© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Lemahnya Islam Akibat Ulama’ “Buta Politik”

Lemahnya Islam Akibat Ulama’ “Buta Politik”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 21 June 2018


Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, dilahirkan pada tahun 1703 M (1115 H), di pinggir Barat Laut, Riyadh. Beliau lahir dari keluarga yang alim. Bapanya, Syeikh Abdul Wahhab bin Sulaiman adalah seorang qadhi di Wilayah Uyainah. Tidak hairanlah dalam keluarga begitu, beliau membesar sebagai seorang yang sangat “enthusiasm” terhadap agama. Sepanjang pengembaraannya mencari ilmu, beliau telah merantau ke Makkah dan Madinah kemudian ke Ihsa’ untuk mempelajari ilmu agama.

Beliau juga telah ke Basrah dan Baghdad. Dalam perantauan itu, beliau telah melihat kehidupan orang-orang Arab sangat jauh dari petunjuk agama. Akibat kemiskinan serta berjauhan dari alam yang bertamadun, orang Arab masih kuat berpegang kepada adat-adat dan khurafat. Selain itu di sekitar Syam beliau mendapati banyak tariqat tasawuf dan aliran falsafah yang menyeleweng dari ajaran Islam seperti memuja kubur, memuja wali, dan bertawassul dengan berhala.

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab melihat amalan mereka sangat bertentangan dengan apa yang dipelajari dari kitab-kitab fiqh terutamanya daripada fiqh mazhab Hanbali yang dipegangnya. Lalu beliau mengambil insiatif untuk membetulkan (reform) keadaan masyarakat Islam ketika itu. Beliau mula berdakwah mengajak manusia menjauhi perkara bida’ah. Dengan kebijaksanaannya beliau mampu berhujah di hadapan masyarakat dengan menggunakan nas dan akal.

Keistimewaan tersebut membuatkan beliau mula dikenali dan didekati. Perdebatan-perdebatan ilmu yang dipelopori beliau telah menaikkan kewibawaannya sehingga menyebabkan bilangan pengikutnya bertambah ramai dari sehari ke sehari. Dakwahnya pula semakin meluas daripada medan ilmu kepada gerakan masyarakat sehingga mereka dikenali dengan gerakan Wahhabi atau “al-Wahhabiyah”. Kadang-kadang pengikut gerakan Wahhabi ini juga mahu masyarakat menggelarkan mereka sebagai gerakan Salafi (Salafi Movement).

Kerana cita-citanya yang begitu besar mahu membetulkan akidah masyarakat, beliau mula meminta dana daripada para pemimpin Uyainah untuk menjalankan kerja-kerja membanteras bida’ah. Malangnya di kalangan pemimpin Uyainah tidak menerima pendekatan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab itu. Kemudian beliau berhijrah ke Dar’iyah di perkampungan kabilah Saud. Salah seorang pemimpin Saud iaitu Muhammad bin Saud bin Muhammad akhirnya bersetujui mendanai pergerakan yang diketuai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Kepincangan Bermula

Sebenarnya Muhammad bin Saud telah berpakat secara sulit dengan imperialis Barat dan beberapa kabilah lain seperti kabilah Thani dan kabilah Nehyan. Kabilah-kabilah ini mempunyai matlamat politik tersendiri iaitu mahu menguasai Semenanjung Arab yang sebelum ini tunduk di bawah penguasaan Kerajaan Islam Uthmaniyah berbangsa Turki di Istanbul. Imperialis Barat pula sememangnya mahukan kuasa umat Islam bercerai-berai.

Dengan kekuatan pengaruh yang dimiliki Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan sentimen kebangsaan Arab yang dibawa kabilah Saud, maka terbentuklah sebuah pakatan politik-keagamaan. Tidak dapat dipastikan apakah Muhammad bin Abdul Wahhab dan gerakannya mengetahui muslihat politik di sebalik kerjasama (religio-political pact) ini. Apapun dengan kekuatan tersebut beliau telah menggerakkan dakwah menghapuskan bida’ah secara lebih agresif dengan dukungan politik Saud.

Selepas kematian Muhammad bin Abdul Wahhab pada tahun 1792 M, gerakan ini diteruskan oleh pengikutnya menjarah ke setiap inci bumi untuk memerangi ahli bida’ah yang dilaungkan sebagai jihad paling afdhal. Gerakan ini memasuki perkampungan secara radikal sehingga berjaya menawan bandar-bandar besar seperti Ihsa’, Qatef, Aser, dan beberapa perkampungan di pinggiran Yaman. Kebanyakan Semenanjung Arab telah berjaya dikuasai pakatan kabilah Arab ini. Setelah itu mereka menuju ke Syam pula dan tiba di Hawran tahun 1810 M.

Perkara ini menimbulkan kemarahan khilafah Uthmaniyah ketika itu. Lalu mereka mengutuskan Muhammad Ali Pasha, Gabenor Mesir untuk menghapuskan gerakan tersebut. Akhirnya gerakan ini berjaya ditundukkan dan beberapa pimpinan utamanya ditangkap sewaktu berada di Syam. Malangnya, fikrah dan semangat gerakan ini masih berterusan. Penentangan terhadap khilafah masih berlaku menyebabkan pengaruh Uthmaniyah semakin lemah. Perjuangan Wahhabi pula mula menyeleweng dari tujuan sebenar apabila sanggup memerangi khilafah Uthmaniyah.

Dengan pertolongan beberapa Kabilah Arab lagi dan dana daripada Inggeris, akhirnya tidak sampai sepuluh tahun kejatuhan kerajaan khilafah Uthmaniyah iaitu pada tahun 1932 M terbentuklah kerajaan Saudi dengan keturunan Saud diangkat menjadi raja. Raja Abdul Aziz bin Saud adalah raja pertama yang diiktiraf imperialis Barat. Keturunan Syeikh Muhammad pula diberi peranan sebagai pentadbir agama di negara baru itu yang kini digelar dengan nama “Keluarga Syeikh” (آل شيخ).

Peranan Imperialis sangat besar dalam mencatur peta baru umat Islam pra kejatuhan khilafah. Mereka yang sebelum ini menjajah sebahagian besar negara di persisiran Teluk Arab, mendanai pakatan beberapa kabilah Arab yang turut dibantu dengan gerakan Wahhabi. Apabila pengaruh Uthmaniyyah berjaya diusir, lama-kelamaan Inggeris memberikan habuan kemerdekaan kepada mereka dengan dilantik pemimpin kabilah-kabilah ini sebagai monarki bagi negara-negara yang baru dibentuk.

Keturunan Sobah dijadikan Raja Kuwait. Keturun Nehyan/ Heyan dijadikan Raja UAE (United Arab Emirates), begitulah juga sejarah Bahrain, Qatar dan Oman turut melalui pengalaman yang serupa. Seperti yang ingin diperkatakan sama ada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab sedar atau tidak, tindakannya berkomplot dengan tali barut Inggeris sebenarnya punya muslihat politik yang terancang. Tanpa penglibatan gerakan yang diasaskan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab ini tentu kejatuhan khilafah tidak semudah yang berlaku.

Buta Politik, Buta Terburuk

Pengajaran besar daripada apa yang dikisahkan ini adalah, betapa besarnya kemusnahan terhadap umat Islam apabila agamawan tidak celik dengan sepak terajang politik. Mereka ini diibaratkan sebagai golongan buta yang paling buruk kerana kebodohannya telah menjadikan umat Islam mangsa kepada musuh-musuhnya. Bayaran yang ditanggung umat Islam terlalu mahal kerana generasi selepasnya terpaksa melihat kejatuhan sebuah khilafah yang memayungi umat Islam sedunia.

Selain daripada tindakan radikal gerakan pengikut Syeikh Ibnu Abdul Wahab, fikrah pengasingan diri beberapa tarikat sufi di Turki, Syam dan serata tanah air umat Islam turut menyumbang kepada kejatuhan umat Islam. Apabila gerakan imperialis campur tangan kedaulatan khilafah, kebanyakan kumpulan sufi tidak bangkit berjihad akibat terlalu sibuk dengan program-program yang boleh melarikan diri dari terlibat daripada politik umat Islam.

Lebih malang, ada gerakan sufi yang membantu projek Barat menjatuhkan khilafah Uthmaniyah setelah termakan propaganda kebencian terhadap khilafah kononnya mengancam kumpulan mereka. Walau bagaimanapun tidak dinafikan ada gerakan-gerakan sufi yang berjuang menentang penjajahan seperti Umar Mukhtar dan Tarikat Sanusiyah di Libya, Tarikat Syaziliyah di Morocco serta gerakan Jamaat Nur pimpinan Said Nursi di Turki.

Tetapi nisbah mereka tidak dapat dibandingkan dengan kebanyakan tarikat lain yang menolak terus penglibatan politik sebagai kaedah mengislah masyarakat. Akibat daripada itu mereka begitu mudah diperdaya musuh sehingga tidak sedar telah menjayakan misi Zionis yang telah sekian lama merancang untuk merampas Kota al-Quds. Bahana kebutaan golongan-golongan (political blindness) ini yang kononnya membenci caca-merba politik menyebabkan masyarakat Islam sering ditindas musuh-musuh Islam.

Lihatlah apa yang terjadi apabila Islam dibiarkan di masjid-masjid sahaja tanpa dukungan politik. Di Myanmar, di Selatan Thailand, di Rohingya, apa yang terjadi dengan saudara-saudara kita di sana? Mereka dibakar dan dihapuskan eksistensinya. Apa yang kita lakukan? Umat Islam kehilangan legitimasi politik, kehilangan wibawa, kehilangan daya dan kekuatan dan mungkin juga telah malu atau kehilangan keyakinan untuk berbangga dan merasa “Izzah” dengan Islam.

Di Palestin, rancangan Zionis masih beroperasi sehingga ke hari ini selagi umat Islam tidak bangkit dan ralit dalam mimpi lena. Mereka tidak pernah berhenti mengejar cita-citanya untuk menguasai dunia. Tetapi umat Islam juga masih sama seperti zaman kejatuhan khilafah, sibuk dengan sentimen sektarian Wahhabi-Sufi dan Sunnah-Syiah. Pada mereka, perjuangan membanteras golongan berbeza seumpama itu lebih utama dan mustahak dari musuh jelas yang rakus membelasah masyarakat Islam di Palestin khususnya.

Syria adalah contoh yang menjadi medan pertembungan ini. Walaupun jaraknya tidak sampai seinci dari tanah haram Israel tetapi orang Islam hanya menumpukan negara tersebut sahaja tanpa mempedulikan nasib Baitul Maqdis. Atas dasar memerangi Syiah dan memerangi pengganas ISIS, dihantar ribuan perajurit berperang di Syria, tetapi tiada satu pun peluru mereka singgah ke ruang takluk Israel yang sudah 100 tahun menjajah Palestin.

Tanpa kita sedari, musuh-musuh Islam mengambil manfaat daripada konflik umat Islam yang berlainan mazhab dan fahaman ini. Mereka tidak peduli adakah kita Ahli Sunnah atau Syiah, Wahhabi atau Sufi. Oleh itu, politik ini bukan sahaja ilmu yang ditinggalkan oleh Rasulullah ﷺ, tetapi ia menjadi suatu perisai yang wajib dipakai semua umat agar tidak ditembusi peluru tipu daya musuh. Memahami politik bukan sahaja pada prinsipnya, tetapi juga pada perkembangan semasanya.

Pesan Saidina Umar al-Khattab radhiallahu anhu dalam sebuah athar berbunyi:
مَنْ تَعَلَّمَ لُغَةَ قَوْمٍ أَمِنَ مَكْرَهُمْ
“Siapa yang belajarlah bahasa sesuatu kaum, nescaya kamu akan selamat dari tipu daya mereka.”

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-