© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Tarbiyah Siyasiyyah di Bulan Ramadan

Tarbiyah Siyasiyyah di Bulan Ramadan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 1 June 2017


Bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam kembali tiba. Penghulu segala bulan dan sebaik-baik bulan di sisi Allah. Tetamu yang dinanti-nantikan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam, menunjukkan iman yang ada dalam hati mereka tidak boleh dipadamkan oleh musuh-musuh Islam.

Anak Muda & Ramadhan

Anak-anak muda di seluruh pelusuk dunia Islam bergembira dengan ketibaannya walaupun pelbagai ragam pada diri mereka yang diboleh dilihat pada “style” cara pemakaian dan penampilan diri. Sebagai contoh pada bulan Ramadan, masjid-masjid di Turki dipenuhi oleh anak-anak muda, mereka itu memakai gelang, rantai dan “tatoo” pada badan, walaupun dengan kejahilan tetapi mereka sayangkan Islam. Jangan hukum mereka mengikut zahir, santunilah mereka dengan penuh berhikmah. Kecintaan pada bulan Ramadan dicampak oleh Allah ke dalam hati setiap Muslim. Inilah mukjizat Ramadhan!

Ramadan Bulan Tarbiyah

Bulan Ramadan sinonim dengan bulan tarbiyah; ia adalah bulan tarbiyah jasadiyyah dengan ibadah puasa yang diwajibkan untuk mendidik jasad kita supaya menghargai nikmat makan minum yang dikurniakan Allah. Ia adalah bulan tarbiyah ruhiyyah dengan segala macam hidangan ibadah-ibadah yang menyucikan rohani daripada sifat-sifat yang keji seperti sombong, angkuh, marah, membazir dan lain-lain lagi. Ia adalah bulan tarbiyah jihadiyyah kerana seseorang itu berjaya melawan nafsunya untuk melaksanakan perintah Allah dan juga bulan kemenangan kepada umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya seperti kemenangan dalam Perang Badar, Pembukaan Makkah dan lain-lain lagi.

Tarbiyah Siyasiyyah dalam Perang Badar

Perang Badar perlu dilihat dari sudut politik Islam yang lebih luas sama ada sebelum dan selepasnya, bukan sahaja dari sudut peperangan bersenjata semata-mata. Perang pertama dalam sejarah Islam ini berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah ﷺ. Fatrah (zaman) Madaniyyah ini dilengkapkan penurunan ayat-ayat yang berkait hubungan manusia dengan manusia, khususnya ayat-ayat yang berkait dengan politik pemerintahan; hak-hak bukan Islam dalam negara Islam, hukum-hakam jenayah dan termasuk juga hubungan negara Islam dengan negara bukan Islam sama ada ketika perang atau damai. Dalam tempoh ini Allah menurunkan ayat-ayat yang mengizinkan kepada Nabi ﷺ untuk berperang, seperti firman Allah:
وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً
“Perangilah orang-orang musyrikin keseluruhannya.” (surah al-Taubah, ayat 36)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya “Fiqh al-Jihad” dan juga Dr. Haykal di dalam tesis PhD-nya “al-Jihad wa al-Qitaal fi al-Siyasah al-Syari’yyah” (Jihad dan Perang dalam Politik Islam) antara lain menyebut bahawa; dari segi politik Islam, pengisytiharan perang ke atas negara bukan Islam hanya boleh dilakukan oleh negara Islam. Adapun individu Muslim atau organisasi tidak boleh mengisytiharkan perang ke atas negara bukan Islam kerana ia salah dari sudut fiqh al-Jihad. Kecuali jika negara kafir menyerang dan menakluk negara Islam, maka setiap orang Islam wajib bangkit untuk mempertahankan diri sebagaimana yang berlaku di Palestin.

Inilah apa yang berlaku dalam sirah al-nabawiyyah, di mana Nabi ﷺ tidak mengisytihar perang ke atas Musyrikin Makkah semasa Baginda berada di Makkah. Akan tetapi ia berlaku selepas negara Islam dibentuk di Madinah. Ini adalah satu bentuk tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ kepada umatnya yang pilih oleh Allah berlaku pada bulan Ramadan yang mulia ini. Antara tarbiyah siyasiyyah yang berlaku pada peperangan ini juga ialah konsep musyawarah yang ditunjukkan Rasulullah ﷺ ketika Baginda mahu memutuskan tempat berkubu bagi tentera Islam. Rasulullah ﷺ menerima pandangan salah seorang sahabatnya kerana melihat ia adalah strategi terbaik. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam mendahului demokrasi Barat yang memberikan hak kepada rakyat untuk menegur dan memberi pandangan kepada Ketua Negara.   

Tarbiyah Siyasiyyah dalam Pembukaan Makkah

Peristiwa Pembukaan Makkah yang berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-8 hijrah juga adalah satu contoh tarbiyah siyasiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ. Sekiranya Perang Badar dilihat sebagai politik perang antara negara Islam dan bukan Islam. Adapun peristiwa Pembukaan Makkah adalah politik damai yang ditunjukkan oleh Baginda. Ketika tamadun-tamadun manusia lain menunjukkan politik dendam ke atas musuh setelah satu-satu tempat itu ditakluk, hingga berlakunya pertumpahan darah, perampasan hak dan seumpamanya sebagaimana ditunjukkan dalam Tamadun Rom dan Parsi. Termasuk juga kuasa-kuasa selepas daripada zaman Islam seperti penaklukan tentera Salib ke atas Baitulmaqdis yang membunuh dan menyembelih penganut-penganut Islam dan Yahudi sebagaimana disaksikan sendiri oleh ahli-ahli sejarah Barat. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Kerajaan-kerajaan Kristian ketika merampas Sepanyol dari tangan umat Islam, bukan sahaja mereka dibunuh bahkan kubur-kubur mereka dicungkil untuk memadamkan tanda-tanda kewujudan Islam.

Dalam peristiwa Pembukaan Makkah, Rasulullah ﷺ telah menunjukkan budaya politik matang dan berakhlak terhadap negara Makkah yang dibuka oleh Baginda. Tidak berlaku pertumpahan darah dan perampasan hak, walaupun permusuhan yang begitu dalam antara mereka. Bahkan Rasulullah ﷺ mengisytiharkan “Deklarasi Makkah” dengan memberikan pengampunan kepada sebahagian besar penduduk Makkah yang pernah menzaliminya dan orang-orang beriman yang bersama dengan baginda. Ini adalah kebijaksanaan berpolitik yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ bagi memastikan kestabilan politik berlaku di dalamnya dan pandangan jauh Nabi ﷺ dari sudut politik dakwah untuk menarik orang-orang Makkah kepada Islam.

Ramadan dan Tarbiyah Siyasiyyah

Ramadan adalah bulan yang mendidik umat Islam untuk berpolitik dengan politik Islam. Politik di dalam Islam adalah sebahagian daripada ajaran yang tidak boleh dipisahkan kerana ianya adalah asas dan rukun yang penting di dalam Islam. Imam al-Qurtubi menegaskan di dalam tafsirnya ketika menafsirkan firman Allah:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada malaikat; Sesungguhnya aku ingin jadikan di atas dunia ini seorang khalifah. Malaikat berkata; Adakah kamu mahu jadikan di atasnya mereka yang melakukan kerosakan dan pertumpahan darah? Allah berfirman; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui.” (surah al-Baqarah, ayat 30)

Menurut al-Qurtubi, ayat ini menjadi hujah bahawa politik dan urusan pemerintahan adalah merupakan salah satu rukun-rukun Islam yang penting.

Dalam al-Quran juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh Para Nabi sebagai ahli politik yang mentadbir urusan dunia dengan petunjuk wahyu daripada Allah atau menegur dan menasihati pemerintah yang zalim supaya mengikut petunjuk Allah. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman diceritakan di dalam al-Quran sebagai raja yang adil dan bijaksana yang mentadbir kerajaan dengan panduan wahyu dari Allah. Firman Allah:
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ. وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ وَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْفَضْلُ الْمُبِينُ
“Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dan mereka berdua bersyukur dengan berkata; Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnianya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambanya yang beriman. Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan setelah itu Nabi Sulaiman berkata; Wahai sekalian rakyat! Kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) sesungguhnya yang demikian itu adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.” (surah al-Naml, ayat 15-16)

Begitu juga Nabi Yusuf, firman Allah Taala berbunyi:
وَكَذَلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي الأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَاء نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَاء وَلاَ نُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan demikianlah caranya kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi (Mesir), ia bebas tinggal di bumi itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa sahaja yang kami kehendaki dan kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” (surah Yusuf, ayat 56)

Nabi Musa diceritakan sebagai seorang ahli politik pembangkang yang menegur dan menasihati Firaun supaya telus dan adil di dalam pemerintahannya. Firman Allah Taala:
فَأْتِيَاهُ فَقُولا إِنَّا رَسُولا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلا تُعَذِّبْهُمْ قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ وَالسَّلامُ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى
“Pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan kamu, maka lepaskanlah Bani Israel supaya mereka bersama kami dan kamu seksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang dengan ayat (keterangan) Tuhan kamu dan salam sejahtara kepada sesiapa yang mengikut petunjuk.” (surah Taha, ayat 47)

Petunjuk Nabawiyyah di atas menunjukkan bahawa keprihatinan Nabi ﷺ untuk mendidik umat baginda mengenai politik Islam di sepanjang masa termasuklah di bulan Ramadan. Ia mengajar kita bahawa Islam adalah agama yang mengikat seseorang dengan Tuhannya, bukan sahaja pada ibadah-ibadah “khususiyyah” seperti ibadah puasa pada bulan Ramadan, bahkan juga dalam urusan-urusan kehidupan manusia lain khususnya politik. Jangan kita putuskan hubungan dengan urusan politik setelah masuknya bulan Ramadan dengan alasan ia adalah bulan tarbiyah rohani untuk menyucikan diri.

Biodata Penulis

Muhammad Khalil Abdul Hadi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-