© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Kaedah Berinteraksi Dengan Hadis Akhir Zaman

Kaedah Berinteraksi Dengan Hadis Akhir Zaman

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 10 April 2018


Kegawatan yang berlaku di alam Islam setakat ini membawa umat Islam membaca kembali ayat-ayat al-Quran dan teks-teks hadis. Perkara-perkara pelik dan mengejutkan yang berlaku menyebabkan mereka cuba untuk memahami hakikat, dan sebahagian jawapannya ada diisyaratkan melalui nas-nas yang telah lama wujud.

Berkenaan akhir zaman, banyak disebut oleh hadis berbanding al-Quran. Hadis-hadis yang membahaskan tentang peristiwa akhir zaman disebut sebagai “Hadis Fitan” (ujian) ataupun “Hadis Asyrat al-Sa’ah (tanda kiamat).

Secara umumnya, fenomena merujuk kepada hadis bagi menafsirkan kejadian semasa adalah suatu yang baik. Namun, jika tidak berhati-hati, amat mudah untuk menyebabkan kita silap faham, lalu menghukum pihak tertentu tanpa kaedah pembuktian yang sebenar. Ia juga boleh melahirkan sikap pasif daripada memperjuangkan Islam, sama ada kerana takut ataupun kerana mengambil langkah menunggu hingga tiba apa yang disebutkan hadis tanpa sebarang usaha.

Beberapa panduan digariskan di bawah untuk kita berinteraksi dengan hadis akhir zaman, agar ia selari dengan tuntutan syarak.

Nas Sebagai Rujukan Utama


Perkara ini adalah fundamental di dalam Islam. Sebelum baca apa-apa bahan, bekalkan dahulu diri dengan al-Quran dan Hadis. Belajar ilmu yang didatangkan melalui dua sumber ini terlebih dahulu sebaiknya.

Ini kerana kedua ini adalah sebenar-benar dan setepat-tepat sumber rujukan. Ketulenannya telah disaring rapi oleh alim ulama sepanjang zaman. Ia juga tidak akan berjaya diseleweng atau hilang melainkan bila tiba hari kiamat.

Jangan letakkan al-Quran serta Hadis sebagai rujukan sekunder. Jangan jadikan nas hanya sebagai penyokong kepada teori dan berita yang kita ambil dari sumber lain. Sebaliknya yang lain itu perlu dibaca setakat yang tidak menyalahi nas. Ia perlu ditolak sekiranya bercanggah dengan nas.

Akhir zaman, terlalu banyak pembohongan yang berlegar. Nabi pernah menggambarkan bahawa akan tiba masa wujud kalangan manusia yang bekerja menyebarkan pembohongan sehingga mencecah ufuk dunia. Gambaran itu boleh kita lihat dengan zaman internet dunia tanpa sempadan ini. Fakta dan auta bercampur aduk. Benar dan batil tidak dapat dibezakan lagi.

Nabi berpesan agar kita berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Sabda Baginda :
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابُ اللَّهِ، وَسُنَّةُ نَبِيِّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya, Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.”

Fahami Dengan Kaedah Yang Betul

Membaca nas baik al-Quran dan Hadis tidak boleh sebarangan. Ia bukan semudah membaca akhbar atau artikel. Ada disiplin dan kaedahnya. Perlu belajar ilmu hadis berkait riwayah dan dirayah, asbab wurud, nasikh mansukh, dan sebagainya.

Hadis tidak boleh dibaca secara literal. Perlu diselami perbendaharaan Bahasa Arab. Nahu, Sorof, Balaghah, Mantiq dan segala ilmu alat.

Hadis tidak boleh difahami secara tepat dengan hanya membaca terjemahan sahaja. Tiada bahasa yang setanding Bahasa Arab. Ia bahasa tuhan, bahasa syurga. Terjemahan hanya membantu, bukan mendalamkan kefahaman.

Jangan membaca satu hadis sahaja kemudian terus membuat kesimpulan. Di sana terdapat beribu-ribu hadis yang berkaitan dengan akhir zaman. Ia perlu dibaca secara bersama. Menggabung-jalinkan antara kesemua hadis. Jangan ditolak walau satupun sekiranya tidak ada perkara yang menyebabkan hadis itu tertolak.

Paling penting, Hadis tidak boleh difahami dengan cara yang bercanggah dengan al-Quran. Kerana al-Quran adalah ibu, Hadis adalah pelengkap. Kalau berlaku percanggahan, itu bukan kerana al-Quran atau Hadis yang silap, tetapi mungkin kerana kita silap memahami salah satu dari keduanya.

Sikap mengambil sebahagian nas dan menolak sebahagian yang lain adalah sifat orang munafik dan ahli kitab. Perkara ini ditegah oleh Allah. Islam akan tempang dan tidak dapat dijadikan panduan langsung jika sebarang nas difahami secara terpisah dari nas-nas yang lain.

Bezakan Cara Interaksi Dengan Hadis Hukum

“Hadis Fitan” berbeza dengan hadis hukum. “Hadis Fitan” lebih kepada pengkhabaran tentang berita dan bukan berkenaan dengan arahan atau larangan melainkan sedikit. Justeru kaedah menerima hadis ini berbeza dengan cara menerima hadis untuk dijadikan dalil hukum.

Syarat menerima hadis sebagai penentu hukum agak ketat. Tetapi “Hadis Fitan” termasuk di dalam hadis-hadis berita baik atau buruk. Ulama seperti Imam Nawawi rahimahullah berfatwa bahawa hadis berstatus lemah dari segi periwayatan boleh diterima untuk fadhail amal, bertujuan mendorong (targhib) atau menakutkan (tarhib).

Di dalam penentuan hukum, hadis banyak terikat dengan kaedah Usul Fiqh. Usul Fiqh berbeza antara mazhab dengan mazhab. Ada hadis yang tidak diterima oleh satu mazhab, tetapi diterima mazhab lain kerana berbeza kaedah Usul Fiqh-nya. Dalam “Hadis Fitan”, kesemua perkara ini perlu diperhalusi.

Ada juga perawi yang dihukum dhaif kerana mereka melakukan kesalahan mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi bagi mazhab yang lain, perbuatan perawi itu tidak menjadi salah. Ada muhaddith yang terlalu syadid sehingga sesetengah perbuatan harus yang dilakukan perawi dihukum sebagai hilang thiqah lalu gugur hadis itu. Perkara ini juga perlu diselidik.

Faktor persekitaran semasa muhaddith juga perlu diambil kira dalam menerima pandangan mereka terhadap perawi. Boleh jadi faktor politik, ataupun fitnah yang tersebar pada masa mereka mempengaruhi labelan terhadap perawi hadis.

Jangan Meyakini Yang Zann

Jangan percaya penuh yakin dengan Hadis-Hadis yang bersifat zann thubut atau dilalah. Selagi hadis tidak sampai ke tahap mutawatir iaitu tidak ada ruang andaian untuk menghukum palsu, jangan kita pegang yakin sebagaimana al-Quran. Selagi mafhumnya boleh ditafsirkan dengan berbagai maksud yang lain, jangan kita berpegang yakin kepada satu mafhum sahaja. Boleh jadi hadis itu sebenarnya rekaan, atau mafhumnya lain.

Hadis akhir zaman kebanyakannya tidak menyebut figur secara detail. Tidak dinyatakan nama watak, tarikh tepat atau jalan cerita terperinci. Maka boleh jadi apa yang dinyatakan hadis itu adalah apa yang berlaku sekarang, dan boleh jadi juga hadis itu akan berlaku masa hadapan.

Berpegang penuh yakin dengan hadis yang hanya status zann bukan sahaja boleh mendedahka kita kepada kesilapan, malah boleh membawa kepada kesesatan. Ia juga boleh membawa kepada dosa, bahkan terjerumus ke lembah kufur. 

Contohnya kita menafsirkan hadis umum yang menyebutkan tentang lelaki fasik atau kufur kepada mana-mana individu atau pihak secara khusus hanya kerana beberapa sifat persamaan yang samar. Allah berfirman bahawa sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Lengkapi Dengan Pengetahuan Sokongan

Memahami fenomena dunia tidak cukup sekadar merujuk kepada al-Quran da Hadis sahaja. Benar ia sumber utama, tetapi kita perlu mencari sumber sokongan yang kuat. Jika tidak, kita tidak akan dapat memahami hadis secara tepat dan akan terdedah dengan kesalahan.

Sumber kedua yang perlu dibaca adalah segala sumber yang fundamental dalam pengajian ilmu sosiologi, politik dan hubungan antarabangsa. Sejarah, geografi, ideologi, perlembagaan, piagam, dasar luar, teori-teori sosial, ekonomi dan politik, kajian-kajian entiti berpengaruh, perjanjian, deklarasi, persidangan, polisi semasa, kenyataan rasmi, pekeliling, dokumen rasmi dan sebagainya. Perkara inilah yang akan membentuk kerangka pemikiran kita dalam membaca kecenderungan dan motif setiap watak geo-politik yang terlibat.

Sumber ketiga pula adalah media. Ini termasuklah media cetak, elektronik dan hear-say. Malah platform hiburan seperti selebriti, sukan, lagu dan movie boleh diambil kira. Tetapi ia hanya sumber pelengkap untuk membantu kita mencari petanda sampingan. Terlebih dahulu perlulah diketahui latar belakang setiap media itu, mereka bekerja untuk siapa dan apa motif mereka. Kita membaca untuk memahami propaganda dan perkembangan, bukan untuk membina kepercayaan.

Sumber keempat yang boleh juga diambil kira adalah teori konspirasi dan teori eskatologi. Kadang-kadang sumber pertama kedua dan ketiga tidak dapat memberi jawapan tuntas terhadap persoalan yang timbul. Tetapi teori ini ada menawarkn jawapan. Cuma pastikan jawapan yang dipilih selari dengan sumber yang lebih kredibel.

Mengelak Fitnah Semampu Boleh

Tujuan nas diturunkan adalah untuk menjadi panduan hidup di atas dunia. Semakin seseorang memahami nas, semakin dia yakin terhadap Islam dan semakin terdorong untuk beramal soleh dan percaya masa depan di tangan Allah.

Jangan pula kefahaman terhadap nas menyebabkan kita jadi takut dan putus harapan sehingga meninggalkan tugas dan amanah perjuangan. Jangan ada yang meletak “senjata” pasrah kerana ada hadis yang menyatakan Palestin akan dikuasai Dajjal. Jangan ada yang lari bersembunyi ke gua kerana takut bahaya Dajjal.

Kalau boleh kita sentiasa berdoa agar dapat mengelak dari zaman fitnah. Kalau boleh dimatikan sebelum zaman Dajjal. Kerana fitnahnya sangat dahsyat sehingga boleh mengelirukan orang antara syurga dan neraka.

Jangan pula ada yang merasa teruja tidak sabar melihat apa yang Nabi nyatakan. Perkara ini bukan menyeronokkan seperti menonton wayang. Tanpa akidah yang mantap dan rohani yang bersih, sesiapa sahaja boleh terpesong.

Jangan kita ingat nanti bila datang Imam Mahdi kita akan berbai’ah. Belum tentu kita dapat bezakan adakah ia sebenar-benar Mahdi atau Mahdi palsu ciptaan musuh. Jangan ingat kalau tiba Dajjal, kita akan lari sepenuh hati. Boleh jadi Dajjal akan tiba kepada kita, dalam keadaan kita tidak tahu pun bahawa dia adalah Dajjal!

Kesimpulan

Daripada beberapa garis panduan ini, kesimpulannya kita amat perlu untuk:
  1. Menimba ilmu. Kerana ilmu sahaja yang boleh membezakan hak dan batil.
  2. Bersama ulama. Kerana ulama yang paling tahu cara memahami nas dengan betul.
  3. Beramal soleh. Kerana amal adalah benteng akidah. Ia juga pesanan Nabi bagi menghadapi akhir zaman.
  4. Mengikut jalan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin iaitu jalan memperjuangkan Islam. Kerana jalan mereka adalah jalan yang benar sebagaimana firman Allah.
  5. Membersihkan jiwa dari riya’, hasad, sombong dan sebagainya. Kerana penyakit hati adalah lubang untuk syaitan menyesatkan manusia.
  6. Beriltizam dengan jemaah Islam dan pemimpinnya. Kerana ia adalah pesanan Nabi bagi menyelamatkan diri daripada fitnah.
  7. Berdoa dan bertawakkal. Kerana ia adalah senjata orang beriman.

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M. Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.

Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-