© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) Mengatasi Budaya “Politik Dangkal”

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) Mengatasi Budaya “Politik Dangkal”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 25 April 2018


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), membawa pendekatan politik Islam berkonsepkan Amar Makruf dan Nahi Mungkar secara istiqamah dan hikmah, bukan seperti mereka yang memisahkan politik daripada agama, semata-mata mahu menang pilihan raya, walau dengan apa cara sekalipun, tanpa mengira sempadan halal dan haram, benar dan salah, aman dan huru-hara.

Perbezaannya kerana tujuan utama perjuangan PAS mendapat keredhaan Allah Taala, bukan keredhaan manusia semata-mata. Objektifnya, PAS berdakwah supaya menerima Islam yang sempurna, politiknya memerintah negara dengan menganut Islam tanpa paksaan atau tidak menganutnya tetapi bersedia berada di bawah pemerintahan Islam yang adil terhadap semua dalam masyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya.

Kalau mereka yang bukan Islam atau non-Muslim itu boleh menerima berbagai ideologi asing, kanan dan kiri yang diciptakan oleh Barat yang asing dan menjajah, kenapa konsep “wasatiyyah” politik dan ekonomi Islam yang merdeka daripada mana-mana fahaman manusia tidak boleh dilaksanakan dalam masyarakat majmuk? Sedangkan penganut Islam juga memiliki hak yang wajib dilaksanakan iaitu menegakkan syiar-syiar Islam yang dianutnya.

PAS memilih sistem demokrasi bebas bersuara dan berdakwah tanpa paksaan dengan “uslub” yang tidak mencetuskan permusuhan dan huru-hara walaupun berbeza agama dan ideologi. PAS memperkenalkan penyelesaian Islam daripada kerajaan kepada rakyat sama ada diterima oleh siapa sahaja yang memimpin negara dan PAS wajib menolongnya dalam aspek positif atau PAS menjadi pembangkang yang wajib menyokong yang baik dan menasihatinya dengan mencegah kemungkaran dalam aspek negatif.

PAS haram menyertai budaya fitnah untuk menjatuhkan pihak lain yang berlawanan, tanpa sempadan dan perhitungan akhlak yang benar dan salah sehingga matlamat menghalalkan cara yang haram. PAS wajib menerima kebenaran daripada semua pihak dan begitu juga menentang kebatilan.

PAS pernah melaksanakan konsep “Tahaaluf Siyasi”, bekerjasama dalam titik persamaan yang baik tanpa membatalkan prinsip dan meninggalkan matlamat perjuangannya mendaulatkan Islam. PAS juga melaksanakan konsep “Ta’awun” (bertolong-menolong dalam perkara kebajikan dan haram bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan). PAS tidak boleh bersama dengan pihak yang menghalang matlamatnya atau membudayakan pendekatan yang tidak berakhlak.

PAS pernah bertahaluf dengan parti pemerintah sehingga menyertai kerajaan campuran dan Barisan Nasional (BN) ketika negara dalam keadaan darurat, pernah memerintah di peringkat negeri dan pusat dan dikeluarkan kerana menyanggah prinsip dan hala tujunya, dan juga pernah bertahaluf dalam pakatan pembangkang dan tidak boleh bersama lagi apabila disentuh dasar dan matlamatnya. Maka PAS boleh bersendirian atau membentuk gagasannya sendiri sama ada menjadi pemerintah atau pembangkang. PAS boleh bersendirian dengan pendekatannya sendiri, mengajak siapa sahaja daripada parti politik, NGO dan individu yang bersedia menerima pendekatannya.

Walaupun PAS ditentang dan dikepung daripada segenap penjuru dengan serangan fitnah dan sebagainya oleh pihak lain yang mahu memaksa PAS mengikut telunjuknya. Alhamdulillah, PAS selamat dalam semua keadaan.

Walaupun kecundang dalam beberapa kali Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), tetapi ahli dan cawangannya tetap bertambah berlipat kali ganda daripada jumlah yang dipecat atau melarikan diri, menjadikan akar umbinya sangat teguh sehingga tidak lemah walaupun kalah dalam pilihan raya dan dijatuhkan kerajaannya.

Sejak awal sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, PAS tetap mempunyai ahli dan penyokong yang menabung duit dan bertugas sukarela untuk pilihan raya berikutnya, menyimpan sepanduk dan bendera usang yang dikitar semula, bukan hanya sekadar orangnya, malah saya pernah menyaksikan pada tahun 50-an dan 60-an, ada ahli biasa PAS dan penyokong yang kuat tidak mahu menjadi ahli tetapi sanggup menjual tanah miliknya untuk dibelanjakan kepada calon PAS dan kerja pilihan raya kerana katanya dia sangat kuat PAS.

Mereka tidak mengharapkan jadi calon dan dapat projek daripada kerajaan PAS dan tidak berkecil hati kalau tidak dapat projek kerana percayakan pahala bersama perjuangan Islam. Kini sudah ada orang yang bertaraf usahawan besar, terus percaya kepada perjuangan PAS, mereka menyokong secara terbuka atau bersembunyi.

Kini PAS tidak menghadapi apa-apa tuduhan yang benar terhadap semua Menteri Besar dan exco atau para menteri daripada PAS yang pernah menyertai kerajaan dan sedang bertugas. Hanya fitnah dan bohong yang diciptakan oleh kalangan yang sangat dangkal politiknya.

Difitnah kononnya saya menerima 90 juta daripada UMNO, tanpa berfikir mustahil adanya orang yang kuat UMNO boleh beli PAS untuk lawan UMNO pula, padahal mengikut akalnya dia mesti mempertahankan UMNO mati-matian. Hanya mereka di kalangan yang dangkal politiknya boleh menerima hujah begini, laksana dipengaruhi penjual ubat yang boleh menggoda pelanggannya dengan mudah. Barangkali inilah budaya politik penjual ubat yang boleh memusingkan pelanggan sehingga tahi kambing pun boleh disangkanya “makjun” yang mujarab.

Dilemparnya batu daripada pihak luar UK untuk menyembunyikan tangannya, sehingga PAS terpaksa bersusah payah untuk “mengerat tangan” itu melalui mahkamah di sana. Tindakannya laksana binatang padang pasir yang dinamakan burung kasuari yang besar jasadnya menyembunyikan kepalanya sahaja ke dalam tanah. Bodohnya menampakkan jasadnya yang besar dan berbulu lebat itu dapat dilihat dengan nyata.

Ada pula yang melemparkan tuduhan bahawa PAS parti pengacau. Padahal ahli PAS sudah wujud di situ, sudah ada kawasan dan cawangannya sejak puluhan tahun di situ juga, bahkan pernah bertanding pilihan raya sebelum lahirnya parti-parti baru. Dia yang menuduh itu, hanya parti yang baharu ditubuhkan dan mahu bertenggek di atas riba PAS, sehingga ada yang masih peringkat bayi yang baru dilahirkan, tiba-tiba dia yang baru datang bertenggek itu hanya mahu menumpang jentera PAS dan menuduh PAS pula yang kacau daun. Inilah politik yang tidak matang dan sejahtera.

Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang boleh menerimanya atau bukan Melayu yang mudah lupa juga dan mahu menempah huru-hara tanpa menghormati kedudukan umat Islam yang menerima mereka bersama dalam masyarakat majmuk yang aman sejahtera.

Mereka lupa bahawa orang itulah yang menjadi juara politik wang yang merosakkan negara dan partinya sendiri. Mentadbir negara yang kerajaannya juga berniaga sehingga membebankan rakyat, supaya rakyat membayar urusan yang wajib ditanggung oleh kerajaan, seperti pendidikan, perubatan dan lain-lain. Ibarat ayah yang meminta upah daripada anaknya yang wajib dijaga atau suami yang mewajibkan isterinya membayar upahnya menjadi suami, dia lupa bahawa memberi nafkah itu wajib.

PAS yang teguh dan beristiqamah tetap tidak berganjak menghadapi politik fitnah dan bohong kerana kekuatannya laksana bukit yang sudah bertapak di bumi yang kukuh, tidak perlu melayan suara laksana anjing yang boleh menyalak bukit, hanya babi yang menghuninya lari bertempiaran. Adapun bukitnya tidak mungkin diruntuhkan oleh hanya salakan anjing yang bernajis “mughallazah” itu.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tetap dilaksanakan di musim pilihan raya sehingga mencapai kemenangan untuk melakukan islah, bukannya membalas dendam terhadap lawan yang kalah. Kalau kalah pun tetap menjadi pembangkang yang menasihat yang tidak jahat terhadap lawan yang mengalahkannya. Tidak diizinkan dalam PAS budaya menghukum lawannya secara andaian, dan tidak hanya menggunakan perkataan ‘kalau’ mencapai kemenangan secara murahan, kerana Rasulullah ﷺ bersabda:
فَإِنَّ لَــــــــــــوْ تَفْتَحُ عَمَلَ اَلشَّيْطَانِ
“Maka sesungguhnya perkataan - kalau - seringkali membuka kerja syaitan...” (Riwayat Muslim)

Apa yang difikirkan juga bahawa tanggungjawab mengisi kemenangan lebih berat daripada mencapai kemenangan, namun bersedia meneruskan perjuangan walaupun ditimpa kekalahan di alam dunia ini. Sebabnya wawasan kami bukan sekadar tahun 2020 yang sudah hampir, tetapi wawasannya daripada dunia sehingga akhirat. Di mana kejayaan mempertahankan aqidah Islamiyyah di dalam diri sehingga akhir hayat menjana kemenangan yang lebih besar di akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-