© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Eratkan Ukhwah Kukuhkan Jama’ah

Eratkan Ukhwah Kukuhkan Jama’ah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 22 July 2017


Apabila Baginda Nabi Muhammad ﷺ tiba di Madinah, tiga perkara asas yang Baginda ﷺ lakukan iaitu mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menegakkan syariat Allah. Ukhwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhwah longgar, begitu juga di dalam jama’ah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan musibah yang tidak baik kepada perjalanan jama’ah.

Ukhwah merupakan satu tuntutan dalam Islam, terutama bagi mereka yang bekerja dengan Islam dan bekerja untuk melaksanakan hadaf Islam. Ini kerana Islam menjamin kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat. Tanpa ukhwah manusia akan bermusuhan sesama sendiri kerana terbentuknya ukhwah dengan kasih sayang. Tanpa kasih sayang tiadalah ukhwah, manakala kasih sayang merupakan lawan bagi kebencian yang menghasilkan permusuhan.

Maka ukhwah satu perkara utama dalam memastikan kestabilan dalam gerakan Islam. Bagaimanapun ukhwah bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diperolehi. Hal ini, sebagaimana yang disebut oleh Allah Ta’ala di dalam surah al-Anfal ayat 63:
لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Walaupun kamu membelanjakan seluruh kekayaan yang berada di muka bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka. Akan tetapi (sebenarnya) Allah yang telah menyatukan hati mereka.”

Daripada potongan ayat tersebut, jelaslah bahawa hakikat ukhwah merupakan anugerah Allah kepada hati-hati yang ikhlas dan benar-benar bertaqwa kepada-Nya. Ukhwah Islamiyyah atau “ukhwah fillah” tidak dapat dipisahkan daripada iman dan taqwa. Ia menjadi lambang kepada kekuatan iman seseorang. Tidak dikatakan ukhwah Islam tanpa iman dan tidak dikatakan iman tanpa ukhwah. Orang yang menganggap dirinya beriman dan bertaqwa tetapi tidak mendalami hakikat ukhwah (persaudaraan) ini, ia dikira sebagai orang yang lemah imannya.

Sabda Rasulullah ﷺ:
 لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak dikira beriman seseorang daripada kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persaudaraan Islam Adalah Anugerah Allah Ta’ala

Ukhwah Islamiyyah ini merupakan anugerah rabbaniyyah dan rahsia yang suci Ilahi, maka Allah Ta’ala menyediakan kelebihan-kelebihan dan kemuliaan yang begitu tinggi kepada mereka yang berusaha untuk mencapainya. Umpamanya ikatan persaudaraan ini dapat menghapuskan dosa-dosa sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani daripada Rasulullah ﷺ bahawa Baginda ﷺ bersabda:
إِنَّ الْمُسْلِمَ إِذَا لَقِيَ أَخَاهُ فَأَخَذَ بِيَدِهِ تَحَاتَّتْ عَنْهُمَا ذُنُوبُهُمَا كَمَا يَتَحَاتُّ الْوَرَقُ عَنِ الشَّجَرَةِ الْيَابِسَةِ فِي رِيحِ يَوْمٍ عَاصِفٍ، وَإِلَّا غُفِرَ لَهُمَا وَلَوْ كَانَتْ ذُنُوبُهُمَا مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
“Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia bertemu saudaranya yang Muslim kemudian mereka berjabat tangan (musafahah) maka akan berguguranlah keduanya dosa-dosa mereka sepertimana gugurnya daun kering daripada pokok yang ditiup angin serta diampunkan bagi keduanya dosa-dosa mereka walaupun umpama buih di lautan.” (Riwayat al-Tabarani)

Sabda Rasulullah ﷺ lagi:
مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا
“Tidaklah dua orang Muslim yang saling bertemu dan berjabat tangan kecuali akan diampunkan kedua-duanya dosa sebelum mereka berpisah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Mereka yang mengamalkan ukhwah Islamiyyah juga akan mendapat lindungan arash Allah Ta’ala pada hari kiamat sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ yang menyatakan bahawa terdapat 7 golongan manusia yang dilindungi Allah Ta’ala pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan-Nya dan salah satu daripada golongan tersebut seperti yang diriwayatkan ialah:
وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ
“Dua orang lelaki yang berkasih sayang pada jalan Allah, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.”

Semuanya ini diharapkan dapat dijadikan sebagai pembina semangat kepada umat Islam khususnya para pendokong gerakan Islam khususnya untuk berusaha mendapatkan kelebihan-kelebihan yang begitu tinggi telah dijanjikan Allah ini.

Kepentingan Ukhwah Dalam Berjama’ah

  1. Ukhwah boleh merapatkan saff kepimpinan di dalam jama’ah. Bila ukhwah renggang banyak kerja jama’ah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhwah mesti dipelihara demi kelangsungan perjuangan. Perjalanan jama’ah bergerak secara sukarela, bukan dengan paksa. Bagaimana jama’ah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada di kalangan anggota.
  2. Hilang perasaan buruk sangka sesama sahabat, kerana syaitan gagal menghasut. Sebarang keraguan terus mendapat penjelasan dan penerangan. Kerana punca hubungan renggang berpunca daripada sangka buruk. Firman Allah Ta’ala (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا), bermaksud: Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12)
  3. Mengelak daripada musuh jama’ah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan menjadi virus pemusnah di dalam jama’ah, kerana segala tingkah laku mereka sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua sudut menjadi “SB” jama’ah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti. 
Terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi agar persaudaraan Islam yang dilaksanakan benar-benar diterima Allah Ta’ala sebagai “ukhwah fillah”. Antaranya ialah:
  1. Persaudaraan mestilah ikhlas kerana Allah Ta’ala, begitu juga seorang Muslim hendaklah mengenepikan apa jua masalah walau sedikitpun daripada sebab-sebab tersebut berhubung kait dengan peribadi seseorang.
  2. Hendaklah ia berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah Ta’ala supaya persaudaraan yang terjalin mampu menjadi pendorong dan penggalak dalam usaha melaksanakan dakwah Islamiyah.
  3. Persaudaraan yang terjalin mestilah beriltizam dengan manhaj Islam. Oleh yang demikian, persaudaraan Islam tidak akan terlaksana tanpa adanya usaha untuk bersama-sama melaksanakan syariat Allah Ta’ala. Justeru, persaudaraan tersebut mestilah merasakan diri untuk sentiasa mendokong ajaran Rasulullah ﷺ.
  4. Persaudaraan mestilah dipenuhi dengan kalimat nasihat menasihati antara satu sama lain. Sekiranya seseorang itu mempunyai peribadi yang baik, berilah dorongan kepadanya untuk menambahkan kebaikan yang ada. Sebaliknya jika ia mempunyai peribadi yang tidak bersesuaian dengan peribadi seseorang Muslim perlu ia dinasihati agar ia berubah sikap dan kembali ke jalan yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya ﷺ.
  5. Sifat-sifat mazmumah mestilah dihapuskan dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Itulah peranan yang sebenarnya bagi seorang sahabat yang bersahabat kerana Allah Ta’ala. Oleh yang demikian, bukanlah dikira ukhwah Islamiyah jika persaudaraan itu tidak mampu membimbing dan memberi teguran sesama sendiri.
Sebab Ukhwah Musnah

  1. Tidak ada program yang disusun oleh jama’ah. Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.
  2. Mendengar pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan sesama jama’ah. Seorang itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jama’ah dalam jama’ah.
  3. Zaman media baru, pandangan jama’ah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada ejen musuh yang berlakon ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu-domba sehingga kita berselerak dan ukhwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Facebook, portal dan Blog dan seumpamanya. Akhirnya musuh bertepuk tangan.
  4. Ahli tidak sedia untuk mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa’ al-fikri. Mereka lebih selesa ikut program umum daripada program khusus.
  5. Apabila jarang bertemu dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya membentuk persepsi negatif kepada jama’ah dan pimpinan.
  6. Pimpinan tidak turun ke peringkat akar-umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama ahli.
  7. Masalah ahli yang tidak suka dirinya ditarbiyah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya timbul sikap ego di dalam jama’ah. Di sinilah bibit ukhwah rosak di dalam jama’ah.
Solusi Masalah

  1. Bacalah kisah-kisah sahabat yang menunjukkan ukhwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah ﷺ. Terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam al-Quran. Firman Allah Ta’ala (وَالَّذِينَ تَبَوَّؤُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ), bermaksud: Dan orang-orang (Ansar) dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan. (Surah al-Hashr, ayat 9)
  2. Mesti tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam jama’ah akan menguntungkan pihak musuh.
  3. Kita mesti mengelak untuk mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhwah di kalangan ahli. Contohnya di dalam mesyuarat kalau tidak bersetuju biarlah dengan bahasa yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhwah bukan ‘adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang. Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir mesyuarat.
  4. Segera mendapat maklumat daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya penjelasan ini akan menamatkan tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.
  5. Program kerohanian mesti dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga sudut tarbiyah ruhiyah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah menyerap masuk di dalam jamaah.
  6. Usrah yang menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan mengikat talian ukhwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir. Komunikasi dua hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan dalam jamaah.
  7. Usah gunakan media untuk mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat permusuhan itu bersifat peribadi, tetapi mereka menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan media, maka rakan kita satu jama‘ah juga akan menggunakan medium yang sama. Hasilnya orang awam akan menghukum kita.
  8. Memberi hadiah kepada sahabat seperjuangan juga merupakan antara cara untuk menanamkan roh ukhwah Islamiyah sebagaimana hadis (تهادَوْا تحابُّوا) yang bermaksud: Berhadiahlah kamu maka kamu akan berkasih sayang. Jelas di sini bahawa memberi hadiah kepada seseorang bukanlah suatu perkara yang remeh, malah ia memberi kesan yang mendalam terhadap tautan persaudaraan yang dijalinkan.
Kukuhkan Ukhwah Mantapkan Jama’ah

Jentera parti perlu diperkukuhkan sama ada dari segi fizikal atau meterial. Bukan senang untuk menghadapi kekuatan dan bala tentera musuh yang dengan berbagai kelengkapan dan penggunaan media, wang dan jentera kerajaan. Selain daripada kekuatan kewangan dan pasarana pilihanraya, maka faktor kemanusiaan adalah amat diperlukan. Jalinan ukhwah yang mendalam di kalangan anggota parti daripada pimpinan hingga ahli biasa adalah amat diperlukan. Supaya jentera akan mantap laksana susunan binaan yang tersusun kukuh.

Seperti Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah suka kepada hamba-Nya yang berjuang di jalan Allah dengan tersusun kukuh laksana bangunan yang kukuh.” (Surah al-Saff, ayat 4)

Atas asas ini Rasulullah ﷺ sewaktu mendirikan negara Islam pertama di Madinah dengan menitik berat soal ukhwah. Ini agenda awal yang baginda laksanakan ketika Baginda ﷺ tiba di Madinah, iaitu selepas mendiri masjid Quba’. Baginda ﷺ sedar ketika saat getir ini asas ukhwah mesti dieratkan antara Muhajirin dan Ansar, jika tidak akan ada golongan munafik yang akan menyusup masuk untuk menggangu kerja Baginda ﷺ di Madinah.

Beberapa langkah yang perlu ada untuk membentuk ukhwah di kalangan anggota parti, antaranya ialah:
  1. Betulkan “nawaitu”, bahawa kita menjadi ahli PAS dan berjuang kerana Allah. Tidak ada yang lain daripada itu. Berjuang bersama PAS bukan kerana hendak berniaga dengan ahli PAS kerana ahli PAS hampir satu juta. Berjuang bukan kerana hendak menjadi calon, kerana calon pilhanraya amat terhad. Menyertai parti bukan kerana pangkat atau jawatan, kerana jawatan di dalam PAS satu bebanan bukan kemuliaan. Menyertai PAS bukan kerana hendak mendapat projek jika Pakatan Rakyat memerintah. Betul niat maka akan memantapkan ukhwah.
  2. Semua mesti berfikir bagaimana untuk mengukuhkan parti dan kemenangan parti. Jika semua berfikir ke arah itu maka semangat ini akan memberi kekuatan kepada parti. Tidak ada masa untuk bertelagah sesama sendiri sehingga merencat kerja parti ke arah kejayaan.
  3. Berbaik sangka dengan semua ahli PAS. Mereka yang tidak ikhlas akan terkeluar atau dikeluarkan oleh ahli, kerana PAS ialah jama’ah yang terdiri dari kalangan orang yang soleh. Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri tidak akan berjaya. Oleh itu berbaik sangka dengan sahabat adalah perlu. Jauhkan perasangka buruk sesama anggota. Jangan mudah menuduh ahli yang berbaik dan berbual dengan ahli Umno terus dilebel sebagai orang yang tidak boleh dipercayai.
  4. Sifat meraikan semua ahli yang berbagai latar belakang status kedudukan dan tahap akademik adalah perlu. Janganlah kita mudah mengeluarkan perkataan bodoh jika ahli yang diarah melaksanakan kerja tersilap menerima arahan. Anggaplah tahap pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Jika kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sahabat bagaimana ikatan ukhwah hendak ditautkan.
  5. Lahirkan sifat kasih sesama anggota. Biarlah menampakkan kita kasih kepada amilin bawahan terutamanya. Lemparkan senyuman dan manis muka dan ringan mulut untuk berbicara dan bertanya khabar. Ahli PAS bukan wang yang diminta, tetapi ialah kemesraan dan layanan yang diutamakan. Mereka begitu berbangga jika pimpinan mereka seolah-olah mengambil berat terhadap mereka.
  6. Berilah keutamaan kepada ahli PAS ketika untuk memberi bantuan. Lihatlah ahli dan amilin yang memang susah dan layak menerima bantuan. Memang kebiasaan ahli PAS tidak meminta walaupun mereka ini orang susah, tetapi kita sebagai pimpinan perlu mengambil berat terhadap keperluan mereka.
  7. Apabila semua pakat memikirkan untuk mengalahkan Umno BN maka jama’ah akan kuat. Selalunya orang yang tidak bekerja untuk parti memang terlalu nampak kesalahan sahabat sedangkan beliau hanya asyik mengkritik tanpa apa-apa sumbangan kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti dan tidak mendatangkan apa-apa faedah.
Kelompangan dalam saff jama’ah akan memberi tempat kepada syaitan untuk menyusup masuk ke dalam saff jama’ah. Parti akan kukuh seperti acuan keluli di mana syaitan dan musuh parti tidak dapat mencari lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang dari luar atau dalam, semua usaha ini akan menemui kegagalan. Sifat kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi di kalangan anggota tidak akan memberi peluang kepada syaitan dan musuh-musuh Allah untuk mengadu domba supaya wujud pergaduhan sesama sendiri.

Atas dasar ukhwah inilah Imam Hassan al-Banna meletakkannya sebagai salah satu daripada Rukun Bai’ah yang sepuluh. Tanpa ukhwah sesuatu jama’ah tidak mampu bergerak untuk melaksanakan sagala apa yang telah dirancangkan dan akan melambatkan proses kemenangan untuk melaksanakan daulah. Oleh itu, permantapan ukhwah merupakan satu kewajipan kerana dengannya akan terlaksana hadaf Islam yang menjadi kewajipan penganut Islam untuk merealisasikannya.

Biodata Penulis

Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan Exco PAS Pusat. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Fakulti Pengajian Islam (FPI) dalam pengajian sarjana dan menjadi pensyarah di sana. Pendakwah sepenuh masa dalam lapangan tarbiyah dan siyasah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-