© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Asas Pengukuhan Akidah

Asas Pengukuhan Akidah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 28 July 2017


Akidah merupakan adalah kunci hubungan dan keyakinan kita kepada Allah Ta’ala. Ia mengandungi prinsip-prinsip penting rukun iman yang tertera dalam al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah ﷺ. Syarat  utama sebelum berpegang teguh dengan tali Islam dan bernaung di bawah nurnya ialah dengan memastikan akidah kita merupakan akidah yang benar. Kata Imam al-Ghazali rahimahullah:
لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلاَّ بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُود
“Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang layak disembah.”

Hakikat akidah ini turut ditekankan oleh Abu Bakr al-Siddiq radhiallahu ‘anhu setelah kewafatan Rasulullah ﷺ:
مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ، وَقَالَ: وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
“Siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah wafat, siapa menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup tidak wafat; Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah memberi balasan kepada orang yang bersyukur.”

Iman dan Amal

Syarat bagi amalan soleh itu diterima Allah Ta’ala ialah dengan iman, iaitu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Akidah pula bukanlah bersifat teori (nazari) yang beku tetapi akidah mencetuskan amal. Sabda Rasulullah ﷺ:
الإِيمَانُ بِاللَّهِ وَالْعَمَلُ قَرِينَانِ لا يَصْلُحُ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلا مَعَ صَاحِبِهِ
“Beriman kepada Allah Ta’ala dan beramal kedua-duanya saling bergandingan, tidak akan baik satu daripadanya kecuali kedua-duanya bersama tuannya.”

Hakikat ini turut dinyatakan Hasan al-Basri rahimahullah:
لَيْسَ الإِيمَانُ بِالتَّمَنِّي وَلا بِالتَّحَلِّي، وَلَكِنْ مَا وَقَرَ فِي الْقَلْبِ وَصَدَّقَهُ الْعَمَل.
“Iman itu bukan sekadar perhiasanatau angan-angan, tetapi apa yang dinyatakan dalam hati dan dilaksanakan dengan amalan.”

Oleh kerana itu, orang yang beriman mestilah diikuti (sinergi) dengan perbuatan amal soleh agar kita tidak termasuk di kalangan umat manusia yang rugi. Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-‘Asr, ayat 3 menyatakan betapa rapatnya iman dan amal:
إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ...
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh...”

Firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Bayyinah, ayat 7:
إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”

Begitulah iman dan amal, ia diciptakan untuk saling melengkapi. Iman yang kukuh akan membuahkan amalan yang cantik, tiada amal yang buruk jika ia dilandasi oleh iman yang tinggi.

Berpegang Dengan Akidah Yang Sahih

Tidak syak lagi, berpegang dengan akidah yang benar adalah syarat seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam. Terangkum dalam sebuah hadis yang berbunyi;
احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
“Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu, Peliharalah Allah nescaya Dia akan selalu bersamamu (susah mahupun senang). Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu mohon pertolongan, pohonlah kepada Allah. Ketahuilah jika seluruh umat ini berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu atas sesuatu, mereka tidak dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali apa yang telah Allah tetapkan bagimu, dan jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu atas sesuatu, mereka tidak akan mampu mencelakakan kecuali kecelakaan yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena telah diangkat dan lembaran telah kering.”

Hadis ini menjelaskan asas yang penting dalam akidah, iaitu segala-galanya bergantung kepada Allah. Kerana itu, kalau isteri kita mengandung, walaupun kita “scan” 3D atau 4 D sekalipun sampai dapat tahu jantina lelaki atau perempuan, belum tentu bila lahir, dia sama macam bukti dalam “scan” itu kecuali jika hal itu telah ditentukan oleh Allah. Mestilah yakin bahawa segala perkara yang berlaku adalah menurut kehendak Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا شَاءَ اللَّهُ كَانَ، وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ
“Apa-apa yang Allah kehendaki pada azali ia tetap terlaksana dan apa-apa yang Dia tidak berkehendak padanya tidak akan terlaksana.”

Hidup dan mati, itu adalah ketentuan Allah yang kita sebagai manusia dibatasi kudrat yang terhad dan tidak dapat memilihnya kerana ia termasuk dalam perkara “ijbari”. Tetapi bagaimana kita mati, dalam keadaan beriman dan taat atau dalam keadaan kufur dan derhaka, semua itu adalah perkara “ikhtiari” yang kita dapat memilihnya untuk berada di syurga ataupun di neraka. Atas kebebasan memilih (ikhtiar) inilah manusia dipertanggungjawabkan segala perbuatannya, kerana itulah ada dosa dan pahala.

Akidah Ibarat Simpulan Tali Yang Diikat Kukuh

Dalam konteks istilah umum mengenai perkataan akidah, “akidah” dalam bahasa Arab merujuk kepada satu keyakinan teguh yang diikat ibarat simpulan tali (عُقْدَةُ الحبل) dalam hati tanpa sebarang keraguan. Firman Allah Ta’ala :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Orang-orang Mukmin hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu...” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Sebagai pejuang gerakan Islam, kita mestilah meyakini dengan sepenuh-penuh keimanan bahawa pencipta kepada segala kejadian ini adalah Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa. Mustahil kejadian ini kekal dan berterusan tanpa jagaan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Esa sebagaimana firman Allah dalam ayat 22, Surah al-Anbiya’:
لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلاَّ اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ
“Jika ada pada keduanya (langit dan bumi) tuhan-tuhan lain selain Allah nescaya keduanya akan rosak binasa. Maka Maha Suci Allah tuhan pemilik ‘Arasy daripada apa yang mereka (kuffar) sifatkan.”

Tuhan yang mencipta dan mentadbir segala langit dan bumi ini ialah Allah, Tuhan yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Kalaulah ada tuhan yang lain, sudah tentu rosak binasalah alam ini, kerana pentadbirannya pasti kacau bilau. Oleh itu bertauhidlah kepada Allah dengan penuh keimanan, perbanyakkanlah tasbih mensucikan-Nya dan taat patuh terhadap segala suruhan dan larangan-Nya. Maka, Allah yang Mencipta Alam ini, wujudnya diyakini, wujudnya juga tidak serupa dengan makhluknya, tidak berbentuk dan tidak bertempat. Kata Imam al-Rifa’ie rahimahullah:
غاية المعرفة بالله الإيقان بوجوده تعالى بلا كيف ولا مكان
“Motif makrifat (mengenal) Allah itu adalah meyakini kewujudan Allah Taala tanpa bentuk dan tanpa tempat.”

Mengubah Taklid Kepada Hujjah Ilmu

Kata Ibnu Subki rahimahullah:
التقليد هو اخذ القول من غير معرفة دليل
“Taklid itu ialah mengikut suatu kata-kata tanpa mengetahui dalil (hujjah).”

Bagi masyarakat awam, para ulama membenarkan bertaklid kerana hal itu adalah proses pertama dalam iman dan amal. Bagaimanapun ia mestilah kemudiannya di“upgrade” dengan ilmu sehingga amalan yang dianggap tradisi itu yakni secara bertaklid dapat berubah kepada keyakinan yang tinggi secara “al-istidlali” (berpandu kepada hujjah ilmu). Pepatah Arab ada mengatakan:
العلم بغير عمل ذنب كبير، والعمل بغير علم ضلال شديد # والعمل مع العلم نور على نور، فطوبى للذي على هذين
“Ilmu tanpa amal berdosa besar, manakala amal tanpa ilmu adalah sesat yang teramat sangat. Adapun amalan yang disertai ilmu itu adalah cahaya di atas cahaya, beruntunglah bagi mereka yang memadukan keduanya (ilmu dan amal).”

Kata Umar bin ‘Abd al-Aziz rahimahullah:
مَنْ عَبَدَ اللَّهَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ مَا يُفْسِدُ أَكْثَرَ مِمَّا يُصْلِحُ
“Siapa yang beribadah kepada Allah tanpa didasari ilmu, maka kerosakannya lebih banyak daripada kebaikan.”

Akidah tidak harus sekadar diwarisi dari ibu bapa (مسلم بالوراثة) sahaja, atau dalam makna lain, Islam sebab kad pengenalan. Justeru, untuk mencapai hakikat ini mestilah dengan ilmu. Dalam sejarah dakwah Rasulullah ﷺ, surah-surah al-Makiyyah yang diturunkan selama 13 tahun, Allah banyak menekankan tentang akidah. Akidah di sini bermaksud ia mengandungi elemen kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab-kitab, Hari Akhirat, Qada’ dan Qadar. Hal ini disebut sebagai Rukun Iman. Semua itu diterangkan Rasulullah ﷺ secara ilmu kepada umatnya, bukannya sekadar ritual semata-mata.

Kata Mu’az bin Jabal radhiallahu ‘anhu:
العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ
“Ilmu adalah pemimpin amal dan amalan itu berada di belakang setelah adanya ilmu.”

Fitrah Manusia Beragama

Setiap manusia secara fitrahnya percaya ada kuasa lain yang mentadbir alam ini, hal ini disebut sebagai fitrah beragama. Fitrah keagamaan ini disebut oleh Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi hafizahullah;
لقد وجدت في التاريخ مدن بلا قصور ولا مصانع ولا حصون، ولكن لم توجد أبدا مدن بلا معابد.
“Sesungguhnya terdapat dalam sejarah, bandar-bandar (tamadun) tanpa istana, tempat-tempat perusahaan tanpa kota tetapi tidak pernah terdapat bandar-bandar tanpa rumah ibadat.”

Manakala kata Stephen Fuchs dalam “Origin of Religion”:

“...No tribe or people in the world, however primitive or highly civilized, are without a belief in the existence of superhuman powers or deties, is consequently without a religion...”
(Tiada puak atau orang walau betapa primitif atau tinggi tamadunnya di dunia ini yang tidak mempunyai kepercayaan kepada kewujudan kuasa yang lebih daripada manusia (kuasa tuhan), yang berakibat dari ketiadaan agama).

Hal ini bermakna, tidak pernah ada masyarakat atheis (ideologi tidak percaya Tuhan) yang mampu mencipta tamadun. Di dunia ini, golongan atheis ini memang angkuh, sekarang pengaruh mereka bukan hanya di Barat tetapi juga kepada masyarakat Melayu. Di media sosial ada satu fanpage “Warung Atheis”, kita dapati ramai remaja Melayu yang hanyut, berhujah secara bodoh dengan mesej-mesej sinis menghina Islam. Golongan angkuh ini tidak sedar bahawa mereka hanya hidup menumpang di dunia ini, kita mesti sedari bahawa kehidupan kita dunia adalah sebagai pengembara. Dunia bukanlah destinasi abadi. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا أَنَا وَالدُّنْيَا إِلا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ، ثُمَّ رَاحَ فَتَرَكَهَا
“Tiadalah aku dan dunia (bukanlah bersifat kekal) kecuali diibaratkan sebagai seorang pengembara yang berteduh di bawah pohonan pokok, usai berehat kemudian meneruskan perjalanan meninggalkan (pohonan tersebut).”

Iman dan Nafsu Manusia

Al-Quran mengetuk hati manusia tentang sikap mereka:
وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِيَ مَا كَانَ يَدْعُو إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلا إِنَّكَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ
“Dan apabila manusia ditimpa bencana, Dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali (taat) kepada-Nya; tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (akan bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu, dan diadakannya sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah; Bersenang-senanglah kamu dengan kekafiranmu itu untuk sementara waktu. Sungguh, kamu termasuk penghuni neraka.” (Surah al-Zumar, ayat 8)

Dengan itu bukanlah suatu perkara yang menghairankan kiranya terbukti manusia di saat hidupnya ingkar kepada Allah, tetapi fitrah mereka tetap mengakui kewujudan Allah.

Sedarilah bahawa kita tidak akan selama-lamanya hidup di dunia ini, dan di akhirat nanti kita akan bertemu Allah sebagai suatu perkara yang pasti. Jika kita perhatikan pakaian kita, kita beli dari kedai yang direka khas oleh tukang jahit. Tukang jahit pula mendapatkan sumber kain, benang daripada kilang. Kilang-kilangpun tidak mampu menghasilkan kain jika sumber bahannya tidak ada. Bukan dengan hanya petik jari, tetapi semuanya itu berbalik kepada Allah Ta’ala Yang Maha Mencipta dan Maha Menjadikan.

Dalam banyak-banyak agama di dunia ini sama ada agama samawi, agama wadha’ie, Allah telah menjadikan Islam sebagai agama yang diredhai-nya, iaitu agama yang benar dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Justeru, di dunia inilah peluang sebaiknya untuk kita sebanyak-banyaknya melaksanakan apa yang diperintah Allah, serta meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Perasaan ini secara tidak langsung mendatangkan rasa kerdil dalam jiwa. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan umat Nabi yang imannya sentiasa bertambah, bila mana Ibnu Umar radhiallahu anhu bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ الْإِيمَانُ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ؟
“Wahai Rasulullah(adakah) iman itu bertambah dan berkurang?”

Jawab Rasulullah ﷺ:
نَعَمْ، يَزِيدُ حَتَّى يُدْخِلَ صَاحِبَهُ الْجَنَّةَ، وَيَنْقُصُ حَتَّى يُدْخِلَ صَاحِبَهُ النَّارَ
“Iya, iman itu bertambah hingga dimasukkan tuannya ke dalam syurga, dan berkurang sehingga dimasukkan ke dalam neraka.”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-