© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Masjid al-Aqsa dan Kelemahan Dunia Arab

Masjid al-Aqsa dan Kelemahan Dunia Arab

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 26 June 2017


Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman di dalam al-Quran, surah al-Isra’ ayat 1 berbunyi:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Maha Suci Allah, yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Rasulullah ﷺ juga bersabda:
لَا تُشَدُّ اَلرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: اَلْمَسْجِدِ اَلْحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَالْمَسْجِدِ اَلْأَقْصَى (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ) بلوغ المرام من أدلة الأحكام (ص: 194)
“Tidaklah secara bersunguh-sungguh melakukan lawatan melainkan kepada tiga Masjid: Masjidil Haram (Makkah), Masjidku (Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Baitul Maqdis)”

Begitulah digambarkan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam, kerana Allah telah memilihnya menjadi tempat terakhir peristiwa Isra’ dan bermulanya Mi’raj; iaitu peristiwa Rasulullah ﷺ dijemput menjadi tetamu Allah di malam paling bersejarah kepada seluruh alam.

Palestin dibuka oleh Nabi Ibrahim alaihissalam yang menjadi tempat kelahiran ramai kalangan Para Anbiya’ alaihimussalam dan kiblat pertama bagi umat Islam. Maka, Baitul Maqdis dan terletaknya Masjid al-Aqsa merupakan tanah suci bagi umat Islam, namun tidak menghalang penganut agama lain berkunjung mengikut kepercayaan mereka.

Umat Islam dan penganut agama Para Rasul alaihimussalam paling berhak memerintah dan menjaganya. Hakikat ini berlaku apabila Khalifah Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu mengarahkan tentera Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom, bagi menunaikan perintah Allah:
وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Hajj: 40)

Paderi besar Baitul Maqdis menjemput Khalifah Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu supaya menyaksikan upacara perjanjian penyerahannya yang telah memberi hak beragama yang sangat dipersetujui oleh penganut agama lain. Khalifah Umar juga memakmurkan semula Masjid al-Aqsa yang dibiarkan sebelum ini tanpa usaha pengimarahan.

Umat Islam adalah pemegang amanah memerintah Baitul Maqdis dan bersamanya Masjid al-Aqsa.

Namun, apabila berlakunya pengkhianatan terhadap amanahnya, menyebabkan ditakluk oleh pihak yang lain dan berlakulah pencabulan terhadap satu sama lain sejak zaman berzaman, khusus terhadap yang tidak seagama dengannya. Hanya pemerintahan Islam yang dapat memberi hak dan keamanan kepada semua pihak mengikut hukum Islam.

Dalam sejarahnya yang diketahui umum, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pernah ditakluk oleh bala tentera Salib yang bermandi darah. Sehinggalah hampir seratus tahun dibawah kawalan mereka,

Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada bangsa Kurdish berjaya membebaskannya setelah menyatukan umat dan berjihad di atas nama Islam.

Kini Baitul Maqdis dan bersamanya Masjid al-Aqsa ditakluk oleh kumpulan Zionis Yahudi yang berjuang menegakkan negara Yahudi Israel untuk mengembalikan semula kerajaan Nabi Sulaiman alaihissalam atas asas cerita karut Israiliyyat dan dengan matlamat mengukuhkan Freemason dan Zionis sekaligus, walaupun kalangan mazhab Ortodoks sendiri menentangnya kerana membahayakan bangsa Yahudi. Walaupun Sultan Abdul Hamid II pernah tidak membenarkan permintaan untuk mewujudkan negara Israel, di Palestin tetapi beliau sendiri tidak dapat menghalang perkara ini kerana pelobi-pelobi Zionis cukup kuat di England.

Mereka berjaya menubuhkan negara haram Israel dengan penipuan melalui Perjanjian Balfour 1917 dan Perjanjian Sykes-Picot 1916. Setelah berjaya memecah belahkan umat Islam di atas perbezaan kaum dan mazhab, mereka berjaya menubuhkan negara-negara mengikut peta yang dilakarkan oleh mereka, dan dibahagikan dikalangan mereka yang bersama-sama menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah yang sedang lemah ketika itu.

Peristiwa lama telah berlalu, walaupun kebanyakan negara dikatakan telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah barat, namun masih diikat dengan berbagai-bagai perjanjian politik, ekonomi dan ketenteraan.

Sepatutnya negara umat Islam khususnya negara Arab berjaya membina kedaulatan negara yang telah merdeka sepenuhnya, malangnya kita menyaksikan khususnya negara Arab yang menjadi benteng kepada Dunia Islam, masih lagi meneguhkan ikatan lama dengan kuasa penjajah itu. Sepatutnya isu Masjid al-Aqsa menjadi simbol kesedaran umat yang menyatukan mereka.

Betapa seluruh dunia dapat menyaksikan kebangkitan semula rakyat Palestin khususnya di sekeliling Masjid al-Aqsa. Mereka bangkit menghadapi kesombongan Israel yang melakukan ancaman terbuka ke atas Masjid al-Aqsa dengan tujuan merobohkannya. Di bawahnya sudah banyak digalikan terowong dengan tujuan untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan “Haikal Sulaiman”.

Pihak media memaparkan rakyat Palestin sedang berduyun-duyun pergi berhimpun di Masjid al-Aqsa untuk beriktikaf di akhir Ramadan. Israel pula melakukan berbagai-bagai sekatan di sekeliling Masjid al-Aqsa, di samping membenarkan pelampau Yahudi mencabulinya sehingga boleh mencetuskan ketegangan.

Malangnya, negara Arab sedang berkrisis sesama jiran dan bertelagah di antara berbagai pihak kerana perbezaan kabilah dan mazhab. Terakhir pula, negara Arab menjemput Perdana Menteri British, kemudian diikuti Presiden Amerika dalam Sidang Kemuncak Negara Arab dan membentuk gagasan menentang keganasan yang ditujukan terhadap negara jiran mereka. Bukannya keganasan Israel tetapi keganasan dalam bangsa dan umat sendiri dengan sebab-sebab yang sengaja diwujudkan.

Mereka sanggup berbelanja besar menghabiskan duit kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan lain-lain. Mereka juga sedang membeli senjata untuk berperang dengan Iran, Qatar dan siapa sahaja dengan melupai Israel yang mencecah hidung mereka. Senjata yang dijual kepada Arab tidak mampu menentang Israel yang bekalan senjatanya lebih besar dan canggih. Begitulah juga dengan hasil minyak digunakan untuk membeli senjata bagi menjana ekonomi negara Barat yang diberi wala’ kepadanya.

Adapun kewajipan membebaskan Masjid al-Aqsa mula diperkecilkan dalam senarai keutamaan mereka. Paling buruk lagi adalah tindakan bermusuh dengan kumpulan Islam yang berjihad di Palestin dan secara terbuka atau senyap mengadakan hubungan persahabatan dengan negara haram Israel. Perbelanjaan persenjataan mengatasi keperluan yang lain khususnya keperluan rakyat.

Maka berlakulah apa yang didendangkan dalam Peribahasa Melayu:

Ayam di kepuk mati kelaparan,
Itik di air mati kehausan.

Anak di riba dibiarkan,
Kera dihutan disusukan.

Mereka rela membunuh sesama umat dan jiran. Sedangkan masalah Masjid al-Aqsa terus dipinggirkan daripada amanah yang wajib ditunaikan. Rasulullah ﷺ telah memberi amaran kepada mereka yang mengecewakan Baitul Maqdis dengan sabdanya:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Terus-menerus masih ada kalangan umatku, golongan yang terus berpegang dengan agamanya (Islam), mereka terbuka menentang musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (sehingga mereka berhenti) dengannya, melainkan mereka menghadapi kesusahan yang menimpa mereka. Sehingga datangnya keputusan Allah, namun mereka terus tidak berganjak dalam keadaan begitu. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Di manakah mereka?” Sabda: “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad)

Akhirnya menunjukkan bahawa mereka yang mengecewakan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa akan kecundang bersama harta dan takhtanya. Mereka yang teguh beristiqamah bersama Islam walaupun digelar pengganas dan apa sahaja akan mencapai kemenangan.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-