© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Wahai Pemuda! Masa Depan Milik Islam

Wahai Pemuda! Masa Depan Milik Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 10 December 2016


Kealpaan dan sikap tidak mengambil berat merupakan agen pembunuh yang sangat berbahaya. Ia mampu membunuh stamina perjuangan seorang aktivis sekaligus mampu melumpuhkan sebuah gerakan Islam yang besar jika kehadirannya tidak dibanteras.

Islam adalah suatu agama yang optimis, “sensitive” dan “responsive”, ia melarang umatnya beku membatu diri, pasif dan dhaif. Sungguhpun suatu kenyataan bahawa kini umat Islam telah ditekan dan ditindas serta dikepung dari segenap arah oleh musuh-musuh Islam yang begitu ramai dan memiliki segala kelebihan maddiyah.

Namun, sebagai seorang pemuda muslim, kenyataan itu tidak sewajarnya menjadikan kita kaku dan berputus asa terhadap amal Islami malah sebaliknya menyemarakkan semangat perwira dan jiwa kepemudaan untuk menghadapi segala kemungkinan. Justeru, Islam bukanlah satu agama yang menjanjikan kemenangan dan kejayaan di dunia malah ia satu agama yang membawa berita gembira untuk kemenangan di dunia dan di akhirat.

Penguasaan kuffar akan tiba hari dan saatnya jatuh tersungkur mencium bumi bersama kebesaran dan keangkuhan mereka. Namun khabar gembira ini adalah suatu yang amat mahal nilai harganya. Ia tidak mungkin berlaku tanpa pengorbanan dan kegigihan pejuang-pejuang Islam yang tidak mengenal erti penat dan putus asa, demikianlah sunnatullah.
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim”. (Surah Aali-Imran, ayat 140)

Firman Allah lagi:
 وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. (Surah al-Nuur, ayat 55)

Persediaan Melahirkan Pemuda Cemerlang

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لا تَعْلَمُونَهُمْ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لا تُظْلَمُونَ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. (Surah al-Anfal, ayat 60)

Hadaf/ matlamat kita adalah untuk memastikan musuh-musuh Allah yang terdiri daripada golongan mustakbirin dan jabbaarin, gentar dan tunduk kepada agama Allah. Justeru, kita mesti memiliki kekuatan semampu mungkin untuk mencapai hadaf kita. Kekuatan yang dimaksudkan terbahagi kepada 2 kategori:
  1. Kekuatan al-Ma’adi terbahagi kepada al-Mali dan al-Jismi
  2. Kekuatan al-Ruhiy terbahagi kepada al-Imani dan al-Fikriy
Allah mengarahkan orang-orang yang beriman dengan kalimah “وَأَعِدُّوا” (dhamir jama’ pada kalimah tersebut kembali kepada ayat 45 dalam surah yang sama, al-Anfal);
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)”. (Surah al-Anfal, ayat 45)

Sifat orang beriman ialah thabat (teguh) dalam perjuangan untuk menjulang panji kalimatul haq dan ia adalah satu daripada syarat kemenangan.
وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا
“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzaab, berkatalah mereka; Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun”. (Surah al-Ahzab, ayat 22-23 )

Kekuatan Pemuda Islam

Perlu disedari dan diinsafi bahawa pemuda adalah sayap kanan perjuangan umat ini, demi mengembalikan semula kedaulatan Islam dan kesejagatan ummatnya. Satu sayap yang amat penting posisinya, sehingga Allah telah menegaskan:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمْ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi mereka zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Taubah, ayat 71)

Justeru al-Amru bi al-Ma’ruf wan Nahyu A’nil Mungkar suatu kewajipan. Namun suatu realiti yang tidak boleh dinafikan bahawa operasi ini amat sulit dan getir. Ia tidak semudah yang diungkapkan. Ia adalah suatu operasi (kewajipan) yang terdedah kepada tentangan yang mencabar. Suatu operasi yang terpaksa merentasi ibtila’ dan mehnah (ujian). Suatu operasi yang terpaksa menuruni lurah tribulasi. Suatu operasi yang terpaksa berdepan dengan konspirasi musuh yang tidak pernah mengenal simpati.

Kepaduan tiga kekuatan dan tiga kekuatan inilah yang melahirkan pemuda cemerlang iaitu;
  1. Kekuatan Jismiyyah
  2. Kekuatan Ruhiyyah; dan
  3. Kekuatan Fikriyyah
Tidak dimaksudkan dengan kekuatan jismiyyah ini, pemuda perlu masuk kelab bina badan, karate, taekwando, judo dan sebagainya. Tetapi ia bermaksud pemuda perlu memiliki susuk tubuh yang mampu memikul beban dakwah dan tanggung jawab perjuangan ini serta berkemampuan juga menanggung risikonya. Awas! Setiap perjuangan ini pasti diuji dan dicuba.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu”. (Surah Muhammad, ayat 31)

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ. وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta”. (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Kekuatan/ keupayaan fizikal yang memungkinkan pemuda menunaikan ibadah dan aktiviti taqarrub ila-Llah. Hal ini memaksa pemuda menjaga kekuatan fizikal agar tahap keupayaanya mengizinkan pemuda tampil kehadapan, menghadapi segala kemungkinan. Ertinya kesihatan dan kemahiran fizikal adalah dua tahap keupayaan yang mesti dimiliki dan ditingkatkan kualitinya. Kita tidak mahu gerak kerja dakwah tergendala kerana dua tahap keupayaan ini terlalu rendah. Contoh: Apabila kita nak menyusun program/ aktiviti , pelbagai alasan yang kita terima dari pemuda. Darah tinggi, kencing manis, sakit kepala, sakit perut, tidak pandai komputer, tiada pengalaman dan lain-lain. Keluhan-keluhan sebegini sebenarnya boleh menyebabkan pemuda lari dari tugas perjuangan.

Kedua, kekuatan ruhiyyah. Kekuatan ruh adalah sinonim dengan kekuatan jisim sebagaimana bidalan hukama’;
رُهْبَانُ في اللَيْلِ وَ فُرْسَاُن بِالنَّهَارِ
“Rahib di malam hari dan kuda yang tangkas di siang hari”

جُنْدِيَّةٌ بَحْتٌ مِنْ نَاحِيَةِ العَمَلِ وَ صُوْفِيَّةٌ بَحْتٌ مِنْ نَاحِيَةِ العِبَادَة
“Tentera yang berdisiplin dalam menjalankan tugas dan sufi yang abid dalam melaksanakan ibadat”

Ruh ibarat nadi, menjadi dinamo untuk menggerakkan semangat perjuangan yang berterusan. Persediaan Ruhiyyah ini juga adalah suatu kewajipan utama apabila ia dibias oleh “statement” Ilahi:
يَاأَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ. قُمْ اللَّيْلَ إِلا قَلِيلا. نِصْفَهُ أَوْ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلا. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلْ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah bertahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan tartil. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya)”. (Surah al-Muzammil, ayat 1-5)

Kekuatan ruh adalah asas kelangsungan perjuangan untuk merealisasikan projek الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر . Ia juga satu kuasa dalaman, laksana “antibody” yang yang mampu mengawal diri dari terjerumus dan terseleweng. Kekuatan ruh bererti kekuatan kekuatan bertawakkal dan tunduk kepada Allah. beriltizam dengan amal Islami dalam apa jua situasi.
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (Surah al-Taubah, ayat 41)

Kekuatan ruh jua bererti optimis bahawa مستقبل لهذا الدين yakin bahawa masa depan adalah milik Islam. Justeru itu pemuda tidak sewajarnya merasa lemah.
وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمْ الأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”. (Surah Aali-Imraan, ayat 139)

Kekuatan roh yang dimiliki oleh generasi terdahulu telah mencatat kemenangan dan sejarah yang gemilang. Selayaknya kita turut mencontohi mereka. Demikianlah anjuran Imam Malik;
لا يَصْلُحُ أخِرُ هذِهِ الأُمَّةِ إلاّ بِمَا صَلُحَ بِهِ َأوَّلُهَا
“Tidak gemilang umat akhir zaman melainkan kembali melaksanakan apa yang telah menyebabkan ummat terdahulu menjadi gemilang”.

Apa yang penting kita mesti memiliki 3 prinsip :-
  1. Iman dan tawakkal. Yakin menang dan serah kepada Allah.
  2. Tegas dan cekal. Tidak berganjak dan cintakan syahid.
  3. Dakwah dan istiqamah.
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمْ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. (Surah Fussilat, ayat 30)

Ancaman Ghazwatul Fikr

Akhir sekali ialah menyediakan kekuatan fikriyyah. Nabi Muhammad di sepanjang zaman menghadapi musuh berbentuk غزوة الفكري . Lantaran itu al-Quran diturunkan dalam bentuk hujjah dan keterangan nyata untuk menghadapi mereka.
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
“Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. (Surah al-Nahl, ayat 89)

Ancaman غزوة الفكري menjelang abad 21 semakin sengit sementara mufakkir-mufakkir Islami semakin berkurangan. Ini suatu fenomena yang amat membimbangkan kita. Gejala juhala’ berleluasa, pengangguran otak (malas berfikir) sampai ke tahap bahaya. Mereka hanya rasa memadai mendapat sandaran mahasiswa/wi, dr., ustaz, prof., dan lain lain. Tetapi malas berfikir untuk menterjemahkan amal Islami. Mereka guna sandaran ini (title dan ilmu mereka) untuk cari makan. Kelemahan ini menyebabkan benteng ummah kian rapuh (mudah ditembusi dengan pelbagai helah licik golongan orientalis). Kita mesti bina kekuatan fikriyyah ini, terutamanya pemuda.

Daya fikrah sebahagian pemuda masih telalu lemah. Kebanyakan pemuda hanya fikir tentang diri sendiri atau hanya sekitar kerjaya mereka. Mereka tidak melihat peranan mereka untuk ummah dan sedang Islam mesti dilihat secara syumul, justeru itu fikrah pemuda jua mestilah jelas dan syumul juga. Ketajaman fikrah Islami amat perlu di era kini (era maklumat/ era manusia berfikir), tetapi mereka berfikir dengan fikiran yang dikuasai oleh fikrah jahiliyyah moden yang hanya berorientasikan fikrah maddiyah.

Untuk membina kekuatan ini pemuda mesti berani tampilkan diri, banyak membaca dan mengadakan perbincangan ilmiah. Tidak semua isu boleh diselesaikan dengan demontrasi. Kita tidak mahu pemuda dilihat terkebelakang dalam era penguasaan maklumat dan ilmu tanpa menafikan pentingnya penguasaan emosi seperti demontrasi.

Tiga kekuatan ini saling berantaian. Kalau hanya badan sihat, angkat tong gas dan simen dua beg larat dan kuat tetapi malang subuhnya adalah subuh gajah (lewat). Ini tidak boleh jadi. Kuat beribadat tetapi jumud, juga sia-sia. Bukan kita seorang nak masuk syurga. Islam perlu disebarkan dan ini memerlukan pemikiran yang haraki. Pemuda jangan banyak dalih dan lengah, pastikan tiga kekuatan ini dapat dikumpulkan semaksima mungkin. Demi Islam dan perjuangannya. Bila lagi kita mahu berubah dan berusaha gigih untuk memiliki kemampuan dan kekuatan ini. Bukankah kita bercita-cita besar untuk menang dan seterusnya mendaulatkan syariat Islamiyyah di muka bumi Allah amnya dan di tanahair kita khasnya.

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat sesi 2015-2017. Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-