© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Ciri-Ciri Kumpulan Islam Sebenar

Ciri-Ciri Kumpulan Islam Sebenar

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 1 June 2017


Sejarah telah mencatatkan bahawa Islam pernah berhasil membangun peradaban besar yang diakui oleh dunia dan Islam mampu menjadi kekuatan dunia tidak terlepas dari pengaruh dakwah dan politik. Peradaban Islam dari zaman Nabi Muhammad ﷺ sampai hari ini tidak dapat dipisahkan dari dua hal tersebut. Dapat dikatakan bahawa maju dan mundurnya masyarakat Islam sangat dipengaruhi oleh kuat atau tidaknya dakwah dan politik Islam.

Dakwah dan politik dalam praktik kehidupan sosial mesti difahami dan digambarkan ibarat dua sisi mata wang. Satu sama lain saling melengkapi, tidaklah dianggap sempurna apabila satu di antaranya tidak ada. Ertinya dakwah dan politik itu tidak dapat dipisahkan sungguhpun kedua-duanya itu dapat dibezakan.

Apabila mesej politik kita bawa menerusi PAS adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia bersama Islam, maka konsep “Dakwah bi al-Hikmah” yang mengutamakan damai atau disebut “Muwajahah Silmiyyah” hendaklah diutamakan. Allah telah mewahyukan kepada Rasulullah ﷺ dengan firman-Nya yang menjadi petunjuk sehingga akhir dunia ini :
 وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah (menyeru kepada mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! . Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [surah Fussilat, ayat 33-36]

Rasulullah ﷺ menjadi contoh yang wajib diikuti, kerana melaksanakan kewajipan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai. Ini menunjukkan contoh bahawa kumpulan Islam adalah lebih baik daripada yang lain. Ianya menjadikan Islam mudah diterima menjadi penyelamat yang diyakini, bukannya penjajah yang dibenci. Maka kedatangan Islam ke seluruh pelusuk dunia dinamakan Futhuhat (pemecah belenggu kezaliman), bukannya Isti’amar (penjajah memperhambakan rakyat dan perampas hartanya).

Kita mesti terus beristiqamah berpegang teguh dengan Islam, sehingga tidak berganjak daripada Islam menjadi dasar dan tujuan. Kita beramal dengan apa yang mampu dan berjuang dengan sabar bagi melaksanakan pelaksanaan Islam yang dihalang. Berhikmahlah tanpa menyeleweng. Mendahulukan kemaafan di masa menghadapi lawan yang zalim sehingga setelah mencapai kemenangan dan berada dalam keadaan paling kuat. Inilah kebijaksanaan yang paling munasabah dengan konsep demokrasi yang mengizinkan dakwah seluas-luasnya dan seberapa ramai manusia.

Sabda Rasulullah ﷺ:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Akan sentiasa ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang terus berjuang di atas kebenaran, mereka zahir sehingga hari kiamat.” [Riwayat Muslim]

Hadis ini menunjukkan bahawa kumpulan manusia yang memperjuangkan Islam akan sentiasa ada di setiap zaman. Sama ada ia dinamakan sebagai parti, kumpulan atau jemaah, ia membawa makna serupa sahaja. Yang penting ciri-ciri mereka adalah memperjuangkan Islam sebagaimana cara yang Nabi Muhammad ﷺ tinggalkan. Nabi Muhammad ﷺ sudah tiada, tetapi kumpulan yang meneruskan perjuangannya akan tetap ada sampai hari kiamat.

Sifat kumpulan ini dinyatakan oleh Allah di dalam surah Aali-Imran ayat 102:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Di dalam ayat ini, Allah menggariskan tiga sifat utama yang menjadi syarat wajib kumpulan Islam yang mewarisi perjuangan Nabi iaitu:
  1. Menyebarkan dakwah Islam
  2. Mengajak kepada kebaikan
  3. Mencegah sebarang bentuk kemungkaran
Ada kumpulan yang memilih dakwah sahaja dalam sudut yang sempit, tidak mahu “suruh” dan “cegah”. Sebabnya mereka mahu buat perkara yang orang tidak marah sahaja. Suruh dengan cegah ini boleh buat orang marah. Maka ini bukan sifat kumpulan Islam sebenar yang mewarisi perjuangan Nabi. Mereka ini kumpulan serpihan sahaja.

Walaubagaimanapun kita tidak boleh mencela kumpulan sebegini. Kita tidak bermusuh dengan mereka yang ambil pendekatan mengajar sahaja, dakwah buat kebajikan sahaja. Cuma kita perlu tahu kumpulan Islam sebenar yang mengganti perjuangan Nabi mesti lengkap tiga syarat di atas.

Kumpulan yang dimaksudkan ini akan tetap ada sampai hari kiamat. Sama ada menang atau kalah, kuat ataupun lemah, mereka tidak akan lenyap sekali-kali dengan izin Allah. Walau macam mana zalim sekalipun penindasan ke atas mereka, mereka tidak peduli, mereka tidak berhenti. Dipenjara mahupun dibunuh, mereka tetap bertahan sampai bila-bila.

Oleh sebab itu, Allah jadikan agama Islam tidak mati. Tidak akan padam cahaya Islam ini kerana orang-orang yang memperjuangkan dan mempertahankannya akan tetap ada sebagaimana yang diberitakan Nabi. Walaupun terpaksa berlapar dahaga, lemah, daif dan miskin, mereka tidak akan sekali-kali tunduk kepada musuh Islam. Sehinggalah turun Nabi Isa di akhir zaman. Pada waktu ini kumpulan tersebut dipimpin oleh Imam Mahdi. Mereka seramai 800 orang lelaki dan 400 orang wanita.

Marilah sama-sama kita beristiqamah dengan Islam. Marilah sama – sama kita yakin dengan janji Allah kepada sesiapa yang berjuang di jalan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah:
لاَّ يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلاًّ وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak turut berperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar.” [surah al-Nisa’, ayat 95]

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia