© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Intima’ dan Ibtila’ dalam Perjuangan

Intima’ dan Ibtila’ dalam Perjuangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 9 July 2017


Memahami tujuan-tujuan intima’ (penggabungan) dalam sebuah gerakan Islam merupakan peringkat terpenting untuk memastikan kelangsungan perjuangan menegakkan syariat Allah di muka bumi ini dapat direalisasikan. Penggabungan dengan gerakan Islam ini mestilah berdasarkan kefahaman bahawa bekerja untuk Islam adalah sangat ditekankan dalam menentukan kesudahan dirinya demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mestilah percaya bahawa perkara tersebut hanya tercapai dengan memberikan komitmen kepada Islam dan melaksanakan tuntutan Islam.

Nilai intima’ kepada jamaah yang bersandarkan semata-mata kepada populariti tokoh, kehebatan sumber, elemen sentimental dan seumpamanya akan menyebabkan individu itu gagal mendepani kesengitan ibtila’ (halangan) di sepanjang jalan yang sentiasa dipenuhi polemik dan krisis sama ada melibatkan ahli mahupun yang telah bertaraf pimpinan. Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu pernah berkata dalam menenangkan para sahabat yang masih tidak dapat menerima akan kewafatan Rasulullah ﷺ :
مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ. وقرأ؛ وَمَا مُحَمَّدٌ إِلاَّ رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىَ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللّهُ الشَّاكِرِينَ
“Sesiapa yang menyembah Muhammad ﷺ, maka Muhammad telah pun mati, tetapi sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu terus hidup dan tidak sesekali akan mati. Kemudian membaca ayat 144, surah Aali-Imran, mafhumnya; Muhammaditu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”

Tuntutan intima’ kepada jamaah mestilah yang mempunyai objektif-objektif berikut:-
  1. Mengembalikan penghambaan manusia kepada Allah Ta’ala semata-mata.
  2. Mengembalikan kejayaan umat di dunia dan di akhirat.
  3. Menegakkan keadilan.
  4. Mensejahterakan masyarakat.
  5. Membuktikan bahawa Islam itu ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat bagi seluruh alam).
Intima’ Demi Matlamat Menegakkan Agama Allah

Menurut Mustafa Mashur, saat yang paling bahaya kepada gerakan Islam ialah penyimpangan intima’ kerana memburu matlamat-matlamat yang lain bersifat duniawi seperti kehormatan, kekuasaan dan sebagainya yang boleh merosakkan niat dan membatalkan amal di sisi Allah Ta’ala. Intima’ yang salah dan tidak menepati piawaian Gerakan Islam yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sumber rujukannya, menyebabkan aktivis sama ada ahli atau pimpinan terperangkap dalam laluan yang salah malah membawa akibat yang buruk buat masa depan perjuangan.

Allah Ta’ala berfirman:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Allah Ta’ala berfirman lagi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman jika kamu membantu agama Allah, nescaya Dia membantumu dengan meneguhkan langkah kaki kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Ayat-ayat di atas merupakan motivasi bagi aktivis gerakan Islam agar tetap berintima’ ke atas dasar-dasar menegakkan agama Allah Ta’ala. Dasar-dasar tersebut pula mustahil dapat dicapai secara fardhiyah (individual), ia mestilah menerusi saluran jama’ah yang mampu mengorganisasikan seluruh potensi yang ada demi mencapai matlamatnya. Jama’ah yang ada pula tidak mungkin berupaya tanpa adanya kepimpinan (qiyadah) yang menjadi sandaran komitmen para anggota jama’ahnya.

Justeru, kepatuhan dan ketaatan anggota jama’ah kepada pimpinan sangat dituntut selagi arahan tersebut tidak menyuruh melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Lantaran itu, ketaatan kepada pemimpin yang menegakkan syariat Allah merupakan tanggungjawab yang sangat vital dan mempunyai kesan langsung terhadap keimanan yang akan dipersoalkan kelak. Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 71:
يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُوْلَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا
“Pada hari kiamat kelak Kami menyeru setiap golongan manusia berdasarkan (jenis) pemimpin mereka, maka sesiapa yang diberikan catatan amalnya dari sebelah tangan kanannya maka mereka itu membacanya (dengan penuh rela) sedang mereka sedikitpun tidak dizalimi.”

Pembahagian Intima’

Para ulama’ telah membahagikan intima’ kepada beberapa bahagian, iaitu :-
  1. Intima’ al-Syakhsi ( الإنتماء الشخصي )
  2. Intima’ al-Maslahi ( الإنتماء المصلحي )
  3. Intima’ al-‘Afawi ( الإنتماء العفوي )
  4. Intima’ al-Irtijali ( الإنتماء الارتجالي )
  5. Intima’ al-‘Aqidi  ( الإنتماء العقيدي )

Pertama, Intima’ al-Syakhsi iaitu keterlibatan dalam perjuangan tersebut kerana tokohnya yang “glamour” atau individu-individu popular yang terlibat dengan perjuangan tersebut. Kebiasaannya mereka yang mengamalkan intima’ ini adalah atas dasar minat kepada figur perjuangan tersebut. Intima’ seperti ini adalah intima’ yang rapuh. Mereka yang mengamalkan intima’ ini amat besar risikonya untuk kecundang kerana tidak ada kefahaman yang kukuh tentang dasar perjuangan jema’ah tersebut. Intima’ al-Syakhsi juga boleh mewujudkan kesan negatif, iaitu :
  1. ‘Kutlah’ (kelompok-kelompok kecil) dalam jema’ah.
  2. Sikap fanatik dan ta’assub.
  3. Sikap sukar menerima pandangan orang lain.
  4. Kerencatan amal disebabkan oleh kematian tokoh tersebut. 
  5. ‘Inhiraf’ (peyelewengan) dari jalan dakwah yang sebenar.
Kes ini banyak kali berlaku dalam PAS. Apabila seseorang tokoh keluar meninggalkan PAS, maka ramai juga yang turut keluar mengikut jejak individu terbabit.

Kedua, Intima’ al-Maslahi iaitu keterlibatan dalam perjuangan tersebut kerana mempunyai kepentingan tertentu yang hendak dimiliki. Contohnya, jika mendaftar menjadi ahli dalam platform perjuangan tersebut, mereka akan mendapat duit atau mereka inginkan jawatan atau mereka akan dapat memegang “share profit” syarikat dalam platform tersebut atau mereka mendapat apa sahaja jenis habuan duniawi (termasuklah diskaun atas sesuatu pembelian). Ini adalah intima’ yang bersifat ananiyyah (individualistik) dan kemungkinan besar boleh menyebabkan individu yang terlibat mengabaikan tanggungjawab perjuangan ketika diuji dengan harta duniawi.

Intima’ dan penglibatan bersifat ‘maslahi’ seperti ini sememangnya rapuh kerana ia berasaskan kepentingan tertentu yang ingin dicapai dengan menyertai PAS. Maksudnya PAS hanya menjadi batu loncatan untuk mengapai sesuatu tujuan bersifat peribadi. Lebih parah apabila kepentingan yang dicari telah hilang atau gagal dicapai, nescaya dia akan meninggalkan jamaah dan perjuangannya. Inilah pencetus kepada gejala keluar parti atau merajuk lalu menghilangkan diri dari pentas perjuangan.

Ketiga, Intima’ al-‘Afawi iaitu keterlibatan kerana kecenderungan terhadap elemen-elemen “trendy” yang disukai dalam organisasi atau perjuangan tersebut. Contohnya, “fesyen” yang dipakai kebanyakan ahlinya atau gaya hidup atau jenis pemikiran (suka benda-benda berunsur Islamik atau sebaliknya) dan sebagainya. Intima’ seperti ini adalah intima’ yang sangat terpesong dari landasan perjuangan kerana mempunyai bibit rasuah. Intima’ ini juga terdedah kepada kelemahan kerana kecenderungan manusia berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan kesesuaian tempat serta jenis manusia.

Keempat, Intima’ al-Irtijali iaitu keterlibatan dalam organisasi tersebut secara spontan atau tergesa-gesa. Mereka yang berintima’ dengan intima’ ini kebanyakannya tidak tahu kenapa dan mengapa mereka berada dalam organisasi tersebut. Setelah habis zaman kanak-kanak barulah mereka menyedari bahawa mereka telah ada dalam organisasi tersebut. Kebanyakan orang yang berintima’ dengan spontan ini berlaku kerana lahir dalam keluarga yang terlibat dengan organisasi tersebut atau telah didoktrinkan dengan organisasi tersebut sejak kecil. Bentuk intima’ ini boleh digoncang kerana ia bersifat subjektif dan boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi. Seharusnya mereka yang terlibat dengan keterlibatan seperti ini perlu melalui proses pentarbiyahan supaya intima’ mereka dapat dipulihkan ke landasan yang sebenar.

Demikian antara contoh-contoh intima’ yang salah dan gagal malah tidak jelas, yang pasti sahaja menjejaskan prestasi keiltizamannya bersama aktiviti amal Islami yang dianjur oleh jema’ah. Dalam perspektif yang lain, kita melihat isu intima’ ini berkait rapat dengan soal hati atau keikhlasan kita menyertai perjuangan ini. Adapun intima’ yang dikehendaki oleh syara’ dan mampu pula meletakkan kita iltizam dan istiqamah ialah Intima’ al-‘Aqidi. Iaitu intima’ atau penglibatan yang bertunjangkan aqidah yang sahih dan keyakinan yang mendalam berdasarkan petunjuk Allah Ta’ala.

Berpegang Intima’ Yang Sahih

Mereka yang berintima’ dengan Intima’ al-‘Aqidi adalah mereka yang pastinya thabat dan meletakkan penuh komitmen dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang. Sekali-kali tidak meninggalkan perjuangan biar apa yang menghambat. Tidak sanggup hidup hina tanpa perjuangan bahkan rela mati syahid demi agama dan perjuangannya yang didokong untuk memperjuangkan Islam hanya kerana Allah Ta’ala berlandaskan hukum-hukum Allah (al-Quran), sunnah Rasulullah ﷺ, ijma’ ulama’ dan qiyas serta bertepatan dengan syara’ mengikut waqi’ semasa.

Mereka yang berintima’ kerana aqidah adalah mereka yang benar-benar yakin dan terus kukuh dalam perjuangan Islam untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menentang taghut dan kesesatan. Mereka juga bersedia untuk bekerja dalam lingkungan amal Islami secara berjema’ah (amal jama’ie) dan tersusun. Inilah yang menjadi rahsia di sebalik kekal dan berterusannya seseorang itu dalam gerakan dakwah. Gerakan Islam juga menolak intima' (penggabungan) diri yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat semata-mata, kerana : -
  1. Islam adalah cara hidup yang tertegak di atas dasar kefahaman yang tertentu tentang alam, insan dan kehidupan.
  2. Beramal untuk Islam adalah bermatlamatkan untuk melaksanakan metode kehidupan yang dikehendaki oleh Islam dalam masyarakat.
  3. Membangunkan Islam bermaksud perlaksanaan yang lahir dari kefahaman, ketelitian dan secara objektif.
Intima’ al-‘Aqidi mempunyai ciri-ciri berikut :-
  1. Tidak terikat dengan satu jangka waktu yang tertentu.
  2. Tidak terikat dengan satu keadaan tertentu.
  3. Tidak terbatas dalam masa muda dan sebelum berumahtangga dan menarik diri setelah menjangkau peringkat dewasa dan berumahtangga.
  4. Tidak dibataskan oleh keadaan kemiskinan dan kesusahan dan akan menghilangkan diri setelah kaya dan senang.
  5. Tidak hanya terbatas dalam keadaan tenang dan damai tetapi cabut lari sewaktu ditimpa dugaan dan bala.
Kita masuk PAS kerana faktor memperjuangkan aqidah diri dan masyarakat, bukan kerana syakhsiyah seseorang. Inilah rahsia kekalnya dakwah PAS walaupun 1001 tribulasi melintang. Allah Ta’ala telah mengingatkan:
وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
“Dan jika kamu berpaling maka nescaya Allah Ta’ala akan mengganti kamu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu.” (Surah Muhammad, ayat 38)

Ujian Kepada Pejuang di Jalan Allah Ta’ala

Firman Allah Ta’ala:
 أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ. وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; Kami telah beriman, sedang mereka belum lagi diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Firman Allah Ta’ala lagi:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Apakah kamu menyangka bahawa kamu boleh memasuki syurga sedang kamu belum didatangkan (ujian) sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang sebelum kamu. Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncang (dengan pelbagai cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya; Bilakah lagi pertolongan Allah. Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu terlalu amat hampir.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Firman Allah Ta’ala lagi:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan sesungguhnya kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan agar kami menyatakan (baik buruk) hal ehwalmu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Sesungguhnya orang yang berjuang di jalan Allah akan mendepani dua ujian asas :-
  1. Fatamorgana dunia (nafsu syahwat)
  2. Konspirasi musuh durjana
Firman Allah Ta’ala bahawa mereka ini diuji dengan perkara-perkara keduniaan:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini, iaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang.” (Surah Aali-Imran, ayat 14)

Sementara itu aspek yang lebih menguji dan mencabar kepada pejuang-pejuang agama Allah ialah konspirasi musuh Islam sedunia. Firman Allah Ta’ala:
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan ingatlah tatkala orang-orang kafir mengatur tipu daya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menyusun konspirasi itu dan Allah menggagalkan konspirasi mereka dan Allah sebaik-baik pembalas konspirasi.” (Surah al-Anfal, ayat 30)

Kemudian Allah Ta’ala berfirman bahawa orang-orang yang beriman ini akan diuji dengan musuh yang membenci mereka:
الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُواْ لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُواْ حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul-Nya) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan; Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka. Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab; Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.” (Surah Aali-Imran, ayat 173)

Ibtila’ Dalam Perjuangan

Mendokong PAS ini memerlukan nafas yang panjang. Merancang perjalanan PAS memerlukan mata yang tajam. Menjulang syiar PAS memerlukan semangat yang menunjang. Menggerakkan jentera PAS memerlukan langkah yang mampan. Justeru ia suatu kewajipan dan tanggungjawab yang sukar dan berat. Allah Ta’ala berfirman di dalam surah al-Taubah, ayat 38 hingga 42:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ. إِلاَّ تَنفِرُواْ يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلاَ تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِير. إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ. انفِرُواْ خِفَافًا وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ. لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Wahai orang-orang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu; Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal ditempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang amat pedih dan digantinya kamu dengan golongan yang lain dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir mengeluarkannya (dari Makkah) sedang ia salah seorang dari dua orang yang ketika itu keduanya berada di dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya; Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. Maka Allah menurunkan ketenangannya kepada Muhammaddan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah sementara kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang sedemikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh pastilah mereka mengikutimu tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan nama Allah;  Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta .”

Suatu yang wajar difahami bersama bahawa ibtila’ atau mehnah di jalan perjuangan ini berfungsi sebagai satu saringan. Namun, tiada ruang untuk kita mengelakkan diri sebaliknya terus istiqamah dalam perjuangan ini. Adapun saringan Allah tersebut bertujuan untuk melahirkan di kalangan hamba-Nya golongan mujahid yang benar bersabar serta mereka layak mendapat petunjuk di sepanjang jalan. Antara faedah-faedah lain ibtila’ ialah
  1. Menebus dosa (تكفير السيئات)
  2. Mengangkat kedudukan (رفع المنزلة)
  3. Sebagai ganjaran di dunia (المكافأة في الدنيا)
  4. Mengikhlaskan diri (إخلاص النفوس)
  5. Menunjukkan akan hakikat manusia (إظهار الناس على حقيقتهم)
  6. Meniru orang-orang yang sabar (الإقتداء بالصابرين)
Satu-satunya kekuatan bertahan menghadapi ibtila’ yang pelbagai ialah yakin pada nusrah Ilahi. Ibtila’ suatu kepastian. Kita tidak boleh mengelak diri dari ibtila’ justeru perjuangan ini amat mahal harganya. Sebagaimana kita tidak boleh lari dari gelombang, kerana laut tetap bergelombang. Namun, kita harus mahir cara menghadapi gelombang itu. Sabda Rasulullah ﷺ:
عِظَمُ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ. وَإِنَّ اللَّهَ، إِذَا أَحَبَّ قَوْماً ابْتَلاَهُمْ. فَمَنْ رَضِيَ، فَلَهُ الرِّضَا. وَمَنْ سَخِطَ، فَلَهُ السُّخْطُ
“Besarnya pahala bergantung kepada besarnya ujian, dan sesungguhnya apabila Allah menyenangi suatu kaum, Dia menguji mereka. Barangsiapa yang redha (atas ujian yang ditimpa) maka Allah meredhainya, dan barangsiapa yang marah, maka Dia marah.” (Riwayat Ibnu Majah)

Sebagai anggota PAS, apabila kita menghadapi aneka ibtila’, kita mesti kaya perasaan dan berjiwa besar.

Ingatan Kepada Mereka Yang Meninggalkan Perjuangan

Mereka yang tidak tahan dengan ibtila’, menyebabkan perjalanan bersama gerakan Islam terkandas kerana dibelenggu pelbagai masalah dalaman seperti :-
  1. Luntur ketaatan pada pimpinan (mengklasifikasikan pimpinan)
  2. Kehadiran program dalaman yang agak jarang
  3. Keprihatinan terhadap maklumat PAS tumpul
  4. Sering beralasan dalam pelbagai keadaan
Antara kepincangan lain yang timbul juga adalah hanya melaksanakan amal fardi dengan meninggalkan amal bersifat jama’ie. Sedangkan Rasulullah ﷺ bersabda:
 إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ الْإِنْسَانِ كَذِئْبِ الْغَنَمِ، يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ وَالنَّاحِيَةَ، فَإِيَّاكُمْ وَالشِّعَابَ، وَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَالْعَامَّةِ وَالْمَسْجِدِ
“Sesungguhnya saithan adalah serigala (kepada) manusia sebagaimana serigala (kepada) kambing. Ia membunuh kambing yang bersendirian dan berasingan. Maka awasilah kamu dan juga masyarakat dan diwajibkan ke atas kamu berjamaah, berinteraksi dan mengimarahkan masjid.” (Riwayat Ahmad)

Manakala kata Abdullah ibnu al-Mubarak:
يا عــابد الحرمـين، لو أبــصــــرتـنــا لـعـلــمــت أنك بالعــبادة تــلـــعـب. من كان يخضب خده بدموعه، فنحــــورنا بدمــــائـنا تـتـخضــب
“Wahai hamba dua tanah haram kiranya engkau lihat (apa yang berlaku kepada) kami (yang berjuang di medan perang), nescaya engkau akan mengetahui betapa engkau hanya bermain-main terhadap ibadahmu. Orang yang kebasahan pipinya dek air mata yang laju mengalir, sedangkan tengkuk-tengkuk kami kebasahan dek darah yang mengalir.”

Kita tidak perlu meninggalkan perjuangan yang bergelombang ini, kelak kita amat rugi berbuat demikian. Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Ma’idah, ayat 54 hingga 56:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ. إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ. وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka Allah akan menggantikan dengan kaum yang lain, di mana Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, bersikap lemah-lembut kepada orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah dan mereka tidak takut celaan orang-orang yang mencela. Demikian itu kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas pemberian-Nya dan Maha Mengetahui. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya jua orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

Ingatlah, kita satu hari nanti akan kembali juga kepada Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya:
وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 35)

Penutup

Intima’ dan Ibtila’ selayaknya ditangani oleh setiap anggota jema’ah dengan kesedaran tarbawi yang tinggi kerana ia tidak bersifat teori, sebaliknya perbahasan ini bersifat fikratul amal. Tanpa langkah yang tidak betul dalam kita menetapkan matlamat dalam perjuangan Islam ini, maka kita akan terdedah kepada gejala ‘inhiraf’ (penyelewengan), kegelinciran dan futur. Kata seorang ulama’ tasawwuf di tahun ke-4 H, Abu al-Qasim al-Nasr:
ما ضل أحد في هذا الطريق إلا بـفساد الابتداء، فإن فساد الابتداء يؤثر في الانتهاء
“Tidaklah sesat atau menyeleweng salah seorang dari kalangan kamu di jalan ini kecuali bermula dari permulaan yang salah, kerana permulaan yang salah akan memberi kesan kepada pengakhirannya.”

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat sesi 2015-2017. Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-