© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Waspada Kumpulan Tolak Syariat

Waspada Kumpulan Tolak Syariat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 25 June 2018


Islam adalah “al-Din”, bukan sekadar agama atau ideologi atau teori sahaja mengikut takrif bahasa. Maka Islam itu maknanya ajaran dan petunjuk Allah merangkumi seluruh kejadian manusia dan kehidupannya, serta matlamat kejadiannya diciptakan. Semua perkara agama, ideologi dan teori termasuk dalam ajaran Islam, menjadikannya berbeza dengan yang lain.

Para Rasul yang diutuskan membawa Islam itu menghadapi manusia di zaman masing-masing secara menyeluruh. Bukan sahaja berdakwah menghadapi rakyat, bahkan mereka juga menghadapi raja, pemimpin dan kerajaan di zamannya untuk membetulkan kesesatan akidah, urusan kehidupan dan akhlak.

Di zaman tidak ada Rasul selepas kewafatan Nabi Muhammad ﷺ, Allah telah mewajibkan adanya kumpulan, jama’ah atau Parti Islam yang menyambung risalahnya yang tidak mati dengan kewafatan Rasulullah ﷺ. Firman Allah Ta’ala:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang berdakwah kepada kebajikan (mengajak kepada Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Aali-‘Imran: 104)

Tiga sifat penting kepada kumpulan ini ialah:
  1. Berdakwah kepada Islam yang sempurna
  2. Menyuruh dengan perintah dan nasihat kepada kebajikan
  3. Mencegah dengan kuasa pemerintahan, teguran dan penentangan terhadap kemungkaran, sehinggalah menguatkuasakan undang-undang.
Rasulullah ﷺ telah menafsirkannya secara amalan dan perjuangan sehingga Baginda ﷺ dapat menegakkan negara yang dinyatakan Allah:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Mereka (kumpulan Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Ayat ini menjelaskan tentang model negara yang bercirikan:
  1. Menegakkan negara ibadah
  2. Konsep ekonomi yang adil
  3. Berkebajikan
  4. Kewibawaan Undang-undang
  5. Berwawasan balasan Allah di Hari Akhirat.
Islam tidak dikhususkan hanya untuk satu-satu kaum sahaja bahkan meliputi seluruh masyarakat majmuk berbilang bangsa. Sungguhpun Risalah Islam kepada seluruh manusia, Allah tetap memerintahkan umat Islam berwaspada dan membahagikan sikap sebahagian kaum terhadap mereka sepertimana dihuraikan oleh firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاء بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ. فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُواْ عَلَى مَا أَسَرُّواْ فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ. وَيَقُولُ الَّذِينَ آمَنُواْ أَهَؤُلاء الَّذِينَ أَقْسَمُواْ بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَأَصْبَحُواْ خَاسِرِينَ. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ. إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ. وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاء وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali (pemimpin yang diberi wala’), kerana setengah mereka menjadi wali kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka walinya, maka sesungguhnya ia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim (51). Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (ragu atau munafiq) segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka). Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya (52). Dan (telatah kaum berpenyakit itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, Bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu? Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi (53). Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (Islam al-Din), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; Kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya (54). Sesungguhnya wali (para pemimpin yang diberi wala’) oleh kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah) (55). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu walinya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang (56). Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman (57).” (Surah al-Ma’idah: 51-57)

Kesimpulan ayat-ayat tersebut menyatakan bahawa umat Islam mesti membezakan Islam dengan agama Yahudi yang bersifat fanatik kaum dan menyeleweng daripada Kitab Taurat, Agama Kristian pula memisahkan urusan dunia daripada agama kerana meninggalkan Kitab Taurat yang disambung perjuangannya oleh Nabi Isa alaihissalam. Agama-agama lain pula lebih jauh daripada semua kitab terdahulu. Ayat-ayat tersebut di atas Allah telah membahagikan manusia terhadap Islam kepada beberapa golongan:
  1. Beriman yang beristiqamah bersama Islam dengan ciri-ciri atau sifat-sifatnya.
  2. Golongan yang nyata menentang Islam secara berterus-terang khususnya kalangan Yahudi, Nasrani dan Musyrikin.
  3. Di tengah-tengahnya pula ada kalangan munafiq yang mencari kesempatan tanpa imannya kepada Islam, serta menyembunyikan kekufurannya.
  4. Ada pula kalangan yang lemah imannya dan kecil sahsiahnya, merasakan dalam keadaan bahaya atau tidak boleh mencapai kemenangan sekiranya tidak berwalikan orang-orang bukan Islam yang nyata itu. Kononnya inilah kebijaksanaannya, tetapi ditolak oleh Allah dengan huraian dalam surah yang lain.
Firman Allah:
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا. الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“Beritakan kepada orang-orang munafik, bahawa untuk mereka azab yang pedih menyeksakan (138). Mereka itu orang-orang yang menjadikan orang-orang kafir yang menentang Islam sebagai para wali (pemimpin dan rakan yang diberi kesetiaan yang dipercayai), tidak mahukan kemenangan (keperkasaan dan kewibawaan) daripada orang-orang yang kafir itu. Padahalnya, bahawa kehebatan dan kemenangan itu semuanya kepunyaaan Allah (139).” (Surah al-Nisa’: 138-139)

Islam Menolak Sikap Fanatik Perkauman

Selain daripada golongan yang telah disebutkan dan dinyatakan tadi, ada juga kalangan orang-orang bukan Islam (non-Muslim) yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Dalam surah yang lain Allah mengizinkan bertahaaluf (bekerjasama dengan konsep persefahaman) dan berta’awun (bertolong-menolong) dengan kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh, bahkan diwajibkan menolong dan berlaku adil. Firman Allah:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haram itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong- tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Semua pihak dan semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini menerima suasana harmoni sehingga kini yang perlu ditingkatkan, bukan melemahkannya. Inilah konsep positif yang ada dalam masyarakat Melayu beragama Islam, sehingga “sejahil-jahil” “Kampung Melayu” boleh menerima kaum lain kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu. Walaupun hanya satu keluarga dan sebuah kedai runcit, bukan Melayu boleh hidup di tengah kampung padat Melayu-nya sejak zaman-berzaman.

Adapun yang menganut Islam pula dianggapnya masuk Melayu, persepsi seperti ini berlaku kerana inilah kesan ajaran Islam yang ada dalam diri mereka, walaupun Islam itu adalah agama bukannya bangsa. Bukan Melayu dan bukan Islam pula sanggup bergaul dan bercakap Bahasa Melayu walaupun pelat tanpa nahunya tetapi tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang berbudaya Melayu walaupun dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.

Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, negeri paling tenang dan aman adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri yang banyak pengajian Islam dan paling padat Melayu-nya. Ini menunjukkan sejahil-jahil mereka tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam dan cara hidup bermasyarakat majmuk terhadap penganut agama lain. Al-Quran mendidik umat Islam bahawa manusia adalah keluarga besar walaupun berbagai agama dan bangsa. Semuanya daripada Adam dan Hawa. Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan saling berhajat antara satu dengan yang lain mengikut konsep bermasyarakat majmuk dan madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Konsep hubungan kekeluargaan manusia diwujudkan bersama konsep dakwah Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan terhadap agama lain, dan mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang sinonim dengan makna Islam itu sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada ajarannya.

Pendekatan cara paksaan adalah membatalkan keikhlasan dan menimbulkan ketegangan. Walaupun wajib berdakwah mengajak manusia semuanya kepada Islam, namun Islam konsisten mewajibkan adil dan memberi hak terhadap semua kaum dan agama dalam masyarakat majmuk dan masyarakat madani.

Adalah menjadi hak yang wajib kepada penganut Islam yang menjadi masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara ini, menegaskan Islam menjadi agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama diberi hak yang adil kepada agama lain yang wajib diamalkan.

Inilah keputusan yang saksama di awal kemerdekaan berasaskan persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Pra Kemerdekaan pada tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan (Umno, MCA, MIC) dan PAS satu-satunya parti pembangkang yang ada kerusi. Parti-parti yang lain belum lagi dilahirkan. PAS bersama berjuang kemerdekaan daripada penjajah, walaupun berbeza dari segi dasar dan konsep negara, serta berbeza dari segi beberapa pendekatan, namun sama-sama bersetuju menghalau penjajah.

Tolak Parti Pengugat Agama dan Negara

Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku apabila adanya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman sehingga mencetuskan ketegangan. Kini ada parti yang ingin meneruskan lagi cara lama yang usang dan tidak patut diulang lagi.

Mereka bertahan dengan pengundi bukan Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan Islam adalah sasarannya. Caranya tidak konsisten, sama ada ia beragama, berkaum atau tidak atau pragmatik oportunis.

Tindakan parti itu paling lantang dan ke hadapan menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam.

Contohnya yang paling berani ialah supaya mengisytiharkan Malaysia adalah negara sekular, berani mencabar ajaran Islam yang sempurna dan menjadi penghalang tegas terhadap usaha PAS memperjuangkan negara Islam secara demokrasi. Cara tersebut menunjukkan langkahnya lantang menyekat perjalanan Islam sehingga kelantangannya terkini lebih daripada sebelumnya, apabila berani menyentuh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara Islam, Raja Berperlembagaan, Hak Istimewa Bumiputera dan lain-lain.

Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia. Cara politik parti itu boleh juga disebut sebagai konsep luar tabii yang mahu memaksa keadaan yang ada selama ini.

Penentangan terbuka terhadap RUU 355 juga adalah langkah yang nyata tidak menghormati hak penganut Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Parti itu ingin menjadi juara memaksa kalangan bukan Islam supaya bersamanya.

Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topengnya atau yang bersedia diperalatkan. Namun mereka tetap tidak mampu menyorokkan wajahnya yang sebenar. Topeng juga tidak kukuh dan boleh terkoyak dan dirobekkan bila-bila masa.

Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan, sehingga sekadar dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi penganutnya tidak berhak beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain berhak beramal dengan agama mereka.

Kedudukan konsep Raja Berperlembagaan yang dijadikan syiar ketua agama juga dipermain-mainkan. Walaupun ada kelemahan manusianya, tetapi bukan tempat untuk dipermain-mainkan, kerana sepatutnya diperkasakan dengan mengatasi kelemahan manusia, bukan mencari kelemahan untuk dijatuhkan dan merampas kuasanya yang ada.

Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا أرَادَ اللهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صدقٍ، إنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإنْ ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإِذَا أرَادَ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ
“Apabila Allah menghendaki kepada raja itu baik, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang baik. Sekiranya dia terlupa, nescaya diperingatkannya. Sekiranya dia ingat, nescaya ditolongnya. Sekiranya Allah menghendaki kepada raja itu keburukan, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang jahat. Sekiranya dia terlupa, nescaya tidak diperingatkan. Sekiranya dia ingat tidak ditolongnya pula.” (Riwayat Abi Daud)

Dalam masa yang sama, parti itu menyokong pesta arak, hiburan dan gaya hidup bebas yang ditentang oleh semua agama yang menjaga moral manusia. Walaupun agama itu syirik aqidahnya, tetapi tetap sama dari segi menerima akhlak yang mulia, seperti tidak meminum arak, tidak berjudi, melarang pergaulan bebas dan sebagainya. Sepatutnya titik persamaan ini sama-sama dihidupkan, tetapi sengaja dilemahkan semata-mata kerana kepentingan mendapat sokongan politik untuk mendapat kuasa, tanpa perhitungan baik dan buruk, aman dan huru-hara.

Mereka juga menyatakan tidak senang terhadap beberapa perkara yang membela Melayu dan Bumiputera yang dipinggirkan sejak zaman penjajah dan masih terkebelakang selepas kemerdekaan, tanpa dinafikan pembelaan terhadap kaum lain yang bermasalah, namun Melayu dan Bumiputera paling ramai miskin. Sikap tidak senang ini juga boleh menghilangkan keharmonian masyarakat majmuk.

Rakyat bukan Islam hendaklah menolak parti yang membawa pendekatan seperti itu demi keselamatan semua. Umat Islam diharamkan dengan sekeras-kerasnya sama ada menjadi ahli, penyokongnya atau alatnya, termasuk menjadikannya rakan setia untuk perjuangan partinya apabila nyata sikapnya terhadap Islam, sehingga Allah memberi amaran yang keras dan menjadikannya sebahagian daripada sifat munafik. Firman Allah:
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا. الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا. وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
“Beritakan kepada orang-orang munafik, bahawa untuk mereka azab yang pedih menyeksakan (138). Mereka itu orang-orang yang menjadikan orang-orang kafir yang menentang Islam sebagai para wali (pemimpin dan rakan yang diberi kesetiaan yang dipercayai), tidak mahukan kemenangan (keperkasaan dan kewibawaan) daripada orang-orang yang kafir itu. Padahalnya, bahawa kehebatan dan kemenangan itu semuanya kepunyaaan Allah (139). Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahannam (140).” (Surah al-Nisa’: 138-140)

Allah telah menurunkan wahyu al-Quran apabila seorang Sahabat bernama Hatib bin Abi Balta’ah radhiallahu anhu, seorang ahli Badar yang mendapat tempat istimewa di sisi Allah kerana dia menyampaikan maklumat kepada musuh Islam semata-mata kerana ingin menjaga keluarganya di Makkah supaya tidak diganggu. Allah Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاء تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاء مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاء السَّبِيلِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.” (Surah al-Mumtahanah: 1)

Hatib bin Abi Balta’ah radhiallahu anhu terus bertaubat dengan ikhlas kerana Allah tanpa merasa marah atau berkecil hati terhadap teguran yang keras daripada Allah dan Rasulullah ﷺ.

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dan mukjizat ilmu yang berterusan sehingga Hari Kiamat. Maka wajiblah kalangan yang bersekongkol dengan parti yang nyata menentang Islam dan bersekongkol bersamanya sehingga berani melakukan apa sahaja yang menghalang cita-cita Islam atau berbelit-belit di jalanan politiknya, supaya kembali ke pangkal jalan.

Umat Islam boleh berbeza pendapat dalam perkara cabang, namun diharamkan berpecah dalam perkara dasar, menyentuh aqidahnya dan mengancam kedaulatan Islam. Kalangan bukan Islam pula wajib menolak rakan mereka yang tidak bermasyarakat madani dan majmuk yang mengancam keharmonian antara kaum dan agama.

Kewajiban Bersama Memperjuangkan Jamaah Islam

Di kalangan umat Islam pula, Allah menegaskan kemunculan kumpulan atau parti yang meneruskan dakwah dan perjuangan menegakkan Islam selepas tiada lagi Nabi selepas Nabi Muhammad ﷺ.

Dinyatakan pula sifat-sifat parti atau kumpulan yang sebenarnya menegakkan agama Allah (Islam lebih terperinci) ialah:
  1. Mengasihi Allah dan Rasul (menegakkan Islam mengikut Sunnah Rasulullah ﷺ), bukannya orang yang menolak atau mempertikaikan Hadis Rasulullah ﷺ.
  2. Merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kehaibatan terhadap kafir yang menentang Islam. Bukannya berani sesama Islam tetapi pengecut terhadap musuh.
  3. Berjihad dengan makna kesungguhan mengembelingkan tenaga, diri dan harta bagi meninggikan Islam. Tanpa peduli terhadap orang yang menghina Islam. Bukannya bersekongkol bersama musuhIslam.
  4. Berwala’ dengan tegas bahawa Islam itu wajib memimpin bukannya dipimpin dan dipergunakan.
Seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang sangat mahsyur, Huzaifah bin al-Yamani radhiallahu anhu pernah berkata;
كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الخَيْرِ، وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي، فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ، فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الخَيْرِ، فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟
“Orang ramai bertanyakan Rasulullah berkenaan kebaikan, namun aku bertanyakannya berkenaan kejahatan (keburukan) kerana takut kejahatan itu mengenai diriku sendiri. Aku berkata kepada Baginda Nabi; Wahai Rasul Allah, kami dahulu berada dalam kejahatan (kesesatan jahiliyah), kemudian datang kepada kami kebaikan (Islam) ini. Adakah selepas kebaikan ini (hidayah Islam kepada umat manusia di zaman Rasulullah) akan datang pula kejahatan?”

Sabda Baginda Rasulullah ﷺ;
نَعَمْ
“Ya benar (ada).”

Huzaifah bin al-Yamani melanjutkan lagi persoalannya;
وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ؟
“Adakah akan ada lagi kebaikan selepas kejahatan itu berlaku?”

Jawab Baginda Rasulullah ﷺ;
نَعَمْ، وَفِيهِ دَخَنٌ
“Ya (ada)! Namun ada kekeruhan (kesamaran kerana berlaku adegan bantah-membantah).”

Huzaifah bin al-Yamani bertanya lagi;
وَمَا دَخَنُهُ؟
“Apakah yang dimaksudkan kekeruhannya itu (wahai Rasulullah)?”

Sabda Baginda Rasulullah ﷺ;
قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي، تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ
“Adanya kalangan kaum yang tidak beramal dengan petunjuk (ajaran)-ku. Di antara mereka itu ada yang kamu dapat kenali dan kamu menegah (menentang dan mengingkari) kemungkarannya (kejahatannya).”

Huzaifah bin al-Yamani bertanya lagi;
فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟
“Adakah selepas itu datang pula kejahatan selepas kebaikan berlaku?”

Sabda Baginda Rasulullah ﷺ; 
نَعَمْ، دُعَاةٌ إِلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا
“Iya, adanya selepas itu golongan yang mengajak (penyeru) ke dalam Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahutnya (mengikutnya) nescaya dihumban bersama ke dalamnya.”

Huzaifah bin al-Yamani bertanya lagi;
يَا رَسُولَ اللَّهِ، صِفْهُمْ لَنَا؟
“Wahai Rasul Allah, silalah jelaskan sifat (rupanya) kepada kami.”

Sabda Baginda Rasulullah ﷺ;
هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا
“Mereka itu daripada kalangan yang sama warna kulit dengan kita dan bercakap dengan bahasa kita juga (daripada kalangan satu bangsa dan bercakap Islam juga).”

Kemudian Huzaifah bin al-Yamani bertanya lagi, “Apakah sarananmu ya Rasul Allah sekiranya kami berkesempatan menemui golongan itu?”

Sabda Baginda Rasulullah ﷺ;
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ
“Kamu hendaklah bersama kumpulan Islam dan Imam (pemimpin) mereka...” (Riwayat al-Bukhari)

Wasiat ini menjadi renungan kepada kita semua. Justeru, sebagai anggota gerakan Islam yang berpegang dengan cita-cita untuk memartabatkan agama Allah, kita mestilah sentiasa beristiqamah penuh ‘thabat’ dan ‘murunah’ yakni tidak melampau sehingga terkeluar dari batas-batas Islam. Firman Allah:
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
“Dia-lah (Tuhan) yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah kefahaman yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing), adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya daripada sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran (yang betul).” (Surah Aali-‘Imran: 7)

Al-Quran adalah kitab suci bersifat mukjizat ilmu yang tidak mampu ditandingi, kerana Kalam Allah, ilmu dan kebijaksaan-Nya. Dihuraikan oleh Rasulullah ﷺ secara amalan, ucapan dan pengakuan, banyak dan luasnya perkara yang tidak dinyatakan, menandakan peluang menggunakan kebijaksanaan akal dan pengalaman hidup yang dikawal sempadannya mengikut petunjuk Allah.

Maka terdapat dua perkara dalam ajaran Islam dalam menghadapi masyarakat dan tempat yang berbeza dan masa yang berubah, serta beristiqamah di atas perkara dasar, prinsip atau rukun :-
  1. Thawabit: Perkara dasar dan fitrah yang tidak berubah dan tidak mungkin dicapai oleh akal manusia. Maka Allah menetapkan nas yang nyata menjadi petunjuk yang menyelamatkan akal yang lemah itu daripada kesesatan dan kejahatan seperti rukun iman, ibadat, Syariat dan akhlak.
  2. Mutaghayyirat: Perkara yang berlaku perbezaan, perubahan dan perkembangan yang tidak tetap, maka dibenarkan berijtihad secara ilmu dan kajian yang termasuk dalam lapangan Qias, Siasah Syariah, Maqasid Syariah, pengalaman dan kajian dalam urusan duniawi yang membawa manfaat dan menolak mudarat dengan saksama.
Kesempurnaan yang ada dalam ajaran Islam menjadikan Islam mampu memimpin dunia dan membina Tamadun Islam selama beberapa abad. Kejatuhan umat Islam yang memerintah dan mentadbir berlaku apabila umatnya meninggalkan ajaran Islam. Berhubung fenomena ini Rasulullah ﷺ telahpun memperingatkan kepada umat Islam akan suatu hal yang bakal terjadi kelak di akhir zaman:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ
“Demi sesungguhnya akan berlaku, di mana simpulan-simpulan yang mengikat ajaran Islam akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu simpulan dirungkai, menjadikan manusia (yang Muslim) terpaksa berpegang dengan simpulan berikutnya yang masih ada. Paling pertama dirungkai ialah hukum-hakam (Syariat) dan yang terakhirnya Solat (Sembahyang).” (Riwayat Ahmad)

Tolak Golongan Anti Syariat

Islam yang merangkumi tiga aspek; Aqidah, Syariat dan Akhlak adalah laksana hubungan jasad dan roh atau mata rantai yang bersambungan, tidak terpisah dalam semua lapangan dan keadaan, situasi dan realiti sama ada di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, atau ketika lemah tanpa kuasa dan ketika kuat berkuasa memerintah dalam semua keadaan. Syariat Islam tetap diwajibkan mengikut keadaan dan kemampuan.

Firman Allah Ta’ala:
وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاء اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُم فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّه مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ. وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ. أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (48) Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (49) Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal (kepada orang-orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah (50).” (Surah al-Ma’idah: 48-50)

Firman Allah lagi:
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Akhir-akhir ini muncul individu atau kumpulan yang memperkenalkan Islam tanpa Syariat dengan alasan memilih aspek kemanusian (humanisme) yang dikatakan ada persamaan di kalangan manusia secara fitrah, tanpa menyebut Syariat Allah dengan alasan untuk menarik kalangan bukan Islam, khususnya yang terus bersikap liar terhadap Islam, maka di atas alasan berhikmah dengan menyembunyikan Islam. Inilah sikap iman yang paling lemah terhadap orang awam yang tidak mampu berhujah dan tidak ada pengaruh dalam masyarakat.

Mereka tidak mengambil kira bahawa persamaan yang ada pada namanya sahaja seperti menentang kezaliman, hak asasi manusia, tanpa peduli adanya perbezaan sandaran aqidah dan perhitungan dosa dan pahala yang ada dalam Islam, tetapi tidak ada pada yang lain.

Mereka jahil terhadap undang-undang Islam yang ada aspek aqidah dan spiritual yang tidak ada dalam undang-undang yang lain yang sama namanya, seperti undang-undang terhadap kesalahan rasuah dalam syariat Islam dengan undang-undang sivil yang sama menentang rasuah, kerana Islam meletakkan rasuah bukan sahaja salah dari segi undang-undang, bahkan termasuk juga dalam perkara haram yang ada perhitungan dosa dan pahala, perhitungan selepas kematian dan Hari Akhirat.

Tetapi undang-undang manusia meletakkan salah dari segi undang-undang dunia sahaja sahaja, menjadikan undang-undang ciptaan manusia itu tanpa roh perhitungan dosa dan pahala selepas kematian dan Hari Akhirat, serta menyebabkan undang-undang ciptaan manusia sekadar deraan yang tidak mendidik masyarakat sehingga menjadi punca kegagalannya.

Di sinilah dengan tegas Allah memerintahkan Para Rasul supaya berterus terang bersama ‘Aqidah Islam’ yang ditegaskan dalam dakwahnya. Firman Allah Ta’ala:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat: 33)

Firman Allah:
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada Agama Allah (Islam) dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan Aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuff: 108)

Maka para ulama meletakkan Islam menjadi syarat pertama kepada semua amalan, termasuk amalan yang bersifat ibadat. Maka tanpa Islam amalannya tidak sah, apatah lagi amalan keduniaannya tidak menjadi jambatan ke akhirat. Firman Allah Ta’ala:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Syura: 21)

Sehinggalah dikaitkan dengan Syirik Aqidah terhadap kalangan yang mengadakan undang-undang sendiri dalam urusan yang telah ditetapkan hukum syariatnya oleh Allah. Firman Allah:
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad ) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Allah Subhanaahu wa Ta’ala juga menegaskan pelaksanaan hukuman yang adil terhadap semua manusia:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Ayat ini menunjukkan kewajipan melaksanakan hukum syariat Allah yang berkonsepkan adil kepada semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Dan ditegaskan pula dengan Firman-Nya:
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Ma’idah: 45)

Ada pula kalangan yang meremeh-temehkan syariat Islam kepada semua amalan, lalu bersikap terbuka tanpa asas aqidah dengan menganggap terpentingnya sifat baik walaupun tidak Islam. Maka berlakunya ungkapan bahawa yang baik tanpa Islam lebih baik daripada yang jahat bersama Islam. Tanpa mereka peduli bahawa Allah menolak amal yang baik tanpa “Aqidah Islam” dengan tiada pahala dan berkat. Adapun yang jahat tetapi ada Islamnya dibuka pintu taubat dan amal baik yang berikutnya dapat menghapuskan dosa kejahatannya.

Firman Allah Subhanaahu wa Ta’ala:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Aali-Imran: 85)

Firman Allah:
وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikannya terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan: 23)

Maka Islam menjadi syarat pertama kepada semua amalan yang baik. Amal yang baik tanpa Islamnya tidak sah walaupun perkara ibadat.

Firman Allah:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ. أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُّجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِن نُّورٍ
“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisab-Nya (39). Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturan-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk), maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar) (40).” (Surah al-Nur: 39-40)

Sabda Rasulullah ﷺ:
إِنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا نَفْسٌ مُسْلِمَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الفَاجِرِ
“Sesungguhnya tidak masuk syurga melainkan seorang yang dirinya Islam. Dan (kadang- kadang) Allah menolong agamanya dengan orang yang jahat.” (Riwayat al-Bukhari)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-