© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Sejahtera Bersama Islam

Sejahtera Bersama Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 1 June 2017


Marilah kita menghayati akan firman Allah di dalam al-Quran, surah al-Taghaabun, ayat 1 :-
يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang di langit dan apa yang di bumi; hanya Allah-lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua puji-pujian; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [al Taghaabun : 1]

Dunia kini mengeluh kerana dikepung dan dikongkong krisis ekonomi, politik dan moral. Kedengaran rungutan kezaliman di sana-sini, pencabulan terhadap hak asasi manusia, rasuah dan merebaknya pelbagai jenis jenayah dan maksiat.

Agama dianggap urusan peribadi tanpa hidayah dan dipisahkan daripada urusan duniawi. Politik pula dianggap urusan dunia dan peluang meraih kepentingan peribadi, keluarga dan puak.

Ekonomi negara yang diurus secara tidak adil telah mencetuskan kesusahan hidup rakyat apabila peluang pembahagian harta berpusing di kalangan orang tertentu sahaja, sehingga berlakunya salah guna kuasa dan harta negara diambil secara salah. Maka berlaku kebocoran daripada pendapatan negara, sedangkan majoriti rakyat yang berpendapatan rendah semakin terbeban dengan harga barangan keperluan yang makin meningkat.

Kerajaan pula mengambil penyelesaian secara mudah tanpa kajian mendalam dan menyeluruh, lalu meningkatkan kadar cukai sedia ada atau melaksanakan cukai baharu seperti GST dan apa-apa sahaja. Maka berlakunya kesan sampingan dengan peningkatan inflasi, kekurangan pendapatan dan sempitnya peluang pekerjaan sehingga membebankan kehidupan rakyat apabila pendapatan tidak lagi mampu menampung perbelanjaan kos sara hidup yang tinggi, tabungan terjejas, dan hutang isi – rumah melebar.

Lebih parah lagi, kadar jenayah berat yang membahayakan komuniti masyarakat semakin meningkat seperti merompak, membunuh, mencuri, menipu dan lain-lain. Masalah jenayah ringan seperti keruntuhan akhlak, merosakkan diri dan keluarga dianggap senarai yang dikemudiankan dan dipandang mudah. Oleh kerana negara kita juga berada dalam dunia, maka kita tidak terlepas daripada wabak ini. Sebabnya manusia sendiri yang melakukan kejahatan. Firman Allah :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [ar-Rum: 41]

Kebanyakan manusia tidak pedulikan betapa mereka sangat berhajat kepada hidayah Allah Rabbi al-‘Alamin (Pencipta alam), tidak sedar akan kelemahan diri sebagai makhluk ciptaan Allah yang tetap punya kelemahan. Namun seringkali mereka tidak mengaku salah malah mendabik dada mengaku paling bijak, sehingga melupakan petunjuk Allah Pencipta Alam, Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil terhadap seluruh alam. Punca masalahnya apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah yang bernama Islam.

Firman Allah :
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian oleh umat terdahulu kepada Rasul zamannya) mereka mencari lain daripada Agama Allah (Islam)? Pada hal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa (mengikut sifat naluri) dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan.” [Aali-Imran: 83]

Puncanya adalah meninggalkan Islam, lalu merosakkan diri sendiri apabila melawan ciri-ciri fitrah manusia, apabila memisahkan jasad daripada akal dan roh, memisahkan aspek kemasyarakatan, berpolitik, ekonomi dan lain-lain daripada agama, laksana memutuskan mata rantai yang menjadikannya tidak berfungsi dengan betul.

Ada pula yang cuba meninggalkan nas yang nyata dari al-Quran dan as-Sunnah, dengan menjadikan alasan maqasid syariah, siyasah syar’iyyah dan fiqh aulawiyat dan seumpamanya untuk mencari alasan meminggirkan Islam dalam kehidupan. Maka di cari lah pandangan dan tafsiran longgar dari kalangan Islam yang berfikiran sebegini untuk dijadikan hujah yang diulang-ulangi di atas nama Islam. Pada masa yang sama kalangan penentang Islam bersorak gembira menumpang sama menyebar-luaskan hujah sebegini tanpa sempadan, tanpa menyedari bahawa tindakan seperti itu adalah bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah yang mutawatir.

Akhirnya politik juga dipisahkan daripada agama, menjadikan urusan pemerintahan yang menjadi payung dan pengawas kepada cara hidup bermasyarakat terkeluar daripada kawalan petunjuk Allah Pencipta Alam dan terkeluar daripada peranan manusia sebenar. Fitnah berleluasa, yang akhirnya dikutip oleh “pelampau media” seolahnya tiada lagi pertimbangan dosa dan pahala; syurga dan neraka.

Di sinilah hikmahnya Islam menjadikan urusan negara adalah amanah yang terbesar dalam melaksanakan petunjuk dan perintah Allah, bukan pada nama dan slogan. Firman Allah :
۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya)” [al-Nisa’: 58-59]

Allah menjadikan kewajipan menegakkan pemerintahan yang adil kepada seluruh manusia dengan petunjuk dan pelaksanaan hukum syariat-Nya (yang mewajibkan kepimpinan orang-orang yang beriman dan para ulama’ yang diringkaskan dengan istilah Ulu al-Amri, sehingga dikaitkan dengan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat menjadi teras kepada segala rukun iman) merupakan satu-satunya penyelesaian yang datang daripada Allah yang dinamakan Islam.

Islam berprinsipkan di atas asas-asas terpentingnya iaitu : aqidah tauhid, beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan berkonsepkan taqwa dan adil. Semua asas-asas ini adalah petunjuk Allah yang dibawa oleh semua para Rasul sehingga Nabi Muhammad ﷺ, Rasul akhir zaman. Para Rasul terdahulu yang berpeluang melaksanakannya telah membuktikan akan kebenarannya apabila diimani dan diamalkan telah mencapai kejayaan di zaman masing-masing.

Allah telah mengisahkan Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan Raja Zulqarnain yang berjaya bersama Islam di zaman masing-masing. Allah juga menceritakan kemusnahan Kaum ‘Aad, Thamud, Babylon dan Firaun yang hancur musnah bersama tamadun kebendaannya yang kaya-raya dibina di atas jahiliyah yang penuh dengan kejahatan dan kezaliman kerana menentang para Rasul. Malangnya manusia hari ini semata-mata menjadikannya sebagai tempat pelancongan di kawasan tinggalan sejarah tamadun kerajaan yang dimusnahkan kerana kezalimannya, tanpa mengambil iktibar dari peristiwa yang menjadi bahan sejarah ini.

Walaupun mereka berada di bumi yang tidak ada sumber ekonomi dan kekuatan politik yang bertamadun kebendaan, mereka telah berjaya bersama Islam. Mereka berjaya membawa obor Islam dengan kejayaan di zaman keemasannya, mengumpulkan ilmu wahyu dan ilmu akal manusia yang ditapis daripada tamadun yang dicipta oleh berbagai-bagai kaum dengan mengambil kebijaksanaannya sahaja dan menolak kemungkarannya.

Mereka berjaya menjadikan jasadnya berakal, berilmu dan roh yang berhidayah, bersama dengan kemajuan kebendaan yang berkat, untuk melaksanakan perintah beribadat (hubungan dengan Allah dan mematuhi petunjuknya), berkhilafah (mentadbir politik, ekonomi dan lain-lain serta urusannya) dan beramanah (melaksanakan kewajipan syariat yang sempurna).

Berpaksikan tujuan penciptaan manusia ini, maka di atas empat perkara asas iaitu (1) Tauhid, (2) Beriman pada hari Akhirat, (3) Taqwa, dan (4) Adil kepada semua; Islam telah berjaya memimpin dunia dan membina ketamadunan dalam tempoh beberapa abad keemasan sehingga tamadun Islam telah menguasai sebahagian besar benua daripada Timur Jauh sehingga Afrika Utara dan Selatan Eropah.

Bertunjangkan Aqidah Tauhid

Aqidah tauhid mengesakan Allah sahaja, tuhan yang diibadatkan kepada-Nya dengan jasad, roh dan akal. Aqidah ini menjadikan manusia itu tidak berlagak menjadi tuhan apabila berkuasa memerintah negara, diberi nikmat kehidupan berpangkat atau berharta.

Dengan tegas, aqidah tauhid menolak kesyirikan secara menyeluruh. Bukan sahaja diharamkan beribadat menyembah berhala atau patung, termasuk juga diharamkan menyembah makhluk yang lain dan sesama manusia serta tidak mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.

Maka Islam menolak diktator yang bertuhankan pemimpin individu atau bertuhankan kelompok. Islam menolak bertuhankan rakyat tanpa hidayah yang bertopengkan demokrasi yang kononnya suara rakyat adalah suara keramat, seperti tuhan yang diwarisi daripada demokrasi purba tetapi rakyat yang ditipu.

Islam juga menolak teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama. Semuanya menjadikan dirinya seperti tuhan atau memilih wakil rakyat secara menipu rakyat dan menjadikan rakyat sebagai hamba.

Islam juga menolak ideologi yang bertuhankan harta, tiba-tiba segala khazanah negara menjadi miliknya, boleh diambil dengan apa jua cara sekalipun dan mengunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram, sama ada secara Liberal Kapitalis atau Komunis dan Sosialis.

Aqidah Islam menjadikan tidak ada manusia yang boleh mengatasi undang-undang termasuk raja-raja atau ketua negara sehingga mengharamkan mereka berlagak menjadi tuhan, walaupun dia seorang Rasul. Allah berfirman :
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَكِن كُونُواْ رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya)” [Aali-Imran: 79]

Firman Allah:
اتَّخَذُواْ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُواْ إِلاَّ لِيَعْبُدُواْ إِلَهًا وَاحِدًا لاَّ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [al-Taubah: 31]

Firman Allah:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ وَلَوْلا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya)” [al-Syura: 21]

Aqidah beriman kepada Allah menjadikan politik, ekonomi dan segala urusan manusia tunduk kepada perintah Allah yang wajib bersifat adil.

Istiqamah Dengan Beriman Kepada Hari Akhirat

Adapun aqidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan semua tindak tanduk manusia tanpa mengira sesiapa, tetap ada perhitungan dosa dan pahala, yang menentukannya mengikut hisab amalannya.

Maka yang terlepas daripada dihukum di dunia kerana kedudukannnya yang bijak menipu atau dapat mengatasi undang-undang kerana kuasanya, menjadikan imannya tetap percaya adalah tidak terlepas dari hukuman di Hari Akhirat yang lebih berat. Firman Allah :
يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَؤُونَ كِتَابَهُمْ وَلاَ يُظْلَمُونَ فَتِيلاً
“(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (suratan amal , atau nabi atau pemimpin) ; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun)” [al-Isra’: 71]

Firman Allah :
 وَعُرِضُوا عَلَى رَبِّكَ صَفًّا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًا. وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلا كَبِيرَةً إِلاَّ أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
“Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.)” [al-Kahfi: 48-49]

Memahami & Berpegang Pada Konsep Taqwa Dalam Bernegara

Konsep taqwa menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat madani secara istiqamah dan tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya kerana perbezaan bangsa, agama, harta, keturunan, pangkat dan jantina. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [ al-Hujurat: 13]

Konsep adil dalam Islam yang lahir daripada konsep taqwa adalah mutlak terhadap semua dan segala aspek kehidupan manusia, termasuk adil terhadap musuh sehingga dikaitkan dengan konsep taqwa. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan).” [al-Maidah: 8]

Rasulullah ﷺ menegaskan keikhlasannya menyelamatkan manusia bersama Islam kepada pemimpin-pemimpin Arab yang mahukan jawatan sebelum menang atau meminta cadangan kabinet bayangan sebelum menang. Firman Allah :
۞إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya).” [al-Nahl: 90]

Setelah Rasulullah ﷺ selesai menegakkan negara yang dididik kepimpinannya dengan jati diri Islam, maka baginda mengutus surat kepada ketua-ketua kerajaan kuasa besar dan kecil dikelilingnya supaya menerima tawaran penyelesaian Islam.

Apabila Raja Habsyah, Raja Oman, Raja Bahrain dan ketua-ketua kaum menerimanya, mereka semua dikekalkan di tempat masing-masing. Adapun yang menolaknya, diturunkan daripada jawatan dan digantikan dengan mereka yang beriman dan bertaqwa bersama Islam dengan jati dirinya mengikut acuan aqidah tauhid, beriman kepada Hari Akhirat, taqwa dan adil.

Inilah pendekatan yang wajib dilakukan oleh kita yang menyambung risalah Nabi Muhammad ﷺ ini. Tugas kita bukan selesai setakat menukar pemimpin, tetapi perlulah menukar jati dirinya dengan aqidah, syariat, akhlak dan pendekatan dengan prinsip dan konsep tersebut.

Maka pemimpin wajib bertukar sekiranya berdegil dengan prinsip dan konsep yang salah, demi menyelamatkan umat dan negara. Tegakkan Islam di dalam diri akan menyelamatkan negara. Manakala menegakkan negara tanpa jati diri Islamnya negara tetap tidak selamat. Inilah konsep dan falsafahnya bernegara yang menjadi idaman untuk kita capai di Malaysia, sebagai satu wawasan yang berterusan hingga ke hari Kiamat.

PAS & Siyasah mendepani PRU-14

Hiruk pikuk politik pilihanraya di kalangan parti-parti politik dalam negara kita ini menyebabkan semuanya teruja, sehingga dilihat oleh rakyat begitu galak mengagih-agihkan jawatan itu dan ini sekiranya menang dalam PRU-14 nanti. Memang itulah gayanya yang sedang berlaku di luar sana setiap kali sebelum sesuatu pilihanraya umum, menerusi politik moden – liberal – pragmatik – sekular.

Bagi PAS, kita ingin mengambil iktibar dari apa yang di sabdakan oleh Rasulullah ﷺ kepada Bani ‘Amir ketika ditanya siapakah yang akan menjadi pemimpin dalam negara yang akan didirikan oleh Nabi ﷺ :
الملك لله يؤتيه من يشاء

Apa yang kita kesalkan ialah, ada juga di kalangan parti politik yang berlumba-lumba untuk menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar Islam di kalangan rakyat beragama Islam dalam negara kita ini. Mereka saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini. Tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan “Islam sebagai Agama Persekutuan”.

Sebagai sebuah parti yang besar dalam negara ini dan mempunyai jentera yang menyeluruh di serata negara, kita amat menyedari dan memahami realiti halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita, malah PAS amat menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia ini.

PAS yakin bahawa dengan Malaysia didiami oleh masyarakat plural dan majmuk, berbagai latarbelakang agama dan budaya, dengan bahasa dan loghat yang berbagai-bagai, sudah tentunya kita mesti melihatnya sebagai satu kelebihan dalam merencanakan perubahan, pembangunan fizikal dan spiritual.

Rakan-rakan kita yang berada di Sabah dan Sarawak tentunya mempunyai begitu tinggi pengalaman dalam menguruskan hubungan kepelbagian etnik yang wujud sebegitu lama di sana, tentunya ada sesuatu yang boleh dipelajari oleh kalangan masyarakat Malaysia yang lain.

Apa yang pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah, atau yang hanya mengambil sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat Islam.

Ada pula dikalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup.

Meneruskan Agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera

PAS akan meneruskan pendekatan dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan sebelum ini. Pendekatan ini bukan sahaja lebih berkesan terutama dalam masyarakat Malaysia yang bencikan budaya keras – kasar dan politiking melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, sedangkan rakyat tidak berubah keadaan hidup mereka. Pendekatan ini juga menepati ciri muwajahah silmiyah yang kita amalkan, bahkan lebih menepati sirah perjuangan Islam.

Apabila mesej kita bawa menerusi PAS adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia bersama Islam, maka konsep “Dakwah bi al-Hikmah” yang mengutamakan damai atau disebut “Muwajahah Silmiyyah” hendaklah diutamakan. Allah telah mewahyukan kepada Rasulullah ﷺ dengan firman-Nya yang menjadi petunjuk sehingga akhir dunia ini :
 وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah (menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! . Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Fussilat: 33-36]

Rasulullah ﷺ menjadi contoh yang wajib diikuti, kerana melaksanakan kewajipan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai. Ini menunjukkan contoh bahawa kumpulan Islam adalah lebih baik daripada yang lain. Ianya menjadikan Islam mudah diterima menjadi penyelamat yang diyakini, bukannya penjajah yang dibenci. Maka kedatangan Islam ke seluruh pelosok dunia dinamakan Futhuhat (pemecah belenggu kezaliman), bukannya Isti’amar (penjajah memperhambakan rakyat dan perampas hartanya).

Kita mesti terus beristiqamah berpegang teguh dengan Islam, sehingga tidak berganjak daripada Islam menjadi dasar dan tujuan. Kita beramal dengan apa yang mampu dan berjuang dengan sabar bagi melaksanakan pelaksanaan Islam yang dihalang.

Berhikmahlah tanpa menyeleweng. Mendahulukan kemaafan di masa menghadapi lawan yang zalim sehingga setelah mencapai kemenangan dan berada dalam keadaan paling kuat. Inilah kebijaksanaan yang paling munasabah dengan konsep demokrasi yang mengizinkan dakwah seluas-luasnya dan seberapa ramai manusia.

Marilah kita menilai dengan hati yang tenteram dan jujur, mata yang melihat, telinga yang mendengar; bahawa pendekatan BPMS yang kita laksanakan ini mampu untuk meredakan ketegangan di akar umbi rakyat yang sebelum ini begitu kelam dengan suasana politik melampau yang akhirnya akan merugikan ummah.

Agenda Pemerkasaan dan Transformasi Imej PAS

PAS juga sedang melaksanakan pelan pemerkasaan parti terutamanya dari aspek mengukuhkan perjalanan dan organisasi parti, gerakerja yang lebih berperancangan, objektif mampu capai yang lebih jelas, dan pengukuhan imej PAS sebagai parti yang ingin menyumbang dalam pembinaan negara ini.

Agenda pemerkasaan dan pembinaan imej ini adalah suatu perubahan ke arah yang lebih baik sebagai parti yang besar dan mampu untuk memerintah dalam negara ini. Untuk itu, PAS juga mestilah berusaha secara berterusan untuk menggamit pengundi di pantai Barat, termasuklah pengundi dari kaum-kaum yang lain dari Melayu – Islam.

Tentunya jelas bahawa mereka perlu lebih diberi ruang untuk mendengar mesej yang kita disampaikan dalam bahasa yang paling mudah. Tentunya peranan ahli dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) wajar diperkukuhkan dan dibantu dengan sepenuhnya.

Sehubungan dengan itu juga, maka PAS bersama-sama rakan yang berada dalam Blok Ketiga melalui Gagasan Sejahtera ini akan terus dimantapkan dengan penyertaan kalangan rakyat awam, pimpinan masyarakat, mantan pegawai tinggi kerajaan, dan NGO sebagai asas untuk mendepani suasana politik yang semakin hangat ini. Agenda yang lebih sistematik dan kemas mestilah dirangkakan sebaik sahaja selesai Muktamar kita pada kali ini.

Agenda Pemacuan Gelombang Tsunami Hijau

Tentunya untuk berdepan dalam PRU-14 nanti, kita akan terus memacu Gelombang Tsunami Hijau pada waktu dan saatnya yang paling sesuai, sebagai suatu panggilan kepada seluruh warga negara untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan secara harmoni dalam negara kita ini. Tiada siapa boleh memaksa atau mengugut kita untuk menyatakan pendirian, apatah lagi apabila ianya melibatkan strategi yang akan kita laksanakan.

Kita juga memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan kepelbagaian kaum, dengan mereka juga memahami keperluan masyarakat Islam untuk terus mengamalkan kehidupan beragama di tanah air mereka ini.

Kita tidak pernah memusuhi mana-mana kaum yang ada dalam negara kita ini kerana mereka juga adalah menyumbang kepada keharmonian yang berpanjangan di Malaysia. PAS hanya menentang sikap chauvinis dan perkauman sempit parti-parti tertentu ini sahaja. Apa yang penting ialah, kita menyerlahkan keyakinan Islam sebagai penyelesaian dan melibatkan idea-idea bernas dan kritis dari rakyat untuk perubahan di Malaysia.

Agenda Pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS)

Seterusnya PAS juga akan melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) pada waktunya yang paling sesuai, sebelum menghadapi PRU-14 yang akan datang nanti. Pelan ini adalah merangkumi asas-asas kenegaraan yang ingin kita capai, objektif yang ingin dituju, termasuklah kaedahnya.

Secara umumnya, kita ingin membina sebuah negara yang mempunyai ciri Keharmonian Dan Keadilan Sosial, Ketelusan dan Kecekapan Urustadbir (Governance), Kemantapan Dan Kemapanan Ekonomi, Keberkesanan Sistem Pendidikan, Kecemerlangan Insan dan masyarakat; dengan menjadikan Islam sebagai asas panduannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Perubahan melalui politik pilihanraya yang kita impikan pula mestilah dicapai tanpa konflik yang merosakkan rakyat. Keharmonian mestilah dipertahankan. Oleh yang demikian, politik kebencian, permusuhan kaum, chauvinis, wajar dielakkan.

Kita juga sedar bahawa ada juga kalangan yang mengaku beragama Islam, tetapi menolak kehidupan beragama, menyatakan bahawa agama adalah urusan peribadi dan sebagainya. Kita perlulah mendekati mereka, berbicaralah dengan mereka ini dengan hikmah, kerana itulah tugas yang semestinya kita laksanakan.

Sekiranya kita meninjau di bawah, kita akan merumuskan bahawa kebimbangan rakyat dan prospek masa depan negara dipengaruhi oleh beberapa isu yang wajar kita tangani bersama. Antaranya adalah : (1) Masalah Sosial dan kebajikan, (2) Tekanan ekonomi dan kos sara hidup, (3) Tadbir urus dan rasuah, (4) Ancaman kedaulatan serantau.

Isu sosial dan kebajikan rakyat dalam negara ini juga mestilah terus menerus diperjuangkan oleh PAS, terutama dalam menangani isu peluang kehidupan yang lebih terjamin kepada generasi muda yang tentunya nanti akan menggalas tanggungjawab pentadbiran negara ini kelak.

Peluang pekerjaan, khidmat kesihatan, bantuan untuk mendapat pendidikan ; adalah antara perkara yang perlu ditekankan terhadap generasi anak muda, dan juga rakyat awam yang terjejas di luar sana. Sudah tentu hal ini adalah besar dan rumit, tetapi PAS akan terus memperjuangkan kebajikan ini menerusi Lajnah-lajnah yang dipertanggungjawabkan oleh organisasi PAS di berbagai peringkat.

Permasalahan di kalangan rakyat desa dengan berbagai latarbelakang pekerjaan : petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga kecil-kecilan, kelompok industri kecil dan sederhana di desa, kakitangan sokongan dan lain lain mestilah terus didekati oleh PAS bagi membawa suara mereka ini.

PAS juga akan berterusan memperjuangkan falsafah dan dasar pendidikan negara yang holistik bagi melahirkan insan soleh dan masyarakat madani, pembinaan sistem keluarga yang sejahtera seimbang fizikal dan spiritual, menutup ruang – ruang pengaruh luar yang tidak sihat, dan memperkasa sistem perundangan dalam negara kita.

Kita sepenuhnya percaya bahawa mengubah minda rakyat di Malaysia, dari aspek pembinaan ekonomi dan lain-lainnya juga perlulah mengikut acuan Islam kerana acuan selain Islam untuk rakyat majoriti Islam seperti Malaysia akan berakhir dengan kegagalan. Di sinilah cabaran besar yang akan kita hadapi, dan ianya perlu dihadapi secara bersama oleh kita semua.

Pertama, kelemahan kita sendiri, di mana kita berdepan dengan ke tidak yakinan kita sendiri terhadap penyelesaian sistem ekonomi Islam; Kedua, kita belum sepenuhnya menggali, mengolah, dan memberikan cadangan yang benar-benar difahami dan praktikal serta dapat diterima oleh masyarakat yang ada dalam negara kita; Ketiga, kita teruja dengan pembangunan ekonomi Barat dan Timur Jauh, tetapi kita gagal memasukkan nilaian akhlak dan ibadah (iaitu ada perkiraan dosa – pahala) dalam kita melaksanakan aktiviti ekonominya.

Negara juga mestilah menerokai dan mempunyai strategi yang lebih praktikal dalam menguruskan sumber-sumber baharu hasil negara kerana sumber minyak dan gas tentunya akan berkurangan, dan banyak bergantung pada turun naik pasaran dunia.

Pembahagian yang jelas antara kepentingan membangunkan ekonomi rakyat di luar bandar mestilah diperhebatkan berbanding dengan segmen bandar, kerana merekalah yang paling terkesan dengan kegawatan ekonomi yang sedang dialami di waktu ini.

Untuk itu, PAS akan berusaha untuk mengemukakan pandangan membangunkan ekonomi masyarakat dan negara berasaskan Islam menerusi satu Jawatankuasa Khas yang akan diperkembangkan di kalangan rakyat dan berbagai pihak, selain dari keanggotaan pakar-pakar ekonomi dari PAS sendiri. Idea-idea itu pula mestilah praktikal dan mampu dicapai dalam meringankan masalah ekonomi rakyat, selain dari mencadangkan penyelesaian untuk berdepan dengan isu liberalisasi ekonomi di waktu ini. Antara cadangan penyelesaian terhadap beberapa masalah ekonomi yang dialami oleh rakyat telah pun dibentang oleh PAS kepada rakyat menerusi pelancaran Dokumen Hijau.

Persoalan tadbir urus, ketelusan, akhlak dan sebagainya dalam pentadbiran negara pada waktu ini adalah antara topik yang hangat diperkatakan kerana ianya adalah satu aspek yang sangat penting dalam pembinaan negara Malaysia.

PAS akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah dan pentadbiran yang telus dengan cara yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini. Selama puluhan tahun ini juga lah PAS telah menentang penyelewengan sumber dan dana negara dalam isu BMF, skandal matawang asing Bank Negara (forex), PKFZ, Skandal MAMINCO, Perwaja Steel, 1MDB dan lain-lainnya, dengan cara kita sendiri.

Kekurangan integriti, akhlak dan kejujuran, adalah antara masalah yang wujud berakar umbi dalam negara ini. Ianya menyebabkan indeks persepsi rasuah yang buruk, sehingga menimbulkan krisis keyakinan ekonomi kepada persekitaran pelaburan dalam negara kita ini.

Ancaman dan Cabaran Antarabangsa

Kita berada dalam dunia yang semakin maju tanpa sempadan dan terus bergolak dengan berbagai konflik serta peristiwa yang berlaku. Penjajahan waktu kini bukan sahaja dalam bentuk geografi, tetapi penjajahan ekonomi dan kuasa.

Pada masa yang sama kita melihat terdapat kecenderungan yang amat merbahaya apabila setengah pihak ini secara tersusun telah dan sedang meminggirkan kewujudan politik Islam, yang akhirnya menyebabkan kelangsungan kelompok yang “bermudah-mudah” dan “ekstrem” dalam beragama. Akhirnya semua ini menatijahkan kerosakan yang nyata di kala ini. Ini diburukkan dengan kepimpinan negara umat Islam yang mabuk kuasa – takhta – harta sehingga akhirnya umat Islam menjadi biduk di papan catur yang akan menjadi mangsa di makan oleh musuh.

Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah, kesabaran umat Islam dan masyarakat antarabangsa berbagai etnik di seluruh dunia boleh menjadi tidak terkawal dan merebak kepada masalah lain yang lebih parah sekiranya kezaliman dan kekejaman terhadap umat manusia di merata tempat tidak dirungkaikan dengan segera.

Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi dalam merungkai konflik dari berlarutan. PAS akan terus memperjuangkan isu kemanusiaan yang bertali arus berlaku dalam dunia tanpa sempadan ini dan penindasan terhadap etnik minoriti di mana jua dalam dunia ini, tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum, etnik, gender, dan persekitaran kita berada. Ianya juga memerlukan usaha dan tindakan pro-aktif yang drastik bagi memastikan penindasan ini tidak lagi berlaku di depan mata kita.

Sehubungan dengan itu, PAS akan berusaha bersama dengan berbagai agensi bantuan kemanusiaan yang ingin berperanan untuk menyampaikan bantuan makanan yang halal, air bersih yang berkekalan, tempat perlindungan, ubatan dan khidmat pemeriksaan kesihatan, pakaian, dan segala bentuk bantuan kemanusiaan.

Kerajaan Malaysia juga wajib bersama dengan negara-negara lain dan bekerjasama agar tidak membuka peluang kepada campur tangan kuasa besar dalam menangani isu ini yang akan menyebabkan kemudaratan yang lebih besar.

Mendepani suasana ini adalah satu tugas berat, dan ianya memerlukan kerjasama dan kesepaduan di kalangan umat Islam untuk mengharunginya. Marilah sama-sama kita beristiqamah dengan Islam.

Marilah sama – sama kita yakin dengan janji Allah kepada sesiapa yang berjuang di jalan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah :
لاَّ يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلاًّ وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar.” [al-Nisa’ : 95]

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia