© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Selesaikan 1MDB Dengan Al-Quran

Selesaikan 1MDB Dengan Al-Quran

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 7 July 2017


Ramai yang tertanya-tanya seolah-olah saya tidak berminat untuk membuat perubahan kerana 1MDB. Apabila banyak pihak menjadikan isu ini senjata besar untuk melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku di setiap zaman Perdana Menteri bermula sejak tahun 80-an. Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa.

Sekiranya kita kembali kepada al-Quran dengan kajian politik (kecuali mereka yang menolak adanya politik di dalam al-Quran), al-Quran mengulang beberapa kali ayat yang menyebut perubahan tehadap sesuatu kaum dalam negaranya. Di antaranya, firman Allah:
ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِّعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَى قَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 53)

Firman Allah:
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ
“Bagi setiap orang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasi dan menjaganya (dalam segala tindakannya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’d: 11)

Al-Quran Menyelesaikan Masalah Manusia

Al-Quran menegaskan kepada perubahan sikap, perangai atau akhlak, bukannya mengubah tokoh atau orang-orangnya sahaja. Islam mengekalkan sesiapa yang bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Kalau hanya sekadar mengubah orangnya sahaja sedangkan perangainya sama, maka perubahannya juga membawa rebah yang sama.

Al-Quran juga melaporkan, dakwah semua Para Rasul adalah seruan kepada perubahan aqidah yang benar, hukum syariat yang adil dan akhlak yang mulia tanpa meminta-minta jawatan. Akhirnya menerima perubahan, sama ada bertaubat kembali kepada kebenaran atau dijatuhkan jahiliyah di dalam dirinya dan ditegakkan Islam, bukannya sekadar mengubah pemimpin yang sama juga sifatnya atau lebih buruk keadaannya.

1MDB adalah mata rantai masalah yang belum diselesaikan secara adil dan menjadi salah satu daripada mata-mata rantai isu yang tiada penyelesaian. Dahulunya BMF, PERWAJA, KWSP, PETRONAS, Tabung Haji, pertukaran wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ. Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya.

Puncanya adalah ideologi bertuhankan kebendaan dalam segala urusan hidup yang mencipta banyak lagi penyakit yang wajib dihapuskan seperti salah laku, salah urus dan rasuah yang menjadi wabak di seluruh dunia sehingga mencetuskan peperangan sesama keluarga, bukan sahaja dalam satu bangsa, bahkan satu kemanusiaan dalam satu negara. Kebendaan menjadi matlamat kehidupan di dunia tanpa wawasan akhirat. Hidupnya untuk makan, bukan makan untuk hidup dan menunaikan amanah Allah.

Saya tetap tidak bersetuju dijemput campur tangan asing terhadap penyelesaian dalaman kita kerana mengundang akibat yang lebih buruk dan tiada keikhlasan kuasa asing dalam dunia hari ini. Langkahnya laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah.

Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya.

Akhirat Adalah Hari Kehakiman Allah

Kita juga tidak boleh menunggu apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran tentang bagaimana semua penyangak di dunia ini akan mengutuk sesama sendiri di Hari Akhirat. Firman Allah:
قَالَ ادْخُلُواْ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُم مِّن الْجِنِّ وَالإِنسِ فِي النَّارِ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَّعَنَتْ أُخْتَهَا حَتَّى إِذَا ادَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لأُولاهُمْ رَبَّنَا هَؤُلاء أَضَلُّونَا فَآتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِّنَ النَّارِ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِن لاَّ تَعْلَمُونَ. وَقَالَتْ أُولاهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
“Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) Neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. (38) Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir: (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan (39) (Surah al-A’raf: 38-39)

Ayat-ayat ini menyatakan tentang peristiwa di Hari Akhirat sekiranya tidak diselesaikan atau tidak bertaubat di alam dunia ini. Akhirat adalah kehakiman Allah, tidak ada lagi kehakiman dalam negara atau luar negara atau mahkamah antarabangsa seperti di alam dunia ini. Namun, Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya, sehingga nyawa sampai ke kerongkong dan matahari naik dari arah barat. Seterusnya menggalakkan taubat dan melakukan islah lebih baik daripada dibawa ke mahkamah.

PAS tidak boleh menjadi gerabak kereta api yang disangkut kepada kepala yang menuju ke arah yang salah, sekadar membawa perubahan pemimpin yang berkonsep ‘2 x 2’ atau ‘2 + 2’, di mana jawapannya sama.

PAS tidak boleh mengikut sunnah mereka yang melahirkan saudara-saudara 1MDB dan saudara maranya yang akan lahir selepas ini kerana sunnah yang sama acuannya.

PAS tetap tegas dan teguh beristiqamah mengikut penyelesaian Islam daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah ﷺ walaupun banyak liku dan jauh perjalanannya. Ingatlah pesanan Rasulullah ﷺ:
مَنْ سَنَّ في الإسلامِ سنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أجْرُهَا، وَأجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ،مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورهمْ شَيءٌ،وَمَنْ سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيهِ وِزْرُهَا ، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ ، مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهمْ شَيءٌ (رواه مسلم).
“Sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang baik nescaya dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikut contuh baiknya tanpa dikurangkan pahalanya sedikit pun dan sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang jahat nescaya dia memikul dosanya dan dosa orang mengambil teladannya selepasnya tanpa dikurangkan dosanya sedikit pun.” (Riwayat Muslim)

Kembalilah Ke Pangkal Jalan

1MDB adalah ciptaan tema “Kepimpinan Melalui Teladan”. Apakah teladannya? Lakukan muhasabah politik dan ekonomi sebelum ini dan kembali ke pangkal jalan. Saya tidak menafikan adanya perkembangan positif dalam negara di sepanjang perjalanannya sehingga diberi gelaran “Harimau Asia”, tetapi tiba-tiba bertukar menjadi kucing kurap yang dibejati penyakit-penyakit.

Khalifah Umar al-Khattab radhiallahu anhu menegaskan:
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل
“Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Ahli-ahli dan pemimpin PAS, jangan ikut menari bersama mereka yang memalu gendang dan meniup serunai lagu lama, yang hanya mengubah senikata dan rentaknya sahaja, sehingga lalai dalam khayalan atau menerkam secara leka tanpa hidayah yang betul. Tidakkah kita berpandukan al-Quran yang benar daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Ingatlah firman Allah Ta’ala yang menceritakan tentang ucapan Nabi Syuib alaihissalam yang menghadapi kaumnya yang rosak aqidah dan secara khusus melaksanakan sistem ekonomi yang diharamkan oleh Allah Ta’ala:
إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
“Aku hanya bertujuan hendak melakukan islah (memperbaiki) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” (Surah Hud: 88)

Jangan Mengundang Campurtangan Asing

Al-Quran yang menjadi petunjuk mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran. Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.

Dalam lipatan sejarah Tamadun Islam, kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol tertangguh beberapa abad apabila salah seorang pemimpinnya, Ibnu Abbad yang menentang cadangan menjemput campur tangan asing, dengan tegas beliau menyatakan:
لأن أرعى الجمال في صحراء العرب خير من أرعى الخنازير في أرض الصليبيين
“Bahawa menjadi gembala unta di padang pasir negara Arab lebih baik (kerana ia di pihak Islam) daripada menjadi gembala babi di negara Salibiyyah (di pihak bukan Islam).”

Namun, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad akhirnya kecundang apabila ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu memenangkannya dalam krisis dalaman. Akhirnya cahaya Islam dipadamkan di Sepanyol sehingga kini.

Dalam sejarah Alam Melayu pula, ada kalangan sejarawan kita melaporkan bahawa kejayaan penjajah menjatuhkan Kerajaan Melayu Islam Melaka apabila adanya sekelompok tertentu yang menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan atas sebab kemungkinan adanya kesalahan atau kezaliman, tetapi akibatnya selepas itu seluruh Rantau Nusantara dijajah dan dibahagikan buminya oleh penjajah selepas hilangnya kedaulatan Islam.

Begitulah juga, jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.

Akibat Tidak Menyelesaikan Masalah Dengan Petunjuk Islam

Firman Allah Ta’ala:
 أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُواْ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُواْ إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُواْ أَن يَكْفُرُواْ بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلالاً بَعِيدًا. وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا. فَكَيْفَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ثُمَّ جَاؤُوكَ يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ إِحْسَانًا وَتَوْفِيقًا. أُوْلَئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِي أَنفُسِهِمْ قَوْلاً بَلِيغًا
“Tidakkah Engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad ﷺ) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut (diluar daripada Madinah), padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. (60) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (61) Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah). (62) Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka). (63)” (Surah al-Nisa’: 60-63)

Sebab turunnya ayat ini kerana seorang yang mengaku Islam dikalangan Ansar bertelingkah dengan seorang Yahudi (bukan Islam) dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak memberi kemenangan kepadanya, lalu dia mengajak si Yahudi itu membawa perkara tersebut kepada pihak luar daripada Madinah.

Kesilapan kita kerana tidak menyelesaikan masalah dengan cara petunjuk Allah iaitu Islam. Bukan caranya menjemput pihak asing yang pasti tidak beriman dan budiman.

Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihanraya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman.

Firman Allah:
 إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ آمَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ازْدَادُواْ كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلاَ لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلاً. بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا. الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاء مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kufur sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar. (137) Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139)” (Surah al-Nisa’: 137-139)

Kita Adalah Pendakwah

Kita adalah pendakwah mengajak manusia kepada Islam dan menyelamatkan seseorang Islam yang ada di dalam dirinya sifat munafiq dalam kawasan dan sempadan kita.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepada seorang sahabatnya yang kuat beriman, tiba-tiba melakukan kesalahan yang besar kerana menghina rakannya seagamanya, Bilal bin Rabah radhiallahu anhu:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
“Wahai Abu Zar! Kamu ini seorang yang masih ada pada dirimu sifat jahiliyah.”

Namun Abu Zar radhiallahu anhu tetap dikira kalangan para sahabat yang terbilang.

Allah pernah menurunkan firman-Nya kepada seorang sahabat, Hatib bin Abi Balta’ah radhiallahu anhu yang bertaraf ahli Badar yang mulia kerana memberi maklumat kepada musuh dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاء تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاء مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاء السَّبِيلِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.” (Surah al-Mumtahanah: 1)

Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.

Sabda Rasulullah ﷺ supaya mencegah kemungkaran secara bijaksana:
 مَثَلُ القَائِمِ في حُدُودِ اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاها وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعاً، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعاً. رواه البخاري.
“Bandingan orang yang menjaga sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan mereka yang jatuh ke dalamnya (melakukan kemungkaran) laksana satu kaum yang berada di atas bahtera. Maka sebahagian daripada mereka berada ditingkat atas dan sebahagian lagi berada dipetak bawah. Mereka yang berada dipetak bawah apabila mahukan air terpaksa melalui mereka yang berada di atasnya. Lalu mereka berkata: “Kalau kita tebukkan kapal ini untuk mendapatkan air tanpa mengacau mereka yang berada di atas”. Maka kalau dibiarkan kapal itu ditebuk mengikut kemahuannya nescaya semuanya mati tenggelam, kalau dihalang tindakan itu nescaya semuanya selamat.”

Kalaulah yang berlaku itu kerana satu kemungkaran yang nyata, beginilah akibatnya. Kalau yang berlaku itu adalah fitnah, maka celakanya lebih parah.

Terus Beristiqamah

PAS terus bersabar walaupun sudah berlalu zaman setengah abad dan seterusnya, menukar pemimpin yang telah meninggal dunia dengan beristiqamah dan mereka yang tidak beristiqamah meninggalkan PAS juga tidak sampai ke matlamat dunia pun. Kerana wawasan kita mencapai keredaan Allah sehingga ke liang lahad dan hari kebangkitan semula bertemakan firman Allah:
 وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah al-Taubah: 105)

Kita tidak ditanya mengapa belum menang, tetapi kita ditanya adakah sudah beramal dan berjuang atau tidak untuk meraih janji-janji kemenangan bersyarat yang mampu mengisi erti kemenangan sebenar bukannya kemenangan kosong, atau kita berjuang untuk menggantikan kemungkaran dengan menegakkan kemungkaran juga?

Tugas kita adalah mengajak manusia sebanyak-banyaknya kepada Islam, bukan sekadar menjatuhkan pemimpin dan berebut jawatan. Bahkan mengajak kepada islah pemimpin dengan melahirkan pemimpin yang tegak bersama hidayah, bukannya bergantung kepada jibayah.

Sabda Rasulullah ﷺ kepada menantunya Ali bin Abi Talib:
فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ.
“Demi sesengguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah lebih baik daripada mendapat kenderaan paling mahal harganya.”

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-