang lebih canggih seperti senapang, bom dan sebagainya. 

Dalam menerangkan perkara ini, seorang pengkaji berkata, “Peperangan dan bentuk-bentuknya semakin maju dengan majunya akal manusia. Persenjataan juga semakin maju bermula dengan penggunaan besi dan api hingga berakhir dengan senjata nuklear di penghujung perang dunia yang disaksikan oleh umat manusia pada tahun 1945 yang menandakan munculnya kuasa baru dunia iaitu Amerika Syarikat”.

Memandangkan peperangan sedemikian rupa memerlukan kepada modal yang tinggi dan meninggalkan kesan yang sangat negatif dari apsek harta dan moral, maka manusia berfikir cara baru dalam mencari kekuasaan. 

Berkaitan perkara ini, berkata Dr. Mustafa Abdul Ghani, “Sebelum sempat Kuasa Perikatan bersedia untuk keluar daripada Perang Dunia Kedua dengan kemenangan, Amerika Syarikat telah cuba memperkukuhkan peranan imperialisnya yang baru. Kita tahu bahawa Persidangan Bretton Woods yang berlangsung pada 1 Julai hingga 22 Julai 1944 adalah dianjurkan oleh Amerika. Dalam persidangan tersebut bermulalah kisah pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk memperkuat cengkamannya terhadap negara-negara yang lain. Dalam persidangan itu juga, dua perjanjian telah berjaya dibentuk iaitu tabung wang dan bank dunia”.

Selepas itu, Perjanjian Am Mengenai Taarif Dan Perdagangan telah dibuat. Secara zahir pada awalnya, ia hanyalah sebagai badan sementara berkaitan perdagangan. Justeru, di sinilah bermulanya sejarah globalisasi yang ada pada hari ini. Pertubuhan-pertubuhan dunia yang ditubuhkan tersebut akhirnya digunakan oleh kuasa-kuasa besar, secara khususnya Amerika Syarikat, untuk menguasai dunia keseluruhannya. Pengusaan Amerika ini semakin kukuh apabila GATT (General Agreement on Tariffs and Trade) bertukar kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Ia tidak lain tidak bukan hanyalah dibuat untuk menjaga kepentingan negara perindustrian maju, khasnya Amerika Syarikat.

Begitu jugalah, globalisasi sebenarnya adalah sistem kapitalisme lama yang berwajah baru. Sejarah membuktikan, pada kurun ke 19, negara-negara kapitalis menunjukkan belangnya dengan menjajah negara-negara lain dan mengaut sebanyak mungkin hasil buminya, tanpa mengambil kira dimensi sosial ketika mereka menjajah. 

Dengan kata lain, mereka menzalimi rakyat negara yang mereka jajahi. Sebagai tindak balas daripada gejala ini, sistem sosialisme – yang lebih mengambil kira dimensi sosial - diterima oleh golongan yang dizalimi ini. Kesannya, berlakukan sistem dua kuasa dunia atau dua kutub. Kutub pertama diwakili oleh Amerika Syarikat yang merupakan negara kapitalisme dan kedua diwakili oleh Kesatuan Soviet yang merupakan negara sosialisme.

Kemudian berlakulah perang dingin di antara kedua-dua kutub tersebut sekitar kurun ke-20. Pada ketika itu, kapitalisme tidak mampu menunjukkan belangnya dan berselindung di belakang tabir dimensi sosial. Namun, apabila Kesatuan Soviet runtuh sekitar tahun 90-an, mereka tidak segan silu untuk menunjukkan wajah lamanya yang sebenar. Apa yang berlaku di Afghanistan dan Iraq membuktikan perkara ini. Inilah yang disebut sebagai globalisasi.

Kesan Negatif dan Positif Globalisasi

Sungguhpun globalisasi adalah satu sistem Barat yang tidak Islam, ia perlu dikaji dan disaring aspek-aspek negatif dan positifnya. Adalah tidak bijak untuk mengumumkan hukuman kepada apa jua perkara baru, sama ada ia baik atau buruk, tanpa dikaji terlebih dahulu dengan teliti. Imam al-Ghazali ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani di zamannya, tidak terlalu cepat mengeluarkan hukuman kepada falsafah tersebut. Bahkan, beliau mengkaji baik buruknya perkara tersebut sehingga mampu mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang terdapat dalam falsafah Yunani.

Justeru, globalisasi juga perlu dikaji buruk dan baiknya sehingga umat Islam mampu mempergunakan aspek positif yang ada untuk menentang keburukan-keburukan globalisasi. Antara kesan nrgatif yang timbul daripada globalisasi, ialah:
  1. Proses Peng“amerika”an Dunia (Amerikanisasi), ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikut oleh semua penduduk dunia. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya-budaya lain. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika adalah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan agama Islam. Namun sebaliknya, budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam. Budaya gay dan seks bebas merupakan contoh yang jelas. Mereka menggunakan media massa untuk menyebarkan luaskan budaya mereka. Filem-filem yang mereka buat di Hollywood, di samping dapat mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Amerika, ia digunakan untuk tujuan mempromosikan budaya mereka kepada dunia. Bukan itu sahaja, budaya makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald cuba diterapkan kepada penduduk dunia. Proses pengamerikaan ini akhirnya akan menjadikan sesuatu bangsa lebih berbangga untuk mengikut budaya Amerika daripada budayanya sendiri, bahkan sampai ke tahap memandang rendah kepada budaya ibundanya sendiri.
  2. Kemiskinan dan penindasan. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, “Sesungguhnya globalisasi seperti yang dilihat hari ini, hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk keuntungan yang kaya terhadap golongan miskin dan untuk manfaat blok utara yang kaya tehadap blok selatan yang miskin”. Kenyataan tersebut jelas menunjukkan kesan negatif globalisasi. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya, manakala yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar di antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada di blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam.
Begitu jugalah, dengan wujudnya WTO, kemiskinan dan penindasan akan berterusan. Hal ini kerana WTO membentuk satu persaingan bebas dalam perdagangan. Sudah pasti, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Justeru, inilah “penjajahan lama yang berwajah dan bernama baru” sebagaimana yang dinyatakan al-Qaradawi.

Di samping kesan-kesan negatif, globalisasi juga mempunyai kesan positif antaranya ialah teknologi maklumat. Dengan wujudnya teknologi ini, manusia dapat berhubung dengan mudah dan pantas. Dunia dirasakan seolah-olah satu kampung. Perkara yang berlaku beribu batu daripada diketahui dalam masa yang sangat singkat dan dengan cara yang sangat mudah. 

Justeru, ini semua boleh diguna pakai oleh semua penduduk dunia untuk memudahkan urusan mereka. Bahkan lebih daripada itu, ia boleh digunakan oleh umat Islam untuk menyampaikan dakwah dengan lebih mantap di era yang penuh cabaran ini.

Secara ringkasnya teknologi maklumat boleh dianggap sebagai, “cara baru penyimpan, memproses dan menyalurkan maklumat yang dihasilkan oleh pembangunan yang pantas dalam bidang elektronik, pengkomputeran dan telekomunikasi”

Satu lagi definisi teknologi maklumat yang dinyatakan Prof. Dzulkifli Abdul Razak dalam “Ke Arah Masyarakat Bermaklumat Yang Sihat: Arus Telefarmasi dalam Farmakoterapi pada Abad ke-21” lebih luas pengertiannya ialah, “...teknologi maklumat bermaksud pengumpulan, penyimpanan, pemprosesan, penyebaran dan penggunaan maklumat. Ia tidak terkongkong kepada perkakasan atau perisian, tetapi mengiktiraf kepentingan manusia serta matlamat yang diletakkannya bagi teknologi tersebut, nilai-nilai yang digunakan untuk membuat pilihan, penilaian kriteria yang digunakan untuk memutuskan sama ada ia yang mengawal teknologi itu dan diperkayakan olehnya”.

Di dalam ensiklopedia bebas Wikipedia, teknologi maklumat ditakrifkan sebagai, “Teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ia merupakan satu tajuk yang sangat luas berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepatnya menggunakan komputer digital dan perisian komputer untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu”.

Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut dapatlah difahami bahawa teknologi maklumat bukanlah perkara yang terlalu baru. Ia telah wujud dengan wujudnya komputer. Bahkan sebelum kewujudan komputer sekalipun ia boleh dikatakan telah wujud juga.

Biodata Penulis

Ustaz Dr. Ahmad Yussuf merupakan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-