© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Cintakan Dunia Senario Ummah Yang Perlu Ditangani

Cintakan Dunia Senario Ummah Yang Perlu Ditangani

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 7 July 2017


Bertaqwalah kita kepada Allah Ta’ala dalam tempoh hidup yang masih ada sebelum datangnya hari di mana harta-benda dan anak-pinak sudah tidak bermakna lagi. Hanya hati yang tenteram dan sejahtera sahaja yang dapat memberi makna di hari tersebut.

Walaupun negara-negara umat Islam telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah, namun perpaduan mereka masih merupakan umpama buih seperti yang pernah dimaksudkan Rasulullah ﷺ. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia masih dirundung malang. Kualiti rendah dari segi iman, ilmu, kemahiran, teknologi mahupun kegersangan produktiviti. Lebih memalukan lagi apabila tidak mampu untuk memperlihatkan akhlak dan moral yang baik.

Masyarakat Islam terus berpecah sama ada dari sudut politik, pemikiran aqidah, fahaman Islam, sosial dan semakin lemah dari segi kerjasama muhibbah dan kasih sayang. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, kenapa fenomena ini berlaku? Adakah jumlah umat Islam itu sedikit? Baginda Nabi ﷺ menjawab:
بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ
“Tidak, bahkan kalian ramai tetapi kalian seumpama buih yang berbusa di lautan, dan Allah akan menghilangkan dari diri musuh-musuh kalian rasa takut terhadap kalian dan menimpakan ke dalam hati-hati kalian al-wahn (kelemahan).”

Mereka bertanya apakah “al-Wahn” itu, jawab Rasulullah ﷺ:
حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abi Daud)

Dalam bahasa tamadun, cintakan dunia bermaksud kita menjadi umat yang suka berseronok, berhibur, hidup bermewah-mewah, berpesta, beromong-omong kosong. Anak-anak mudanya hidup tanpa tujuan, tidak ada idealisme perjuangan, tidak produktif. Hal ini menggambarkan keadaan umat Islam begitu lemah. Tidak ditakuti musuh. Penyebabnya adalah perpecahan dan perpecahan itu lahir kerana umat Islam mencintai dunia, tidak mahu membela Allah, dan tidak mahu memperjuangkan agama-Nya sehingga menyebabkan umat Islam dibuli oleh golongan lain.

Inilah senario umat yang lemah, lebih banyak berprasangka dari bermuafakat. Lebih banyak mempersoalkan hal remeh-temeh daripada membincangkan soal dasar dan prinsip. Yang selebihnya gejala-gejala rasuah, mengampu, beraksi dengan “title” dan gelaran, tetapi dalam waktu yang sama sukar mengakui kesalahan diri sendiri. Berbanding di zaman kegemilangan Islam mereka merasa selesa kalau ada orang sanggup menegur kesalahan.

Allah Ta’ala amat murka mereka yang hidup cenderong kepada dunia atau “hubbu al-dunya” sehingga mendustakan ayat-ayat Allah. Firman Allah Ta’ala:
وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan ayat itu, tetapi dia cenderong kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.” (Surah al-A’raf: 176)

“Hubbu al-dunya” atau cintakan dunia yang dimaksudkan itu juga makin dirasai bahangnya oleh umat Islam di zaman kita akhir-akhir ini. Akibat dari gejala sosial makin hebat menyerang masyarakat kita, bermula di bandar sehinggalah ke kampung pendalaman serta tidak kurang pula di tanah-tanah rancangan, semuanya menjadi seolah-olah tidak terkawal.

Banyak persoalan yang timbul di kalangan kita umpamanya, kenapa dan mengapa keadaan ini menjadi semakin menjadi-jadi dalam masyarakat kita? Lebih-lebih lagi yang terlibat peratusan yang tinggi ialah dari kalangan umat Islam, dari yang bergelar nenek sehinggalah ke peringkat yang baru mumayyiz.

Sebenarnya masalah sosial bukan masalah baru. Ia wujud dalam setiap masyarakat yang dinamik. Cuma bentuk mungkin berbeza mengikut masa. Umpamanya sebelum merdeka dahulu, Malaysia tidak menghadapi banyak masalah penyalahgunaan dadah, tetapi setelah merdeka dadah menjadi musuh nombor satu negara menggantikan ancaman komunis. Apabila tahap ekonomi negara meningkat baru-baru ini ada yang tidak dapat mengawal nafsu sehingga sanggup berbelanja boros serta membazir, akibatnya tabiat ini terbawa-bawa hingga ke zaman ekonomi meleset ini yang sepatutnya mereka berjimat cermat. Tetapi oleh kerana cintakan dunia itu lebih menguasai diri maka usaha-usaha ke arah yang tidak positif itu sulit kepada sesetengah orang.

Bahkan tidak dinafikan terdapat tanda-tanda yang cukup jelas di kalangan anggota masyarakat kita yang dipengaruhi cinta dunia lupa tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik, sebagai majikan yang penyayang, sebagai guru yang berdisiplin, sebagai peniaga atau saudagar yang amanah dan sebagai individu yang bermoral dan berakhlak. Yang paling menyayat hati apabila sebagai muslim yang beriman sanggup mengenepikan iman dan aqidah yang benar semata-mata kerana memenuhi nafsu cintakan dunia itu.

Citarasa masyarakat yang dipengaruhi cintakan dunia akan lebih cenderung untuk meniru, memuja dan menyanjung untuk dijadikan model, contoh dan teladan tidak lagi kepada mereka yang terdidik, yang terpimpin dan yang banyak berjasa. Tetapi sebaliknya mereka cenderung untuk mengikuti langkah dan rentak mereka yang sedang menempah nama, sedang meningkat naik dan yang telah maju dalam dunia “glamour”. Hal ini seperti yang dijelaskan Allah di dalam surah al-Qasas, ayat 79 apabila Qarun keluar dengan kemewahannya ramai yang terpesona dan mahu jadi sepertinya:
فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
“Maka keluarlah( Qarun) kepada kaumnya dengan kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia; Moga-moga kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keuntungan yang besar.”

Dunia “glamour” di negara kita bukan dunia intelek, bukan dunia ulama’ dan ilmu pengetahuan atau dunia kepimpinan dan politik, tetapi dunia hiburan, lakonan dan nyayian. Tambahan pula mereka yang dari kumpulan inilah yang sering mendapat tempat dalam masyarakat dan media. Orang-orang dunia glamour inilah yang dapat muncul di hadapan kamera beraksi sebagai pasangan yang amat intim semata-mata kerana mereka sedang bercinta atau bertunang. Berbaring di atas riba sofa dan penuh ghairah. Berpeluk-peluk seperti pengantin baru dan pelbagai lagak sumbang yang lain.

Andaianya keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa apa-apa langkah dan tindakan kawalan maka kualiti umat Islam sebagai “khairu ummah” atau umat pilihan akan tersisih. Mereka memiliki iman, tetapi seperti kata al-marhum Malik bin Nabi, “...Yang mereka miliki ialah iman individu yang sudah hilang sinar sosialnya. Iman yang tidak punya kekuatan untuk mencerna kegemilangan peradaban dan tamadun iman yang rapuh...”

Iman yang seumpama ini juga terjumlah sebagai iman mereka yang mempersendakan agama. Firman Allah Ta’ala:
الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُواْ لِقَاء يَوْمِهِمْ هَذَا وَمَا كَانُواْ بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ
“Orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan kehidupan dunia telah menipu mereka maka pada hari ini (hari Kiamat) Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan sebagaimana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami.” (surah al-A’raf: 51)

Dalam pada kita membincangkan tugas-tugas dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam dalam pelbagai sudut dan pelbagai bidang terhadap semua peringkat dan lapisan masyarakat kita agar kedaulatan umat Islam terpelihara jua sudahnya. Maka kita juga perlu peka dengan perkembangan media massa. Tidak dinafikan semakin kita membangun semakin banyak elemen-elemen negatif akan di bawa masuk menerusi rangkaian media yang semakin canggih.

Pakar-pakar komunikasi mengakui media adalah satu alat yang paling berkuasa dalam mencerna dan membentuk minda masyarakat. Sesuatu yang tidak dinafikan kebanyakakan filem-filem rancangan hiburan dan bahan maklumat yang dibawa masuk ke negara ini datangnya dari barat atau yang ditiru dari barat. Jadi dengan sendirinya masyarakat kita sedang dibayangi budaya Barat yang sebahagian besarnya songsang dan bertentangan dengan budaya Islam.

Media massa banyak memberi perkembangan dan maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan hal ehwal semasa, berita luar mahupun dalam negara. Media turut memberi manfaat kepada perkembangan pendidikan masa kini. Namun, dalam masa yang sama media massa juga mungkin menyumbang ke arah kesan negatif. Salah satu penyebab berlakunya keruntuhan akhlak remaja masa kini adalah hasil daripada bahan dan rancangan media massa yang dipaparkan dalam negara.

Kemasukan bahan-bahan melalui internet pula lebih cepat sampai ke bandar-bandar berbanding di luar bandar. Ini bermakna masyarakat di bandarlah yang lebih “advance” dalam mempelopori kemasukan elemen-elemen yang selain dari positif maka yang negatif juga dari Barat. Hasil dari sesetengah keadaan negatif inilah masyarakat di bandar umumnya terbawa-bawa serta terpengaruh dengan cara hidup individualistik dan materialistik sehingga ada yang hilang langsung norma-norma budaya bangsa timur.

Pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup ‘happy go lucky’ melepak, mengunjungi pusat hiburan seks bebas dan sebagainya banyak disiarkan melalui media massa. Selain itu, banyak program dan drama memaparkan pergaulan bebas, realiti televisyen, cerita ganas yang berbentuk kekerasan serta banyak rancangan yang bersifat hiburan semata-mata. Kesannya banyak mempengaruhi pelajar terhadap penampilan akhlak yang bertentangan dengan syariat.

Kita juga amat sedih apabila melihat bangsa Melayu yang terkenal dengan budaya bersopan-santun, lemah-lembut, berhemah tinggi, pemalu dan berakhlak mulia, telah bertukar menjadi jaguh dalam banyak kes keruntuhan akhlak, budaya samseng dan gejala sosial yang lain. Firman Allah Ta’ala:
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لأَنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا
“Jika kamu berbuat baik bererti kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat maka kejahatan itu bagi dirimu sendiri.” (surah al-Isra’: 7)

Biodata Penulis

Dato’ Ustaz Taib Azamudden Md Taib merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. Beliau juga merupakan mantan Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-