© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Mesej Islam di Ma’rakah al-Qadisiyyah

Mesej Islam di Ma’rakah al-Qadisiyyah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 28 June 2017


Peperangan al-Qadisiyyah merupakan salah satu peperangan terbesar yang berlaku pada bulan Ramadan tahun 14 H (637 M), iaitu pada zaman kekhalifahan “al-Faruq”, Umar ibn al-Khattab radhiallahu anhu. Dalam peperangan tersebut, Umar al-Khattab telah memerintahkan Sa’ad bin Abi Waqqas bersama 30 000 pasukan tentera berangkat menuju al-Qadisiyyah yang terletak di Utara Kufah dan Timur Sungai Furat (bahagian tengah negara Iraq) untuk berdepan dengan 120 000 tentera Parsi pimpinan Rostam Farrukhzad al-Armani. Peperangan ini juga telah menjadi bahan kepada kaum orientalis untuk menuduh Islam disebarkan melalui peperangan, soalnya benarkah tuduhan mereka itu?

Pada tahun ke-8 H, Rasulullah ﷺ telah mengirimkan surat kepada raja-raja antaranya ialah Penguasa Empayar Parsi Sassanid (Kisra) untuk mengajaknya memeluk agama Islam secara aman. Rasulullah ﷺ telah menugaskan Abdullah bin Huzafah al-Sahmi radhiallahu anhu menghantar surat tersebut, namun ketika surat itu dibacakan Kisra terus mengoyakkan surat tersebut bahkan menghantar beberapa orang upahan untuk membunuh Nabi. Kaum musyrikin di Makkah ketika itu riang gembira mendengar khabar perbuatan Kisra kerana mengoyakkan surat Nabi sambil mengejek-ejek Baginda ﷺ, lalu Rasulullah ﷺ pun berdo’a:
اللَّهُمَّ مَزِّقْ مُلْكَهُ
“Ya Allah, cerai-beraikan kerajaannya (Empayar Parsi).” (Sahih al-Bukhari)

Do’a tersebut dikabulkan Allah, Empayar Parsi Sassanid akhirnya kalah dalam peperangan menghadapi Empayar Rom sehingga pentadbiran politiknya menjadi kerajaan yang kucar-kacir. Manakala Kisra pula dibunuh anaknya sendiri iaitu Syirawaih kerana tidak bersetuju dengan corak pemerintahan kejamnya. Memang Empayar Parsi sangat maju dan mewah tetapi penduduknya hidup dalam kongkongan para penguasa zalim sehingga ia dianggap sebagai perkara yang lazim bagi sebuah kerajaan besar. Islam datang mengubah mentaliti itu agar manusia bebas memilih kebenaran sesuai dengan fitrah kejadian mereka bertuhankan Allah Ta’ala.

Panglima Islam Bernama Sa’ad bin Abi Waqqas

Sa’ad bin Abi Waqqas merupakan salah seorang daripada 10 orang yang mendapat jaminan Rasulullah ﷺ masuk ke syurga. Beberapa orang sahabat seperti Umar al-Khattab dan Abd al-Rahman Auf, menggelarkan Sa’ad bin Abi Waqqas sebagai “singa yang menerkam” (الأسد في براثنه) kerana beliau terkenal sebagai penunggang kuda terbaik dan pakar pemanah di kalangan bangsa Arab. Rasulullah ﷺ pernah mendo’akan kepada Sa’ad sebagaimana berikut:
اللَّهُمَّ سَدِّدْ رَمْيَهُ وَ أَجِبْ دَعْوَتَهُ
“Ya Allah, jadikanlah panahannya tepat dan kabulkan doanya.”

Ketika Sa’ad bin Abi Waqqas memeluk Islam, ibunya sangat marah dan mengancam akan mogok lapar sampai mati jika anaknya itu tidak mahu kembali kepada agama berhala yang diwarisi dari nenek moyangnya. Tetapi, biarpun ancaman ibunya itu terbukti sehingga dia pengsan beberapa kali dan dikhuatiri boleh meninggal dunia kerana enggan menjamah sebarang makanan, Sa’ad tetap thabat dan tidak mengubah sikap. Dengan tegas Sa’ad bin Abi Waqqas berkata kepada ibunya:
والله يا أمـه، لو كانت لك مائة نفس، فخرجت نفسا نفسا، ما تركت ديني هذا لشيء
“Demi Allah duhai ibuku, kalaulah ibu memiliki seratus nyawa sekalipun, dan nyawa itu hilang satu demi satu, aku sama sekali tidak akan meninggalkan agamaku (Islam) kerana perbuatan ibu ini.”

Pendirian Sa’ad menyebabkan ibunya menyerah akur akan keputusannya memeluk Islam. Persitiwa ini menjadi bukti kekuatan dan keteguhan iman Sa’ad kepada ajaran Islam. Ketika hal ini diberitakan kepada Rasulullah ﷺ, lantas Baginda ﷺ memberitahunya bahawa Allah telah menurunkan ayat 8, surah al-Ankabut berhubung sikap Sa’ad bin Abi Waqqas kepada ibunya:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًا وَإِنْ جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) baik kepada ibu-bapanya, dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya.”

Sebelum peperangan al-Qadisiyyah meletus, Umar al-Khattab telah melantik Sa’ad bin Abi Waqqas untuk mengetuai tentera Islam bagi menggantikan al-Musanna bin Harithah al-Syaibani yang dilantik pada zaman Abu Bakr al-Siddiq. Apabila pertembungan dua bala tentera pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas dan Rostam Farrukhzad pertama kali berlaku, Rostam telah meminta kepada Sa’ad agar beliau mengutuskan kepadanya beberapa orang yang boleh diajak bertukar-tukar pandangan, bukan untuk berdebat tetapi untuk menguji tahap pemikiran umat Islam pada waktu itu. Lalu Sa’ad telah mengutuskan Ruba’ie bin Amir al-Thaqafi pada hari pertama, Huzaifah bin Muhsin pada hari kedua, dan al-Mughirah bin Syu’bah pada hari ketiga untuk bertemu dengan Rostam.

Rostam Farrukhzad Menguji Tentera Islam Menerusi Dialog

Rostam Farrukhzad sebenarnya pernah berbual dengan seorang Muslim bernama Zahrah bin al-Huwiyyah yang berdagang di wilayahnya untuk mengetahui lebih dekat tentang ajaran-ajaran Islam. Kata Zahrah ketika beliau diminta oleh Rostam agar menerangkan tentang agamanya:
هذا الدين عموده أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله، وأن تُقرَّ بكل ما جاء من عند الله، وتُبعد عن حكمك كل ما خالف أمر الله
“Agama ini (Islam) tunjang-tunjangnya ialah mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu utusan-Nya, engkau mengakui bahawa setiap perkara itu datangnya dari Allah, serta engkau menjauhi setiap perkara yang menyalahi perintah Allah.”

Penerangan tersebut berterusan sehingga menyebabkan Rostam memahami objektif risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada kaumnya adalah bertujuan untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Kemudian Rostam bermesyuarat dengan para pembesar kaumnya dengan membawa agenda agar mereka menerima Islam sebagai anutan dan pegangan, tetapi hal itu mengundang kemarahan kaumnya sambil mereka memperlekeh material pakaian yang biasa dipakai oleh bangsa Arab, murah dan lusuh. Kemudian Rostam mencelah hinaan kaumnya itu:
ويلكم لا تنظروا إلى الثياب، وانظروا إلى الرأي والكلام والسيرة، إن العرب يستخفون بالثياب والمأكل، ويصونون الأحساب
“Celaka kamu, jangan lihat kepada bajunya (yang kusut-masai), tetapi lihatlah kepada pendapat, percakapan dan keperibadiannya. Orang Arab memang bermudah-mudah dalam hal berpakaian dan makanan tetapi mereka tegas menjaga maruah dan keturunan.”

Rostam turut bertanya kepada utusan yang ditugaskan Sa’ad bin Abi Waqqas tentang apakah tujuan mereka datang ke wilayah pemerintahannya, lalu jawab Ruba’ie bin Amir:
قد ابتعثنا الله لنخرج العباد من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة
“Sesungguhnya kami merupakan satu kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah Yang Esa, mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, mengeluarkan manusia dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Balas Rostam:
قد تموتون قبل ذلك
“Mungkin kamu akan maut terlebih dahulu sebelum perkara itu berlaku.”

Jawab Ruba’ie bin Amir:
وعدنا الله أن الجنة لمن مات منا على ذلك
“Allah telah menjanjikan kami syurga, sesiapa di kalangan kami (umat Islam) yang mati kerana memperjuangkan perkara itu.”

Permulaan Perang al-Qadisiyyah

Menurut al-Tabari, tentera-tentera Islam yang menuju ke al-Qadisiyyah terdiri daripada 70 veteran Badar, manakala 300 yang lain pernah ikut serta dalam ikrar Bai’at al-Ridhwan di Hudaibiyyah, dan 300 lain di antaranya lagi pernah ikut serta dalam peristiwa Fathu al-Makkah (600 orang sahabat). Terdapat juga kaum Muslimah yang turut serta sebagai perawat seperti Salma binti Khasafah. Dari aspek kelengkapan pula dikatakan tentera Parsi menunggang gajah manakala tentera Islam pula hanya menunggang kuda. Walau bagaimanapun, sebelum perang al-Qadisiyyah meletus Rostam awal-awal lagi telah merasa bahang kekalahan kerana sebelum ini lagi tentera Parsi telah tewas di Buwaib di tangan al-Musanna bin Harithah al-Syaibani manakala tentera Rom pula kalah di tangan Abu Ubaidah bin al-Jarrah di Yarmouk.

Sudah banyak kali Rostam berbincang dengan kaumnya supaya mengambil jalan berdamai dengan kaum Muslimin. Tetapi mereka enggan menerima cadangan Rostam itu sambil mendakwa tindakannya sebagai pengecut. Akhirnya mereka memutuskan untuk melawan tentera Islam sehingga masing-masing bersiap untuk melakukan pertempuran. Menurut riwayat lain, Rostam sebenarnya telah mendapat petanda mimpi buruk yang diramalkan ahli nujumnya bahawa pasukan Parsi akan kalah teruk di tangan umat Islam, tetapi hal itu disembunyikan daripada pengetahuan kaumnya, sebab itu Rostam bersungguh-sungguh mahu berdamai dengan kaum Muslimin. Bukanlah untuk mengatakan tukang ramal itu benar, sebenarnya kuasa Allah jua yang menentukan benar salah hal tersebut.

Menurut Ibnu Athir pula, sepanjang peperangan al-Qadisiyyah Sa’ad bin Abi Waqqas memerintahkan umat Islam membaca surah al-Anfaal agar tentera-tentera Islam tenang menghayati ayat-ayat jihad yang terkandung di dalam surah tersebut. Usaha itu juga sebagai peringatan kepada umat Islam bahawa kemenangan tidaklah dinilai daripada aspek kekuatan atau kelengkapan pasukan semata-mata, tetapi kemenangan adalah kurniaan Allah Ta’ala kepada hamba-Nya yang berhak. Sebelum tentera Islam menghadapi tentera kuffar di al-Qadisiyyah, Umar al-Khattab turut mempersiapkan kerohanian tentera-tentera Islam yang dipimpin Sa’ad bin Abi Waqqas menerusi wasiatnya:
إني آمرك ومن معك من الأجناد بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة على العدو، وأقوى المكيدة في الحرب. وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراسا من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم. وإنما يُنصَرُ المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم. فإذا استوينا في المعصية، كان لهم الفضل علينا في القوة، وإلا نُنْصَرْ عليهم بفضلنا لم نغلبهم بقوتنا
“Sesungguhnya aku memerintahkanmu (Sa’ad) dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah Ta’ala dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus di kalangan kamu sendiri, lebih daripada maksiat musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti berbanding dosa musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana jumlah kita tidaklah sama berbanding jumlah mereka dan persediaan material kita juga tidak sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita. Jika kita tidak melakukan maksiat (sedangkan mereka melakukannya), maka kita akan menang kerana kelebihan kita (bantuan Allah) kerana kita tidak mungkin akan mampu mengalahkan mereka kerana kekuatan kita (yang serba-serbi penuh kekurangan).”

Kekalahan Kaum Kafir

Pada hari pertama pertempuran tentera Islam dan Parsi, pasukan Parsi hampir sahaja mengalahkan pasukan Muslim kerana ketidakseimbangan jumlah pasukan Sa’ad bin Abi Waqqas dengan pasukan Rostam yang jauh lebih besar. Pasukan Parsi menggunakan gajah untuk memporak-porandakan barisan hadapan tentera Islam sehingga menyebabkan tentera Islam kebingungan bagaimanakah caranya untuk mengatasi gajah-gajah tersebut. Keadaan ini berlangsung sampai kepada hari pertempuran berikutnya.

Bagaimanapun pada hari ketiga, datanglah bantuan dari pasukan berkuda Muslim yang datang dari Syam (setelah menang pertempuran di Yarmouk) yang diketuai Khalid bin al-Walid. Tentera Islam menggunakan taktik yang cerdik untuk menakut-nakutkan pasukan gajah Parsi dengan memberikan kostum pada kuda-kuda perang mereka. Taktik ini berjaya sehingga menyebabkan gajah-gajah ketakutan. Pasukan Muslim terus menyerang mereka sampai ke malam hari.

Saat fajar hari keempat, datanglah pertolongan Allah dengan terjadinya badai pasir kuat yang menerpa pasukan Parsi sehingga melemahkan barisan tentera mereka. Kesempatan itu tidak disia-siakan kaum Muslimin untuk menyerang tentera Parsi dalam ribut pasir sehingga terbunuhnya Rustam di tangan Hilal bin Ullafah al-Taimi. Pembunuhan Rustam sekaligus telah menjatuhkan moral tentera-tentera Parsi, sebahagiannya pula ada yang memeluk Islam dengan rela hati.

Peperangan al-Qadisiyyah yang berlangsung selama empat hari itu, berakhir pada tahun 15 H dengan kekalahan tentera Parsi walaupun jumlah mereka lebih ramai dan kelengkapan mereka lebih hebat dari tentera Islam. Benarlah firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Baqarah, ayat 249:
قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ ٱللَّهِ ڪَم مِّن فِئَةٍ۬ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةً۬ ڪَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ
“Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah; Berapa banyak (yang pernah terjadi) golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang ramai dengan izin Allah.”

Walaupun kemenangan Islam dalam peperangan sangat hebat untuk diperhalusi kisahnya, sewajarnya kita lebih insaf dengan keadaan umat Islam sekarang ini jika dibandingkan dengan keadaan umat Islam di zaman kepimpinan Rasulullah ﷺ dan para khulafa’ al-rashidun. Hidup dan mati mereka bertemankan kualiti keyakinan yang jitu kepada Allah dan Rasul-Nya.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-