© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Islam Memuliakan Kaum Wanita

Islam Memuliakan Kaum Wanita

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 2 February 2017


Mempunyai anak lelaki mahupun perempuan sama sahaja. Jangan jadikan kelahiran anak perempuan itu satu episod sedih dalam kehidupan. Hakikat yang perlu diketahui, Islam menjanjikan syurga kepada sesiapa yang memuiliakan, memberikan kasih sayang yang cukup, pendidikan dan ilmu agama yang sempurna kepada anak perempuan. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنِ ابْتُلِيَ مِنَ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ فَأَحْسَنَ إِلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa (pasangan) yang diberi cubaan dengan anak perempuan kemudian dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Islam memuliakan anak perempuan sejak dari hari pertama kelahirannya. Anak itu perlu dididik, diajar dan dibekalkan dengan akhlak yang mulia, kerana mereka ini adalah aset utama umat Islam di masa akan datang. Memuliakan anak perempuan ini sama halnya dengan memuliakan generasi yang akan datang. Seorang wanita itu bukan sahaja dilahirkan sebagai ibu yang mengasuh dan membesarkan anak, bahkan mereka ini merupakan “pencetak” pemimpin umat di masa akan datang. Inilah antara kenikmatan luar biasa bagi ibu bapa yang memiliki anak perempuan. Sesungguhnya mempunyai anak perempuan ini merupakan satu ibadah dan mempunyai kemuliaan di sebaliknya.

Sebelum kedatangan Islam, hak-hak kaum wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jikapun ada pembelaan hak mereka adalah atas ihsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan.

Masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “Dari segi sejarahnya, Islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita. Suatu hakikat yang pasti bahawa tiada hak pemilikan harta yang diberikan kepada wanita Hindu sehinggalah tahun 1956. Ini apabila Hindu Code Bill dihapuskan. Sedangkan Islam telah pun memberikan hak-hak ini kepada wanita Muslim sejak seribu empat ratus tahun yang lampau.” (Wahidudin Khan, Women Between Islam and Western Society, hlm. 46.)

Anak lelaki mahupun perempuan adalah sama, kedua-duanya adalah makhluk Allah Ta’ala yang diciptakan berpasang-pasangan dan saling lengkap-melengkapi. Mustahil sekiranya dunia ini hanya diciptakan untuk lelaki, sedangkan lelaki memerlukan wanita untuk berjaya. Akan tetapi, setiap kejayaan itu tidak akan berhasil sekiranya ibu bapa tidak mampu memberikan pendidikan atau mentarbiyah yang baik untuk anak perempuannya. Sama ada anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Islam adalah bergantung kepada baik buruknya kedua orang tuanya memberikan didikan kepada mereka.

Justeru, berhati-hatilah dalam mendidik khususnya anak-anak perempuan, jangan sampai dirinya terabai dan terjerumus di liang kesesatan. Rasulullah ﷺ ada menyebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik tentang kaitannya kiamat dengan orang tua yang memelihara dan memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak perempuannya. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ هَكَذَا، وَضَمَّ أَصَابِعَهُ
“Barangsiapa yang mencukupkan keperluan dan mendidik dua anak perempuan sehingga mereka dewasa, maka dia akan datang pada hari kiamat nanti dalam keadaan aku dan dia (seperti ini), dan Baginda menggenggam jari-jemarinya.” (Riwayat Muslim)

Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ adalah rahmat bagi kaum perempuan. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak mereka dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad ini bangun dengan perintah wahyu membela mereka. Hadis-hadis Nabi yang membela dan mempertahankan wanita begitu banyak dan jelas. Antaranya Saydatuna ‘Aisyah r.a.h pernah mengatakan:
دَخَلَتْ عَلَيَّ امْرَأَةٌ وَمَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ وَاحِدَةٍ فَأَعْطَيْتهَا إيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتِهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ، فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْته فَقَالَ مَنْ اُبْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ فَأَحْسَنَ إلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ
“Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Dalam sebuah hadis lain:
أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ غُلَامٌ يَحْدُو بِهِنَّ يُقَالُ لَهُ: أَنْجَشَةُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ، قَالَ أَبُو قِلَابَةَ : يَعْنِي النِّسَاءَ
“Bahawa Rasulullahberada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjasyah menarik unta yang ditunggangi kaum wanita. Lalu Rasulullahbersabda; Wahai Anjasyah, berlembutlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca (mudah pecah).” (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah juga teladan yang ditunjukkan betapa Islam itu sangat memuliakan anak perempuan. Hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah, bahawa Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ
“Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian derhaka kepada ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup, menolak untuk memberikan hak orang lain (dan menuntut apa yang bukan haknya), dan Allah membenci bagi kalian banyak menukilkan khabar-khabar angin (yang belum dipastikan kebenarannya), banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta.” (Riwayat Muslim)

Dalam pelbagai riwayat, Rasulullah ﷺ turut menekankan hal ini:
مَنْ كَانَ لَهُ ثَلاثُ بَنَاتٍ، يُؤْوِيهِنَّ، وَيَكْفِيهِنَّ، وَيَرْحَمُهُنَّ، فَقَدْ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ الْبَتَّةَ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ بَعْضِ الْقَوْمِ : وَثِنْتَيْنِ، يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: وَثِنْتَيْنِ
“Barangsiapa yang memiliki tiga orang anak perempuan yang dia jaga, dia cukupi dan diberi mereka kasih sayang maka pasti baginya syurga, lalu seorang lelaki bertanya; Dua juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab; Ya dua juga.” (Riwayat al-Bukhari)

Agama Islam yang syumul ini memberikan gambaran yang cukup sempurna tentang pengungkapan kasih sayang orang tua kepada anak perempuannya. Rasulullah ﷺ memberikan contoh pergaulannya dengan puteri Baginda sendiri, Fatimah. Kata ‘Aisyah:
مَا رَأَيْتُ أَحَدًا كَانَ أَشْبَهَ كَلَامًا وَحَدِيثًا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ، وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ قَامَ إِلَيْهَا، فَقَبَّلَهَا، وَرَحَّبَ بِهَا، وَكَذَلِكَ كَانَتْ هِيَ تَصْنَعُ بِهِ
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih mirip dengan Nabi ketika berkata dan berbicara seperti Fatimah. Biasanya apabila Nabi melihat Fatimah datang, Baginda akan berdiri menyambut dan menciumnya. Begitu juga apabila Nabi datang kepadanya (Fatimah).” (al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala’)

Begitulah juga dengan hal pemberian, Islam mengajarkan kita untuk berlaku adil antara anak lelaki dan anak perempuan. Berdasarkan hadis Nu’man bin Basyir berkata (maksudnya), “Ayahku pernah memberiku sebahagian hartanya, lalu ibuku, ‘Amrah binti Rawahah mengatakan kepadanya; Aku tidak reda sehingga engkau minta persaksian Rasulullah ﷺ. Maka ayahku pun menemui Rasulullahuntuk meminta persaksian Baginda”. Kemudian Rasulullah ﷺ bertanya padanya:
أَفَعَلْتَ هَذَا بِوَلَدِكَ كُلِّهِمْ
“Apakah ini kau lakukan pada semua anakmu?”

“Tidak”,jawab ayahku.

Baginda ﷺ pun bersabda:
اتَّقُوا اللَّهَ، وَاعْدِلُوا فِي أَوْلَادِكُمْ
“Bertakwalah kepada Allah tentang urusan anak-anakmu”.

Ayahku pun kembali dan mengambil kembali pemberian itu. (Riwayat al-Bukhari)

Islam sentiasa menggagahkan kedudukan wanita di mana-mana ruang kehidupan bermasyarakat. Dr. Makarim Mahmoud Nasr al-Din al-Diri, salah seorang reformis wanita Ikhwan al-Muslimin di Mesir pernah mempersoalkan kerelevenan sambutan “Hari Wanita Sedunia” (International Women’s Day) yang disambut sepanjang tahun pada 8 Mac. Mengapa perlu ada hari tertentu untuk memuliakan mereka? Kerana ia adalah kesan dengan masalah sosial yang kini menjadi “high profile” di seluruh dunia iaitu kes-kes pencabulan, gangguan seksual, buang bayi dan rogol terhadap kanak-kanak juga pelajar-pelajar remaja perempuan.

Walaupun ada akta-akta yang melindungi manusia dari perlakuan jenayah dan keganasan, namun ia tidak memadai untuk merasa selamat dalam norma kehidupan seharian masyarakat pada hari ini. Terdapat juga masalah yang ditimbulkan oleh kaum wanita sendiri seperti aktiviti pelacuran. Berdasarkan catatan sejarah, Abdullah Munshi pernah mendapati wujudnya perempuan-perempuan “jalang” dan “murahan” yang mendekati perahu dagang di Tanah Melayu. Walaupun tiada catatan yang lengkap yang menunjukkan peristiwa sebenar itu, namun kegiatan pelacuran telah bermula seawal abad ke-18 lagi. Lebih malang lagi, penjajah Inggeris ketika itu telah menghalalkan rumah-rumah “sundal” dengan mewujudkan Ordinan Wanita dan Gadis 1870.

Era globalisasi yang mencengkam pada hari ini bukan satu alasan untuk wanita mengatakan bahawa mereka harus turut serta dan “manut” melayari arus tersebut sehingga diri dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang sering sahaja mengambil kesempatan terhadap wanita. Wanita harus bangkit dan sedar dengan memainkan peranan mereka yang sepatutnya agar tidak diperjudikan seperti suatu ketika dahulu iaitu pada zaman jahiliyah. Namun, kebangkitan itu mestilah dengan dukungan terhadap ajaran Islam kerana Islam lah yang telah memuliakan mereka sehingga sejarah hitam kemanusiaan kepada kaum wanita berjaya dihapuskan.

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-