© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tarbiyah Pasca Kemenangan

Tarbiyah Pasca Kemenangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 20 June 2018


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah al-Hajj, ayat 41:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami (Allah) berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat, memberi zakat, mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Sesungguhnya mengisi kemenangan itu lebih payah dari mencapai kemenangan. Walaupun kita menguasai pemerintahan di Negeri Terengganu, tetapi kita tidak menguasai negara. Namun, walaupun kita tidak menguasai kerajaan pusat, kuasa yang terbatas itu tetap mesti diisi bagi memenuhi makna tanggungjawab.

Untuk menjadi sebuah negeri yang berkat, ada lima syarat iaitu tanah, rakyat, pemimpin, perlembagaan, kedaulatan. Pada tahap kita sekarang ini ialah menguasai kerajaan negeri, di bawah konsep persekutuan (federalisme), walaupun terhad tetapi ada perkara-perkara yang kita boleh buat tanpa merencatkan perjuangan dan matlamatnya.

Menurut kaedah fiqh ada menyebutkan:
مَا لاَ يُدرَكُ كُلُّهُ، لا يُترَكُ جُلُّهُ
“Perkara yang tidak dapat dicapai semua, tidak ditinggalkan semua.”

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Taghabun, ayat 16:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah semampu kamu.”

Justeru, kita masukkan ciri-ciri kemenangan Islam dalam negeri yang kita kuasai. Pada tahun 1999, kita pernah meletakkan dasar al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang-undang tubuh kerajaan Negeri Terengganu.

Dalam ayat pertama tadi, di dalam Surah al-Hajj, ayat 41 Allah menyebut pertamanya ialah mendirikan solat. Bermakna kerajaan yang dibentuk mesti ada hubungan dengan Allah atau disebut Kerajaan Rabbaniyah. Sheikh Abu Ali al-Nadawi, seorang tokoh ulamak menyebut sebagai negara hidayah (mendapat petunjuk), bukan jibayah (memungut hasil cukai), tanpa menafikan hasil pendapat untuk negara itu penting.

Inilah rahsianya Allah mulakan Islam lahir di Mekah, lembah tanpa tanaman. Islam meletakkan jadual yang diatur oleh Allah, bermula dengan pembangunan manusia dahulu. Perkara ini tiada dalam agama yang lain. Allah turunkan Quran di Mekah, prosesnya berterusan hingga tegak negara Islam di Madinah.

Mendirikan solat bukan sahaja ketika mahu mengerjakan solat, tetapi mengaitkan dengan seluruh hidup manusia. Solat dikaitkan dengan Allah, ada perkara dosa pahala, termasuk dalam pentadbiran, termasuk dalam ucapan kita ada perkiraan dosa dan pahala. Perkaitan inilah yang menjadikan sebuah negara itu mendapat berkat dari Allah. Allah berfirman:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami (Allah) akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-Aa’raf: 96)

Istilah “berkat” tiada dalam agama lain, hanya ada dalam Islam. Kita perintah Kelantan selama 28 tahun. Kita dapat tangani isu rakyat, di mana sifat iman dan taqwa ditanam walaupun hasil negeri kurang, sehingga Kelantan dapat dipertahan. Terengganu masih belum sampai ke tahap seperti Kelantan.

Disebut dalam ayat Surah al-Hajj, ayat 41 itu ialah mendirikan solat, bukan mendirikan masjid sahaja. Allah berfirman:
انَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah: 18)

Tanggungjawab kita ialah memakmurkan masjid. Rasulullah ﷺ mendirikan masjid yang menjadi institusi mengilmukan insan. Apabila manusia ada ilmu yang memimpin mereka, maka tarbiah melalui masjid akan diberi keberkatan.

Perkara kedua yang disebut dalam Surah al-Hajj, ayat 41 itu ialah zakat. Ayat tersebut mengajar konsep ekonomi dalam Islam, di antaranya harta tidak beredar di kalangan orang kaya sahaja. Sabda Rasulullah ﷺ:
تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
“Zakat diambil dari orang kaya di kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang miskin di kalangan mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Konsep nisab (kadar tertentu) berlaku dalam aspek ekonomi secara umum. Hasil lain juga boleh dikenakan zakat menurut pendapat ulama dalam mazhab yang lebih luas.

Konsep cukai di kalangan bukan Islam seperti jizyah (cukai kepala), kharaj dan usyur juga boleh dikenakan. Apabila bentuk ini dibuat, maka tiada (cukai yang zalim seperti) GST, tol, atau bentuk penswastaan.

Kerajaan tidak boleh berniaga dengan rakyat. Apa yang berlaku, kerajaan juga berniaga dengan rakyat. Berlakulah inflasi. Kita juga diperkenalkan dengan “welfare state” (negara kebajikan). Islam bukan sahaja kebajikan, tetapi berkebajikan.

Perkara berikutnya dalam ayat 41, Surah al-Hajj ialah amar makruf (suruh yang baik) iaitu dakwah kepada solat, mengajak kepada keharmonian, dengan ucapan, tulisan dan amalan. Begitu juga dengan cegah kemungkaran. Perkara ini melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri, melibatkan kerajaan dan rakyat juga boleh berperanan. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Sesiapa di kalangan kamu melihat satu perkara mungkar, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Rakyat diajar untuk mencegah kemungkaran. Kita didik rakyat supaya bersama dengan kerajaan dalam menjalankan tugas ini.

Di akhir ayat 41, Surah al-Hajj itu Allah menyebutkan:
وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُور
“Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Ini menunjukkan adanya muhasabah di sisi Allah. Kita meyakini bahawa pemerintah yang adil berada di bawah naungan Arasy Allah. Ia disebut sebagai golongan pertama dari 7 golongan dalam sebuah hadis, yang mendapat naungan Allah iaitu pemimpin yang adil.

Cabaran luaran pula ialah kita menghadapi golongan Ahzab (Pakatan kumpulan yang berbeza ideologi). PAS menang di Kelantan dan Terengganu bersendirian (walaupun berada dalam Gagasan Sejahtera). Ujian Ahzab, di mana semua kumpulan yang tidak setuju dengan Islam menghadapi kita. Kepungan ini menambahkan iman kita kepada Allah.

Realitinya Kuasa Dunia tidak bersama dengan Islam. Parti Islam Masyumi pernah menang di Indonesia, namun dibubarkan kerana fitnah. Parti Islam di Algeria FIS (Islamic Salvation Front) pernah menang, juga dijatuhkan oleh campurtangan Kuasa Barat. Begitu juga Mesir, parti FJP (Freedom and Justice Party) ketika zaman pemerintahan Muhammad Mursi ditumbangkan oleh rejim tentera yang pro-Barat.

Biodata Penulis

Berikut adalah intisari ucapan Presiden PAS, Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Tamrin Qiadi PAS Terengganu pada hari Jumaat, 25 Mei 2018 di Kuala Terengganu yang dicatat oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek, Ketua Lajnah Media Baharu, Dewan Ulamak PAS Terengganu.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-