© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Keutamaan Menyatukan Fikrah dan Amal Bersama PAS

Keutamaan Menyatukan Fikrah dan Amal Bersama PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 4 July 2017


Hari ini, kita ditaqdirkan oleh Allah berada era penghujung zaman kejatuhan Islam, yang mana kita menyaksikan kewujudan persatuan persatuan, atau kelompok kelompok yang ingin mengembalikan semula kedaulatan Islam. Masing masing berlumba-lumba untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat dengan cara masing-masing yang pelbagai.

Sejarah Bermula

Di Turki, seawal kejatuhan Khilafah di sana pada 1924, munculnya Gerakan al-Nursiah yang dipimpin oleh Syeikh Sa’id Badi’uzzaman al-Nursi. Kemudian muncul Ikhwan Muslimun di Mesir pada 1928, Hizbul Muslimin 1948, Front Islamic Salvation di Algeria, HAMAS di Palestin, Ikhwan Syria dan banyak lagi.

Di Malaysia sendiri, perjuangan menentang penjajah ini sudah bermula sejak 600 Masihi lagi, beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad ﷺ bersamaan 572 Masihi. Kerajaan Islam ketika itu sudah pun berhadapan dengan tentera Siam. Ia berlarutan sehinggalah ke era penjajahan daripada Barat (Portugis) pada 1511, seterusnya Belanda yang menjatuhkan Acheh pada 1521, dan penjajahan Pattani bermula pada 1640 hingga 1832.

Selepas daripada itu muncul pula gerakan-gerakan dalam bentuk “jam’iyyah” yang diasaskan oleh para ulamak di zaman tersebut sehinggalah kemunculan PAS pada 1951 setelah Hizbul Muslimin disekat pada 1948. Sejak kemunculan PAS pada 1951, PAS mengasaskan kumpulan perkaderan antaranya PKPIM dan KEPAS.

Pada 1967 muncul al-Arqam yang merupakan serpihan PAS. Bermula dari itu, beranak-pinaklah serpihan-serpihan yang tidak menghasilkan kesatuan, bahkan meretakkan lagi perpecahan yang sedia ada. Sehinggalah hari ini, muncul dalam pelbagai nama dan wasilah. Ada yang bergerak atas nama syarikat, dan ada yang bergerak atas nama persatuan atau NGO.

Jema’ah Berbilang-Bilang

Setelah beberapa lama kewujudan jema’ah yang berbilang ada yang benar benar berjuang menyeru kepada Allah Ta’ala sebagai matlamat, malangnya ada di antara mereka berlakon seolah-olah kumpulan mereka bermatlamatkan Allah Ta’ala. Maka, kumpulan kumpulan ini menimbulkan a’sabiyah dan bersengketa antara satu sama lain kerana mereka tidak meletakkan Allah sebagai matlamat perjuangan.

Ada jema’ah yang melihat kerosakan masyarakat disebabkan kejahilan, tiada ilmu. Maka jema’ah ini memperkasakan keilmuan semata-mata dan mengabaikan siasah dan tarbiah. Ada jema’ah yang melihat kerosakan masyarakat disebabkan kurangnya aktiviti dakwah, lantas mereka memperkasakan dakwah semata mata dan mengabaikan kefahaman dan fikrah.

Walaubagaimanapun, perkara ini telah dijernihkan di dalam kitab “Min Fiqh Daulah” di mana Syeikh Yusof al-Qaradawi menyatakan;
على أن يكون هذا التعدد تعدد تنوع وتخصص، لا تعدد تعارض وتناقض، وأن يقف الجميع صفا واحدا في كل القضايا المصيرية التي تتعلق بالوجود الإسلامى، وبالعقيدة الإسلامية، وبالشريعة الإسلامية، وبالأمة الإسلامية
“Justeru yang (harusnya) berlaku berbilang-bilang ini adalah yang saling membantu dan bukan yang bersifat berlawan dan bertembung dan hendaklah semua pihak bersatu di dalam barisan yang satu di dalam (menghadapi) isu-isu yang berkaitan dengan akidah, syariah dan umat Islam.”

Di dalam perenggan yang lain al-Qaradawi menyatakan;
ومثل هذا التعدد أو الاختلاف - اختلاف التنوع - لا يؤدي إلى تفرق ولا عداوة، ولا يلبس الأمة شيعا، ويذيق بعضها بأس بعض بل هو تعدد واختلاف في ظل الأمة الواحدة، ذات العقيدة الواشجة. فلا خوف منه، ولا خطر فيه، بل هو ظاهرة صحية
“Dan pelaksanaan berbilang-bilang (parti atau jemaah) - yang bersifat membantu - hendaklah tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan sehingga menjadikan umat berpuak-puak, bahkan hendaklah kepelbagaian itu di dalam naungan umat yang bersatu yang mempunyai akidah yang mantap. (Sekiranya ini berlaku - kepelbagaian yang bersifat tanawwu’ - maka ianya bukanlah perkara yang perlu ditakuti dan ianya tidak membahayakan bahkan merupakan suatu perkara yang sihat.”

Kesimpulannya, umat Islam perlu memahami dengan teliti perbezaan antara berbilang (التعدد) dan perpecahan (التفرق). Punca salah faham di kalangan jemaah jemaah ialah perselisihan dalam memahami kedua-dua istilah ini, selain daripada perselisihan dalam memahami aulawiyat, sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yusof al-Qaradawi di dalam kitab “Aulawiyat Harakah Islamiah fi Marhalah Qadimah”;
إنَّ آفة كثير من فصائل الصَحَّوَة الإسلامية هي غياب فقه الأولويات عنها ، فكثيرًا ما تهتم بالفروع قبل الأصول ، وبالجزئيات قبل الكليات ، وبالمختلف فيه قبل المتفَق عليه ، ونسأل عن دم البعوض ، ودم الحسين مهراق ، ونُثير معركة من أجل نافلة ، وقد ضيَّع الناس الفرائض ، أو من أجل شكل أو هيئة ، دون اعتبار للمضمون . وهذا هو الحال عند عموم المسلمين
“Kebanyakan penyakit yang menghalang kebangkitan Islam ialah hilangnya Fiqh Keutamaan. Maka, kebanyakan dari kalangan mereka mementingkan bab cabang berbanding prinsip (usul), mengutamakan picisan berbanding keseluruhan, mengutamakan sesuatu yang diperselisihkan berbanding sesuatu yang disepakati, kita ada yang bertanya tentang darah nyamuk dan darah Saidina Hussein, mencetuskan perang hanya kerana perkara sunat. Sesungguhnya manusia telahpun mengabaikan kefardhuan, ataupun disebabkan bentuk atau teknikal semata mata, tanpa meneliti isi kandung sebenar. Inilah yang terjadi di kalangan kebanyakan umat Islam.”

Perselisihan Di Kalangan Tabi’in

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, Baginda ﷺ melarang penulisan hadis kerana bimbang masyarakat keliru antara al-Quran dan Hadis. Oleh itu, hadis diriwayatkan melalui lidah-lidah, dan antara tabi’in yang terkenal ialah Imam Abu Hanifah rahimahullah. Masyarakat ketika itu hanya bersandarkan hadis, tanpa sistem feqah.

Contohnya larangan makan atau minum berdiri, mereka berpegang dengan larangan minum berdiri berdasarkan hadis Nabi ﷺ. Timbul persoalan adakah larangan itu satu bentuk dosa ataupun tidak? Maka timbul perbahasan berkenaan hukum. Antara yang mula mengisytiharkan hukum ialah Imam Abu Hanifah sendiri. Bahkan ada pandangan atau hukum yang dikeluarkan oleh Imam Abu Hanifah seolah-olah bercanggah dengan hadis Nabi ﷺ.

Tentang penulisan hadis selepas kewafatan Baginda ﷺ, Imam Malik rahimahullah antara yang terawal dalam pembukuan hadis, dengan mengarang kitab al-Muwatta’ yang menjadi rujukan hingga ke hari ini. Para tabi’in dan mereka yang selepasnya ada yang berselisih pandangan dalam penentuan hukum antara satu sama lain, sehinggalah muncul Imam al-Syafi’e rahimahullah yang mula-mula mengarang ilmu Usul al-Fiqh iaitu kitab “al-Risalah”.

Kitab “al-Risalah” menjadi tumpuan para muhaddith ketika itu dalam memahami hadis hadis Nabi ﷺ untuk mengeluarkan hukum. Antaranya ialah anak-anak murid Imam Abu Hanifah, mereka datang menuntut dengan Imam al-Syafi’e. Ini kerana ilmu Usul Fiqh tidak dibukukan oleh Imam Abu Hanifah secara khusus, sebaliknya beliau hanya menyatakan beberapa bentuk di dalam kitab-kitab feqahnya.

Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani yang merupakan anak murid Imam Abu Hanifah yang datang menuntut dengan Imam al-Syafi’e mula mengarang kitab Usul Fiqh dalam bentuk yang baru selari dengan garisan disiplin yang dibuat oleh Imam Abu Hanifah. Selepas daripada itu tersebarlah ilmu Usul Fiqh hinggalah ke hari ini, masyarakat sudah pun dapat mencedok hukum-hakam daripada para ulama’ terdahulu.

Berdasarkan kisah ini, saya cuba menyampaikan betapa para fuqaha’ terdahulu berusaha mencari titik persamaan dan persefahaman antara perawi-perawi hadith di dalam memahami sesuatu hadith. Ilmu Usul Fiqh ketika itu telah menyatukan para muhaddith yang berselisih antara satu sama lain, dengan perbezaan perawi perawi yang cukup ramai.

Di dalam perselisihan antara jemaah pada hari ini, memerlukan kemunculan Imam al-Syafi’e moden, yang mampu mengeluarkan ilmu usul yang baru. Kalau dahulu ilmu usul fiqh, mungkin hari ini saya (secara peribadi) melihat “Usul 20” Imam Hassan al-Banna yang mampu menyatukan fikrah-fikrah yang berbeza dalam setiap gerakan dan jemaah. Ulasan dan huraian di dalamnya mencari titik persepakatan sekalipun umat Islam berada di posisi yang berbeza antara satu sama lain.

Kitab “Usul 20” Menyatukan Aliran Pemikiran Umat Islam

Syaikh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam mensyarahkan kitab “Usul 20” Imam Hassan al-Banna menyatakan di dalam muqaddimahnya;
إن الأصول العشرين التي كتبها الشهيد حسن البنا رحمه الله تعتبر من أجمع ما كتبه ، لأنها احتوت على ما يجب على المسلم أن يعتقده ويأخذ به في سلوكه وتنظيم علاقاته بخالقه وبالآخرين من بني الإنسان، وقد آثرنا شرحها بإيجاز لتكون مفهومة بقدر أكبر مما هي عليه الآن، ويلاحظ على هذه الأصول أنها شدّدت على ما لا يجوز الخلاف فيه من أمور العقيدة، وكما جاءت في القران الكريم والسنة النبوية المطهرة ،حتى يقف المسلم عندها ولا يتجاوزها بالزيادة والنقصان، كما بين المرشد رحمه الله في هذه الأصول الأمور التي يجوز الخلاف فيها حتى لا يستغرب الأخ من وقوع مثل هذا الخلاف، وإن كان له أن يتحرى عن الأولى والأكثر صواباً.
“Kitab Usul 20 yang dikarang oleh al-Syahid Hassan al-Banna rahimahullah boleh dikira sebagai himpunan daripada tulisan tulisannya, kerana ia mengandungi kewajipan seorang muslim terhadap pegangan aqidahnya, dan dipetik daripadanya untuk dilaksanakan di dalam kehidupan serta mengikat hubungannya dengan Tuhannya, dan juga manusia. Kami telah bersusah-payah untuk menghasilkan huraiannya secara perinci supaya ia dapat difahami dengan sebanyak mana yang ada padanya. Kesimpulan daripada kitab Usul ini, bahawa dipertegaskan supaya umat Islam tidak perselisih dalam perkara aqidah, dan sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi ﷺ. Sehingga seseorang muslim itu berpendirian dengan aqidah tersebut serta tidak melampauinya sama ada dengan penambahan atau pengurangan. Juga sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Hassan al-Banna dalam Kitab Usul ini perkara perkara yang dibenarkan untuk kita berselisih pandangan, selagi mana tidak tenggelam atau lemas dalam perselisihan yang dibenarkan ini, sekalipun ada kemampuan untuk mengkajinya lebih tepat terhadap keutamaan dan majoriti.”

Justeru, apa yang boleh disimpulkan ialah, keperluan untuk kita mengikat diri bersama gerakan Islam dan menjauhi hawa nafsu yang mengundang kewujudan serpihan serpihan gerakan Islam. Cukuplah perpecahan yang sudah sedia ada pada hari ini, yang menyaksikan umat Islam hilang arah. Demikianlah sepertimana yang ditimbulkan penjajah sebelum Perang Dunia Kedua dengan mengapi-apikan perselisihan dalam pembayaran zakat sama ada dengan menggunakan wang atau beras. Hakikatnya perselisihan ini sudah pun diselesaikan dan tidak perlu ditimbulkan semula.

PAS ketika mana ditubuhkan, ia adalah jemaah yang tunggal di tanah air. Selepas daripada itu, muncullah kumpulan-kumpulan yang berselisih dengan PAS membentuk sebagai satu serpihan. Maka saya mengajak serpihan-serpihan ini supaya seiringan dengan PAS yang merupakan gerakan yang asal dalam menegakkan Islam di Malaysia khususnya.

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir. Hj Mohammad Fadzil merupakan tenaga pengajar di Ma’ahad Darul Hadis.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-