© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Motivasi Untuk Jentera PAS : “Kita Bekerja, Allah Menentukan”

Motivasi Untuk Jentera PAS : “Kita Bekerja, Allah Menentukan”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 9 May 2018


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah Aali-Imran, ayat 160:
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّهُ فَلاَ غَالِبَ لَكُمْ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu (tidak menolong), maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”

Demikanlah Allah mentarbiyah kumpulan Islam di sepanjang zaman, kerana al-Quran ini petunjuk bermukjizat ilmu yang berterusan, walaupun diwahyukan sejak 15 abad yang lalu.

Kemenangan kumpulan Islam tidak ditentukan oleh kaji selidik ciptaan manusia sahaja. Kajian manusia itu sekadar panduan lahir untuk penekanan kerja yang dilakukan secara akal. Kita wajib percaya adanya janji Allah yang benar di luar jangkaan akal manusia.

Walaupun Allah Maha Berkuasa mencipta sesuatu yang dikehendakinya lebih cepat daripada kelipan mata kerana firman-Nya:
 إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ. فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
“Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau! Maka ia terus menjadi (82). (Ucapkan) Subhanallah! (Maha Suci) Tuhan Yang memiliki dan Menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan (83).” (Surah Yasin: 82-83)

Adapun kepada makhluk manusia yang ditugaskan di alam dunia dan bumi ini diuji kerana kemuliaan kejadiannya dan mulia peranannya di sisi Allah. Bukan sahaja beribadat seperti para malaikat, tetapi ditambah dengan kewajipan beramal, diantaranya amalan khilafah (politik) yang tidak boleh dilakukan oleh para malaikat yang mulia.

Allah berfirman:
 تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai Pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (1). Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)

Apabila Rasulullah ﷺ bersedih menghadapi cabaran terlalu payahnya mengajak manusia kepada Islam dan menegakkan Islam itu sehingga memerintah negara, Allah mewahyukan kepadanya:
 فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَى آثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا. إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلا
“Maka jangan-jangan pula Engkau (Wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini (6). Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan bagi-Nya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya (7).” (Surah al-Kahfi: 6-7)

Lalu disampingnya Allah mewahyukan supaya diambil iktibar daripada cerita Nabi Nuh alaihi al-salam berjuang selama 950 tahun, tetapi hanya berjaya mengumpulkan lebih 20 orang dan ada riwayat 80 orang sahaja.

Surah Yasin membawa cerita tiga Rasul yang berjaya mengajak seorang beriman sahaja. Jumlah yang jauh mencapai kemenangan kalau berpilihan raya seperti kita. Cerita Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Harun alaihim al-salam ialah mereka yang tidak sempat melihat hasil kemenangan mereka di alam dunia, namun tetap menang di akhirat.

Adapun Nabi Daud dan Nabi Sulaiman alaihima al-salam berjaya menegakkan negara paling besar kuasa kerajaannya yang dapat disaksikan di masa hayat mereka di dunia. Ada kumpulan Islam yang dibakar menjadi abu ke dalam parit yang dinyalak api marak.

Rasulullah ﷺ pula berjaya menegakkan negara dalam perjalanan 23 tahun menghadapi menang dan tewas, rebah dan bangun, tanpa menyaksikan selepas wafatnya hasil perjuangannya sampai ke seluruh pelusuk dunia.

Keputusan perjuangan Islam itu tidak boleh diukur dan dipandang oleh kajian manusia sahaja, namun kita disuruh juga mengkaji sebab-sebabnya yang lahir dan membuat persedian sekadar kemampuan, serta percaya bahawa kemenangan di dunia berlaku dengan izin Allah dan pertolongannya, kemenangan di akhirat kalau beristiqamah ke akhir hayat.

PAS menghadapi cabaran menggalas perjuangan Islam yang besar dan luas menghadapi kumpulan lain di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Semua umat manusia dalam masyarakat majmuk adalah saudara yang wajib diselamatkan bersama Islam.

Para ulama membahagikan mereka semuanya dalam skop umat Nabi Muhammad ﷺ yang wajib dipimpin bersama Islam yang adil dan rahmat terhadap semua.

Dibahagikan kepada “Ummah Ijabah” yang telah menganut Islam dan “Ummah Dakwah” yang tidak menganut Islam tetapi diajak bersama Islam.

“Ummah Ijabah” yang telah Islam pula berpecah mengikut firman Allah :
 وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
“Dan al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha Melihat dan Memerhatikan (31). Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (32).” (Surah Fatir: 31-32)

Kumpulan-kumpulan ini adalah umat Islam yang wajib disatukan, khususnya dalam memelihara kuasa politik umat Islam, kerana ada kalangan mereka sehingga boleh digunakan oleh musuh-musuh Islam. Ada yang berilmu tetapi akalnya kecil dan lemah, ada yang kuat akalnya tetapi lemah imannya.

Adapun sikap terhadap bukan Islam pula, Allah telah menetapkan garis panduannya dengan berfirman:
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ. لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang Yang kamu muasuhi  itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf. dan (ingatlah), Allah Maha Kuas (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (7). Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi(memusuhi) kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil (8). Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi (memusuhi) kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (9).” (Surah al-Mumtahanah: 7-9)

Dalam semua keadaan dan menghadapi cabaran ini, Allah menunjukkan cara berdakwah dan berpolitik secara matang dan sejahtera melalui firman-Nya:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya Aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (33). Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (34). Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat (35). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (36).” (Surah Fussilat: 33-36)

Ayat ini menunjukkan ketegasan bersama Islam dan menegakkan Islam. Maknanya golongan yang menyembunyikan “Islam”nya adalah sangat lemah walaupun hatinya bersama Islam. Juga menunjukkan kebijaksanaan terhadap lawan, sama ada di medan pertarungan dengan cara yang tidak melampau dan zalim terhadap lawan. Lebih terserlah kebijaksanaannya kalau bermaafan apabila mencapai kemenangan. Sikap ini yang ditunjukkan contohnya oleh Rasulullah ﷺ.

Maka cara menyebarkan fitnah terhadap musuh bukan budaya kita. Mengisytiharkan hukuman kalau menang bukan budaya kita. Kita ditugaskan menyelamatkan manusia seberapa ramai yang mungkin. Yang silap dibetulkan, yang berdosa diampunkan.

Maka Allah mensyaratkan kemenangan yang dijanjikannya dengan berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam diri kamu apabila mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran (di medan perjuangan menghadapi musuh), dan bersedialah (menjalankan tugas di tempat masing-masing) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Aali-Imran: 200)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-