© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Agama dan Hidayah

Agama dan Hidayah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 23 November 2017


Manusia merupakan makhluk yang paling mulia di muka bumi ini, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Walaupun manusia itu telah menerima ilham, pancaindera dan akal fikiran, namun masih ramai yang menyimpang atau tersesat dari jalan kebenaran sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah. Padahal sekalipun mata mereka boleh melihat, telinga boleh mendengar, akal boleh berfikir dan hati boleh berperasaan untuk membezakan antara yang hak dan batil, tetapi masih juga mahu menyimpang dan berada pada jalan yang salah.

Sama ada manusia itu faham atau tidak, percaya atau tidak percaya, maka ditegaskan di sini bahawa yang amat besar pengaruhnya di mana banyak membawa dan memesongkan manusia ke jalan yang salah itu ialah nafsu dan syaitan. Adapun kerana nafsu yang rendah disebabkan tidak terkawal mendorong kepada jalan yang salah, manakala syaitan pula sama ada dari kalangan jin mahupun manusia sangat pandai memainkan tipu daya untuk menggalakkan orang melakukan kejahatan, yang mana di tempat-tempat yang kotor dan jahat dihias indah sampai mengelabui mata manusia melihatnya, maka ketika itu pertimbangan akal sihat tentang buruk dan baik menjadi kabur dan keliru lalu tergelincirlah manusia ke lembah jahat dan maksiat.

Keinginan hati, kepentingan dan desakan hidup sangat besar pengaruhnya dalam mendapat sesuatu dengan jalan apa sahaja, dari itu ada yang sehingga tidak mempedulikan sama ada halal atau haram, hak kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain. Malah kadang-kadang manusia madah terpengaruh dan tertarik kepada keuntungan yang dekat sahaja, dengan tidak mengambil kira bahaya atau kerugian di masa yang akan datang.

Sebagaimana mata manusia melihat sesuatu yang jauh, benda itu nampaknya kecil sahaja, maka serupa itu pula pandangan akal dan fikirannya tentang bahaya akan menimpa atau merugikan mereka di masa atau di kemudian hari kelak, walaupun bagaimana besarnya bahaya itu, tetap dipandang dan dianggapnya kecil. Kalaulah demikian keadaannya, maka sangat keliru dan silap perhitungan mereka yang seperti itu, kerana sanggup memilih keuntungan yang kecil untuk jangka masa yang dekat, padahal mengakibatkan bahaya besar dan berkekalan di masa mendatang.

Adapun pengaruh kebiasaan dan lingkungan, bukan sedikit memainkan peranannya membawa manusia kepada melakukan perbuatan-perbuatan jahat, umpamanya apabila dilihatnya kejahatan itu telah berkembang dan telah menjadi biasa atau kesukaan orang ramai, maka menjadikan ia tertarik pula hendak meniru perbuatan-perbuatan jahat itu, yang mungkin pada permulaannya sebagai mencuba, tetapi lama-kelamaan menjadi biasa dan senang, lalu susah hendak meninggalkannya, sekalipun pertimbangan akal sihatnya mengatakan bahawa perbuatan itu salah dan patut dijauhi, tetapi apa boleh buat kerana akal telah lemah dan tidak berdaya lagi untuk mencegahnya.

Apalagi jika seseorang itu telah merasa serba cukup dan mewah hidupnya, banyak harta-bendanya, besar kekuasaan dan pengaruhnya, dimulia dan dihormati oleh orang ramai, maka ketika itu lahirlah rasa sombong, besar diri dan sebagainya sehinggakan sanggup memandang rendah terhadap orang lain, lalu akan sanggup pula bertindak sekehendak hatinya saja. Sepertimana firman Allah  di dalam surah al-‘Aalaq ayat 6 dan 7:
كَلاَّ إِنَّ الإِنسَانَ لَيَطْغَى. أَن رَّآهُ اسْتَغْنَى 
“Ketahuilah, sesungguhnya manusia itu menjadi jahat (atau suka melanggar batas), disebabkan dia telah melihat dirinya serba cukup”

Mengingat kepada perkara-perkara yang disebutkan itu, serta berbagai-bagai kenyataan buruk yang berlaku disekitar kita mahupun yang kita dengar berlaku di mana-mana, maka nyatalah bahawa manusia sangat-sangat memerlukan kepada pimpinan atau petunjuk Agama — yakni Islam. Iaitulah satu-satunya Agama yang di-jamin kebenarannya, yang sekaligus merupakan petunjuk yang disampaikan oleh Allah kepada Rasulullah dengan perantaran Malaikat Jibril alaihissalam.

Ajaran Islam adalah sesuai dengan fitrah, akal dan perasaan manusia yang murni, bahkan agama itu sebenarnya sangat berguna untuk membetulkan perjalanan akal dan perasaan kemanusiaan, apabila kedua perkara itu telah keliru dan kabur pandangannya kerana beberapa sebab atau keadaan-keadaan tertentu. Oleh sebab itu sudah tepat sekali segala pujian dan sebanyak-banyak kesyukuran tertumpu kepada Allah. Tuhan Yang Maha Berkuasa, kerana di samping memberikan pimpinan ilham, pancaindera dan akal fikiran, dilengkapkan lagi kepada kita dengan petunjuk Islam, yang dengan demikian bertambah terang jalan yang ditempuh oleh kita manusia serta bertambah jelas perbuatan yang perlu dikerjakan dalam kehidupan peribadi mahupun bermasyarakat dengan perbuatan-perbuatan yang semestinya kita tinggalkan.

Adapun pokok-pokok ajaran agama yang disampaikan oleh Para Rasul Allah sepanjang zaman semenjak Nabi Adam lagi boleh dikatakan sama, iaitu mempercayai Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, yang menciptakan manusia dan dunia seluruhnya. Mengakui bahawa hanya Allah sahaja yang berhak disembah, tiada yang lain dari-Nya. Mempercayai Wahyu dan Risalah, iaitu petunjuk yang disampaikan oleh Tuhan kepada para Rasul dengan perantaraan Malaikat.

Manusia berkewajipan mempercayai dan menjalankan petunjuk-petunjuk Rasul itu untuk kepentingan dan keselamatan manusia itu sendiri atau dengan kata lain menjalankan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, dan mempercayai adanya hari akhirat atau hari kebangkitan, untuk menerima pembalasan hasil semua amalan yang dikerjakan semasa hidup di dunia, yang mana perbuatan baik dibalas dengan Syurga, manakala orang yang mengerjakan kejahatan dimasukkan ke dalam Neraka yang sangat pedih seksaan-Nya.

Demikian terang dan jelasnya kebaikan ajaran Islam bagi menjamin keselamatan hidup manusia dunia dan akhirat. Namun begitu bukan tidak ramai orang yang suka melanggar ketentuan Allah, kerana mungkin disebabkan oleh pengaruh-pengaruh jahat yang mengganggu mereka, sama ada yang timbul dari dalam diri mereka sendiri ataupun yang datang dari luar.

Tidaklah cukup jika hanya mengetahui atau memahami jalan yang benar tanpa melaksanakannya dengan jujur dan ikhlas kerana Allah. Kesanggupan untuk melaksanakan segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, hanyalah dengan pimpinan dari Allah, iaitulah yang dinamakan Taufiq.

Oleh sebab itu kita sangat perlu untuk selalu memohon kepada Allah ‘Azzawajalla supaya selalu dianugerahkannya kepada kita Taufiq dan hidayah-Nya, sehingga dengan demikian kita sentiasa sanggup menempuh jalan yang lurus, atau dengan perkataan lain supaya termasuk orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk menjadi hamba-hamba-Nya yang penuh ikhlas berjuang kerana menegakkan kebenaran Agama-Nya, kerana kita tahu dan yakin bahawa dengan demikian sahajalah baru kita akan diberi kebahagiaan sejati di waktu hidup sesudah mati di akhirat kelak.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-