© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Ke Mana Arah Kiblat?

Ke Mana Arah Kiblat?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 1 June 2017


Al-Quran mengisahkan Nabi Ibrahim alaihissalam yang disanjung dan dimuliakan oleh penganut semua agama; Islam, Yahudi, Kristian dan musyrikin dengan kepercayaan dan sebutan yang berbeza sama ada Ibrahim, Abraham dan Brahma. Nabi Ibrahim alaihissalam diperintah membina Ka’abah yang disebut Bait Allah (Rumah Allah). Firman Allah:
إِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ. رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ. وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلاَّ مَن سَفِهَ نَفْسَهُ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ. إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ. وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (127) Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang Islam (yang tunduk patuh) kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang Islam (tunduk patuh) kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (128) Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (al-Qur´an) dan al-Hikmah (Sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (129) Dan tidak ada yang benci kepada Agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Tunduk patuhlah! (Islam). Ibrahim menjawab: Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam. (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam. (132)” [ Surah al-Baqarah: 127-132]

Bumi Mekah dipilih menjadi tempat dibina Ka’abah yang menjadi kiblat kepada penganut Islam dan tempat kelahiran Rasul akhir zaman Muhammad ﷺ daripada zuriat Ibrahim alaihissalam. Diwahyukan kepada Baginda Kitab Suci al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Di akhir zaman ini, kemajuan sains dan teknologi terkini yang menjadikan dunia seolah tanpa sempadan adalah daripada sedikit ilmu akal dan kajian manusia, semuanya adalah kurnia Allah yang wajib disempurnakan dengan hidayah kitab al-Quran itu.

Ada empat konsep terpenting ditunjukkan oleh al-Quran melalui Rasulullah ﷺ yang diwahyukan kepada Baginda. Empat konsep itu ialah: Hikmah (kebijaksanaan), Adil (terhadap semua), Rahmat (kepada seluruh alam) dan Maslahah (berpandukan Siyasah Syariah dan Maqasid Syariah).

Setiap satunya memerlukan kajian mendalam dan huraian terperinci oleh para ulama’ yang mendalami al-Quran dan Sunnah yang mampu berijtihad, sama ada secara indivudu yang cukup syaratnya atau secara berjamaah (kolektif) yang dapat menyempurnakan syarat-syaratnya. Ini menjadikan al-Quran petunjuk di sepajang zaman kepada seluruh manusia.

Berteraskan empat perkara tersebut dengan berkonsepkan rukun Iman, Islam dan Ihsan, khususnya aqidah beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan konsep bertaqwa di dalam diri, Islam telah menguasai tiga benua besar dunia dalam masa yang cepat walaupun selepas berlakunya kewafatan Rasulullah ﷺ dan kepungan peristiwa riddah bersama kuasa-kuasa besar dunia di Timur dan Barat.

Islam bukan sekadar berjaya menjatuhkan kuasa besar yang zalim walaupun bertamadun, tetapi dalam masa yang sama berjaya mencipta Tamadun Islam dan menyatukan masyarakat majmuk sehingga menjangkau sebahagian daripada tiga benua besar. Memerintah masyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya dalam tempoh beberapa abad, sehinggalah ajaran Islam ditinggalkan kerana kelekaan pemerintah, kelemahan para ulamak dan kejahilan umat Islam sendiri terhadap agamanya serta ilmu sains dan teknologi yang telah dibina oleh tamadun Islam itu sendiri.

Di zaman kelemahan, sehingga berlakunya kejatuhan pemerintah yang membawa kepada zaman penjajahan yang bukan sekadar menjajah tanah air dan jasad umat Islam berbagai bangsa bahkan juga menjajah pemikiran, apabila dilumpuhkan kefahaman Islamnya. Tanah air umat Islam daripada Asia Tenggara di Timurnya sehinggalah Afrika Barat. Daripada Asia Tengah sehingga Afrika Tengah dipecah buminya dan dilagakan bangsanya.

Maka berlakulah kehilangan jati diri seperti yang dinyatakan Allah:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلاَّ عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasotiyyah (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.” (Surah sl-Baqarah: 143)

Firman Allah:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Surah Aali-Imran: 110)

Allah Yang Maha Esa, Kitab al-Quran, Rasul akhir zaman dan Kiblat yang satu, sepatutnya menyatukan semula umat Islam, tetapi kecelaruan kefahaman membawa kepada kecelaruan cara hidup.

Kecelaruan ideologi telah memisahkan cara hidup berpolitik, ekonomi dan bermasyarakat madani yang sepatutnya disatukan oleh kiblatnya sudah hilang, walaupun masih berhimpun di musim Haji di hadapan Ka’abah di Mekah, tetapi politik yang menguasai cara hidup berkiblat ke arah White House (Rumah Putih) di Washington.

Jelas disaksikan betapa pengaruh politik White House menghantui para pemimpin dunia Islam. Apabila kempen Pilihanraya Presiden Amerika berjalan rancak, semuanya berpihak kepada Hillary Clinton yang dikatakan bersifat sederhana dan mengutuk Donald Trump yang pelampau.

Namun apabila keputusan yang berada di White House ialah Donald Trump yang dikatakan ganas itu, tiba-tiba hala politik dan ekonomi dalam hubungan luarnya menghadap ke arah White House juga.

Para ulama yang bijaksana mewajibkan perpaduan umat Islam juga berasaskan kiblat yang satu walaupun berbeza mazhab dan bangsa dengan anggapan sebagai ahli al-Qiblah, walaupun ada yang salah dan batil, namun dimaafkan kerana kejahilannya.

Kembalilah semula kepada Islam yang sempurna dengan satu kiblatnya ke arah Baitullah (Rumah Allah) yang berada di Makkah dalam beribadat dan seluruh cara hidup. Pecahkan kejumudan kerana kejahilan itu, serta tinggalkan kiblat ke arah White House (Rumah Putih) di Washington.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-