© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Menjaga Sensitiviti Masyarakat Majmuk

Menjaga Sensitiviti Masyarakat Majmuk

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 15 May 2017


Sesungguhnya Allah Taala berfirman di dalam al-Quran, surah al-An’am ayat 108 berbunyi;
﴿وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّواْ اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ﴾ [الأنعام: 108]
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Inilah petunjuk al-Quran kepada penganut Islam yang beriman kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya apabila bersama penganut agama lain yang juga percaya kepada Tuhan dengan bahasa masing-masing tetapi melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah mengikut kepercayaan mereka. Walaupun mengikut kepercayaan penganut Islam adalah sesat dan dosa paling besar, namun Islam mewajibkan konsep tiada paksaan dalam beragama dan wajib memberi hak beragama yang wajib dilindungi.

Ayat al-Quran tersebut menunjukkan bahawa Islam menetapkan sempadan menjaga sensitiviti dalam hubungan dengan penganut agama lain, sehingga dilarang memaki tuhan-tuhan yang dipuja oleh penganut agama lain dihadapan mereka sehingga menyebabkan mereka boleh mencela Allah Tuhan Yang Maha Esa yang juga menjadi kepercayaan semua manusia mengikut nalurinya. Allah berfirman:
﴿وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ﴾ [لقمان: 25]
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).” [Surah Luqman: 25]

Peristiwa membunyikan hon keretanya ketika sembahyang jumaat di Johor menunjukkan bahawa perlunya masyarakat berbagai agama menjaga sensitiviti ini. Bukan sahaja penganut Islam, termasuk juga penganut agama lain terhadap yang tidak seagama dengannya.

Perkara yang berlaku secara sepontan menyebabkan seseorang itu melakukan sesuatu kerana kepentingan dirinya tanpa mengira orang ramai dikelilingnya, dalam masa yang sama berlakulah juga tindak balas secara spontan tanpa dapat dikawal. Hal yang seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dengan segera.

Kehidupan bermasyarakat madani mewajibkan dijaga hubungan di antara satu sama lain walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya, kerana titik persamaan dalam kehidupan bermasyarakat dalam banyak aspek perlu dijaga terlebih dahulu dengan keharmonian bagi kehidupan manusia yang lebih luas lapangannya di atas muka bumi yang wajib dimakmurkan bersama, mestilah juga saling mengerti dalam perkara yang berbeza.

Sejarah menunjukkan betapa penganut Islam menunjukkan sikap damai tersebut apabila berkuasa memerintah negara, yang sangat berbeza dengan agama lain apabila berkuasa terhadap penganut tidak seagama dengannya. Inilah petunjuk al-Quran. Firman Allah:
﴿الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلاَّ أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ﴾ [الحج: 40]
“Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan sesetengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), sembahyang-sembahyang dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40]

Sejarah menunjukkan seringkali berlakunya ketegangan sesama manusia apabila adanya perbezaan khususnya dalam beragama, bahkan dalam satu agama yang berbeza mazhab. Namun Islam mewajibkan konsep damai tanpa paksaan. Inilah yang menjadikan masyarakat majoriti Islam boleh bersama bukan Islam yang berada ditengah-tengah mereka, keadaan yang sangat berbeza apabila segelintir penganut Islam berada ditengah majoriti bukan Islam.

Bahkan Islam memberi perlindungan kepada bukan Islam yang dizalimi dinegaranya. Mengikut firman Allah:
﴿وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَعْلَمُونَ﴾ [التوبة: 6]
“Dan jika seseorang dari kaum musyrik (bukan Islam) meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut adalah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” [Surah at-Taubah: 6]

Ini menunjukkan Islam mendahului Piagam Geneva dan undang-undang antarabangsa terhadap pelarian daripada negara lain.

Apabila pihak bukan Islam pula menceroboh terhadap penganut Islam, maka Allah mengharamkan tindakan melampau. Firman Allah:
﴿وَقَاتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُواْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ﴾ [البقرة: 190]
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]

Firman Allah:
فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُواْ عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ﴾ [البقرة: 194]
“Barangsiapa yang menceroboh kamu, maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” [Surah al-Baqarah: 194]

Tegasnya, Islam juga melarang penganutnya bertindak secara melampau yang boleh menjadikan keadaan yang lebih buruk dan besar mudaratnya, sehingga luas lapangan kesannya. Bukan sahaja wajib ditangani oleh pihak yang berkuasa dan pemimpin masyarakat yang disebut Uli Al-Amri (para pemimpin dan ulama), bahkan diwajibkan menjaga perasaan diri masing-masing daripada tindakan melampau terhadap pihak lain, walaupun telah berlaku melampau terhadapnya dengan Firman Allah juga:
﴿ وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُواْ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ. وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلاَّ بِاللَّهِ وَلاَ تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلاَ تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ. إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَواْ وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ﴾ [النحل: 126-128]
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(128) [Surah al-Nahl: 126-128]

Apa yang sepatutnya diberi perhatian adalah apabila orang melakukan ketelanjuran membunyikan hon meminta maaf dan kalangan Islam pula memaafkannya. Melakukan sifat yang dipuji Allah:
﴿الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ﴾ [آل عمران: 134]
“Orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” [Surah Ali-Imran: 134]

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-