© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Mudah Menghukum Orang

Jangan Mudah Menghukum Orang

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 3 February 2017


Ke-Islaman Saidina Hamzah dan Umar adalah perkara yang berlaku di luar dugaan umat Islam. Di saat memuncaknya tekanan kaum kuffar kepada Islam, Allah membuka laluan baru kepada kemajuan dakwah di peringkat Makkiyyah dengan Islam-nya dua orang tokoh terkenal yang dianggap “samseng” di zaman jahiliyyah. Bahkan Umar antara yang keras menentang Islam pada awal dakwah Islamiyyah berlangsung.

Sabda Rasulullah ﷺ:
خِيَارُكُمْ فِي الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُواْ
“Orang-orang terpilih di zaman Jahiliah, juga terpilih di zaman Islam jika dia memahami Islam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Peristiwa ini menjadi pengajaran agar kita tidak berputus asa ketika mendakwah orang yang terlalu keras menentang Islam. Lantaran bukan mustahil yang keras itu kelak akan dipancari cahaya hidayah, yang boleh menukar sikapnya kelak menjadi orang yang paling gigih pula memperjuangkan Islam. Terkadang pertolongan Allah dalam urusan dakwah ini hadir dengan pelbagai versinya. Antaranya seperti yang disabdakan Rasulullah ﷺ:
إِنَّ اللهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ
“Sesungguhnya Allah juga akan membantu agama ini dengan lelaki yang jahat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Batthal menjelaskan hadis ini:
وقوله: (إِنَّ اللهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَا الدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ) يشتمل على المسلم والكافر، فيصح أن قوله: (لا نستعين بمشرك) خاص فى ذلك الوقت
“Sabda baginda berhubung; (Allah menolong agama ini dengan lelaki yang jahat) termasuklah ia seorang muslim dan kafir, sahihlah bahawa (kita tidak perlu meminta bantuan orang musyrik) maka hadis ini khusus pada waktu tersebut.”

Allah berhak menentukan pertolongan terhadap perjuangan agama ini mungkin bukan dari tangan mereka yang berada “solid” dalam gerakan dakwah, boleh jadi dari tangan orang lain, atau bahkan boleh jadi dari tangan orang yang fasik atau kaum yang tidak ada akhlak {بأقوام لا خلاق لهم}. Pun begitu, hadis di atas ini bukanlah bermaksud orang Islam perlu meminta bantuan daripada kalangan mereka yang berada di luar dari Islam untuk menegakkan agama ini. Hadis ini menunjukkan kekuasaan Allah dalam menentukan sesuatu urusan. Oleh itu, jangan kita terlalu mudah menuding jari dengan berkata kamu ahli neraka, kamu jahat sampai ke mati. Sedangkan itu semua hak Allah untuk menentukannya.

Disebut dalam sebuah Hadis al-Qudsi, bahawa di dunia dahulu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israel. Salah seorangnya sangat baik manakala seorang lagi sangat jahat. Suatu hari yang baik menggelarkan yang jahat sebagai ahli neraka dan dosanya tidak mungkin akan diampunkan Allah. Lalu Allah mematikan kedua-duanya serta memanggil mereka menghadap-Nya. Akhirnya Allah memasukkan yang jahat ke dalam syurga manakala yang baik dicampakkan ke dalam neraka.

Berikut adalah nas sebenar hadis yang dinyatakan dalam kisah di atas:
كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَوَاخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيبًا فَقَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لَا يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ اذْهَبْ فَادْخُلْ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلْآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ
“Pada zaman dahulu, terdapat dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel yang bersaudara tetapi berbeza karakternya, salah seorangnya pelaku dosa dan seorang lagi rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah ini melihat saudaranya berbuat dosa, ia menyuruhnya untuk berhenti dari perbuatan dosanya. Pada suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi; Berhentilah dari berbuat dosa. Pelaku dosa itu menjawab; Biarkan aku, Allah telah menetapkan aku bahawa engkau diutus-Nya untuk mengawasi apa yang aku lakukan. Lantas ahli ibadah itu menempelaknya; Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni-Nya atau kamu tidak mungkin dimasukkan Allah ke dalam syurga. Kemudian Allah mencabut nyawa kedua-dua lelaki itu dan mengumpulkan keduanya di hadapan Allah Rabb al-‘Alamin. Allahberfirman kepada lelaki ahli ibadah itu; Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku? Adakah kamu dapat mengubah apa yang telah berada dalam kekuasaan tangan-Ku? Kemudian Allah berfirman kepada pelaku dosa itu pula; Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah itu dikatakan; Masuklah orang ini ke neraka.” (Riwayat Abi Daud)

Ini menunjukkan bahawa semua perkara adalah bidang kuasa Allah Ta’ala. Kita sebagai hamba tidak boleh campur tangan dengan menentukan sama ada orang itu ahli syurga atau ahli neraka. Senario orang kita hari ini mudah sangat menuding orang ini ahli neraka, orang ini jahat sampai mati, dosanya tidak terampun. Sedangkan nasib kita sendiri akan datang pun kita tidak tahu. Dakwah adalah kewajiban setiap individu Muslim, tetapi menghakimi seseorang dengan menentukan takdirnya bukanlah urusan manusia. Boleh jadi di dunia dia jahat, tetapi di akhirat kelak Allah memasukkan dia ke dalam syurga-Nya.

Jangan kita menyangka mereka yang selama ini mendabik dada berjuang Islam selama-lamanya kekal istiqamah, tetapi akhirnya ada juga yang lari terjun meninggalkan perjuangan. Di sinilah kita diajar dalam setiap solat membaca:
اهدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”

Kenapa kita mengulang-ulang permintaan yang sama ini setiap kali solat? Apa belum luruskah jalan kita selama ini? Bukan bermaksud begitu. Sebaliknya jalan lurus ini sangat mencabar. Bermacam dugaan di sepanjang jalan, memerlukan bantuan hidayah daripada Allah sentiasa.

Allah Ta’ala berfirman di dalam surah Hud ayat 112:
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Maka tetaplah kamu (pada jalan yang benar), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat bersama kamu. Dan janganlah kalian melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ayat di atas menurut Nabi ﷺ adalah sangat berat dan susah untuk dilaksanakan sehingga menyebabkan Baginda beruban. Para sahabatnya pernah bertanya Nabi ﷺ:
لَقَدْ أَسْرَعَ إِلَيْكَ الشَّيْبُ
“Cepat sungguh engkau beruban.”

Lalu Baginda Nabi ﷺ menjawab:
شَيَّبَتْنِيْ هُوْدٌ
“Yang telah membuatku beruban adalah surat Hud.”

Kerana di dalam surah tersebut terdapat ayat yang mengandungi perintah untuk istiqamah. Sebab itu di antara sifat orang beriman adalah selalu memohon dan berdoa kepada Allah agar diberi keteguhan (istiqamah) di atas kebenaran. Di dalam al-Quran, Allah memuji orang-orang yang beriman yang selalu berdoa kepada-Nya untuk meminta keteguhan iman ketika menghadapi ujian. Allah berfirman:
وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (146) وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلَّا أَنْ قَالُوا رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِي أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (147)
“Dan berapa banyaknya Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan; Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan teguhkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (surah Aali-‘Imran, ayat 146-147)

Dalam ayat lain Allah Ta’ala berfirman:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran atas diri kami, dan teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” (surah al-Baqarah, ayat 250)

Do’a lain agar mendapatkan keteguhan di atas jalan yang lurus:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurniaan).” (surah Aali-‘Imran, ayat 8)

Manakala dalam hadis yang diriwayat Imam Muslim, antara doa yang paling kerap dipanjatkan oleh Nabi ﷺ ialah:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
“Wahai Zat yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Ummu Salamah pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, mengapa doa tersebut sering dibaca Baginda. Lalu Nabi ﷺ menjawab:
يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِىٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ
“Wahai Ummu Salamah, yang namanya hati manusia selalu berada di antara jari-jemari Allah (kekuasan-Nya). Siapa sahaja yang Allah kehendaki, maka Allah akan berikan keteguhan dalam iman. Namun siapa sahaja yang dikehendaki, Dia-pun boleh menyesatkannya.”

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-