© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Memperingati Peristiwa Kebangkitan Umat Islam Dalam Perang Ayn Jalut 25 Ramadan 658 H

Memperingati Peristiwa Kebangkitan Umat Islam Dalam Perang Ayn Jalut 25 Ramadan 658 H

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday, 25 June 2017


Sejarah yang berulang selayaknya menjadi panduan dan pengajaran yang berkesan buat kita umat Islam. Namun, nyata ia tidak berlaku kerana kita tidak membaca sejarah dengan baik, dan gagal menghayati sejarah untuk diadaptasi pada zaman ini! Membaca sejarah yang paling penting ialah menjiwai jalan ceritanya untuk digunakan pada zaman kita, bukan untuk seronok disampaikan semata-mata.

Ada sarjana yang menyebutkan bahawa, Barat hampir boleh dikatakan tidak mengulangi semula sejarah hitam mereka kembali kerana amat peka dengan peristiwa lalu dan belajar daripadanya. Adapun umat Islam berlaku sebaliknya, kelemahan kita terhadap ilmu sejarah tambahan pula penyelewengan fakta yang dibuat mengakibatkan kita leka dan sentiasa mengulangi perkara yang sama berulang-ulang kali!

(Pelajaran Pertama) Meninggalkan Islam

Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Sekiranya kamu membantu agama Allah, pertolongan Allah akan datang.” (Muhammad : 7)

Menjadikan panduan selain al-Quran dan Sunnah adalah merupakan bala yang besar. Sultan dan Pemerintah di akhir kurun ke-7 dilihat sangat jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Malahan pengaruh hedonisme, dan pemikiran falsafah masuk ke dalam umat Islam menyebabkan mereka menyimpang. Berbeza apabila Saifuddin Qutuz mengambil alih kuasa, ditambah dengan dokongan ampuh daripada Syeikh Izzuddin bin Abd Salam meletakkan slogan ‘Wa Islamah’ iaitu demi Islam sebagai bukti kesungguhan Qutuz melawan Tatar bukan kerana hajat yang lain lalu Allah memberi kemenangan yang besar buat umat Islam.

Qutuz sendiri menyebutkan kepada raja-raja yang takut hilang jawatan, “Biarkan aku yang mengepalai misi melawan Tatar, selepas kita mengalahkan Tatar, aku serahkan urusan pemerintahan kepada kalian.”

Malangnya, kerana takut tidak mendapat jawatan, Qutuz dibunuh oleh temannya sendiri. Sebab itu dalam perjuangan, selain daripada ujian kepayahan, ujian kesenangan mesti diambil berat supaya kita tidak mudah dipengaruhi oleh sesiapa ataupun kita sendiri yang kalah dengan bisikan hawa nafsu. Ada yang berjuang untuk merebut jawatan, menaikkan nama sendiri dan untuk menunjuk-nunjuk. Andai ada niat berjuang bukan kerana Allah, maka selagi itulah pertolongan Allah tidak akan turun.

Pelajaran Kedua, Perpecahan Umat Islam dan Kesatuan Musuh Islam

Allah Ta’ala menegaskan dalam surah al-Anfal ayat 46, betapa pentingnya bersatu:
وَأَطِيعُواْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu saling bertelagah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan, dan bersabarlah sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.”

Beberapa peristiwa dicatatkan dalam era Abbasiyah yang menyaksikan umat Islam saling bertelingkah, walhal musuh berada di depan mata. Kerajaan al-Khawarizmi Shah, antara wilayah pertama yang mula-mula diserang pada tahun 617 H, tetapi mereka langsung tidak dibantu oleh wilayah-wilayah Islam yang berdekatan. 

Mengapa hal ini terjadi? Salah satunya ia berpunca daripada sikap al-Khawarizmi sendiri yang suka mencetus perbalahan sehingga menyebabkan ia tidak dibantu. Namun, sungguhpun dalam keadaan sebegitu logikkah umat Islam membiarkan sahaja tanpa berbuat apa-apa kepada saudara se-Islamnya?

Ketika Tatar menyerang Selatan Afghanistan, umat Islam ada yang bangkit melawan. Antaranya Saifuddin Baghraq, ketua tentera Saljuk, yang bersamanya 30,000 orang tentera digabungkan bersama 60,000 tentera Sultan Jalaluddin al-Khawarizmi. Nyata bantuan Allah bersama mereka, berjaya membunuh ramai tentera Tatar dan ramai yang melarikan diri. 

Namun, Genghis Khan bangkit melawan dengan menghantar ketumbukan kedua yang lebih besar. Malangnya, ketika itu tentera Saifuddin Baghraq dan Jalauddin al-Khawarizmi berebut harta ghanimah dan saling berbunuh yang akhirnya menyebabkan mereka tewas ditangan Genghis Khan!

(Pelajaran Ketiga) Mencintai Dunia dan Kehidupan Eksklusif

Antara ujian yang melemahkan umat Islam ialah ujian kesenangan. Melihat kembali sejarah pembunuhan Saidina Uthman r.a ialah selepas fasa kemenangan Islam menawan Rom dan Parsi pada zaman Umar al-Khattab sekaligus memberikan kesenangan buat mereka dan generasi terkemudian. Khabbab bin al-Aratt antara sahabat yang sempat merasa imbuhan yang banyak atas jasanya sebagai golongan awal yang masuk Islam dan menghadapi ujian kepayahan yang dahsyat, namun ia tidak melekakan beliau. Sebaliknya berlaku kepada generasi terkemudian yang tidak merasai kepayahan perjuangan, lalu mereka mudah terpengaruh dan terkesan dengan momokan golongan munafiq yang iri hati terhadap Islam.

Umat Islam pada waktu serangan Tatar mereka sudah terbiasa dengan kehidupan yang selesa, sarat dengan hiburan hingga tahap penguasaan terhadap lagu-lagu lebih banyak berbanding penguasaan terhadap al-Quran! Ia juga melanda kita dewasa ini, artis dan penyanyi lebih dikenali, lagu-lagu hiburan menjadi halwa telinga berbanding al-Quran, pemain bola dan atlit menjadi ikon lebih daripada pejuang agama, para sahabat bahkan Para Nabi sekalipun! 

Al-Quran sekadar meniti dibibir bukan meresap ke dalam hati-hati manusia walhal “Musabaqah al-Quran” adalah tradisi tahunan negara dan dunia. Allah Ta’ala mengancam manusia dengan kehancuran bagi mereka yang tenggelam dengan kesenangan.

Firman Allah:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
“Dan apabila kami hendak membinasakan penduduk sesebuah kampung, kami perintahkan terlebih dahulu orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat. Maka berhaklah negeri itu dibinasakan lalu kami menghancurkan sehancur hancurnya.” (al-Isra’ : 16)

Sunnah ini dimulakan oleh sultan dan pemerintah. Di Istana subur dengan budaya berhibur tanpa batasan masa. Dikisahkan ketika tentera Tatar menyerang Istana dengan anak panah, Sultan mengarahkan pengawal supaya menutup tirai-tirai Istana supaya tidak melihat apa yang berlaku diluar! Lihatlah betapa teruknya sikap pemerintah pada waktu itu.

(Pelajaran Keempat) Umat Islam Meninggalkan Kefardhuan Jihad

Antara penyumbang terbesar kepada kekalahan umat Islam ialah meninggalkan kefardhuan jihad. Termasuklah meninggalkan mempelajari selok-belok jihad, erti, tuntutan seterusnya praktikal terhadap jihad dengan mempersiap kekuatan ketenteraan mahupun persediaan peribadi dalam aspek pertahanan diri, berenang, dan menunggang kuda. Percaya atau tidak, pada zaman serangan Tatar kesemua ini ditinggalkan oleh umat Islam! Yang lebih parah ialah mereka kehilangan roh jihad, sekalipun sudah berada dalam saff tentera, namun ada yang melarikan diri kerana takut mati! 

Dikisahkan ketika Tatar menjarah bumi Samarqand, wilayah tersebut mempunyai tentera seramai 50,000 orang! Apa yang terjadi, kesemua tentera ini melarikan diri dan tidak mahu keluar berperang!

Sabda Nabi ﷺ:
مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ 
“Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah berlintas dalam dirinya untuk berperang (berjihad), maka dia mati atas satu cabang nifaq (kemunafikan).” (Riwayat Muslim)

Perkataan Jihad yang disebut di dalam al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan “Holy War” (perang suci) seperti seringkali difahami oleh Barat terhadap Islam lalu mereka menafsirkan secara ganas terhadap Islam dengan menuduhnya ekstremis, pengganas dan seumpamanya. Islam adalah agama Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam termasuk hukumnya yang dianggap keras tetapi mengandungi cara dan hikmah yang membawa kebaikan.

Perkataan Jihad adalah dari perkataana Arab yang menjadi bahasa al-Quran. Asal maknanya ialah “Masyaqqah” yakni kesukaran. Adapun maknanya menurut istilah syarak ialah, mengerahkan segala usaha dan tenaga bagi menghadapi orang yang menentang agama Allah (orang-orang kuffar), dan dimasukkan juga menentang hawa nafsu, syaitan dan juga fasik.

Menghadapi penentang agama Allah dengan jiwa raga, harta, fikiran, lidah dan hati. Menentang hawa nafsu pula bersungguh-sungguh menuntut ilmu agama, beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Menentang syaitan ialah menolak perkara yang syubahat (tidak jelas halal dan haramnya) dan kecenderungan hawa nafsu kepada kemungkaran kerana dihiasi oleh syaitan. Menentang hal bersangkutan fasik ialah dengan tangan, lidah, dan hati.

(Pelajaran Kelima) Mengabaikan Aspek Persediaan Ketenteraan

Negara yang mengabaikan aspek ketenteraan membuka ruang yang luas untuk musuh menyerang dengan mudah. Itulah yang berlaku terhadap Kerajaan Abbasiyah. Hampir kesemua sultan kecuali Mesir sahaja yang bangkit mengatur rakyatnya melawan mahupun menyerang. Sebaliknya wilayah-wilayah lain dibiarkan Tatar masuk dan meranapkan segala-galanya. 

Jika dilihat dalam ketiga-tiga fasa serangan Tatar, terdapat beberapa tempoh bertenang yang tidak berlaku serangan. Ini kerana berlaku pergolakan dalaman sesama mereka, dan mereka menyusun kembali tentera selepas berperang dalam tempoh yang panjang. Namun, sepanjang waktu itu, langsung tidak ada persiapan yang dibuat oleh umat Islam! Alangkah malangnya!

Sedangkan Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Anfaal, ayat 60:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.”

Perkataan al-Irhab yang biasanya diterjemahkan sebagai terroris sebenarnya dalam ungkapan Bahasa Arab bermakna untuk “menimbulkan rasa gentar”. Makna tersebut tidaklah terpuji atau tercela, ia bergantung bagaimana perkataan tersebut digambarkan menurut situasi tertentu. Siapa yang mengatakan bahwa “al-Irhab” dalam Islam bermakna pembunuhan, maka dia telah salah. Irhab ertinya adalah menimbulkan rasa gentar. Allah Ta’ala telah memerintahkan kita untuk gentar dan takut kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 40:
وَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ
“Dan hanya kepada-Ku-lah kamu mesti takut (tunduk).”

(Pelajaran Keenam) Kehilangan Tokoh Sebagai Ikutan

Islam mengajar kita kepimpinan mestilah melalui tauladan. Dengan tauladan menjadikan rakyat dan umat di bawah mengikut sebagaimana ketua mereka. Sikap Sultan yang tidak mengendahkan urusan rakyat, ditambah dengan hanya sibuk merebut kuasa menjadikan rakyat hidup tanpa seliaan ke arah kebaikan. Lalu bagaimana mendidik rakyat dengan roh jihad seandainya raja orang pertama yang lari dari medan perang? Sudah tentu ia amat bercanggah dengan perihal Baginda ﷺ yang sentiasa menjadi ikutan para sahabat.

Dalam peperangan Khandak, Baginda ﷺ individu pertama yang turun menggali parit dan Baginda Nabi ﷺ juga orang terakhir yang naik ke atas. Ketika mana ada sahabat yang mengadu kelaparan lalu mengangkat bajunya dan memperlihatkan perutnya yang diikat dengan seketul batu tanda menahan lapar, lantas Baginda ﷺ menyelak bajunya dan memperlihatkan perut Baginda ﷺ diikat dengan dua ketul batu petanda Nabi ﷺ lebih lapar! 

Begitu juga dengan perihal Khalifah Umar al-Khattab r.a, menjiwai kesusahan rakyatnya dengan beliau sendiri memikul gandum, memberi makan kepada orang susah dan tidak akan makan yang sedap melainkan ia dinikmati oleh rakyatnya dahulu.

(Pelajaran Ketujuh) Hilang Jati Diri dan Tunduk Kepada Musuh

Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Maidah, ayat 51:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاء بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

Peringatan yang keras dari Allah supaya orang Islam tidak menyendeng bahu kita dengan orang bukan Islam. Ia bakal menjadikan kita bergantung harap pada mereka, meletakkan kepercayaan kepada mereka dalam segala hal, sebagaimana berlaku hari ini apabila kita mempercayai Barat lebih daripada yang lain seolah-olah hampir mustahil untuk Islam mengalahkan Amerika yang menjadi kuasa besar waktu ini.

Begitulah yang berlaku terhadap umat Islam dengan Tatar, mereka dikalahkan dengan serangan propaganda yang dibuat oleh Tatar dengan slogan “bangsa yang tak terkalah”. Ia tersebar meluas dalam kalangan umat Islam hingga dikisahkan, sekiranya datang seorang tentera Monggol kepada umat Islam yang ramai, mereka akan menundukkan kepala ke bumi sebagai isyarat sedia disembelih tanpa mereka melawan. 

Bahkan dikisahkan juga, seorang tentera wanita Tatar masuk ke dalam rumah yang menyorok di dalamnya ratusan umat Islam kerana takut dibunuh, akhirnya membiarkan sahaja seorang demi seorang dibunuh tanpa seorang pun melawan! Betapa murahnya nyawa umat Islam.

(Pelajaran Kelapan) Pengkhianatan Golongan Pragmatis

Dalam satu hadith, Nabi ﷺ menyebutkan bahawa orang beriman akan diuji dengan lima golongan:
المؤمن بين خمس شدائد؛ مؤمن يحسده، ومنافق يبغضه، وكافر يقاتله، ونفس تنازعه، وشيطان يضله. 
Maksudnya: “Orang beriman selalu menghadapi lima musuh: (1) Orang beriman yang hasad (2) Orang munafiq yang membenci (3) Orang kafir yang memusuhi (4) Jiwa yang mengalahkan (5) Syaitan yang menyesatkan.” (Berkata al-Iraqi bahawa sanad hadis ini Dhaif)

Antara yang disebut dalam hadis ini, munafiq yang benci kepadanya. Golongan ini akan sentiasa ada sepanjang zaman. Mereka duduk bersama orang Islam tanpa sedikit pun dicurigai kecuali setelah mereka berjaya berada pada posisi yang sukar digugat. Sepanjang serangan Monggol terhadap umat Islam, ada tiga individu yang menjadi dalang dan tali barut kepada Tatar. Mereka berpakat dan menggadaikan nyawa jutaan umat Islam demi survival diri mereka sendiri yang akhirnya nyata mereka juga menjadi korban dek kebodohan sendiri iaitu Raja Kaikawus II, dan Raja Qalaj Arsalan ke-IV, yang merupakan Raja Wilayah Anatolia, Turki antara yang memberi laluan mudah untuk tentera Monggol masuk menyerang. Begitu juga Raja Badaruddin Lu’lu yang merupakan raja wilayah Mosul turut melakukan perkara yang sama kerana termakan janji-janji manis oleh musuh tanpa mereka sedari bahawa Tatar tidak pernah menepati janjinya! Dan benteng umat Islam yang terakhir di Kota Baghdad ialah Mu’ayiduddin al-Alqami yang berfahaman Syiah menjadi penasihat kepada Sultan al-Musta’sim. 

Tanpa diketahui oleh Sultan, al-Alqami membuat perjanjian awal dengan Tatar dan dimaklumkan kepada sultan bahawa Tatar menjanjikan keamanan kepada Baghdad. Akhirnya Kota Baghdad ranap kerana pengkhianatan al-Alqami ditambah dengan kebodohan sultan yang tidak mempunyai pengetahuan ilmu dan strategi peperangan.

Dr. Raghib al-Sarjani menyebutkan, penyakit umat Islam yang paling parah pada waktu itu ialah buta dalam politik yang dahsyat. Pemerintah dan rakyat langsung tidak tahu apakah yang sepatutnya mereka buat untuk menghalang Tatar kerana sudah jauh dan tidak pernah didedahkan dengan ilmu jihad yang sebenar sejak sekian lama! 

Realiti itu juga kita hadapi dewasa ini apabila anak muda ramai yang tidak minat untuk terlibat dengan politik Islam yang sebenar kerana mereka jemu dan jelek dengan kebobrokan yang berlaku dalam dunia. Akibatnya, sang politikus dan golongan pragmatis terus mendapat tempat dan melakukan kerosakan.

Penutup

Mengapa sejarah Abbasiyah? Bukan Umawiyyah atau Uthmaniyyah? Saya memilih sejarah kejatuhan Abbasiyah untuk direnungi bersama kerana punca kejatuhan banyaknya adalah daripada masalah dalaman umat Islam sendiri. Kerajaan Umawiyyah digulingkan oleh umat Islam, manakala kejatuhan Uthmaniyyah walaupun dengan kelemahan kita, namun campur tangan pihak luar dan Yahudi Zionis perlu diperhalusi dengan panjang lebar yang memang sarat dengan pengajaran buat kita.

Sebagai akhirnya, marilah sama-sama kita merenung firman Allah Ta’ala ini sebagai sumber inspirasi untuk kita terus memposisikan diri di dalam agenda memartabatkan Islam:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu; Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)? Mereka menjawab; Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.” (al-Saff : 14)

Biodata Penulis

Mohd Adlan Mokhtaruddin mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin, Jabatan Hadis di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini merupakan Pemuda PAS Negeri Johor.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-