© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa

Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 7 July 2017


Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri.

Dalam sejarah pembinaan tamadun manusia, ada banyak peristiwa seperti ini. Cerita Jepun dan Korea membina tamadunnya melalui bahasanya sendiri sudah lumrah. Oleh itu marilah kita memandang pula ke negara-negara di Eropah dan melihat bagaimana negara-negara Eropah membangun menerusi bahasanya sendiri. Ada andaian yang mengatakan, oleh sebab bahasa bekas penjajah kita, iaitu Inggeris itu maju, maka kita boleh turut maju dengan meminjam bahasa bekas penjajah tersebut.

Namun, sejarah membuktikan sebaliknya. India telah menggunakan bahasa Inggeris selama 300 tahun, dan Filipina selama 60 tahun. Begitu jugalah beberapa negara Afrika seperti Nigeria, Ghana, Kenya, Uganda. Bahasa Portugis dan Sepanyol pula dipinjam oleh negara-negara Amerika Latin. Negara-negara ini masih terus terumbang-ambing. Tidak usahkan maju, ada sesetengahnya yang melepasi paras kemiskinan pun belum mampu.

Bahasa-bahasa penjajah ini tidak dapat dipelajari oleh semua rakyat, oleh itu ia akan mengepung ilmu sebagaimana bahasa Latin mengepung ilmu. Ilmu yang terkepung tidak memajukan rakyat. Hanya negara-negara yang menggunakan bahasanya sendiri dapat meruntuhkan kepungan ini dan mencetuskan wabak ilmu. Rakyat yang berilmu itu kemudiannya mengembangkan ekonomi negaranya.

Di samping ilmu, ada satu lagi unsur penting dalam membangunkan eknomi, seterusnya tamadun sesuatu bangsa, iaitu kreativiti. Ada kaitan rapat kreativiti dengan bahasa yang kita gunakan menyampaikan ilmu itu. Ringkasnya, apabila bahasa pengantar yang kita gunakan ialah bahasa kita sendiri, benak kita akan bebas berfikir dan mencetusan idea kreatif. Tetapi, apabila  kita menggunakan bahasa pinjaman, benak kita akan tertawan dalam budaya bahasa tersebut, dan akibatnya kita akan menjadi pengguna produk-produk budaya tersebut.

Malah Ibn Khaldun di dalam “Muqadddimah”-nya pernah berkata:

“Bangsa yang dikalahkan lazimnya akan meniru pakaian, simbol-simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang mengalahkan mereka. Tingkah laku ini disebabkan sifat manusia yang lazimnya menyangka bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah bangsa yang sempurna. Tingkah laku itu mungkin berpunca daripada rasa kagum terhadap bangsa yang menakluki mereka, sehingga mereka menganggap bangsa penakluk itu adalah bangsa yang sempurna, ataupun disebabkan bangsa yang kalah itu tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor biasa sahaja. Akibatnya mereka percaya mereka kalah akibat keagungan bangsa yang menakluki mereka. Apabila sangkaan ini berpanjangan, maka sangkaan itu bertukar menjadi keyakinan, sehingga akibatnya keyakinan itu mendorong mereka mengubah semua ciri-ciri asli mereka. Bangsa yang kalah mungkin meniru-niru secara tidak disedari, ataupun mereka menyangka mereka kalah disebabkan kelemahan-kelemahan budaya dan kepercayaan mereka sendiri, padahal tidak. Sebenarnya bangsa yang mengalahkan mereka itu adalah lebih kuat dan lebih bersatu padu. Akibatnya, timbullah keyakinan lain bahawa dengan meniru-niru bangsa penakluk itu, maka akan terhapuslah punca-punca kekalahan mereka.”

Model Eropah: Bahasa Jerman Membina Tamadun Jerman

Pada abad ke-17 negara-negara Perancis, Itali dan Inggeris telah mula menjadi negara maju apabila industrinya berkembang. Tetapi, negara Jerman masih mundur. Pemimpin-pemimpin Jerman hairan kenapa ini boleh berlaku. Pada hal ilmuwan Jerman ramai. Orang-orang Jerman rajin bekerja. Di samping itu pula, negara Jerman mempunyai lebih banyak sumber alam berbanding dengan negara-negara lain. Malah, Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa pengantar sekolah dan universiti.

Bahasa Perancis dan Latin adalah bahasa ilmu ketika itu. Bahasa Perancis juga menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antarabangsa. Oleh sebab itu apakah yang tidak kena pada negara Jerman. Salah seorang sarjana matematik dan ahli falsafah Jerman, Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) cuba mencari jawapannya. Bahkan dia sendiri sebenarnya terdidik dalam bahasa Latin dan Perancis. Tetapi, dia sendiri tidak berupaya memandaikan bangsanya yang berbahasa Jerman.

Leibniz menyedari bahawa ini timbul daripada amalan Jerman menggunakan bahasa Perancis dan Latin mengajarkan ilmu pengetahuan di sekolah dan universiti, dan bahasa Perancis dalam komunikasi perdagangan dan di kalangan atasan. Bahasa Jerman dianggap rendah dan tidak mampu mengungkapkan ilmu dan tidak layak digunakan sebagai bahasa perdagangan. Ini menyebabkan wujud situasi di mana golongan atasan dan intelektual berbahasa Perancis dan Latin, manakala rakyatnya berbahasa Jerman.

Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman. Golongan atasan dan intelektual menggunakan bahasa Perancis dan Latin, dan ilmu pengetahuan dalam segala bidang ditulis dan disebarkan melalui bahasa Perancis dan Latin saja. Rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahaminya. Antara ilmu dan rakyat wujud tembok bahasa.

Leibniz menyedari bahawa, apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas. Dan bangsa yang tidak percaya kepada diri sendiri tidak akan maju. Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan. Akibatnya mereka mengabaikan bahasanya sendiri.

Tentangan Golongan Atasan Jerman Terhadap Perjuangan Leibniz

Tetapi, golongan atasan dan golongan intelek Jerman menganggap bahawa bahasa Jerman itu adalah bahasa kampung. Pada mereka bahasa Perancis adalah segala-galanya. Bahasa Perancis itu bahasa dunia, bahasa intelektual, bahasa diplomat, bahasa perniagaan, bahasa kesusasteraan dan kebudayaan, sedangkan bahasa Jerman adalah bahasa yang rendah, tidak dikenal orang luar, tidak intelektual dan tidak dapat digunakan untuk bersaing dengan dunia luar. Mereka tidak percaya bahawa bahasa Jerman mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa komunikasi perdagangan dan pentadbiran menggantikan bahasa Perancis.

Para intelektual Jerman mengatakan bahawa perpustakaan hanya berisi buku-buku dan jurnal-jurnal dalam bahasa Perancis dan Latin. Bahasa Jerman tidak mempunyai istilah-istilah yang cukup dan tatabahasanya pun tidak ada. Oleh sebab itulah maka, pemikiran orang yang menuturkannya cetek. Jerman akan hanya dapat maju dan mampu bersaing dengan negara-negara dan bangsa-bangsa lain melalui bahasa Perancis. Orang Jerman harus mampu hadir dan membentangkan kertas kerja dalam bahasa Perancis dalam seminar-seminar antarabangsa. Pelajar-pelajar Jerman tidak akan diterima melanjutkan pelajaran di universiti-universiti di Paris dan negara maju lainnya kalau mereka menggunakan bahasa Perancis.

Pada masa ini, 300 tahun selepas para intelektual Jerman menyatakan kesangsiannya terhadap bahasa Jerman, kita akan masih terdengar kesangsian yang sama dilemparkan terhadap bahasa Melayu oleh sesetengah golongan atasan dan intelektual Malaysia. Kita mendengar ungkapan, segala ilmu dan maklumat ada dalam buku dan jurnal bahasa Inggeris. Kita bimbang pelajar kita tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, sarjana kita tidak dapat membentangkan kertas kerja di dalam seminar antarabangsa, pelajar tidak dapat masuk ke universiti bahasa Inggeris, Kita boleh belajar daripada pengalaman Jerman.

Secara tersirat pula, sebenarnya mereka bimbang akan hilang segala kemudahan dan kemewahan yang dinikmati oleh mereka seperti gaji besar, hidup mewah kalangan golongan atasan dan intelektual jika bahasa Jerman ditingkatkan dan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti. Ini akan berlaku apabila rakyat jelata mendapat pendidikan dan mampu maju. Kedudukan mereka akan tercabar.

Strategi Leibniz

Oleh sebab itu Leibniz menggunakan strategi sendiri untuk meyakinkan mereka supaya menerima bahasa Jerman. Leibniz terus mengkaji kedudukan dan peranan bahasa-bahasa nasional di beberapa negara, termasuk Cina, dan membandingkannya dengan kedudukan dan peranan bahasa Jerman. Dia mendapati kemajuan ekonomi dan ilmu pengetahuan negara Cina berkembang pesat dengan menggunakan bahasa dan tulisan sendiri. Dia melihat Perancis dan Itali menjadi negara maju kerana kedua-dua negara itu telah meninggalkan bahasa Latin dan Yunani dan menggunakan bahasa peribumi sendiri. Bangsa Inggeris juga telah mula memajukan dan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah dan universiti menggantikan bahasa Perancis.

Leibniz berusaha lagi meyakinkan golongan atasan dan intelek bahawa dengan mengatakan apabila mereka menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar pendidikan dan pentadbiran negara, maka mereka akan semakin beruntung. Ini adalah kerana lebih ramai rakyat yang mendapat pendidikan, maka lebih berilmulah bangsa Jerman itu, dan lebih majulah negara mereka, dan lebih makmurlah kehidupan mereka semua. Oleh sebab itu, Leibniz mengusulkan kepada kerajaan Jerman supaya:
  1. Membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya
  2. Menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman
  3. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti
  4. Menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara
  5. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa perniagaan, dan;
  6. Menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.
Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya kepada perjuangannya. Pada sekitar 1750-an terbitlah sebuah tatabahasa Jerman ditulis oleh Johan Christoph Gottsched, dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman. Sambutan rakyat dan golongan intelektual terhadap buku tatabahasa ini luar biasa. Gottsched mengatakan bahawa sambutan hangat rakyat Jerman terhadap tatabahasa itu menunjukkan patriotisme rakyat Jerman terhadap bahasanya. Tatabahasa Jerman ini membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman adalah bahasa yang teratur yang sama mampu dengan bahasa-bahasa mana pun di Eropah.

Bermula dari tarikh perubahan itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz. Itulah saat yang merupakan permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia. Leibniz meninggal pada tahun 1716 dan tidak menyaksikan hasil perjuangannya. Tetapi wawasannya telah memupuk jalan yang meletakkan bahasa Jerman sebagai bahasa utama yang memainkan peranannya sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang termasuk perniagaan, di kalangan rakyat Jerman.

Kita dapat belajar daripada peristiwa ini, perjuangan seorang tokoh pun boleh membawa perubahan kepada negara.

Model Empayar Islam: Bahasa Arab Membina Tamadun Islam

Semasa Islam menakluki wilayah Afrika Utara, Farsi, Syria, sebahagian daripada empayar Byzantine dan Sepanyol, wilayah ini sudah mempunyai tradisi intelektual yang tinggi. Mereka mewarisi tradisi ini daripada sarjana Yunani. Falsafah (dan ilmu) Aristotle, Plato dan Socrates dibawa masuk ke dalam bahasa Mesir kuno (Koptik), Syria dan Farsi. Sarjana-sarjana di Alexandria dan Syria beragama Kristian dan Yahudi, manakala yang di Farsi adalah Kristian, Majusi dan kaum pagan. Wilayah ini mempunyai ramai sarjana falsafah, sains, kimia, perubatan, astronomi, psikologi, metafizik, logik, dan kejuruteraan.

Apabila Islam menjadi pemerintah wilayah ini, orang-orang Arab Islam mula bertembung dengan orang-orang yang mempunyai tamadun tinggi. Pertembungan ini membawa banyak pengaruh kepada orang Arab Islam; dalam menstruktur masyarakat, dalam memerintah, dalam seni dan dalam sains dan teknologi, dan dalam kehidupan intelektual mereka. Dalam perkembangan intelektual inilah kita melihat bagaimana pemimpin Islam membina kepustakaan Islam yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun Islam yang gemilang selama 400 tahun. Kita dapat memerhatikan ada pola yang jelas dilalui oleh orang-orang Islam dalam membina tradisi intelektual mereka.

Pada peringkat awal, pemimpin dan sarjana Islam kelihatan menyerap ilmu dari tradisi Yunani Kristian ini melalui terjamahan dan adaptasi. Kemudian, selepas itu kita dapat melihat pembinaan ilmu secara kreatif dan inovatif berlaku di kalangan sarjana Islam. Dari peniru mereka menjadi pencipta. Kita dapat melihat laluan yang sama berlaku dalam budaya ilmu di negara-negara yang lebih hampir dengan kita dalam sejarah. Inilah yang diamali oleh Jerman, Inggeris, Itali, Jepun, Korea, Taiwan dan akhir-akhir ini China. Ada pengajaran yang boleh kita dapati daripada pengalaman ini. Kita dapat melihat peranan bahasa Arab sebagai bahasa pembina ilmu yang kemudiannya membina tamadun.

Kemuncak Tamadun Islam: Eropah Bergelap Semasa Lorong Baghdad Cerah

Abad ke-8 hingga ke-13 dikenali sebagai kemuncak kesarjanaan Islam dalam bahasa Arab. Kehidupan orang Islam merupakan suatu tamadun tinggi. Dalam abad ke-12 dan ke-13, Baghdad sudah berkembang sebagai bandaraya yang mempunyai sekolah, kolej, universiti, masjid dan hospital. Lampu menerangi lorong dan jalan pada waktu malam. Malah, orang-orang Kristian yang mengunjungi Cordova di Sepanyol terhairan-hairan melihat bandaraya yang besar dianggarkan mengandungi lebih 200,000 bangunan perumahan. Jalan-jalannya dibuat daripada batu. Air disalurkan ke rumah-rumah. Lampu mencerahi jalan pada waktu malam. Dan istana khalifahnya tersergam indah.

Dalam suasana kehidupan yang secanggih itu, terdapat aktiviti intelektual yang tinggi. Setiap bandaraya utama dalam pemerintahan Islam, menjadi pusat pembelajaran, syurga bagi penggemar buku dan ilmu, dan terdapat pasaran-pasaran besar buku-buku ilmu. Bagaimanakah pemimpin Islam berhasil menegakkan tamadun tinggi ini? Tentu sekali bukan ada satu faktor saja yang bertanggungjawab. Sistem pemerintahan yang efisyen, kekuatan tentera, kestabilan kuasa politik, eksploitasi sumber ekonomi yang bijak, dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian taraf kehidupan yang tinggi ini.

Di samping semua faktor ini, terdapat faktor ilmu. Pemimpin Islam sangat memuliakan ilmu. Mereka membina kepustakaan dalam bahasa Arab. Sarjana Islam sangat kreatif dan inovatif dalam membawa perkembangan kepada ilmu. Pendidikan menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka. Kepustakaan dalam bahasa Arab menjadi yang terulung dalam tempoh hampir 500 tahun, dari abad ke-8 hinga ke abad ke-13. Kita dapat melihat bagaimana tradisi intelektual ini berkembang subur dalam pemerintahan pemimpin Islam.

Faktor-Faktor Keruntuhan Kesarjanaan Islam

Pada akhir kurun ke-13 keagungan ilmu Islam berakhir. Ia tidak melahirkan tamadun yang lebih tinggi. Ada beberapa sebabnya. Hal ini perlu kita pelajari supaya tamadun yang kita bina dalam bahasa Melayu dapat mengelakkan kesilapan yang sama.

Tentera Tatar di bawah pimpinan Hulaqu Khan, cucu Ghengis Khan, menakluki kota Baghdad pada 1258 M. Bangsa Tatar yang belum mengenal tamadun tinggi itu tidak tahu memuliakan ilmu. Mereka membakar beratus-ratus perpustakaan di Baghdad, termasuk Baitul-Hikmah. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand, ke Bukhara, dari Baghdad ke Cordova, perpustakaan Islam dibakar jadi abu (raja-raja Kristian menakluki dan memusnahkan Cordova pada tahun 1492).

Ironisnya, ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah dan teknik berfikir untuk menemui pelbagai bidang ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak berjaya memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains tersebut menjadi teknologi. Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Mereka tidak menggunakan ilmu mereka misalnya untuk mencipta alat dan teknik perang baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional, pedang dan anak panah. Dalam peperangan yang menggunakan teknologi lama, jika bukan kerana pertolongan dari Allah, umat Islam tidaklah sehandal tentera Tatar dan Kristian.

Ada dua perkara yang dapat kita pelajari daripada isu pembinaan Eropah khususnya Jerman sehingga ia menjadi negara industri moden, dan juga zaman kegemilangan Islam :-
  1. Dalam membina tamadun kita, kepustakaan dalam bahasa sendiri adalah asasnya. Ahli-ahli sejarah Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang Islam tidak akan timbul semula. Sebabnya ialah setelah perpustakaan-perpustakaan Islam musnah, orang-orang Islam tidak membina semula perpustakaan mereka. Mereka lupa kepustakaan ialah asas pembinaan mana-mana tamadun. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada bangsa yang dapat mendirikan tamadunnya sendiri.
  2. Belajar dalam bahasa sendiri itu dapat mengekalkan kreativiti pribumi kita sebagai orang Melayu. Inilah yang membezakan Jerman selepas 1750-an dengan zaman sebelumnya. Apabila orang Jerman mempelajari ilmu melalui bahasanya sendiri, maka kreativiti pribumi mereka meningkat. Mereka tidak lagi sekadar menjadi pengguna kepada produk Perancis dan Itali tetapi juga penyumbang kepada pembinaan alat-alat berteknologi moden.
Daripada dua model pembinaan tamadun di atas, kita dapat membuat kesimpulan bagaimana tamadun dibangunkan :-
  1. Kita melihat ada korelasi yang sangat tinggi di antara bahasa yang digunakan dalam pendidikan dengan tahap pembangunan ekonomi sesebuah negara.
  2. Kita juga melihat ada korelasi di antara kreativiti sesebuah bangsa dengan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan mereka. Bangsa yang menerima pendidikan dalam bahasa sendiri menunjukkan kekreatifan yang lebih tinggi berbanding dengan yang menerima pendidikan dalam bahasa asing.
  3. Kita juga melihat ada korelasi tinggi di antara minda tertawan dalam bahasa pengantar pendidikan, menyebabkan kekaguman terhadap bahasa tersebut dan memandang rendah terhadap bahasa sendiri.

Biodata Penulis

Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan adalah seorang bekas ahli akademik terkemuka dalam bidang linguistik bahasa Melayu di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-