© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Masjid Dhirar : Konspirasi Jahat Memecah-Belah Jamaah Rasulillah ﷺ

Masjid Dhirar : Konspirasi Jahat Memecah-Belah Jamaah Rasulillah ﷺ

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 22 February 2017


Setelah Masjid Quba’ dibangunkan Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya, serta menjadi pusat kegiatan kebajikan dan sosial kaum Muslimin ketika itu, rupanya masih terdapat orang-orang munafik yang merasa sangat terusik di atas kejayaan kaum Muslimin. Akhirnya mereka membangunkan Masjid Dhirar, masjid baru nan megah namun tanpa dasar ketakwaan kepada Allah Taala iaitu bertujuan memecah-belah hubungan persaudaraan dan melemahkan kesatuan umat Islam.

Sebelum Rasulullah ﷺ berhijrah ke kota Yathrib (Madinah), di sana ada seorang lelaki dari puak Khazraj yang digelar Abu Amir al-Rahib (أَبُو عَامِرٍ الرَّاهِبُ), seorang yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai ajaran Ahli al-Kitab dan saki-baki peninggalan ajaran “Hanif” yang dibawa Nabi Ibrahim alaihissalam. Boleh dikatakan Abu Amir adalah termasuk dalam golongan yang sangat tekun beribadah dalam masa yang sama dia juga mempunyai pengaruh besar dalam kabilahnya.

Pengaruh Abu Amir tidak hanya dikenali di kalangan kaum Aus dan Khazraj, tetapi juga di seluruh jazirah Arab termasuklah di wilayah-wilayah kerajaan Rom. Kata-katanya sangat didengari untuk dijadikan rujukan oleh kaumnya. Namun, ketika Rasulullah ﷺ berhijrah ke Yathrib (Madinah), kaum Muslimin bersatu di bawah kepemimpinan Rasulullah ﷺ sehingga Islam yang dahulu dikenali kepercayaan minoriti menjadi kuat dengan izin Allah Taala. Keadaan tersebut tidak menyenangkannya dan menyebabkan Abu Amir gelisah, lalu secara terang memusuhi kaum Muslimin.

Abu Amir sanggup bertemu pembesar-pembesar kafir Quraish di Makkah untuk mengajak mereka memerangi Rasulullah ﷺ dan kaum Muslimin di Madinah.  Ketika Perang Uhud berlaku, Abu Amir merupakan individu yang menyebabkan Rasulullah ﷺ menerima kecederaan parah akibat lobang yang digalinya ketika peperangan berlaku antara kaum Muslimin dan Kafirin. Abu Amir juga berkempen kepada kaum Ansar agar memusuhi Rasulullah ﷺ, tetapi niat buruknya telah dihidu kaum Ansar lalu mereka mencela dan memakinya:
لَا أَنْعَمَ اللَّهُ بِكَ عَيْنًا يَا فَاسِقُ يَا عَدُوَّ اللَّهِ
“Celakalah kamu (Abu Amir), wahai pembangkang dan musuh Allah (moga Allah menjadikanmu sebagai orang yang dibenci setiap kaum yang melihatmu).”

Rasulullah ﷺ telah mengajak Amir secara damai untuk menjadikan Islam sebagai agamanya, dengan membacakan ayat-ayat suci al-Quran kepadanya sebelum dia akhirnya lari menuju ke Rom untuk meminta bantuan Raja Rom bernama Heraclius ketika itu. Bagaimanapun Abu Amir menegaskan keazamannya untuk terus memerangi Rasulullah ﷺ dan umat Islam. Di atas dana bantuan Raja Rom yang besar, Abu Amir memerintahkan golongan munafik untuk membangunkan projek mendirikan masjid baru yang lebih inklusif dan progresif kepada umat Islam, Masjid Dhirar.

Lokasi Masjid Dhirar yang berhampiran dengan Masjid Quba’, masjid pertama umat Islam yang dibina bersama Rasulullah ﷺ dikatakan lebih selesa berbanding masjid sebelumnya. Terdapat riwayat yang mengatakan struktur binaan Masjid Dhirar yang diasaskan oleh Abu Amir itu itu lebih indah dari Masjid Quba’ sehingga boleh menyebabkan setiap orang terpegun apabila melihat keindahannnya.

Sebelum Rasulullah ﷺ berangkat ke Tabuk, golongan munafik telah memujuk Rasulullah agar melaksanakan solat di masjid yang dibina mereka. Fikiran licik kaum munafik di atas jemputan itu sebenarnya bertujuan mengelabui kaum Muslimin lainnya agar turut solat di masjid baru yang dibina mereka. Jika Rasulullah melaksanakan solat di Masjid Dhirar itu, hal ini seolah-olah Rasulullah bersetuju dengan projek pembangunan masjid tersebut.

Para kaum munafik menyebutkan pelbagai alasan dalam mendirikan Masjid Dhirar kononnya sebagai alternatif kepada jamaah Muslimin yang tidak hadir di Masjid Quba’, akan tetapi alasan ini hanyalah tipu muslihat mereka semata-mata. Pada permulaannnya, Rasulullah ﷺ bersetuju menerima pelawaan untuk melaksanakan solat di masjid yang dibina mereka setelah kembali dari perjalanan jauh ke Tabuk. Kata Rasulullah ﷺ:
إِنَّا عَلَى سَفَرٍ، وَلَكِنْ إِذَا رَجَعْنَا إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Aku sekarang akan berangkat untuk melakukan sebuah perjalanan (ke Tabuk), In sya-Allah setelah kembali nanti (aku akan mengunjunginya).”

Namun dalam perjalanan pulang dari Tabuk, ketika Rasulullah ﷺ beristirahat di tanah Dzu Awan (sekitar setengah hari perjalanan dari Madinah) Allah telah menurunkan ayat yang tujuannya
memberi peringatan kepada Baginda Nabi dan umat Islam yang lain tentang Masjid Dhirar (dan larangan solat di dalamnya) kerana ia dibangunkan tanpa ketaqwaan kepada Allah Taala. Allah melarang Rasulullah ﷺ agar tidak menunaikan solat di Masjid Dhirar.
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ. لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
“Dan ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (kepada orang-orang mukmin), untuk kekafirannya dan memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka (kaum munafik) sesungguhnya bersumpah; Kami tidak menghendaki selain kebaikan. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta (dalam sumpahnya). Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.” (surah al-Taubah, ayat 107-108)

Ibnu Kathir mengatakan di dalam tafsirnya:
نَهْيٌ مِنَ اللَّهِ لِرَسُولِهِ، صَلَوَاتُ اللَّهِ وَسَلَامُهُ عَلَيْهِ، وَالْأُمَّةُ تَبَعٌ لَهُ فِي ذَلِكَ، عَنْ أَنْ يَقُومَ فِيهِ، أَيْ: يُصَلِّي فِيهِ أَبَدًا
“Ia merupakan larangan dari Allah kepada Rasulullah agar tidak solat di masjid tersebut selama-lamanya, dan umatnya (wajib) mengikutinya dalam hal ini.”

Arahan Allah ini memberikan isyarat penentangan yang jelas agar umat Islam berwaspada terhadap konspirasi kaum munafik walaupun mereka membina sebuah masjid yang teguh dan indah. Rasulullah ﷺ memberi perintah tegas kepada para sahabat-nya, Malik bin Dukhsyum dan Ma’an bin Adi untuk menghancurkan Masjid Dhirar. Inilah pengakhiran masjid yang didirikan atas niat yang tidak baik, niat untuk memecah-belah umat Islam walaupun namanya “masjid”.
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Dan (di antara orang munafik) ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (kepada orang-orang Mukmin), untuk kekafiran dan memecah belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka (kaum munafik) sesungguhnya bersumpah; Kami tidak menghendaki selain kebaikan. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya).” (surah al-Taubah, ayat 107)

Menurut Sayyid Qutb, kaum munafik ini sanggup menjadi kaki tangan kepada musuh untuk membinasakan umat Islam, mereka tidak hanya memiliki niat yang jahat tetapi juga merealisasikan kejahatan tersebut dalam perbuatan mereka. Dalam berhadapan makar jahat dan konspirasi kaum munafik yang membahayakan kaum Muslimin ini, kita sebagai umat Islam mestilah tegas tanpa kompromi dalam mematahkan setiap strategi jahat yang mereka bangunkan.

Orang-orang munafik ini sentiasa ber“sujud” di telapak kaki musuh-musuh Islam, orang-orang kafir untuk membantu mereka memerangi umat Muslim. Tetapi, ketika bertemu kaum Muslimin, mereka bersikap seperti saudara yang sama-sama mengagungkan Islam. Tetapi bila ada kesempatan, mereka akan menusuk kaum Muslimin dari belakang. Sabda Rasulullah ﷺ berhubung individu yang diibaratkan sebagai mereka yang telunjuknya lurus, kelingkingnya berkait ini sebagai “zu al-wajhain”:
 إِنَّ شَرَّ النَّـاسِ ذُو الْوَجْهَيْنِ الَّذِى يَأْتِى هَؤُلاَءِ بِوَجْهٍ وَ هَؤُلاَءِ
“Sesungguhnya seburuk-buruk manusia adalah “zu al-wajhain” (orang yang memiliki dua wajah), yang datang kepada mereka ini dengan satu wajah dan datang kepada mereka itu dengan satu wajah yang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-