© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » RUU355: Iktibar Daripada Iblis

RUU355: Iktibar Daripada Iblis

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 22 February 2017


Para ulama tafsir meriwayatkan makhluk yang bergelar Iblis pada asalnya sangat dihormati oleh para Malaikat yang sangat taat kepada Allah, kerana iblis itu kuat beribadat, berada di dalam syurga, pernah melihat neraka dengan seksaannya dan diberi kelebihan berdialog di hadapan Allah.

Para Malaikat hanya melihat sifat zahirnya sahaja tanpa mengetahui sifat buruk yang tersirat di dalam hati iblis, iaitu perangai takabur yang merasa dirinya mengetahui segala-galanya dan dirinya melebihi daripada yang lain. Maka terserlah kebodohan iblis kerana mengangkat diri sendiri yang dimuatkan dalam bakul sendiri.

Sifat buruk ini dizahirkan apabila Allah yang mencipta makhluk manusia bermula dengan Adam alaihissalam. Allah Taala berfirman:
﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ﴾ [البقرة: ٣٠]
“Dan ingatlah apabila Allah berkata kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak ciptakan makhluk yang menjadi Khalifah di atas muka bumi. Para Malaikat berkata: Adakah Engkau ciptakan makhluk yang akan melakukan keburukan di atasnya dan menumpahkan darah, pada hal kami ini sentiasa bertasbih, memuji dan memuja-Mu (wahai Tuhan kami). Allah menjawab: Aku lebih tahu di samping adanya apa-apa yang kamu tidak tahu.” (surah al-Baqarah, ayat 30)

Manusia yang dijadikan Allah mempunyai ciri-ciri naluri, jasad, roh, sifat kendiri dan bermasyarakat yang menjadikan mereka mempunyai kelebihan yang tidak ada pada makhluk yang lain. Namun, kelemahan mereka dibantu dengan hidayah daripada Allah, bukan sahaja hidayah sifat naluri, perasaan dan akal yang berbeza dengan makhluk yang lain. Allah mengurniakan hidayah al-Din (hidayah agama) melalui kitab yang diwahyukan kepada para rasul yang dilantik daripada kalangan manusia.

Allah berfirman:
﴿۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً﴾ [الإسراء: ٧٠]
“Dan sesungguhnya kami telah muliakan anak-anak Adam (manusia) dan kami tanggungkan mereka berada di darat dan laut, serta kami berikan rezeki kepada mereka daripada segala yang terbaik dan kami berikan kelebihan kepada mereka mengatasi kalangan makhluk yang kami ciptakan dengan kelebihan yang dijadikan keistemewaannya.” (surah al-Isra’, ayat 70)

Allah telah menamatkan syariat-Nya dengan diwahyukan al-Quran dan diutuskan Nabi Muhammad ﷺ berkonsepkan penerimaan untuk beriman secara anjal (fleksibel) sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya:
﴿وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ﴾ [فاطر: ٣١-٣٢]
“Dan ajaran yang telah kami wahyukan (al-Quran) kepadamu (wahai Muhammad ﷺ) ialah yang benar, lagi membenarkan kitab lain yang sebelumnya yang ada dihadapanmu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui (berkenaan kamu) lagi Maha Melihat. Kemudian kami warisi kitab yang kami pilih kepada orang-orang yang kami pilih di kalangan hamba-hamba kami (mereka ialah umat Islam). Maka kalangan mereka ada orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri (kerana mengerjakan maksiat), ada kalangan yang sederhana (amalannya) dan ada yang sangat maju mengerjakan kebajikan dengan izin Allah. Demikian itulah kelebihan yang sangat besar fadhilatnya.” (surah Fatir, ayat 31-32)

Dalam ayat ini, Allah meletakkan konsep beriman kepada kitab-kitab Allah secara umum sama ada golongan yang beramal atau tidak beramal dengan kitab-kitab-Nya atau golongan yang tenggelam di dalam maksiat, mereka semua telah dijanjikan oleh Allah akan mendapat kelebihan sehingga selepas kematiannya. Namun, mereka yang menolak ajaran kitab-kitab Allah secara ingkar tidak termasuk di dalam orang-orang yang mendapat kelebihan ini.

Iblis yang ingkar kerana sifat takabur yang ada di dalam dirinya tidak mengikut perintah Allah supaya hanya sujud menghormati ciptaan Allah iaitu Adam (makhluk manusia). Perintah yang lebih mudah daripada RUU 355. Oleh kerana sifat takabur dalam diri Iblis itu, dia merasa dirinya melebihi daripada semua orang lain, seolah-olah tahu semuanya sehingga mencabar ilmu Allah. Firman Allah:
﴿وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُواْ لآدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ﴾ [البقرة: ٣٤]
“Dan ingatlah apabila Tuhan Mu berkata kepada para malikat: “Sujudlah kamu semua kepada Adam”. Lalu mereka semua sujud melainkan iblis. Dia enggan dan takabur, lalu dia termasuk dikalangan mereka yang ingkar.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Allah menyebut pula dalam surah yang lain:
﴿قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلاَّ تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَاْ خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ﴾ [الأعراف: ١٢]
“Allah bekata: Apakah yang menghalang kamu daripada sujud? Dia (iblis) berkata: Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah.” (surah al-A’araf, ayat 12)

Iblis telah menggunakan kaedah Qias dan Maqasid Syariat-nya sendiri menyebabkan pertimbangan yang salah kerana perbezaan unsur api dan tanah. Adapun para Malaikat yang mulia menunjukkan sifat tawaduknya di hadapan Allah:
﴿قَالُواْ سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ ﴾ [البقرة: ٣٢]
“Mereka berkata: Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami! Kami tidak ada ilmu melainkan sekadar yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau sahaja sebenarnya Tuhan kami Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana).” (surah al-Baqarah, ayat 32)

Perbincangan sifat tawaduk dan takabur dibahaskan dalam lapangan ilmu akhlak yang dinamakan juga ilmu tasawuf. Dalam kitab berjudul إيقاظ الهمم disebut kata-kata Imam Malik:
من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق. ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق
“Sesiapa yang bertasawuf sahaja tanpa feqahnya, dia menjadi zindiq dan sesiapa yang berfeqah sahaja tanpa tasawufnya dia menjadi fasiq.”

Ilmu Islam itu mencakupi tiga bahagian mengikut soalan Malaikat Jibril kepada Rasulullah ﷺ di hadapan para sahabat iaitu Islam (rukun syariat), Iman (rukun aqidah) dan Ihsan (rukun sifat mulia daripada hati) terhadap Allah, sifat yang menggerakkan hati dan yang memerintah kepada akhlak mulia kepada akal dan jasad.

Sesiapa yang memisahkan ketiga-tiga perkara ini atau mana-mana yang kecil sahaja sudah cukup akan menjadi pengikut syaitan.

Firman Allah yang menegaskan tentang konsep beriman kepada ajaran Islam secara menyeluruh:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ﴾ [البقرة: ٢٠٨]
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam itu semuanya, dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada kamu.” (surah al-Baqarah, ayat 208)

Konsep beriman kepada semua ajaran Islam dan bercita-cita menegakkannya wajib berada dalam diri setiap muslim. Walaupun kemampuan adalah ukuran pelaksanaan, namun tidak harus menafikan beriman kepada hukum Islam dalam perkara yang tidak menjadi kemampuannya dari segi pelaksanaan.

Contohnya seseorang yang tidak ada kemampuan untuk menunaikan haji menjadikan haji tidak diwajibkan ke atas dirinya pada masa ini, tetapi haram dia menegaskan hukum haji tidak wajib secara dasarnya.

Begitulah juga ketidakmampuan untuk melaksanakan undang-undang jenayah yang dinaskan di dalam Al Quran kerana tiada kuasa politik, tidak menasakhkan hukum wajib beriman kepadanya, bahkan ia menjadi kewajipan untuk diperjuangkan, menjadi cita-cita dan keazaman yang diberi pahala walaupun tidak melaksanakannya.

Inilah yang diamalkan oleh Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab yang tidak menjatuhkan hukuman terhadap orang miskin yang mencuri kerana kedudukan ekonomi di zaman kemelesetan, namun suasana ini tidak boleh menjadi nas untuk membatalkan hukuman terhadap orang kaya yang melakukan kesalahan jenayah mencuri.

RUU 355 adalah permulaan bagi melaksanakan sebahagian daripada syariat Islam yang adil kerana dapat menghapuskan halangannya, walaupun ia dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan Hadis. Para ulama Usul Fiqh menetapkan kaedah:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
“Apa-apa yang tidak disempurnakan yang wajib melainkan dengannya maka ia menjadi wajib.”

Sebagai contoh di zaman terkini yang menetapkan pasport haji dan visa, maka pasport dan visa menjadi syarat wajib yang berikutnya walaupun tidak disebut dalam nas kitab Allah dan sunnah Rasulullah ﷺ. Beginilah betapa syariat Allah dapat menjadi hidayah di sepanjang zaman dan semua tempat.

Sistem kehakiman menjadi sebahagian daripada jalan menegakkan keadilan syariat Islam yang mewajibkan pindaan Akta 355 untuk meninggikan kedudukan Mahkamah Syariah yang dipenjarakan oleh penjajah dahulu. Mereka yang menghalangnya adalah menjadi wakil kepada penjajah terhadap umat Islam.

Orang bukan Islam tidak boleh menentang, kerana ini bukan urusan mereka. Adapun penganut Islam yang jahil adalah berdosa kerana tidak belajar. Manakala orang yang tahu tetapi menentang juga, bacalah firman Allah:
﴿وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِيَ آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ. وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ. سَاء مَثَلاً الْقَوْمُ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا وَأَنفُسَهُمْ كَانُواْ يَظْلِمُونَ. مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِي وَمَن يُضْلِلْ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴾ [الأعراف: ١٧٥-١٧٨]
“Bacalah kepada mereka (kumpulan ahli kitab) cerita orang yang kami kurniakan kepadanya ilmu berkenaan ayat-ayat kami, tiba-tiba dia melapahkan dirinya daripada kitab itu, lalu syaitan menggoda dibelakangnya (berlagak laksana pengikut), maka jadilah dia dikalangan orang-orang yang sesat. Kalau kami kehendaki nescaya kami tinggikan kedudukannya, tetapi dia mahu kekal di dunia ini, lalu dia mengikut hawa nafsunya. Maka bandingannya seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya sama ada engkau membawa sesuatu kepadanya atau tidak. Begitulah bandingan puak yang mendustakan ayat-ayat Kami. Bacalah kepada mereka cerita-cerita (yang menjadi pengajaran) supaya mereka berfikir. Alangkah buruknya contoh mereka yang mendustakan ayat-ayat kami, sebenarnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sesiapa yang Allah memberi hidayah kepadanya nescaya dia mendapat petunjuk (ke jalan yang benar) dan sesiapa yang Allah jadikan dia sesat, maka mereka menjadi orang-orang yang rugi).” (surah al-A’araf, ayat 175-178)

Di antara sifat yang tidak layak mendapat hidayah itu adalah takabur. Sifat inilah yang ada pada Iblis yang sangat berilmu, mampu menyaksikan kebesaran Allah dan melihat syurga dan neraka. Sifat inilah yang meletakkan diri sendiri sangat bijak, seolah-olah orang lain semuanya bodoh.

Peristiwa memperjuangkan RUU 355 menempa sejarah kerana melibatkan semua kalangan umat Islam, semua wajah yang berada di medan para ulama, ahli politik, NGO, para pengamal undang-undang, ilmuan, para mahasisiwa, media, seniman, pasukan keselamatan, jentera kerajaan dan rakyat di semua lapisan. Maka yang terpisah daripadanya laksana kambing yang terpisah daripada kawanannya yang mudah menjadi mangsa serigala liar yang berkeliaran.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-